Sunday 25 October 2015

JOM PAINTBALL WORLD CUP 2015, KITA GEGAR LANGKAWI..!


1. Cukup memenatkan hari ini. Sejak kebelakangan ini hari-hari saya cukup sibuk menjelang penganjuran Paintball World Cup 2015 di Langkawi yang bakal bermula pada 29 Oktober hingga 1 November ini. Saya akui, kesibukan saya itu sedikit sebanyak menjadi faktor untuk saya tidak menulis di laman blog ini buat sementara waktu.

2. Namun entah mengapa, walaupun saya letih, saya tetap juga gagahkan diri untuk menulis di sini sambil melepaskan lelah bersama secawan kopi di sisi. Berehat sebentar di depan komputer riba secara santai sambil merenung kembali diri yang serba kekurangan namun berjiwa besar ini. Namun tidak dapat tidak, topik tentang Paintball World Cup 2015 terus berlegar di fikiran.

3. Kira-kira 10 tahun dulu, saya tidak pernah termimpi untuk mampu menganjurkan sebuah acara yang bertaraf nasional. Ketika itu, jika mahu menganjurkan acara yang bertaraf negeri, mungkin saya mampu. Namun alhamdulillah, percaya atau tidak, termasuk kali ini sudah 5 kali saya bakal menganjurkan sebuah acara yang bukan lagi bertaraf peringkat negeri atau nasional, tapi sebuah acara yang diiktiraf berprestij bertaraf antarabangsa.


4. Bohonglah saya jika saya katakan bahawa tidak terlintas sedikit pun rasa 'nervous' setiap kali menganjurkan kejohanan Paintball World Cup ini. Namun berdasarkan pengalaman dan jatidiri kemahuan yang tinggi, saya telan segalanya dan yakin bahawa segalanya akan lancar sebagaimana yang pernah saya anjurkan sebelum-sebelum ini. Dan saya bersyukur kerana Allah SWT senantiasa memberikan saya kekuatan untuk terus mengharumkan nama Kedah, khususnya Langkawi di mata dunia.

5. Saya akui bukan mudah untuk seorang anak muda seperti saya untuk menganjurkan acara bertaraf dunia ini. Silap sedikit, pastinya ramai yang akan menuding jari pada saya yang masih 'mentah' ini. Namun 'alah bisa tegal biasa', saya gagahkan diri menghadapi cabaran tersebut dan tetap komited dengan kejohanan yang mampu menjana ekonomi rakyat Kedah ini.

6. Setiap penganjuran yang saya dan rakan-rakan usahakan sebelum ini masih lagi belum mengecewakan. Hingga kini, setiap kejohanan Paintball World Cup yang kami anjurkan disertai oleh pasukan yang bukan calang-calang pasukan. Bagi mereka yang 'paintballiholic', nama-nama seperti Dynasty, Houston Heat, Ton Tons atau Infamous sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi tentang kehebatan mereka.


Posted by Paintball World Cup Asia on Saturday, June 13, 2015
7. Kali ini, lebih banyak pasukan-pasukan ternama dan terbaik dunia akan berkampung di Langkawi dengan jumlah kehadiran 4,000 peserta. Itu belum lagi dikira dengan pengiring, keluarga, krew dan sahabat handai mereka. Maka meriahlah Langkawi! Secara tidak langsung, saya yakin bahawa setiap kali penganjuran Paintball World Cup di Langkawi, maka warga di pulau Mahsuri itu turut berkongsi 'kek ekonomi' dan berkongsi kemeriahan gegar 'perang' senapang paintball, bukan?

8. Setakat semalam, sudah 138 buah pasukan yang hebat-hebat belaka dari 38 buah negara di seluruh dunia telah pun mengesahkan penyertaan mereka. Malah semalam, mereka telah pun diundi untuk acara yang bakal menggegarkan pulau lagenda itu bermula Khamis ini. Ada yang datang dari Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Sweden, Belanda, Indonesia, Thailand, Australia, New Zealand, Brunei dan sebagainya. Namun yang pasti, pasukan-pasukan dari Malaysia bakal digeruni nanti. Harimau Malaya bila pegang senjata paintball memang ganas!



Posted by Paintball World Cup Asia on Friday, July 10, 2015

9. Bagi mereka yang berminat dan mahu berjinak-jinak dengan sukan lasak ini, jangan ketinggalan untuk hadir ke Karnival Paintball World Cup 2015. Karnival itu akan disertai oleh syarikat-syarikat pembekal peralatan paintball terkemuka dunia seperti DYE, Planet Eclipse, Lux, HK Army, Anthrax, dan S2. Saya yakin ia akan menambah pengetahuan dan memberi pengalaman baru pada mereka yang berminat. Jika hendak membeli, saya yakin mereka akan menawarkan harga yang sangat berpatutan, terutama bagi produk aksesori.

10. Saya hanyalah insan biasa, namun memiliki jutaan cita yang menggunung tingginya. Tiada yang dapat memuaskan hati saya selain dapat memberikan khidmat dan menabur jasa kepada negara serta negeri Kedah. Dan saya harap, penganjuran Paintball World Cup 2015 yang bakal berlangsung pada 29 Oktober hingga 1 November ini akan sekali lagi mengharumkan nama negara dan memberi kemakmuran kepada rakyat jelata di negeri Kedah. Segalanya hanya kerana 'di sini lahirnya sebuah cinta'...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar