Tuesday 28 June 2016

ANGAN MUKHRIZ DAN PAS BERAKHIR SUDAH DI KEDAH


1. Bahana dipecat dari parti belum 'kebah' nampaknya. Lantas entah apa mimpinya Mukhriz Mahathir berdelusi mendakwa kononnya UMNO berniat menyerahkan Kedah kepada PAS pada PRU ke-14 nanti. Seolah-olah ada konspirasi peringkat tertinggi untuk menjayakan hasrat ini.

2. Pada hemat saya, ia adalah satu tuduhan tidak profesional dan kurang matang dari Mukhriz. Dan kedangkalan itu turut diakui oleh Pesuruhjaya PAS Kedah sendiri, iaitu Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

3. Ironinya, Mukhriz tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak selaku pembangkang. Beliau selama ini telah setahun melalui proses tarbiyah secara dalaman dengan konsisten memburukkan parti dan kepimpinan parti tatkala masih bergelar ahli UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun lagi, propagandanya sudah bermula.

4. Hakikatnya UMNO Kedah tidak perlu mengadakan pakatan dengan sesiapa,apatah lagi dengan musuh utamanya selama ini yakni PAS. Cukuplah dengan rangka konsensus selama ini yang erat terjalin dalam gabungan BN bersama komponen parti yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP.


5. Kemenangan BN dalam PRU ke-13 adalah sumbangan pelbagai pihak, amatlah salah jika mahu dikatakan kononnya kesan ‘aura’ individu’, walhal 'lembu yang teruk bekerja namun sapi yang mendapat nama'.

6. Jelas sekali tuduhan Mukhriz dan strategi awal politiknya selepas dipecat agak kurang cerdik. Apakah dengan cubaan menjadi nujum Pak belalang atau tukang tilik moden, maka usaha beliau untuk mengaitkan pakatan UMNO dan PAS di Kedah bertujuan memberi laluan kepada PAN?

7. Apakah Mukhriz yang diekori rapat oleh pimpinan kanan PAN dan berhasrat untuk menyertai parti berkenaan?. Apapun jua parti yang ingin disertai oleh beliau seperti yang diumumkan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa mereka akan mencari platform politik baru, ianya sama sekali tidak boleh melunturkan semangat dan siapsaga serta daya juang UMNO Kedah.

8. Malah, UMNO Kedah dan BN Kedah lebih bersedia setelah 3 tahun dibiarkan 'tidur mati' begitu sahaja tanpa sebarang pendekatan jelas dari Mukhriz tatkala menjadi MB. Hampir 'berkarat' jentera parti selama 3 tahun, selepas diganti 'pemandu', barulah ia terjaga dari 'lena yang panjang'. Itupun masih lagi tuduh orang lain yang 'lena'?


9. Kekuatan UMNO dan BN di Kedah adalah kerana dokongan lebih 2,000 cawangan dan pimpinan akar umbinya. Mungkin itulah yang gagal difahami Mukhriz. Ia adalah usaha muafakat dalam sebuah pasukan yang harmoni, bukan seorang 'diktator' atau 'unilateral'.

10. Selain itu, BN diikut serta dan lebih diyakini oleh para penjawat awam KCS, diketahui luas akan khidmat baktinya, mahupun track recordnya. Dan jika PAS juga mahu menangguk di air yang keruh atas kesan pemecatan Mukhriz yang jelas melanggar peraturan parti, maka PAS juga tersalah strategi dan bakal memakan diri.

11. Saya melihat PAS kini sedang bertungkus lumus merungkai isu dalaman antara hijau dan golongan 'harumanis' di kalangan ahli PAS sendiri masih belum tuntas. Segala fobia dan trauma yang ditinggalkan kesan pemerintahan PAS di Kedah (2008-2013) juga masih berbekas di kalangan rakyat Kedah. Era di mana Islam diperalatkan dan cakap-cakap Islam hanya menjadi mainan bibir tanpa tindakan jitu lagi bersungguh.


12. Jika Mukhriz menuju pengakhiran mimpi sebuah legasi yang diidamkannya namun tak kesampaian, PAS Kedah pula kini sedang bergelut dengan 'nyawa' yang bagai 'dihujung tanduk'. Menunggu masa saja untuk 'dipakukerandakan' oleh saingan ketatnya PAN dan 'harumanis'.

13. Maka dalam konteks inilah tempat bergantung rakyat akhirnya akan dikembalikan kepada UMNO yang tetap konsisten dalam agenda kebajikan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Justeru PRU ke-14, UMNO dan BN Kedah bukan saja dijangka mampu mencipta kemenangan 2/3 di peringkat DUN, malah inshaAllah berupaya menambah jumlah kerusi Parlimen bagi mengukuhkan kedudukan BN di peringkat kerajaan Pusat.

14. Justeru itu, Mukhriz tidak perlulah gundah gulana untuk melaga-lagakan antara UMNO dan PAS, serta komponen-komponen BN. Walhal, Mukhriz perlu fikirkan sama ada untuk kekal 'bebas' atau bersekutu dengan DAP, PAN dan PKR yang disokong bapanya kini. Apapun, saya ucapkan selamat maju jaya dan Selamat Hari Raya Aidilfitri untuknya.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Friday 24 June 2016

MAHFUZ DI PENJARA IDENTITI


1. PAS cukup malang kerana sebagai sebuah parti berlogokan Islam, namun terpaksa mendapat pemimpin dan ahli parlimennya yang terpenjara dengan keIslaman dirinya.

2. Lebih malang, susuk tubuh yang bernama Mahfuz Omar bagai masih keliru siapakah dirinya antara watak hijau dan 'harum manis'. Memegang 'title' MP PAS, menang PRU 2008 dan 2013 di Parlimen Pokok Sena atas tiket PAS, tapi lunak suaranya senada dengan PAN. Ikut serta bersama program PAN, membontoti gerakan Deklarasi Mahathir-Kit Siang yang ditunjangi PAN kemana jua.

3. Betul, pada pandangan saya, beliau terpenjara dan terperangkap dalam identitinya sendiri.

4. Jika diri sendiri sudah keliru bayangkan pemikirannya, kata-kata dan tindak tanduknya. Entah apa mimpinya tiba-tiba mempertikaikan pentadbiran Ahmad Bashah yang dikatakan konon diurus dari Hospital.

5. Lojik prinsipnya, tidak bolehkah seorang manusia itu sakit? Kebalkah seorang manusia itu dari sakit. Hatta Nabi S.A.W sendiri pun ditimpa sakit, ini ketentuan, tabi'i yang sepatutnya bukan bahan gurauan.

6. Justeru, dengan skima lawaknya gurauan dan provokasi yang seolah-olah tidak membenarkan MB untuk sakit dan menerima rawatan tidak boleh diterima akal. Jika Mahfuz ditimpa sakit dan terpaksa menjalani rawatan di hospital, bagaimana pula tindakannya?


7. Kedua, kekalutan Mahfuz yang mahu Pemangku MB di lantik. Mahfuz itu siapa? Dari parti mana? Lantik atau tidak Pemangku MB ini urusan UMNO, perihal dalaman BN. Jika Mahfuz sakit dan jalani pembedahan, perlukah dia meletak jawatan atau diwujudkan jawatan pemangku Ahli Parlimen Pokok Sena menggantikannya? Biar sihat pun, kewujudan bagai tiada di kawasan, jika sakit apakan lagi?

8. Mungkin jiwa Mahfuz terus dibelenggu di ICU dengan bermimpi bahawa Kedah masih ditadbir partinya yang dulu dihumban rakyat kerana cakap tak serupa bikin. Di mana Mahfuz ketika mana Allahyarham Ustaz Azizan diserang Exco kanannya? Kenapa tidak dipertahan? Kenapa 'bisu' ketika itu? Atau memang Mahfuz pun suka arwah diserang rakan taulannya sendiri?

9. Dalam pada Ketua parti BN yang punyai hak mutlak untuk melantik MB dan Menteri Kabinet tidak pun menunjukkan sikap gopoh dan kalut, tiba-tiba watak si Mr. Bean yang berasal dari Titi Gajah ini menjadi 'Mat Kepoh'. Apa khabar Pokok Sena agaknya? Elok-elok saja? Mahfuz fikir orang PAS di Pokok Sena tidak 'semak perut' dengan 'split identity' dirinya?

10. Ketiga, untuk Mahfuz yang juga dikatakan hanya berpendidikan SRP, Pekeliling Pentadbiran Kerajaan Kedah dan Undang-Undang Tubuh Negeri menjelaskan seseorang MB jika bercuti berterusan selama 28 hari barulah difikirkan perlunya keperluan diangkat seorang Pemangku MB. Itupun dengan persetujuan ketua parti pemerintah setelah memohon pekenan Sultan Kedah. Mana satu jawatan yang dipegang Mahfuz? Pengerusi BN atau Sultan Kedah?

11. Ahmad Bashah secara rasmi baru bercuti 17 hari, hari ke 18 sudah mulakan tugas dengan pengerusikan Mesyuarat. Maka jika hari ke-19 beliau mengambil cuti kembali, maka bilangan cutinya dikira kembali menjadi cuti pertama pada hari ke-19 itu. Dan untuk makluman Mr Bean Pokok Sena juga, dalam tempoh 17 bercuti sekalipun, hakikatnya urusan pentadbiran kerajaan negeri berjalan, dokumen dan arahan pentadbiran digerakkan. Itu ditegaskan sendiri oleh SUK, Dato' Bakar Din. Mahfuz kenal Dato' Bakar Din?

12. Pemimpin yang cekap yang mempunyai sebuah pasukan Muafakat yang jelas dengan pasukan EXCOnya dan KCSnya yang boleh mentadbir dari mana pun jua. Dalam zaman serba IT ini, arahan boleh diwhatsapp, komunikasi melalui email. Fax, skype dan pelbagai lagi medium. MB Kedah kita tidaklah 'buta IT' seperti orang yang lulusan SRP....


13. Dalam dikatakan tidak upaya mentadbir, banyak program yang sudah dirancang berjalan dengan baik. Barakah Ihya Ramadhan bermula dari 11 Jun hingga 20 Jun berlangsung di 15 kawasan parlimen tanpa masalah. 12,000 menerima manfaat dengan peruntukkan RM2.4 juta. Dari mana biaya itu boleh disalurkan tanpa kelulusan, usaha dan idea dari MB.

14. Seramai 2.1 juta rakyat Kedah tidak kepoh, 26,000 penjawat awam negeri dan persekutuan mampu melaksanakan gagasan MB melalui amanat 100 harinya dengan jelas. 9 orang anggota EXCOjuga terus berfungsi. KCS dan lebih 175 pegawai tinggi utama dapat berperanan dengan jitu. Pelaburan luar seperti biasa, jumlah pelancong di Langkawi juga meningkat ke 3 juta tahun ini.

15. Traffic light di Pokok Sena tetap bernyala. Jalan, longkang diselenggara macam biasa. 550 buah sekolah menengah dan rendah di Kedah turut PDPnya seperti normal.

16. Bazar Ramadhan meriah, apa yang terjejasnya? Dasar induk sudah dirangka Ahmad Bashah. 27 agenda, 6 komponen, dan dalam tempoh 2 tahun semua diisi dengan jitu.


17. Mahfuz terus melatah..kerana jelas minda, hati dan jiwanya dirantai belenggu dogma antara Hijaukah Aku atau Harumaniskah aku. Bercuti 9 bulan dari jawatan YDP PAS Pokok Sena. Selalu menghilang dari kawasan Parlimennya.

18. Untuk 2 penggal 90,000 pengundi Parlimen Pokok Sena melihatnya ada serupa tiada, tiada pun tak berkurang, ada lagilah tak bertambah. Yang gagal Mahfuz. Yang kurang efektif Mahfuz, bijaknya Mahfuz hanya dongengan mulut kesan pengalamannya pernah menjadi penjual ubat jalanan di satu ketika di Pekan Nat dan pasar Malam.

19. Sudah-sudahlah Mahfuz, silat Bunga yang dipelajari zaman mudanya tidak lagi bersinergi. Taktik dan strategi mudah dibaca, lapok ditelan dek zaman...

20. Cukup-cukuplah menjadi pelawak skeptic yang langsung tak mengundang penonton untuk ketawa. Jika ada yang tertawa, mereka sebenarnya mentertawakan diri anda, melihat betapa saban hari, dengan dimamah usia anda terus memperbodohkan diri anda dan mahu orang lain turut sama bodoh seperti anda.

21. Pada 13 Julai nanti jangan lupa mai Mentalon, Rumah Terbuka MB, jemputan khas, boleh beraya bersama MB. Harapkan kurma 2.4 juta ditanam abang MAHFUZ, buahnya hingga kini berbunga pun tidak..hai Yusuf Taiyoob la jugak jawabnya...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Wednesday 22 June 2016

CUKAI KATIL PULAU LANGKAWI


1. Apabila Langkawi di istihar selaku Pulau Bebas Cukai mulai 1987, Kerajaan persekutuan melalui LADA telah memperuntukkan puluhan billion sehingga kini bagi meningkat kemudahan dan prasaran pelancongan di pulau legenda berkenaan.

2. Mengikut rekod, kerajaan Negeri turut tidak terkecuali, dengan peruntukkan khas tahunan melebihi RM30-40 juta setahun bagi siapsaga infrastruktur, pengindahan kawasan, penjagaan kebersihan dan kemudahan awam kondusif yang diupayakan oleh Majlis Daerah Langkawi.

3. Sebab itu apabila mendarat saja di jeti Langkawi, pelancong yang menjejakkan kaki di atas jeti berkenaan sebenarnya berada di atas sebuah kemudahan yang dibina melebihi RM80 juta dahulunya, tanpa sesen pun keluar dari poket pelancong. Berjalan bergerak ke bahagian sebelah kiri jeti, maka ternampaklah ikonik Burung helang yang Gah lagi besar, tempat yang dipanggil Dataran Lang, dengan biaya oleh kerajaan melebihi RM200 juta ketika CHOGM diadakan sekitar 1998. Dan yang bakal siap ialah Menara Tinjau yang dikenali MENARA MAHA, juga disediakan percuma oleh kerajaan. Itu belum dihitung penyediaan papan tanda lokasi, penyelenggaraan jalanraya, maintenance kemudahan awam, infrastruktur asas, utiliti seperti bekalan air, kawasan pelupusan sampah sarap, yang semuanya kini meningkat biayanya kesan kos semasa.

4. Semua ini adalah contoh kecil kemudahan, tarikan pelancong yang disediakan, tanpa sesen pun pelancong perlu membayarnya.


5. Berbalik pada takrif pelancong. Siapa dimaksudkan dengan pelancong?. Orang atau kumpulan yang keluar dari rumahnya ke sesuatu destinasi dan berada didestinasi berkenaan selama 48 jam dan menginap dirumah tumpangan, motel atau hotel.

6. Lantas, apabila caj pelancongan yang akan dikenakan di Pulau Langkawi mengikut status dan taraf hotel seperti diumumkan oleh YB Dato Mohd Rawi Abdul Hamid, EXCO Pelancongan Negeri Kedah, pada 20 Jun 2016, timbul pelbagai keluh kesah khusunya di kalangan penduduk setempat dan pelancong tempatan. Langkah yang tidak popular yang diumumkan ini disaat YAB MB masih mendapat rawatan di Hospital juga menimbulkan tandatanya dari segi implikasi politiknya?. Ada cuitan nakal, apakah ini satu lagi agenda tersembunyi untuk memalitkan imej kepimpinan MB dengan dasar kurang popular.

7. Baik, kita soroti caj pelancongan ini secara teliti. Caj pelancongan mengikut status hotel dengan kadarnya mengikut hari penginapan diluluskan di era pentadbiran MUKHRIZ MAHATHIR menjadi MB.

8. Jika ditanya apakah negeri lain melaksanakannya, ya memang benar Melaka, Pulau Pinang, malah pulau pelancongan terkenal seperti Pangkor, Tioman, Pulau Redang telah lama menguatkuasakannya. Di Pulau Bali untuk makluman chargenya sehingag 20%, dan di Phuket kadarnya 10%.

9. Rasionalnya apa?. Justifikasinya kerana penginapan di bilik hotel yang dihuni di pulau atau destinasi pelancongan dimaksudkan sebahagian besarnya adalah dari pelancong luar. 85% dari bilik hotel yang dihuni pelancong yang berstatus bilik 5 bintang ke atas terdiri dari pelancong asing. Mereka menggunakan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan dan agensi tempatan di luar bilik dengan wewenang tanpa dikenakan apa-apa charge, maka langkah charge untuk maintenance kawasan pelancongan supaya sentiasa kondusif amat diperlukan.


10. Apakah implikasinya ke atas pelancong tempatan yang mewakili 49% dari keseluruhan jumlah pelancong yang datang ke Pulau Langkawi?. Benar kesannya tetap ada, disinilah isu memilih dan kebijaksanaan pengguna diperlukan. Kerana charge per bilik mengikut hari menginap berdasarkan formula berikut:(mengikut standard hotel)


* RM1

**RM1

***RM3

****RM3

*****RM5

******RM7

*******RM9

11. Hakikatnya hampir 1 juta pelancong domestic yang mengunjungi Pulau Langkawi setiap tahun mempunyai pilihan kini dari segi memilih status hotel yang ingin didiami, dan jika meneliti charge yang dikenakan relatifnya jauh amat minima dan lebih rendah dari apa yang dikenakan di Melaka(5%) dan Pulau Pinang(6%).

12. Justeru, charge minima ini perlu dilihat sebagai tangungjawab social bersama yang ditanggung oleh pelancong bagi memastikan kebersihan, kemudahan dan siapsaga infrastruktur pelancongan yang selama ini dibangunkan oleh kerajaan Kedah dan LADA secara percuma mulai 1987 dapat terus dimanfaatkan oleh pengguna di masa akan datang.

13. Wajar juga dalam konteks ini pengusaha pelancongan, pemilik hotel yang sudah meraih keuntungan berganda hasil dari penyediaan kemudahan yang dibangunkan kerajaan, dan usaha-usaha memperomosi Pulau Langkawi yang dijalankan oleh kerajaan Negeri dapat turut berkolaborasi bagi menyumbangkan kembali sedikit keuntungan yang telah diraih untuk diberikan kembali dalam bentuk pelbagai, agar Pulau Langkawi yang turut dikunjungi lebih 1.5 juta pelancong luar dapat dikekalkan statusnya sebagai antara Pulau terindah, bersih dan cantik serta sesuai dikunjungi oleh semua.

14. Dan dalam konteks ini juga, charge pelancongan ini wajar dikaji semula, agar pelancong luar yang menginap dikenakan kadar yang lebih tinggi. Kerana secara bandingannya kadar RM5 semalan bagi status hotel 5 bintang hanyalah bersamaan dengan USD1.20. Terlalu kecil bagi mereka bukan?, walhal pelancong luar inilah yang benar-benar memanfaatkan secara maksimum kemudahan pelancongan yang disediakan kerajaan.

15. Tidaklah salah prinsip diskriminasi harga sebegini dilaksanakan, sebaliknya kita mampu meletakkan lebih tumpuan dengan memberi keutamaan pada pelancong tempatan dan meraih hasil yang lebih dengan beban bayaran dialihkan kepada pelancong luar.

16. Dan secara lojiknya juga, jika kita membawa seisi keluarga menginap di Hotel dengan bayaran RM200 semalam, takanlah charge RM1 sehari tak dapat kita langsaikan?.Apapun jua akhirnya pilihan berbalik di tangan pengguna.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Wednesday 15 June 2016

KESIHATAN MB KEDAH


1. Sakit, musibah dan ujian adalah merupakan lumrah yang pasti dilalui oleh insan bernama manusia. Ia juga adalah nikmat untuk dirasai setiap manusia. Jika ada yang sakit di dalam sesebuah komuniti itu, maka kita dianjurkan untuk berziarah, mengambil teladan darinya selain mendoakan yang terbaik agar yang sakit segera sembuh.

2. Ia merupakan antara uslub dakwah. Sebuah nilai murni dalam masyarakat yang diajar Rasulullah S.A.W. Namun malangnya, ‘sakit’ atau kurang sihat di era kini sering diterjemah dalam konteks politik oleh pihak tertentu.

3. Musibah itu diwacana dari sudut yang kurang bermoral sifatnya. Dikaitkan pula sakit berkenaan kononnya sebagai kifarah dari Allah S.W.T selain ‘balasan karamah’ dari golongan bangsawan elitis aristokrat tertentu.

4. Betul. Harus diakui, hatta jika jari tercucuk duri halus sekalipun maka mungkin ianya adalah kifarah dari Allah buat menghilangkan dosa nan lalu. Tapi jangan lupa, usai sakit, dan dengan segala kesabaran ditempuhi bagi melalui keperitan sakit tadi, maka darjat dan kemuliaan insan diangkat Allah kemudiannya.

5. Inilah kisah yang Al-Quran gambarkan. Misalnya melalui teladan Nabi Ayub yang ditimpa derita sakit yang bukan kepalang. Namun berkat dari taqwa dan kesabaran Rasul Allah itu, sakit baginda sembuh, dan kemudian taraf serta kedudukannya disisi Allah dimartabatkan.


6. Beragama Islam, masyarakat kita turut dididik sedari kecil bahawa nilai kemasyarakatan dan sosio-budaya bangsa ini menekankan jika ada saudara yang sakit, ziarah dilakukan. Kunjung mengunjungi bagi bertanya khabar dan melihat keadaan rakan tadi. Kita diajar untuk meredakan hati dan deritanya, selain mendoakan kesihatannya. Hanya cakapkan yang baik-baik sahaja, jauh sekali mencerca atau menuduhnya yang bukan-bukan.

7. Maka demikianlah juga dalam konteks MB Kedah. Apabila menerima rawatan bermula 4 Jun, sehingga dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapat seliaan pakar, tidak putus-putus handai taulan, rakan politik apatah lagi kaum keluarga menziarahinya.

8. Hakikatnya dalam isu beliau ditimpa masalah kesihatan, pilihan boleh dibuat agar ulser perut yang dialaminya itu dirawat secara kasual, tanpa perlukan pembedahan. Namun dalam jangka panjang pastilah menimbulkan masalah di kemudian hari. Lantaran itulah maka pembedahan dipilih sebagai opsyen bagi membolehkan beliau terus menggalas tugas dengan baik dan mengemudi negeri Kedah untuk jangka masa yang lebih panjang, tanpa diganggu masalah yang sama.

9. Ada yang bertanyakan tentang punca ulser yang dihidap MB Kedah sehingga mengakibatkan beliau terpaksa berehat di hospital untuk beberapa ketika.


10. Saya kira, jawapan jelas yang boleh nampak di depan mata adalah kesan dari kedegilan MB yang tidak menjaga diet pemakanan dan masa makannya. Kerana terlalu tumpukan gerak kerjanya mendekati pelbagai segmen lapisan masyarakat di Kedah. Memang itulah sifat sebenar Ahmad Bashah sejak dari zaman mudanya lagi yang melebihkan rakyat dari dirinya sendiri.

11. Setelah 3 tahun berlalu kesan kegagalan pimpinan terdahulu merungkai dan menyelesaikan banyak isu dan masalah tertangguh sama ada politik, pentadbiran, ekonomi dan isu kepartian, maka Ahmad Bashah memilih untuk mengenepikan soal keperluan diri dengan sanggup ‘meranduk’ segenap pelusuk kawasan dan kampung demi mendekati rakyat.

12. Jemputan ke majlis dari kalangan orang biasa hinggalah pihak Istana, semuanya beliau mahu hadir. Maka berlakulah putaran jadual programnya  6 ‘event’ setiap hari sejak mula 4 Febuari apabila Allah S.W.T mentakdirkan beliau untuk mengangkat sumpah selaku MB Kedah.

13. Betul. Seorang pemimpin harus energetic dan menjaga kecergasan serta fit untuk meneruskan tugas. Maka Bashah sekali lagi memilih untuk korbankan waktu tidur, senantiasa di dalam Kedah, bukannya bersantai atau bersenang lenang di London atau di luar negara hampir setiap minggu. Beliau sebaliknya senantiasa siap sedia, berkampung di dalam negeri, tidak pernah pula mengenal erti cuti atau bercuti rehat.

14. Keutamaan dasarnya,beliau kerja dan kerja demi memenuhi aspirasi masyarakat. Merangka dasar praktikal, simple dan mudah, tapi kesannya cepat dirasa oleh setiap rakyat Kedah. Fokusnya hanya sedaya upaya mensejahterakan rakyat, membangun ekonomi dan meletakkan asas yang kukuh bagi Kedah menjadi sebuah negeri yang gagah.


15. Maka banyaklah pihak harus disantuni. Pertemuan, usaha dirancang dan diatur. Dari pagi, tengahari, petang dan membawa ke lewat malam. Kesemua jadual kerjanya padat khusus untuk rakyat. Beliau tiada masa untuk bercuti ke luar negara mahupun terbang ke sana ke mari setiap minggu.

16. Kehendak diri sering diletak di belakang. Rumah sendiri sudah ibarat pejabat. Di pejabat, 2 kali ganda rakyat, ketua jabatan, pimpinan GLC datang untuk tuntaskan segala agenda dan misi memakmurkan seluruh negeri Kedah.

17. Sekali lagi, Ahmad Bashah mula alpa tentang diet pemakanannya, mula lalai dengan waktu makan beliau. Kerana bagi MB Kedah itu, permohonan dan kehendak rakyat perlu lebih diutama dan cuba diselesaikan beliau berbanding nafsu dan kehendak perutnya.

18. Natijah besar, maka sedikit demi sedikit, penyakit lama yakni gastrik yang dihidapinya, membungkam. Maka saluran usus beliau tidak lagi stabil dan boleh menerima tekanan sebegini rupa. Maka mulalah mengalami luka kecil yang akhirnya menyebabkan MB kita terpaksa kemudiannya direhatkan seketika dengan 'bercuti dalam kerja, dan kerja dalam cuti' di Hospital Pulau Pinang.

19. Inilah hakikat yang dilalui beliau. Walau ramai yang sedang menista dan mencacinya. Lebih parah ada segelintir yang mendoakan kecelakaan untuknya. Adab apakah ini? Saya terbayang wajah sahabat baik Ahmad Bashah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak yang dulu dicela dan diperlekeh penyokong partinya sendiri. Entah sempat atau tidak mereka memohon maaf dari arwah?


20. Rakan separti sendiri, dari negeri sendiri ada yang kurang peka atau lemah adabnya langsung tidak menziarahi. Walhal ADUN, MP dari negeri jiran begitu prihatin sering bertanya khabar tentang dirinya dan bersusah payah menziarahinya pula.

21. Setidaknya, jika pun benci atas kapasiti Ahmad Bashah selaku MB, maka ziarahilah beliau atas dasar insan, hormat pada yang lebih tua dan demi mengangkat semangat nilai murni kemasyarakatan dan hidup beradab dalam sebuah komuniti. Cubalah berikan contoh yang baik kepada rakyat Kedah, apatah lagi di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.

22. Maka dalam hal ini, eloklah secara ikhlas saya berpesan kepada Mukhriz Mahathir, ‘dari hidup berkurang adab, biarlah mati dicaci maki'.

23.Wallahu aqlam mu bisawab.

Salam Ramadhan Al-Kareem, semoga amalan kebaikan kita tingkatkan, sikap kurang bersopan kita tinggalkan.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Thursday 9 June 2016

LUASKAN BAKTI ‘BUDI’DI SUNGAI BESAR DAN KESINAMBUNGAN LEGASI ARWAH WAN KHAI-RIL DI KUALA KANGSAR


1. Tanggal 18 Jun 2016 bagi kebanyakan orang adalah merupakan satu tarikh biasa, dan masih dalam mood pertengahan Ramadhan 1437H yang mulia. Bulan yang lebih baik dan mulia dari seribu bulan.

2. Namun 43,000 pengundi di Sungai Besar dan 32,949 pengundi di Kuala Kangsar bakal menoktahkan pilihan mereka untuk baki 2 tahun sebelum menjelangnya PRU ke-14 yang dijangka berlangsung pada 2018 nanti.

3. Prinsipnya mudah, Budiman Mohd Zohdi dan Datin Mastura Dato Yazid yang dipertanggungjawabkan mewakili BN, pastinya sudah terbiasa dengan tradisi UMNO dan amalan Barisan Nasional.


4. Tradisi membela rakyat biar apapun jua cabaran dan mehnah yang datang. Sejak zaman sebelum merdeka lagi, UMNO sememang terkenal menabur jasa di segenap pelosok negara. Sejak di zaman Perikatan hinggalah menjadi Barisan Nasional. Setuju atau tidak, itulah hakikat yang gagal dinafikan pihak pembangkang sehingga kini.

5. Berbekalkan track record yang sudah terbukti, pelbagai dasar-dasar yang mapan, saya berpandangan bahawa kedua calon yang dipilih ini tidaklah punyai masalah yang besar ataupun rekod peribadi yang jengkel lagi ‘memalukan’.

6. Khidmat bakti ‘BUDI’ menerusi langgang jasanya di Sungai Panjang, DUN yang diwakili selama ini sudah terbukti. Demikian juga Datin Mastura, ramai kaum ibu di Manong, dari Bukit Chandan sehinggalah ke Pekan Kuala Kangsar, mereka celik mata tentang sikap peramahnya dan budi pekerti keibuannya serta dokongannya yang senantiasa ambil peduli keperluan masyarakat ketika arwah suaminya masih bergelar Ahli Parlimen.

7. Kedua tokoh dan calon ini dinaungi pula oleh sebuah kerajaan dan parti yang tidak boleh disangkal punyai sumber yang teguh, polisi yang jelas dan hala tuju yang bermatlamat untuk memartabatkan kehendak rakyat.


8. Justeru itu, ketepikan sentimen simpati, buka dan lihat dengan mata hati. Selama puluhan tahun sejarah terpampang di depan mata, hanya parti dan kerajaan yang jelas arah tujuannya sahaja mampu mengota segala janji serta merungkai segala impian rakyat Malaysia.

9. Biarlah baki 2 tahun terakhir sebelum tibanya PRU ke-14, kedua calon ini wajar diberi ruang dan peluang agar akhirnya usaha memenangkan PERJUANGAN SEBUAH AGAMA, BANGSA DAN NEGARA mampu dinoktahkan.

10. Saya yakin, mereka berdua tidak berjanji bulan dan bintang. Mereka cukup realistik dan praktikal dalam tindakan menjaga kebajikan rakyat kerana itulah tarbiyah yang dididik dalam parti Barisan Nasional sejak tradisinya lagi.

11. Dengan siapsaga ilmu si BUDI yang kini sedang menyiapkan tesis Ph.Dnya, dan Datin Mastura selaku seorang peguam bertauliah, pernah melalui kedewasaan melalui jawatan Ketua Puteri selain unsur sosilaisasi politik yang legasi tinggalan diasuh dengan sempurna oleh arwah Wan Khai-ril, maka pakej lengkap sudah tersedia.


12. Pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar cukup teliti serta bijak dalam menilai antara kaca dan permata. Biarlah permata BUDI terus memancarkan sinar untuk kesinambungan menerangi apa yang sudah diasaskan oelh Allahyarhamah Noriah Kasnon, dan gilapan cahaya permata yang sama dapat mencahayakan harapan masyarakat di Kuala Kangsar dengan sentuhan bakti kasih sayang keibuan Datin Mastura.

13. Kita yakin bahawa bakti BUDI di Sungai Besar diluaskan sirnanya, dan legasi baik yang ditinggalkan oleh arwah Wan Khai-ril, berkesinambungan melalui sentuhan pelengkap oleh isterinya, Datin Mastura Dato Yazid.

14. Pilihan terbaik bagi hasrat ini adalah dengan mengundi 'BARISAN NASIONAL’. Tiada yang lain yang mampu melainkan BN berbanding Pakatan Harapan yang hingga kini tidak berdaftar, tanda tiada kesepakatan, huru-hara tiada kesepakatan.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Saturday 4 June 2016

RUU AKTA 355 : PEMUDA MCA UMPAMA CACING NAIK KEMATA


1. Berdasarkan fakta dan sejarah negara, kali terakhir Akta 355, yang secara spesifik memperuntukkan bidang kuasa dan hukuman Mahkamah Syariah di Malaysia ditambahbaik ialah pada tahun 1984.

2. Kerangka Perlembagaan Persekutuan 1957 secara jelas menggariskan bagi maksud perbicaraan kes jenayah melibatkan warga Malaysia adalah tertakluk dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Mahkamah biasa (meliputi Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi).

3. Secara jelas, Mahkamah Syariah dimaktubkan HANYA memperihalkan kisaran berkaitan soal faraid, jenayah syariah (enakmen kecil yang bukan hudud), bab nikah cerai, hadanah dan perkara bersangkutan dengannya. Had bidang kuasa pula terhad kepada umat Islam SAHAJA.

4. Kuatkuasa hukuman, implementasi enakmen pula tertakluk kepada perkenan Sultan di sesebuah negeri atas kapasitinya sebagai ketua agama.

5. Inilah teras Akta 355. Ia sebenarnya langsung TIDAK menyentuh hak bukan Islam dan tidak terpalit sama sekali isu pelaksanaan Hudud. Kerana dari segi istilah hudud bermaksud 'had' atau mencegah. 'Capital punishment', misalnya hukuman mati mandatori hakikatnya sudah pun dilaksanakan dalam sistem perundangan di Malaysia. Seksyen 302, Kanun Keseksaan, Seksyen 39B, Akta Dadah Merbahaya contohnya memperincikan hukuman gantung bagi sabitan kesalahan. Secara ironi, jika tafsiran istilah hudud itu merujuk kepada had, mencegah atau 'capital punishment', bermakna ianya telah lama dijalankan di Malaysia.

6. Kenapa Pemuda MCA tidak sedar tentang isu ini dari awal? Dan kenapa baru kini apabila usaha menambahbaik fungsi serta peranan institusi kehakiman melibatkan umat Islam mahu diperkasa, tiba-tiba timbul ugutan dan 'kata dua' kepada PM diberikan?


7. Pada pandangan saya, penjelasan yang sangat jelas sudah diberikan. 'Private Bill' siapa sahaja boleh mengemukakannya dalam sidang Parlimen sebagai wasilah membincangkan dasar dan rang undang-undang yang melibatkan kepentingan umum.

8. Kenapa PM yang dijadikan sasaran, walhal rang undang-undang(Pindaan) ini baru dibentang dan akan dibahaskan? Cukup banyak masa diberi nanti untuk diwacana. Dan proses perdebatan pula melibatkan bacaan kali pertama, kedua dan ketiga. Jika diluluskan, maka dibawa ke Dewan Negara untuk melalui proses yang sama. Kemudian, untuk diwartakan, ia memerlukan pekenan dari YDPA serta implementasi di negeri-negeri memerlukan kesemua 9 orang Raja-Raja Melayu menandatangani dekri sebelum diwartakan dalam Enakmen Negeri.

9. Untuk rekod, Sabah dan Sarawak adalah dua buah negeri yang tidak menguatkuasakan tambahan hukuman apabila Akta 355 ini dibuat penambahan pada tahun 1984.

10. Adalah amat pelik apabila tiba-tiba saja pakatan MCA, MIC, GERAKAN begitu lantang bersuara. Walhal suara ini boleh dikonsensus dan dipolemik dalam mesyuarat pimpinan tertinggi BARISAN NASIONAL.

11. Meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada PM bagi kesemua persoalan ini seolah-olah mahu menuduh secara jahat kononnya PM mempunyai kuasa mutlak untuk mengarahkan speaker Dewan Rakyat menentukan apa yang boleh diusul dan apa pula yang tidak boleh dibincangkan di PARLIMEN. Sedangkan, praktisnya tidak begitu.

12. Bukankah ini satu sekatan suara  ke atas hak 222 Ahli Parlimen yang telah dipilih lebih 14 juta pengundi di kawasan masing-masing di seluruh Malaysia secara demokratik?


13. Sekali lagi secara 'mala fide', Pemuda MCA atau sesiapa sahaja yang membuat ugutan terbuka terhadap PM agar bertanggungjawab dan mengundurkan diri kerana membenarkan 'Private Bill' Akta 355 ini dibentang di Parlimen pada hakikatnya perlu meminta maaf dengan segera.

14. Pemuda MCA atau sesiapa saja rakan komponen BN, perlu lebih peka kepada konsep 'collective responsibility', tidak membuat spekulasi jahat lagi melencong dengan bersandarkan andaian bahawa jika pindaan Akta 355 diluluskan membuka ruang bagi pelaksanaan Hudud di Malaysia. Jika tidak jelas, silakan bertanya. Jangan pakai 'serkap jarang' sahaja.

15. Analoginya, mana mungkin secara teori dan amalinya pelajar yang tidak pernah lulus peperiksaan dalam sistem persekolah menengah, tiba-tiba dibenar memasuki universiti untuk mengikuti pengajian ijazah lanjutan. Lojik, rasional dan unsur realistiknya langsung tidak ada disitu.

16. Demikian juga Rang Undang-Undang Akta 355. Sekali lagi dijelaskan bahawa ianya adalah tentang bidang kuasa, hukuman, aturan dan kuatkuasa Mahkamah Syariah yang terhad jurisdikasinya ke atas umat Islam sahaja dan langsung TIDAK menyentuh hak atau teritori  bukan Islam. Bagaimana lagi hendak dijelaskan untuk memahamkan Pemuda MCA? Sukar sangatkah memahami penjelasan dengan bahasa yang semudah ini?

17. Demikianlah bila kefahaman dangkal dijadikan sandaran. Maka pertimbangan yang dibuat akhirnya tidak masuk akal dan berkecenderungan untuk dengan mudah memalitkan kesalahan ke atas bahu orang lain tanpa usul periksa. Mudah sangat melatah, seolah-olah terpengaruh dengan ultra kiasu DAP.

18. Paling tidak, Pemuda MCA sepatutnya  perlu menilai perkara yang lebih pokok. Prestasi parti mereka yang hanya sekadar memenangi 7 kerusi Parlimen pada PRU ke-13 lalu dan berapa pula jangkaan benar untuk PRU ke-14 nanti.


19. Dan selaku Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, saya minta Pemuda MCA Malaysia atau Negeri Kedah menjawab tiga soalan mudah dari saya dengan jujur:
a. Sudah berapa ramai pengundi Cina berumur 21 tahun yang telah berjaya didaftar oleh Pemuda MCA setiap bahagian di Negeri Kedah dan seluruh Malaysia amnya?

b. Dari sejumlah 4 juta pengundi kali pertama yang bakal mengundi dalam PRU ke-14 nanti, dengan lebih 23% dari etnik Tionghua, berapakah jumlah pengundi yang boleh didekati dan secara nyatanya boleh diraih oleh MCA?

c. Apa jaminan jika MCA terus diberikan kerusi yang pengundinya lebih 50% pengundi Tionghua, MCA tidak akan tewas dengan mudah pada DAP atau PKR pada PRU ke-14 nanti?
20. Jika 3 persoalan fundamental itu berjaya dijawab, dibuktikan secara meyakinkan dan dengan pemetaan lengkap MCA boleh meraih misalnya kemenangan 100% kerusi yang ditandingi baik Parlimen atau DUN dalam PRU akan datang, maka barulah Pemuda MCA yang ibarat 'cacing naik kemata' sekurang-kurangnya punyai asas agak besar untuk menuntut PM selaku Pengerusi Barisan Nasional Malaysia mengundurkan diri dari jawatannya.

21. Jika tidak, saya nasihati selaku rakan komponen, eloklah pemuda MCA semua peringkat utamakan kerja. Tindakan menggandakan jumlah pengundi dari cubaan belagak menjadi hero palsu yang ketinggalan zaman.

22. Sebelum saya terlupa, welcome back YB Dato’ Dr Leong Yong Kong, EXCO Kedah, kuota jawatan dari MCA setelah tidak sampai dua minggu menukar keputusan untuk kekal bersama MCA dan pentadbiran kerajaan. Barangkali Dr Leong sudah faham, bahawa emosi jangan didahului sehingga akhirnya boleh menampakkan kedangkalan pendirian diri sendiri...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Seta