Tuesday, 6 December 2016

PASCA PAU2016; POLITIK SINGKONG, SIAPA MUDAH LUPA?


1. Sejak 1969, Dr Mahathir menggelar Kit Siang rasis. 2016, tiba-tiba DAP dan Lim Kit Siang dipuja kononnya lebih toleran dan lebih terbuka berbanding MCA. Jelas sudah Mahathir sudah terlupa..

2. 22 tahun selaku Presiden UMNO dan baki 12 tahun selaku MKT, Naib Presiden dan Timbalan Presiden, UMNO diangkat selaku wadah terbaik, dengan prinsip wala dimahukannya bagi kekuatan Jemaah, kini tiba-tiba Dr Mahathir wala tidak diperlukan sekadar mahu melindungi Najib. Di eranya konon wala untuk institusi Presiden, tiba-tiba era Najib wala menjadi satu dosa walhal ianya tuntutan agama. Terang lagi bersuluh Mahathir sudah terlupa…

3. Dulu, saingannya disingkir satu persatu, yang beridealisme, berbeza pandangan dibuang, dikubur tanpa nisan, ISA, OSA, Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak serta Penerbitan diguna berleluasa untuk didiamkan musuh. Malah beliau pernah digelar 'Maha Zalim' dan 'Maha Firaun'. Namun kini, dengan segala ruang kebebasan memaki hamun ahli dan pimpinan UMNO tiba-tiba Mahathir menggelar kerajaan ini zalim, dan negara mengamalkan ‘negara polis’. Jelas lagi, ketuaan dan kenyanyukan Mahathir membuatkan ia sudah lupa.

4. Dulu, Perhimpunan Agung Tahunan UMNO, medan memuja, memuji dan mengiyakan segala tindak tanduknya dengan penuh adat ritual feudal sorak sorai, dengan konsisten menghentam PAS, Anwar dan DAP. Tapi kini Mahathir terkesan pula bila perhimpunan yang sama berkomentar tentang dirinya yang terangan mahu menghancurkan parti dan negara. Nyatalah, Mahathir makin pelupa..

5. Sebelum ini, Mahathir secara berulang mengingatkan kita tentang PKR dan DAP adalah pengkhianat bangsa, penggugat keamanan negara. Tapi kini Mahathir berkata Anwar tidak bersalah dan perlu dibebaskan. Tanpa segan silu pula memperkata tentang apa kurangnya jika Kit Siang Perdana MENTERI Malaysia? Malang sungguh, negarawan purba ini makin hilang ingatan dimindanya.

6. Di eranya, anak beranak, kroni kaya raya, siapa pun tidak boleh pertikai dan kalangan yang dilindunginya kaya raya serta 'untouchable'. Tapi kini Mahathir sibuk bercakap harta yang disamun. Siapa lebih menyamun sebenarnya, sehinggakan Bary Wain dalam bukunya terang-terangan mendakwa Mahathir adalah punca RM100 bilion wang rakyat lesap sepanjang 22 tahun selaku Menteri Perdana. Kenapa penulis berkenaan tidak disamannya? Walhal dalam masa yang sama, beliau sibuk menyuruh Dato Seri Najib mengemukakan saman sivil kepada WSJ yang sebelumnya mengakui perolehi maklumat dari sumber jalanan. Siapa yang lupa sebenarnya?


7. Dulu, Mahathir mengingatkan seluruh ahli UMNO dan bangsa Melayu, DAP wajib dijauhi, DAP adalah virus merbahaya kepada Islam, kepada Melayu, kini Mahathir semeja dengan Chen Man Hin, antara pengasas PAP yang cukup naratifnya sebagai seorang yang kuat 'chauvanist' cinanya, memuja Kit Siang, 'memeluk' Guan Eng, atas dasar emosi dan dendam amarahnya, kerana masa kian mengejarnya. Walhal hasratnya menabalkan 'Boboi' selaku Menteri Perdana belum terlaksana. Apakah Mahathir sudah gila? Memperjudikan kefahaman rakyat selama 22tahun yang telah didoktrinkan oleh beliau??

8. Apakah benar munajat dan doa Arwah Ustaz Fadzil Noor semasa tahun 1998 kini menjadi kenyataan? Hanya Allah lebih mengetahui dan seluruh ahli UMNO dan rakyat Malaysia sama sekali tidak mudah lupa dengan legasi yang Mahathir tinggalkan... Buruk atau baik semuanya ada, namun kebelakangan ini yang buruk kian menjadi-jadi..

9. Biarlah, di saat kepaduan dan solidariti UMNO kembali segar setelah ditiup dengan obor perjuangan baru, usai PAU 2016 pada 3 november lalu, Mahathir dan konconya terus meracau, bergentayangan, ibarat polong dan pocong, mencari dahan terbaik untuk merencana agenda dan amarah dendamnya.

10. Biarlah, manusia boleh merancang, namun sebaik-baik perancangan adalah rencana Allah, dan yakinlah rencana Allah itu lebih baik untuk kita semua...

SOLIDARITI DEMI BANGSA DAN JAUHI PENGKHIANATAN PADA AGAMA..

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Tuesday, 29 November 2016

PAU2016: SENADA MENUJU KEMENANGAN BERSAMA (Sepintas lalu menjelang Perhimpunan Agong UMNO 2016)


1. Tidak wujud lagi dilema, polemik sepertimana perhimpunan lalu, tatkala Timbalan dan Naib Presiden dilarang berucap dalam penggulungan kesan sikap kurang loyalis mereka.

2. Dalam mana-mana adab berorganisasi, tiada yang lebih penting selain dari kesatuan Jemaah. Bercakap dengan senada, bertindak seirama, patuh arahan ketua. Bukankah ini cerminan wajah yang pernah dikanvas oleh para sahabat Nabi SAW tatkala mereka melanggar arahan turun dari Bukit Uhud dan meninggal posisi strategik hanya kerana mahukan ghanimah.

3. Lantaran itulah, PAU 2016 tahun ini sudah terasa 3 kesan besarnya. Pertama, disebalik tohmahan, cubaan menjatuhkan kerajaan dan kepimpinan semuanya dapat diatasi dengan berhemah. Satu persatu usaha pakatan pembangkang termasuk komplot mantan Perdana Menteri gagal meruntuh legasi yang ada.

4. Kedua, isu-isu kepimpinan peringkat negeri seperti Kedah, Terengganu kini sudah selesai secara total. Malah kian hari kepimpinan baru di negeri berkenaan, melakar gerak kerja bermakna satu persatu testimoni tindakan penuh makna.

5. Ketiganya, memandangkan tahun hadapan dijangka tahun pilihan raya, maka ucapan dasar Presiden kali ini pastinya menyegerakan semboyan perang, merumuskan langkah penting selain berupaya memahat kembali solidariti sesama ahli.


6. Kata dan buatlah apa sahaja, UMNO tetap utuh tradisinya. UMNO tetap segar dengan nilai-nilai perjuangannya. Biar jauh disudut hati 'the silent voters' mahu menjauhi dari UMNO namun hakikatnya mereka mahu UMNO lebih peduli kepada mereka hakikatnya.

7. Biar sumpah seranah dihambur, yang melafazkan tohmah dan mehnah itu hakikatnya sedar, bahawa hamburan dibuat walau kasar bunyinya tapi tanda sayang. Benci tapi rindu, dan UMNO tidak pernah menolak walau kelompok apa juapun.

8. Hatta PAS, yang bermatian memerangi UMNO, mengkafirkan UMNO, tapi hemah dan adab dakwah UMNO benarlah mengikut Sunatullah. Tidak sekelumit pun ada benci di hati UMNO, kerana menyedari, prinsip setiap mukmin itu bersaudara. Jika sanggup berlapang dada, UMNO sanggup pula mempertaut kembali asas persaudaraan.

9. Inilah seni politik serba mungkin. Lagipun istilah politik bukanlah bererti perebutan kuasa per se. Ianya seni bagaimana urusan dan maslahah ummah dituntaskan menerusi mekanisme dirangka.


10. Kita yakin, UMNO yang dilanda pelbagai ujian dan oenuh kedewasaan makin matang, makin ampuh untuk terus menerajui perubahan, memahat tamadun.

11. Ramai handai taulan, sahabat dan rakan hatta dari pembangkang sendiri pernah melafaz kata ikhlas, “kami menentang UMNO bukan kerana salah silapnya dalam pentadbiran, pengurusan negara tapi kami cemburu kerana secara konsisten UMNO terus menjadi pilihan rakyat”.

12. Ya, kerana menjadi pilihan rakyat itulah, UMNO wajib bekerja untuk rakyat, kerana asas sokongan datangnya dari rakyat. UMNO tidak boleh khianati kehendak rakyat, dan terasnya seperti yang sekian lama jadi pegangan, TRADISI UMNO ialah TRADISI MEMBELA RAKYAT.

13. Dengan kefahaman tasawur dan maudhuk inilah, barisan ahli dan pimpinan UMNO di tahun ini dan mendatang pastinya akan terus Senada, sekata kerana yang mahu digalas adalah amanah rakyat. Yang mahu dimenangkan, PERJUANGAN SEBUAH BANGSA.

14. Yang mahu dinakhodakan, syariat Islam agar terus dijunjung dan syiarnya dikendong. Itulah citra UMNO. Pembela ABATA….

15. Hidup UMNO! Dan Selamat Bersidang..

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Sunday, 20 November 2016

BAJET KEDAH 2017: From Zero To Hero!!!


1. Beliau berjasa mengembalikan penguasaan UMNO dan BN di Kedah, namun beliau tidak dilantik menjadi Menteri Besar. Beliau tidak merajuk, keluar parti, lompat atau menubuhkan parti baru, sebaliknya beliau redha dengan segala ketentuan Allah SWT. Beliau tetap setia bersama UMNO.

2. Alhamdulillah, Allah membalas kesabaran beliau itu apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri selepas menjayakan tugas getir sepanjang 5 tahun di bawah PAS. Biarpun sering sibuk di ibu negara, beliau tidak pernah melupakan Kedah dan tanggungjawab politik beliau di Dun Bakar Bata.

3. Naratifnya berubah 100% apabila tiba Febuari 2016. Tiba-tiba, aksi menyantuni rakyat kian nampak meriah. Biar dihina dan dipandang serong, bermula 9 April, seramai 20,000 ketua isi rumah diberi bantuan skim Barakah.


4. Menjelang Ramadhan 2016 pula, 12,000 'the unsung heroes' melibatkan bidan kampung, jurumandi mayat bomoh patah, pula didekati dan diberi pengiktirafan melalui insentif khas.

5. Mei 2016, sebanyak RM2 juta biaya pentadbiran, dana pelajar Sekolah Agama Rakyat dan 10 institusi pondok termasuk Maahad Tahfiz disalurkan buat menggilap modal insan.

6. 22 Mei 2016, Amanat 100 hari dimaktubkan untuk menyusun kembali asas pembangunan negeri Kedah. Itulah kelebihan seorang 'otai', Ahmad Bashah biar ditohmah lulusan SRP, tapi tindakan dan rekayasa dasarnya mencanak untuk serata negeri. Anak jati Kedah itu tahu apa yang rakyat perlu di Kedah.


7. Satu persatu program kemudiannya dilaksana. 4 Jun 600 pelajar miskin seluruh Kedah mula diberi tiusyen percuma melalui TABAH (Tusiyen Barakah Kedah). Pendekatan ini bukan saja memanfaatkan para pelajar di Kedah, malah turut mendapat pujian dari kalangan warga pendidik di seluruh negeri.

8. Kursus kahwin percuma seluruh negeri untuk anak muda pula dijalankan sejak Julai dan berakhir September 2016. Jelajah Muafakat Mahasiswa Anak Kedah diperluaskan beserta insentif pengurusan persatuan RM3,000 dan sehingga Oktober 10 buah universiti dijelajahi.

9. Banyak NGO turut didekati, muafakat bersama pimpinan parti seluruh bahagian juga dijana. Dari sudut golongan belia pula, demi melatih aspek kepimpinan, sebanyak 181 buah persatuan telah diberikan imbuhan. Bermula 5 Oktober pula skim latihan IMAN untuk melatih pentadbir masa depan dari kalangan mahasiswa cemerlang negeri Kedah diwujudkan.


10. Sementara itu, dasar dan pentadbiran negeri dikasualkan. Produktiviti ditingkat, urusniaga dimudahkan, semuanya melalui program dan sinergi Muafakat. Bermula Febuari sehingga Oktober 2016, RM674 juta pelaburan masuk ke Kedah. 49 buah kilang baru kini beroperasi di 7 buah lokasi sediakan 1676 peluang pekerjaan. Program usahaniaga, latihan dan skim bantuan kredit pula dipelopori mulai Mac 2016. Hasilnya 271 usahawan muda dan penjaja kecil dibantu dengan dana RM3 juta.

11. Ekonomi negeri tumbuh sebanyak 4.5%, pendapatan hasil negeri naik 2%. Perbelanjaan berhemah  diutamakan, Ahmad Bashah jarang keluar dari Kedah, berlegar di seluruh pelosok negeri. Mungkin latar belakang beliau yang asalnya dari rakyat marhain, beliau bersederhana dan realistik dalam sebarang tindakan, namun impak dan manfaat untuk rakyat begitu besar sekali dirasai.

12. Sepanjang 2016 pula, meski diboo, di padang bola, Ahmad Bashah menanam azam, dengan suntikan RM2 juta sebulan, kebajikan pemain dijaga dan kejayaan menarik penaja baru BDB bagi perkongsian strategik dengan KFA. Maka 30 Oktober di Shah Alam, Lang Merah melakar sejarah menjulang Piala Malaysia kali ke -5.


13. Aktiviti sukan terus disuburkan kerana memahami minat anak muda. 4 November, Futsal terbuka Piala MB dianjurkan dengan 380 penyertaan pasukan seluruh negara. 12 November pula dengan biaya RM100 ribu, kerajaan Negeri mebantu 83 pasangan Melayu dan 6 pasangan bukan Melayu dalam program Walimatulurus PERDANA. Belanja resepsi, ikatan perkahwinan dan akad nikah percuma. 

14. Dan usaha itu tidak terhenti penat sekadar disitu. Ahmad Bashah yang dikatakan 'enjin lama', tiba-tiba terus menyuntik elemen segar untuk pentadbiran, dan penuhi aspirasi rakyat Kedah. Paling terkesan dan mendapat manfaat adalah golongan rakyat bawahan.

15. Pada 13 November, hari bersejarah dalam pembentangan bajet Bashah selaku MB mendedahkan segala. Bajet realistik, inklusif dan boleh dicapai dengan tunjangnya menyantuni keperluan rakyat yang sebenar.


• Pertama, RM96 juta disalur bagi naiktaraf dan biaya infrastruktur jalan, jambatan, tebatan banjir seluruh negeri

• Kedua, kepedulian pada masjid, maahad tahfiz, naik taraf maktab Mahmud, sistem wifi di Masjid, surau, dan sumbangan sekolah agama seluruh Kedah diperuntukkan hampir RM13 juta.

• Biaya untuk anak muda termasuk pinjam-niaga, sukan, dan keperluan latihan hampir RM6 juta.


• Bilangan murid untuk tusiyen Barakah Kedah dari 600 ditambah ke 1000, 300 tempat lagi untuk pelajar STPM dan STAM.

• Tempat bagi internship IMAN, diberikan 100 peluang berbanding 25 mahasiswa sebelum ini.

• Biaya infrastruktur untuk tangani isu bekalan air naik sekali ganda dari RM88 juta kepada RM182 juta! Dua kali ganda? Jelas beliau benar-benar serius mahu menamatkan sengsara rakyat Kedah yang menghadapi masalah bekalan air sejak puluhan tahun sebelum ini secara holistik!


• Insentif khas pada kakitangan awam negeri seramai 6090 orang libatkan RM3 juta. Bonus bentuk lain juga disediakan berdasarkan produktiviti kutipan hasil setiap jabatan

• Membangun petani muda, kemudahan untuk menternak madu kelulut, aktif dalam industri asas tani, skim penanaman cendawan, sayuran, buah-buahan, ternakan dan ungas dibekalkan RM14 juta.

• Pusat penjaja kecil dan medan selera, 6 buah dibangunkan yang baru melibatkan peruntukkan RM4 juta.


• Program BARAKAH, melibatkan 5 komponen untuk memenuhi keperluan kebajikan kelompok B40 dibiayai sejumlah RM10 juta

• Jangan dilupa, Stadium Darul Aman dan beberapa fasiliti sukan bakal dinaiktaraf. Musim depan, insyaAllah segalanya berwajah baharu dengan sentuhan RM12.4 juta. Lampu limpah di stadium keramat Kedah akan kembali terang benderang selepas ini.

• Jom Ke Kedah 2017, tempat pelancong, ruang niaga dikawasan pelancongan dan hampir 200 aktiviti dan program pelancongan untuk tahun depan, disediakan dana RM11.2 juta. Difahamkan Pesta atau Funfair Kedah sepertimana era 80-an dan 90 an yang jadi tarikan masyarakat setempat akan diadakan kembali. Rupanya tahun ini sahaja 3.35 juta pelancong datang ke Kedah menjana sumbangan perbelanjaan hampir RM400 juta.


• Jurang IT antara bandar dan luar bandar dikecilkan, bermakna lebih banyak free Kedah wifi diwujudkan. Menara komunikasi juga diperbanyakkan.

• Usahawan muda online, usahawan kecil bergerak, usahawan tani, 2000 anak muda dilatih dan dibangun serta diberi modal awalan.

• Paling menarik KUIN dinaiktaraf menjadi universiti penuh 2017, tahun 2013 hampir dijual, kini Kedah gah memiliki universiti awamnya yang tersendiri, milik kerajaan Negeri.

• Hutang pembinaan KUIN yang dibuat era PAS mentadbir dengan bayaran balik dan selenggaran RM67 juta setahun, hasil muafakat yang murni antara Bashah dan Kerajaan Persekutuan kini hutang berkenaan diambilalih Kerajaan Federal dan bayaran balik hanyalah RM19.6 juta.

• Sistem penyampaian khidmat kerajaan juga diperkukuh dengan gabungan pejabat tanah dan daerah dibawah satu bumbung selain peluasan fungsi pejabat daerah JKR yang kini sudah ada di kesemua daerah di Kedah.


• Menariknya lagi, Kedah menjadi pelopor pertama pendidikan Maahad Tahfiz Moden melalui pembinaan Mahad Tahfiz Sains Darul Aman di Kulim.

16. Ironinya, terlalu banyak untuk disingkap disini. Rupanya juga selama 3 tahun yang lalu banyak segmen dan aspek pembangunan di Kedah. Kita tidak menabur janji bulan dan bintang, tapi pendekatan yang diterajui Ahmad Bashah cukup realistik, mencakupi semua keperluan dan kebajikan rakyat, serta diyakini akan dapat direalisasikan dengan baik.

17. Benarlah telahan ramai pemerhati, 'otai' dan sentuhan pengalamannya cukup mengena dan berbisa. Dan benarlah ungkapan pantun akhir pada sesi bajet 2017 yang dilafazkan Ahmad Bashah:

WIRA MERGONG MENUJU SHAH ALAM
MELIHAT KEDAH MENJULANG PIALA
BAJET MUAFAKAT MENYULUH YANG KELAM
MENDAYA NEGERI, RAKYAT TERBELA….

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Saturday, 29 October 2016

BERMULA PENUH KONTROVERSI… BERAKHIR DENGAN PRESTASI MENJULANG TINGGI #KITALAH JUARA


1. Masih terbayang jelas, 21 Febuari 2016, 17 hari setelah Allah SWT mentakdirkan Ahmad Bashah untuk diberi amanah mengemudi Kedah.

2. Pada malam itu atas kapasiti Presiden KFA, beliau hadir untuk memberi sokongan moral kepada pasukan Lang Merah.

3. Prestasi pasukan yang ketika itu baru naik ke Liga Super sedang terumbang ambing dengan digelar pakar seri.


4. Malam tersebut..buat pertama kali Ahmad Bashah diboo..kesan padang bola sepak dipolitikkan secara agresif oleh mantan MB terdahulu.

5. Stadium Darul Aman sejak kebangkitan Hijau KUNING 1987 tidaklah pernah dipolemik dan dijadikan alat politik begitu rupa seteruk Mukhriz dan konconya merencana agenda.

6. Benarlah kerana dendam kesumat segala yang boleh dijadikan alat dimanipulasikan. Namun Bashah menerima pengajarannya yang pertama lalu terus istiqamah kental bersabar.

7. Kontroversi kedua tercipta apabila sekitar Mac hingga April pemilik syarikat D'Herbs entah apa skripnya, bermain tarik tali bagi maksud penajaan Hijau Kuning.

8. Paparan di media indah bunyinya, namun dibalik tabir penajaan ini lebih bermaksud keuntungan yang melibatkan hak negeri dan rakyat Kedah. Lebih buruk lagi, ia disyaki membabitkan 'orang tengah' yang menjadi petualangnya mencari laba...


9. Sekali lagi demi legasi masa depan dan kebaikan semua, Bashah dikeji kerana dikatakan menolak tawaran lumayan penajaan. Walhal di sebalik tajaan tersingkap duri beracun yang boleh melemah dan melumpuh kepentingan diri jangka panjang.

10. Tempoh bertenang diwujudkan, Bashah seperti biasa dalam pada sibuk mengurus negeri dan parti, tetap memberi tumpuan tidak berbelah bahagi memastikan KFA dan pentadbiran pasukan Hijau Kuning berjalan lancar.

11. Suntikan dana bulanan RM2 juta mula disegerakan, dalam masa yang sama BDB sebuah SLC Negeri mengadakan perkongsian strategik bersama KFA.

12. Lalu kebajikan pemain,pengurusan barisan kejurulatihan terus terjaga, di sebalik masih ada saki baki kumpulan tertentu dalam KFA dan penyokong Ultras yang seakan mahu pasukan terus corot dengan Bashah akhirnya menjadi kambing hitam untuk disalahkan.

13. Maka benarlah, manusia boleh merancang namun Allah ada jua perencananya, prestasi pasukan kian baik.


14. Kemenangan demi kemenangan dicatat. Dari sebuah pasukan yang dipandang enteng, dikonspirasikan dengan skrip sistematik oleh musuh politik Bashah, namun akhirnya Lang MERAH terbang megah.

15. Kedudukan ke-3 Liga diraih. Separuh akhir Piala FA berjaya dijejaki, dan kini tanggal 30 Oktober 2016, Shah Alam sekali lagi menjadi bukti.

16. Gelangangang yang menyaksikan pertarungan penuh debar 2 gergasi bola sepak negara secara ulangan sepertimana tahun lalu dalam edisi final Piala Malaysia 2016.

17. Penyokong mula membuka mata, Bashah seperti sifat kebapaannya terus menjalankan tugas selaku nakhoda, menyedia apa yang perlu asalkan kebajikan dan momentum semangat pemain terbela.

18. Dan di saat menjelang final, timbul pula rekayasa kononya Bashah gagal membayar bonus dan ganjaran pasukan. Walhal semuanya sudah siap diatur dan direncana setelah selesai mesyuarat Exco Negeri, kerana pembelanjaan dan bayaran menggunakan wang dari perbendaharaan kerajaan harus melalui prosedur yang disahkan undang-undangnya.

19. Alhamdulillah, bukan sahaja ganjaran untuk pemain dibereskan, namun hadiah besar menanti jika Kedah juara. Insentif untuk penyokong turut disusun dan majlis besar-besaran menyambut serta meraikan pasukan juga sudah dalam perancangan.


20. Inilah rentetan jalan ceritanya. Skrip penuh berliku sebelum detik 30 Oktober bertamu. Dengan muafakat, sikap dan konsep yang sering Bashah tekankan, melalui komitmen semua, harapan dan doa.. LANG MERAH.. HIJAU KUNING kebanggaan kita..pastinya menoktahkan satu sejarah.

21. Kitalah juara dan kitalah yang terbaik dari segalanya. 

22. TERIMA KASIH AHMAD BASHAH, SALUTE PENYOKONG SETIA, DAN YAKINLAH BAHAWA ANAK KEDAH YANG MEWAKILI LANG MERAH..PANTANG KALAH..BERSEMANGAT WAJA DAN PASTI GIGIH BEKERJA KERAS MEMASTIKAN MALAM 30 OKTOBER MILIK KITA BERSAMA!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Tuesday, 18 October 2016

KEDAH; SALAHKAH EKONOMI NEGERI DI SINERGI?


1.Fakta menunjukkan dalam sesuatu masa, Kedah perlu mengekalkan 200 ribu hektar sawah padi dalam kawasan MADA untuk kekal sebagai kawasan strategik makanan negara.

2. Apabila MADA dibangunkan penghujung 70'an dan inilah asas perjanjiannya yang mengikat Kedah sebagai sebuah negeri Jelapang Padi hingga kini.

3. Pengorbanan besar ini turut meliputi kira-kira 400 ribu hektar hutam simpan di Ulu Muda dan Pedu yang tidak boleh diusik oleh mana-mana pihak sebagai kawasan tadahan.

4. Puncanya adalah untuk memastikan bekalan air mentah bagi Kedah dan negeri jiran dapat terus kekal mendapat bekalan air pertanian setiap masa diperlukan.


5. Dalam keadaan pengorbanan itulah, Kedah kehilangan hasil pendapatan negeri melebihi RM3 bilion setahun.

6. Jika didarab angka berkenaan katakanlah mulai tahun 80'an, maka sudah tentu kedudukan Kedah tidak akan berubah dan dijangka menjadi negeri ke-2 miskin di Malaysia selepas Kelantan.

7. Kedah juga tidak akan menjadi negeri yang mencatat KDNK pertumbuhan ekonomi 4 peratus setahun, malah jauh lebih rendah dari negeri Perlis yang mencatatkan 5.6 peratus.

8. Lantas apabila ekonomi negeri cuba disinergi dan dipelbagaikan, banyak pula resistancenya.

9. Apatah lagi bila ada 'tukang bakar', 'batu api' yang langsung tidak memahami prinsip dan teras memacu ekonomi.


10. Golongan ini berterusan mahu Kedah mengamalkan belanjawan defisit.

11. Hakikatnya golongan ini tidak berminat mahu melihat hasil perbendaharaan Negeri mencecah RM1.5 bilion yang kini hanya berupaya memperoleh RM900 juta setahun.

12. 'Kaki bakar' ini terus bernostalgia bahawa Kedah perlu kekal selaku Jelapang Padi, walhal mereka tidak tahu saiz dan keluasan tanah untuk tanaman makanan dalam sesuatu masa tidak boleh kurang dari apa yang ditetapkan.

13. Golongan 'kaki hasut' ini tidak sedar dengan saiz sawah sedia ada di mana Kedah menghasilkan 37 peratus bekalan beras negara dan dengan saiz tanah itu juga dalam tempoh 5 tahun lagi peratusannya menjadi 40 peratus kesan inovasi benih padi, kaedah tanaman dan baja yang ditambah baik maka pengeluaran padi menjadi 10 tan sehektar berbanding sekarang 8.5 tan.


14. Lantas kenapa mahu rigid apabila tanah sawah di luar MADA mahu dibangunkan untuk tujuan komersial?

15. Sudah tentu ia tidak mengurangkan saiz bendang sedia ada dalam liputan Mada.

16. Sebaliknya, sinergi ekonomi lebih bercambah, pendapatan pelbagai boleh dijana dan aktiviti ekonomi sampingan boleh terhasil untuk manfaat semua.

17. Inilah asasnya yang mahu dilaksana oleh Ahmad Bashah. Namun apabila tanggapan buruk sudah dilempar, maka hakikatnya 'si penghasut' dan 'batu api' itu mahu terus menjadikan ekonomi negeri ini kekal seperti dulunya.

18. Adilkah? Walhal golongan itu kini kaya raya hasil rompakan dan mengaut pelbagai laba dan kekayaan negeri dan negara selama ini. Renung renungkan!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Sunday, 9 October 2016

BERSIH YANG KOTOR, MERAH PEMBELA MARUAH...!!!


1. Jika BERSIH 5.0 dibenarkan pihak autoriti bagi meneruskan perhimpunan 'aman' mereka yang sebenarnya membawa anarki pada 19 November ini, bermakna tahun ini sudah mencatatkan edisi kali ke-5.

2. Asas tunjangan BERSIH dipelopori oleh Ambiga, pejuang LGBT, penentang Undang-Undang Murtad dengan persekongkolan bersama DAP dan Pakatan Pembangkang yang memilih jalan kekacauan sebagai saluran menukar kerajaan.

3. Jika pilihan raya adil yang diperjuangkan, maka BERSIH hakikatnya menipu diri sendiri. Menerusi SPR yang sama jugalah, Selangor, Kelantan dan seluruh kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, termasuk banyak kerusi DUN dan Parlimen di 13 buah negeri lain dimenangi mereka



4. BERSIH 5.0 beranggapan pilihan raya di Malaysia akan hanya dilihat telus jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan.

5. Walhal asas pemilihan berkait rapat dengan banyak faktor, dan dalam konteks inilah majoriti pengundi di Malaysia bijak dengan terus memberi mandat kepada BN kesan track recordnya.

6. Nyatalah, BERSIH itu sebenarnya membawa agenda kotor, cubaan mewujudkan anarki, memecah keamanan awam, menimbulkan provokasi melalui jalan demonstrasi bagi memalit imej kerajaan dengan sengaja.


7. Berbanding 4 edisi sebelumnya, BERSIH tidak pernah dicabar. Ratusan malah ribuan laporan polis yang dibuat tidak memberi kesan kepada penganjur utamanya, Ambiga, dan kini Maria Chin Abdullah.

8. Mereka bebas menghasut, dibuka laluan mengatur strategi. Secara sewenang-wenangnya dengan gaya 'mobokrasi' menyusahkan pemandu teksi, kehidupan seharian rakyat, penjaja kecil Melayu dan lebih malang menimbulkan kesesakan lalulintas dan dalam masa yang sama tidak endah pada amaran pihak berkuasa.


9. Namun, apabila edisi ke-5 sedang menuju ke destinasi dengan siri konvoi dari Perlis ke JB, tiba-tiba mereka berdepan dengan gerombolan anak muda yang sedar bahawa sudah lama maruah pimpinan, imej negara, dan kerajaan dipijak.

10. Maka tentangan demi tentangan dilakukan secara gentleman dan berani berdepan bersemuka, bermula dari Kangar, Alor Setar, Sungai Petani, Teluk Intan, Sabak Bernam menganjur hingga ke Kota Tinggi.

11. BERSIH mula bertemu buku dengan ruas, tidak lagi diberi laluan mudah untuk berbuat semberono seperti negara ini tidak punyai undang-undang. Menariknya Baju Merah menggamit keterlibatan anak muda. Tanpa perlu diberikan imbuhan, muafakat penyatuan gerakan.




12. Satu arah satu tujuan, bahawa dimana bumi dipijak disitulah langit dijunjung. Biar pun ditohmah dan dimehnah dengan pelbagai label kurang ajar dan samseng, namun hakikatnya INILAH KEBERANIAN BENTUK BARU ANAK MUDA.

13. Sarang tebuan jangan dijolok, kesabaran pasti ada hadnya. Demonstrasi BERSIH yang dananya disalur dari luar dengan membawa elemen komunisme dan sosialisme gerakan rakyat, serta dipayungi dengan symbol penyapu mengingatkan kita pada Perarakan Kemenangan DAP di Kuala Lumpur sehingga menimbulkan tindak balas anak melayu di Kampung Baru.

14. Natijahnya 13 Mei tercetus. Solusi mudah, tiada BERSIH, tiadalah Baju Merah.Jika BERSIH yang kotor menuntut pilihanraya yang adil, MERAH PEMBELA MARUAH menuntut agar kesejahteraan dan keharmonian hidup rakyat jangan diganggu.


15. Jika BERSIH mahu menjatuhkan pimpinan dan kerajaan secara tidak bermaruah dan mengikut lunas demokrasi, MERAH siapsaga menjulang nilai dan erti demokrasi.

16. Jika BERSIH berniat melakukan kacau gangu, MERAH pahlawan sanggup berdepan, biar ajal dan maut itu Tuhan yang tentukan.Buku sudah bertemu ruas, tiada lagi ruang bagi BERSIH berbuat seadanya.

17. Syabas anak Muda Baju MERAH..Anda layak digelar Pembela MARUAH Bumi Bertuah.

‘KITA JALINKAN SOLIDARITI 19 NOVEMBER NANTI’.
Allah Hu Akhbar!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Wednesday, 28 September 2016

UMNO ADALAH INSTITUSI,PAYUNG BERTEDUH NEGARA BANGSA


1. Dengan usia yang sudah mencecah 70 tahun, serta sumbangan besar semenjak 1946 dengan tiga fasa, penyatuan masyarakat, kemerdekaan negara dan membangun aspek kemajuan, setiap warga baik Melayu, Cina dan India mahupun lain-lain kaum tidak boleh menafikan jasa UMNO.

2. Kekurangan UMNO dalam era kini ialah kegagalan jentera penerangannya untuk memberi makna tentang setiap apa yang sedang dinikmati oleh rakyat Malaysia.

3. Hakikatnya, sejak 1-3 Mac 1946, apabila Kongres Melayu Semenanjung diadakan buat kali pertama di Kelab Sultan Sulaiman, UMNO yang pasaknya diasas hasil penyertaan 42 buah kumpulan seminat, persatuan Melayu, bijak pandai dan alim ulama, membuktikan bahawa sehingga kini peranan selaku institusi yang menaungi bukan sahaja keperluan dan hak Melayu masih relevan malah secara tersiratnya juga jauh disudut hati bukan Melayu, mereka berasa tenteram dan yakin di bawah teraju nakhoda UMNO.

4. Ironinya, UMNO bukan sekadar parti politik yang kerjanya hanya bertanding pilihanraya untuk mendapat kuasa lalu membentuk kerajaan. Namun fungsi UMNO selaku institusi, idola, ataupun boleh dinamakan sebagai Ivory Tower(Tugu Kemegahan) yang telah menyumbang, berjasa serta memberi makna kepada setiap inci kehidupan masyarakat Malaysia.


5. Keyakinan demi keyakinan diberikan dalam bentuk mandate pemerintahan berterusan sejak Pilihanraya MPP 1955.

6. Melalui model permuafakatan politik antara elit kepimpinan,UMNO terus memperkasa idea kongsi kuasa, kerana memahami real politik dan demografi kependudukan warganya.

7. Model ini terus sifnifikan, dan mulai 1990 sudah ada alternative di pihak lain untuk meniru model yang sama sehingga kini dan menjadi saingan kuat kepada UMNO dan rakan komponen BNnya yang terdiri dari 14 buah gabungan parti termasuk dari Sabah dan Sarawak.

8. Di dalam UMNO sendiri sejak 1951, wujud cubaan puak, kelompok atas pernebazaan pendekatan untuk cuba menjuarai dengan mengambil tempat mahu menakhoda UMNO. Namun jika tidak selari dengan aspirasi Melayu, Islam dan reality masyarakat berbilang kaum, puak atau kelompok itu pasti ditolak.

9. Contohnya pengunduran Dato Onn pada tahun 1951, yang kemudiannya menubuhkan Parti Negara diikuti Parti Kemerdekaan Melayu Malaya, namun dek kerana aspirasi dan pendekatan parti barunya gagal menyelami keperluan 3 tunjang utama yang disebutkan, maka gagal.

10. Lalu diikuti pula oleh kelompok agama yang menubuhkan PAS, setelah Ustaz Ahmad Fuad bin Hasan kecewa dalam pemilihan jawtaan YDP Agung UMNO di tahun 1951 dengan tewas ditangan Almarhum Tunku Abdul Rahman.

11. Sepanjang sejarah PAS yang menjadi pesaing kuat UMNO di kawasan luar bandar dan majoriti Melayu hanya berjaya sebagai pengimbang dasar-dasar Islami UMNO, namun sehingga kini turut gagal untuk menggantikan peranan UMNO secara meluas dalam lanskap politik Malaysia.

12. Pada tahun 1987, sekali lagi UMNO diuji, maka lahirlah Semangat 46, yang bermatlamat mengembalikan roh UMNO lama. Gerakan ini juga gagal menggantikan UMNO sebagai power broker dalam politik Malaysia, kerana turut gagal menjayakan dua lagi matlamat yang selama ini didokong UMNO yakni memperjuangkan Islam dan kehendak masyarakat berbilang kaum selain menjamin kestabilan untuk semua.

13. Apabila Anwar Ibrahim dipecat pada tahun 1998, UMNO terus diuji dan perpecahan lebih besar dalam UMNO turut berlaku dengan tertubuhkan PKR. Sekali lagi walau diasak, ditentang dengan gah dan hebat, PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013 UMNO dan rakan komponen BNnya terus diberi amanah mengemudi negara.

14. Kini, kesan dendam peribadi, dan juga usaha membina dinasti politik yang gagal selain perbezaan pandangan dan usaha gelojoh secara fast track mahu menjadi PM gagal, selain PM masa kini hanya mahu dijadikan remote control, namun disebabkan kegagagalan Mahathir Mohammad untuk terus menjadi godfather di dalam UMNO, maka PPBM pula ditubuhkan.


15. Secara jelasnya, walau apa pun jua halangan, cabaran, penentangan dalaman mahupun persepsi binaan pelbagai asas kelangsungan UMNO ters terpelihara kerana banyak sebab.

16. Pertama kerana jenamanya diyakini kesan track record dan pembuktian pengalaman lalu. Kedua, bakti budi UMNO dikenang dan sentiasa diingati jauh disudut hati kecil setiap insan bernama warga Malaysia meskipun minda mereka saban hari diasak dengan racun minda dan propaganda. Ketiga, baik buruk, jatuh bangun, amarah walau pada tahap mana sekalipun,majoriti rakyat masih ada sedikit kefahaman, tanpa UMNO dan BN hilanglah tempat naungan. Muramlah aspek perpaduan dan masa depan negara serta keamanannya dirisikokan.

17. Rumusannya, UMNO ini tidak dimiliki sesiapa, bukan mainan, ditolak ketepi dan ketengah,  UMNO itu institusi, ivory tower yang ada kaitan walau sedikit dengan kisah dan sejarah seluruh kehidupan rakyat Malaysia, umat Melayu khususnya. UMNO adalah  pelindung, guardian yang terbaik antara penjaga yang ada meskipun masih belum sempurna.

18. Lantaran itulah selamanya UMNO tetap akan segar kekal dan dinamik kerana setiap cabaran atau dugaan yang dilalui UMNO, pasti mematangkan arah tuju perjuangannya. Demi kebaikan warga Malaysia, demi MELAYU, demi memelihara hak Bumiputera, keadilan sosial dan hak semua bangsa serta. demi memartabat Islam buat sepanjang zaman.

19. Dirgahayu UMNO, Hidup Rakyat, Sejahteralah Sebuah Negara bangsa bernama Malaysia !!!

#SelamanyaUMNO
#Disinilahirnyasebuahcinta

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman