1. Baru-baru ini, sementelah pergaduhan yang semakin meruncing di antara PAS dengan dua rakan sekutu mereka, DAP dan PKR, timbul percambahan idea yang merujuk kepada isu perpaduan umat Islam di Malaysia di mana dicadangkan supaya dua parti utama Melayu Muslim iaitu UMNO dan PAS bergabung, sekaligus menempa sejarah baru di dalam politik perpaduan ummah di negara kita. Seterusnya, dengan sokongan dari Adun-Adun BN terhadap pindaan enakmen jenayah syariah yang membabitkan hukum hudud di Kelantan, ia meningkatkan lagi rasa inginkan perpaduan di antara UMNO dan PAS dari sudut politik. Maklumlah, terpisahnya UMNO dan PAS sejak di zaman merdeka dahulu, kemudian bercantum kembali pada 1969 dan berpisah pula pada 1978, umat Melayu Islam di negara kita hidup berpecah-belah hanya gara-gara ketaksuban pada fahaman politik masing-masing. Justeru itu, ramai di kalangan umat Islam di Malaysia yang mahu melihat penyatuan di antara kedua parti politik Melayu Muslim tersebut.
2. Pun begitu, ada pula pemimpin beragama Islam dan berbangsa Melayu di dalam Pakatan Rakyat yang seolah irihati dengan cadangan tersebut dengan mendakwa tindakan penyatuan antara PAS dan UMNO akan mewujudkan "Islamo Fasismo" dan bukannya "Islam Rahmatan Lil 'Alamin". Kononnya dengan penyatuan itu, maka ia bersandarkan pada dasar politik perkauman yang sempit dan bersifat asabiyyah. Begitulah hujah yang diutarakan pemimpin yang mengaku Islam dan berbangsa Melayu dari gabungan parti yang kononnya 'sepakat', tapi jelas tidak sepakat bermula dari dasar hinggalah kepada perlaksanaannya. Benarkah penyatuan PAS dan UMNO akan menyebabkan "Islamo Fasismo" ciptaan Barat? Apakah ia benar bersandarkan politik perkauman dan asabiyyah? Anda setuju dengan pandangan tersebut? Pada saya, tidak sama sekali...
3. Istilah "Islamo Facismo" atau "Islamo Facisme" tercipta dari Barat. Banyak digunakan oleh penulis seperti Stephen Schwartz and Christopher Hitchens, ia menggambarkan pemikiran segelintir umat Islam yang ekstrim seperti kumpulan militan Al-Qaeda atau pengganas IS. Maksudnya begitu negatif dan tidak membayangkan imej Islam yang sebenar. Malah istilah "asabiyyah" pula disifatkan Ibnu Khaldun sebagai satu amalan perkauman sempit di mana hingga ke satu tahap para pengamalnya merasa taksub pada kaum atau agama sendiri sehingga tergamak menghalalkan cara demi mencapai matlamat. Contohnya, jika kaum atau seorang muslim melakukan kesalahan, maka kaum atau masyarakat muslim lain akan melindungi kesalahan tersebut sedaya mungkin. Pokok pangkalnya, segala istilah itu semuanya buruk-buruk belaka dan ia cuba dirujuk terhadap Islam dan umatnya.
4. Pada pandangan saya, sekiranya begitulah pandangan mereka-mereka terhadap penyatuan umat Islam di Malaysia, maka kita semua akan terpisah buat selamanya. Baru saja dicadangkan penyatupaduan di kalangan umat Islam menerusi medium politik, maka kita akan dituduh asabiyyah dan menuju ke arah "Islamo Facismo". Soalnya, pemikiran siapakah yang sempit sekarang? Apakah umat Islam tidak boleh bersatu? Apakah penyatuan UMNO dan PAS itu adalah "Islamo Facisme"? Saya menyangkal keras dakyah dangkal berkiblatkan Barat seperti ini. Bila pihak Barat yang bukan Islam namun bercakap mengenai agama Allah itu, rasanya kita boleh meneka agenda dan muslihat di sebalik istilah-istilah berkenaan, bukan?
5. Islam yang sebenarnya sangat menekan tentang konsep perpaduan di kalangan umat Islam. Rasulullah SAW ketika berhijrah dari Kota Mekah ke Yathrib (Madinah), antara perkara pertama yang Baginda lakukan ialah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dan Ansar ketika itu. Malah firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat, ayat 10;
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat,"Dan di dalam surah Ali Imran, ayat 103;
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk,".
6. Jelaslah di sini bahawa Allah SWT dan Muhammad SAW mahu kita semua bersatu, bukan? Tidak pula difirmankan Allah bahawa penyatuan di kalangan muslimin akan menyebabkan "Islamo Fasismo". Tidak pula disabdakan Rasulullah SAW bahawa perpaduan umat Islam akan menyebabkan berlaku asabiyyah. Malah penyatuan umat Islam itu akan meranapkan amalan asabiyyah yang pernah diamalkan di zaman jahiliyyah dahulu. Ada sesiapa yang berniat membantah firman Allah dan sabda Rasulullah SAW itu? Justeru itu, tidak salahlah jika UMNO dan PAS bersatu, bukan? Malah sewajarnya usaha berkenaan disokong padu oleh semua lapisan masyarakat yang mengaku beragama Islam dan beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Jangan pula mahu menjadi seperti golongan Khawarij yang sibuk berbahas mengenai Khilafiyah dan Furu’iyah, sebaliknya fahami Islam terlebih dahulu secara fundemantel sebagai asas dan bersatu padu terlebih dahulu. Itu lebih utama untuk didahulukan dan permasalahan lain boleh dibincangkan kemudian.
7. UMNO dan PAS mempunyai banyak titik persamaan sebenarnya berbanding titik persamaan PAS dengan DAP dan PKR. Titik persamaan PAS dengan DAP dan PKR hanyalah satu iaitu mahu menumbangkan BN sebagai Kerajaan di Malaysia. Itu saja. Dan mungkin di atas satu titik persamaan itu, PAS sebelum ini terkhilaf dalam membuat percaturan politik hingga begitu mudah terpengaruh dengan dakyah kedua parti tersebut. Sedangkan, PAS tidak sedar bahawa bukan saja tindakan itu telah melebarkan jurang pepecahan umat Islam di Malaysia, malah ia turut memberi mudarat yang lebih parah kepada PAS sendiri. Lihatlah bagaimana PAS diperkuda, dikeldaikan DAP dan PKR sejak 2008. Jika dirujuk kitab ajaran Pakatan Rakyat, buku Jingga, di mana agaknya dasar PAS di dalamnya? Namun bila sudah terhantuk, baru nak tengadah? Bila nak dibentang hudud, dihentak kepala PAS. Belum pun dilulus, apatah lagi dilaksanakan, siang malam PAS dihentam, dikutuk dan dikecam habis-habisan oleh DAP dan PKR. Baru kini PAS tersedar? Kembalilah ke pangkal jalan dan kita satukan ummah di bumi bertuah ini...
8. Saya tidak menyarankan supaya PAS dibubar dan masuk UMNO beramai-ramai. Memadailah dengan menceraikan DAP dan PKR dengan "talak 3" setelah diperkudakan teruk sejak 2008 lagi. Dan sekiranya PAS sudah tenang, bolehlah difikirkan untuk kekal bersaudara dengan UMNO atau mengeratkan lagi ukhuwwah dengan menyertai BN. Tidak perlu tergesa-gesa dalam soal ini. Namun yang penting adalah keikhlasan demi melihat penyatuan umat Islam di Malaysia yang sebelum ini cukup ditakuti oleh mereka yang tidak tahu menghormati Islam, tidak kenal pada hak dan keistimewaan bangsa Melayu dan kurang sifat nasionalisme dalam siyasah negara. Saya yakin, Allah dan RasulNya merestui ukhuwwah di kalangan umat Islam yang berpecah-belah selama ini hanya disebabkan sentimen kerakusan kuasa politik duniawi.
9. Saya tegaskan sekali lagi bahawa penyatuan umat Islam membabitkan UMNO dan PAS sekiranya berlaku bukanlah bakal mencetus "Islamo Fasismo" sebagaimana yang disangka segelintir pihak itu. Bahkan ia menepati maqasid syariah di mana penyatuan tersebut turut akan menstabilkan kedudukan politik negara di mana kemakmurannya juga akan dinikmati hasilnya oleh golongan bukan Islam di Malaysia. Islam dan Melayu itu berpisah tiada. Jika ada yang tersasar akidah dan murtad memeluk agama lain sekalipun, ia adalah disebabkan terpengaruh dengan dakyah kuffar dan kurangnya keteguhan iman di dada. Namun secara majoriti, Melayu itu tetap dikenali sebagai sebuah bangsa yang beragama Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.
10. Analoginya, gabungan PAS bersama PR lebih membawa mudharat kepada Islam, pada Negara dan kepada perjuangan PAS sendiri berbanding jika gabungan PAS bersama UMNO, kita ibaratkan kita makan nasi dikedai islam, tukang masak islam, pelayan islam, tauke kedai pun islam, tak ada syubahah dan keraguan lagi, tapi bila PAS gabung PR yang mana PAS tidak langsung dominan, ibarat kata kita mejamu selera di kedai pelayan dia islam, ada logo halal, tapi tukang masak dia bukan Islam, mengunakan bahan dan alatan masak yang kita was was kesucian, ada unsur syubahah disitu bukan? manakala Tauke pula milik AH LONG yang buka restoran untuk "money laundering" tepuk dada tanya selera mana satu kedai kita nak masuk??
10. Analoginya, gabungan PAS bersama PR lebih membawa mudharat kepada Islam, pada Negara dan kepada perjuangan PAS sendiri berbanding jika gabungan PAS bersama UMNO, kita ibaratkan kita makan nasi dikedai islam, tukang masak islam, pelayan islam, tauke kedai pun islam, tak ada syubahah dan keraguan lagi, tapi bila PAS gabung PR yang mana PAS tidak langsung dominan, ibarat kata kita mejamu selera di kedai pelayan dia islam, ada logo halal, tapi tukang masak dia bukan Islam, mengunakan bahan dan alatan masak yang kita was was kesucian, ada unsur syubahah disitu bukan? manakala Tauke pula milik AH LONG yang buka restoran untuk "money laundering" tepuk dada tanya selera mana satu kedai kita nak masuk??
11. Akhirnya, saya melihat bahawa mungkin tindakan Adun-Adun BN di Kelantan yang menyokong pindaan enakmen hudud baru-baru ini memberikan titik isyarat mula yang membawa makna kepada penyatuan antara UMNO dan PAS suatu hari nanti. Dan saya yakin bahawa ramai masyarakat Islam di Malaysia yang sependapat dengan saya mengenai hal ini. Justeru itu, kita sebagai mereka yang mengaku beragama Islam dan mengamalkan ajaran yang disampaikan Rasulullah SAW, maka perlulah kita berlapang dada serta mendoakan yang terbaik berkaitan masalahat siyasah bangsa Melayu Muslim di negara ini supaya ia mencantumkan kembali apa yang telah dicarik sebelum ini. Bak kata pepatah Melayu, "air dicincang tidak akan terputus"... Hidup Islam! Hidup Melayu! Hidup Malaysia! Di sini lahirnya sebuah cinta... Allahu Akbar!
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.