Friday 22 January 2016

KRISIS KEPIMPINAN KEDAH; Kenapa saya pilih UMNO Kedah bukan Mukhriz Mahathir?


1. Saya yakin semua mata rakyat di seluruh negara kini sedang bertumpu ke negeri Kedah. Sebagaimana maklum, riuh diperkatakan tentang hampir keseluruhan pemimpin UMNO di Kedah kini menyanggah kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir. Selaku antara pemimpin sayap Pemuda UMNO Bahagian di Kedah, sewajarnya saya memberikan sedikit ulasan tentang apa yang berlaku dari kaca mata peribadi saya sendiri. Sebelum itu, saya ingin memohon supaya sesiapa sahaja yang membaca nukilan ini supaya berlapang dada, tidak menyemat rasa buruk sangka atau niat yang tidak baik supaya ia memberi manfaat kepada semua.

2. Saya tidak nafikan bahawa belum pun berlangsung PRU 13, 'aura' Dato' Seri Mukhriz sudah terpancar, menarik minat ramai rakyat Kedah terutama golongan muda yang tidak mengenali beliau. Bukan saja membawa nama Ayahanda Tun M sebagai bonus tambahan, statusnya yang belum terpalit parut negatif, pendiriannya yang mirip ayahandanya, apatah lagi tidak ramai di Kedah yang tahu latar belakang beliau telah membuat ramai rakyat Kedah terpesona. Nama Mukhriz lebih gah lagi apabila Bapak Presiden, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan beliau bakal menjadi Menteri Besar Kedah jika BN berjaya merampas kembali negeri Kedah dari PAS. Sayang seribu kali sayang, Dato' Seri Mukhriz hanya mula kerap pulang ke Kedah disaat-saat akhir sebelum PRU 13 dan membiarkan UMNO Negeri serta Ketua-Ketua Bahagian berkampung di Kedah 'menyinsing lengan' mengembalikan Kedah kepada BN. Tiada masalah siapa menjadi Menteri Besar ketika itu kerana fokusnya ialah merampas Kedah kembali dari terus menjadi kerakusan PAS.

3. Pada pandangan saya, kemelut kepimpinan Dato' Seri Mukhriz sebenarnya telah lama dipendam oleh kepimpinan UMNO di Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan di segenap pelosok negeri Kedah. Ia bukan perkara baru dan mula kedengaran selepas setahun Dato Seri Mukhriz memegang tampuk pentadbiran kerajaan negeri dan UMNO negeri Kedah. Setahun diberikan kepada beliau untuk menyesuaikan diri dengan budaya politik tempatan yang pada saya sangat unik untuk difahami lenggok bahasanya. Namun memandangkan ramai tokoh-tokoh lama UMNO di Kedah yang melihat beliau masih lagi terkial-kial mendapatkan hubungan baik dari semua Bahagian di Kedah, atas nama hormat pada Ayahanda Tun M, Dato' Seri Mukhriz diberi 'masa tambahan'.


4. Namun setelah dua tahun masa diberikan pada beliau, ahli-ahli politik berpengalaman dan berpengaruh mula menyedari kegagalan Dato' Seri Mukhriz di Kedah, khususnya dalam menjalankan 'public relation' dengan UMNO Bahagian. Meskipun ada tikanya kelihatan 'mesra' di depan, namun boleh dikatakan ramai yang menyedari betapa kekok seolah-olah lakonan 'mesra politik' di depan mata. Kurang bersahaja, jauh sekali untuk benar-benar memahami lenggok gaya sebenar 'hemoi' sebagaimana orang laman seperti Dato' Abu Hassan Shariff, Dato' Othman Aziz, Dato' Seri Ahmad Bashah mahupun Dato' Seri Mahdzir Khalid. Ketika itu, sudah tersebar khabar angin yang mengeluh tentang kepimpinan Dato' Seri Mukhriz yang tidak menepati apa yang diharapkan semua kepimpinan UMNO negeri Kedah. Namun mujurlah ketika itu ramai lagi yang masih mampu menahan sabar dan hanya memendam rasa apabila hampir semua UMNO Bahagian 'merana' tanpa aktiviti selain 'mengemis' meminta-minta dari yang sudi memahami.

5. Namun sudah lebih 3 tahun, keadaan tersebut masih tidak juga berubah. Benar beliau sangat popular di mata rakyat Kedah, malah di seluruh negara. Namun ramai yang tidak tahu tentang 'lahar' yang terpendam di hati ramai ayahanda-ayahanda Ketua UMNO Bahagian. Boleh dikatakan ada cubaan mengadakan mesyuarat perhubungan negeri gagal ekoran tidak cukup korum. Petanda-petanda awal itu seolah tidak difahami oleh Dato' Seri Mukhriz bahawa ramai yang tersinggung hati padanya. Benar dalam sidang akhbar tempohari sebab-sebab yang dikemukakan untuk pucuk pimpinan tertinggi parti melakukan perubahan adalah bersifat umum dan tidak terperinci. Namun apa perlunya diperincikan sebab-sebab itu pada umum rakyat jika ia mampu membuka pekung di dada Dato' Seri Mukhriz dan seluruh kepimpinan UMNO negeri Kedah, bukan? Cukuplah ia diketahui oleh keluarga kepimpinan UMNO Negeri dan Pusat. Itulah bezanya tindakan berhemah kepimpinan orang lama, berbeza sekali dengan mereka baru setahun jagung menjadi pemimpin.

6. Pada pandangan saya, seorang ahli politik itu tidak hanya perlu bersifat 'mesra rakyat' sahaja. Malah seorang ahli politik yang hebat menurut Aristotle, individu itu perlu memiliki sifat mesra serta mampu mempengaruhi semua ahli persatuan atau pertubuhan yang disertai. Kedudukannya perlulah mampu memberi kesan kepada dasar yang diperjuangkan parti yang disertai dan mendapat tempat dihati masyarakat. Malangnya, mungkin terlalu fokus terhadap agenda meraih sokongan dan populariti dari rakyat, Dato' Seri Mukhriz mungkin terlupa tentang pentingnya membina pengaruh dan menjalin hubungan rapat yang baik dengan semua kepimpinan UMNO Bahagian di seluruh negeri Kedah. Mungkin tidak mampu semua, namun memadailah jika majoriti 10 UMNO Bahagian yang menyokong dari 15 UMNO Bahagian. Berdasarkan pengalaman saya melihat budaya politik dan sifat Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah yang terdahulu termasuk yang mempunyai pertalian darah yang rapat dengan saya, mereka setidak-tidaknya memiliki kedua-dua sifat 'mesra rakyat' dan 'kukuh kedudukan politik kepartian', seterusnya kelebihan tersebut menyaksikan mereka memiliki pengaruh dari majoriti keseluruhan rakyat negeri Kedah dan mampu mengawal majoriti kepimpinan UMNO di Bahagian-Bahagian di negeri ini.

7. Selain itu, perlu umum sedari bahawa kepimpinan dan populariti adalah sesuatu yang berbeza. Populariti pada pandangan saya adalah bersifat individual di mana persepsi masyarakat terhadap individu itu adalah subtance khusus. Sebagai contoh, ikon-ikon dunia hiburan seperti Dato' Siti Nurhaliza, ikon sukan Dato' Lee Chong Wei, ikon politik seperti Anwar Ibrahim atau ikon m media sosial Rani Kulup. Mengambil contoh Anwar umpamanya, beliau begitu popular ketika bersama UMNO dulu dan dilihat ditatang bagai minyak yang penuh. Bukan seorang dua taikun politik yang dicantasnya menerusi pengaruh Tun M dan mampu menubuhkan parti atas pengaruh popular yang beliau miliki. Orang tidak menilai organisasi yang dipimpin atau latar belakang pemimpin, tetapi beliau popular dalam trend rakyat masakini atas sentimen tertentu. Tapi jika dirujuk pada kepimpinan dan pentadbiran Anwar, hancur! Dato' Seri Mukhriz pula menjadi ikon rakyat, ramai yang 'jatuh cinta' padanya. Malang sekali, beliau belum lagi mampu untuk mengendalikan penghormatan itu di kalangan bala tentera UMNO Kedah yang dipimpin beliau secara keseluruhan. Sebenarnya terdapat banyak rungutan dari banyak organisasi di pelbagai peringkat sama ada organisasi politik mahupun kerajaan.KITA PASTI PERNAH MENDENGAR DIKALANGAN PEGAWAI KERAJAAN YG MENGATAKAN BAHAWA MB SEORANG YANG BLUR Bukan?. Namun tidak disuarakan sebelum ini kerana memberi peluang kepada beliau untuk berubah dan enggan mengundang kontroversi. Tidak perlulah saya ceritakan keluhan suara mereka yang mengeluh tentang kepimpinan Dato' Seri Mukhriz di negeri Kedah.

8. Perlu juga saya tekankan bahawa ini bukan soal kepimpinan Najib di peringkat pusat, tapi ini adalah soal krisis kepimpinan Dato' Seri Mukhriz di negeri Kedah. Ini juga bukan soal kelantangan Dato' Seri Mukhriz mengkritik Perdana Menteri, dan ini juga bukan juga tentang perang politik dalaman di antara beliau, Tan Sri Muhyiddin dan Tun M terhadap Najib. Saya seperti Dato' Seri Mukhriz meminta semua penyokongnya supaya bertenang kerana saya juga salah seorang penyokong beliau. Namun fakta dan hakikat terkini menunjukkan suara yang mewakili seluruh UMNO di Kedah jelas sekali kecewa dengan kepimpinan Dato' Seri Mukhriz di dalam parti di peringkat negeri. Saya akui benar bahawa ada rakyat yang kecewa dengan apa yang berlaku dan kami juga ahli UMNO sendiri turut kecewa. Namun, janganlah mengambil kesempatan ke atas kekecewaan rakyat itu untuk menyokong kita berdasarkan populariti kita. Dato' Seri Mukhriz sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat 'Gentlemen', meminta rakyat bertenang dan akan menyerahkan segala keputusan kepada pucuk pimpinan parti setelah perbincangan dibuat. Itu barulah 'Gentleman'. Kenapa perlu jadi hero jalanan seperti Anwar Ibrahim??? Mengapa perlu pergunakan sentimen kekecewaan rakyat untuk menyelamatkan diri dari keputusan majoriti Badan Perhubungan UMNO Kedah. Maaflah, saya berkata begini di atas pandangan peribadi saya sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Saya tegaskan di sini bahawa saya tidak menyebelahi mana-mana pihak dan saya tiada kepentingan peribadi berhubung kenyataan ini. Cuma saya memohon supaya Bapak Presiden membuat keputusan politik dan bukan berteraskan 'personal vendetta'.


9. Saya melihat sidang akhbar yang menggemparkan ramai pihak itu sebagai satu cadangan kepada Bapak Presiden sahaja dari kepimpinan UMNO di seluruh negeri Kedah. Ia tidak semestinya muktamad perlu ditunaikan oleh Presiden. Malah dari sudut Perlembagaan Persekutuan 1948, jawatan Menteri Besar hanya boleh dilucutkan dari individu tersebut melalui dua kaedah sahaja iaitu undi tidak percaya ketika berlangsungnya sidang DUN di mana usul tersebut perlu dibuat oleh mana-mana anggota dewan dan usul itu perlu diterima oleh Speaker Dun. Setelah melakukan pungutan undi, barulah diperoleh keputusan sama ada jawatan Menteri Besar terlucut atau tidak. Satu lagi kaedah ialah menerusi perkenan Jemaah Pemangku Sultan Kedah setelah mendapat nasihat dan cadangan dari ketua parti yang menang majoriti pilihanraya bagi Dun Kedah yang lalu. Walau bagaimanapun, ia terletak diatas budi bicara Presiden BN untuk mencadangkan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah atau tidak, dan jika dicadangkan sekalipun, ia adalah bergantung pula pada perkenan Jemaah Pemangku Sultan Kedah atau sebaliknya.

10. Dari sudut pandangan amalan prinsip demokrasi berperlembagaan pula, seorang ketua bagi parti yang menang pilihanraya itu mempunyai hak prerogatif untuk memilih dan memutuskan nama calon Menteri Besar yang beliau fikirkan sesuai untuk menjaga kepentingan negeri dan selari dengan dasar pentadbiran parti politik yang memerintah, bagi dicadangkan kepada Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan. Atas nasihat dan cadangan dari Presiden BN itulah Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan membuat keputusan. Untuk rujukan kes, boleh dilihat pada krisis Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar Selangor baru-baru ini. Desas-desus yang saya ketahui mengatakan bahawa sebenarnya Ayahanda Tun M sebelum PRU 13 dulu telah bertemu dengan Presiden BN bagi meminta anaknya bertanding di salah satu Dun di Kedah dan mahu Dato' Seri Mukhriz dilantik sebagai Menteri Besar jika beliau menang. Khabarnya, Najib akur dan patuh pada permintaan mentor beliau itu meskipun menyedari bahawa Dato' Seri Mukhriz sendiri lebih berminat berkhidmat sebagai Menteri di peringkat kerajaan pusat. Lagipun, beliau dan keluarganya menetap di ibu negara dan ia memudahkan kehidupannya.

11. Apa yang saya kesalkan ialah reaksi Dato' Seri Mukhriz terhadap sidang akhbar majoriti para pemimpin UMNO Kedah itu. Pada pandangan saya, adalah tidak wajar sama sekali untuk menyerahkan kepada rakyat Kedah untuk menentukan jawatan beliau kerana jelas sekali lantikan beliau itu adalah berpunca dari cadangan dan nasihat Presiden BN yang dikemukakan kepada Sultan Kedah yang kemudiannya memperkenankan cadangan tersebut. Saya terfikir bahawa sekiranya Presiden BN mencadangkan nama lain seperti Dato' Mohd Rawi atau Dato' Tajuddin Abdullah sahaja kepada Sultan Kedah, saya yakin bahawa Dato' Seri Mukhriz tidak berpeluang untuk dilantik mengetuai Kerajaan BN Negeri Kedah. Hakikatnya, Dato' Seri Mukhriz hanya boleh menyerahkan jawatan Adun Air Hitam sahaja untuk ditentukan rakyat di Dun tersebut kerana beliau bertanding di kawasan berkenaan. Ia adalah berbeza dengan jawatan Menteri Besar yang dilantik Sultan Kedah atas nasihat Presiden BN selaku ketua parti yang menang pilihanraya bagi Dun Kedah. Maka sebab itulah saya tidak bersetuju dengan cara beliau mengheret rakyat ke kancah krisis kepimpinan parti di Kedah. Saya tidak kisah jika ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya dan saya menghormati pandangan pihak lain.


12. Dalam apa yang berlaku, rakyat akan tetap menyalahkan Perdana Menteri. Dan sekiranya ia tetap berlaku begitu, maka saya simpulkan bahawa Dato' Seri Mukhriz berjaya selindungkan kelemahan pentadbiran dan kepimpinan beliau di sebalik benteng rakyat! Saya tegaskan bahawa saya perlu memberi sokongan politik kepada Ketua UMNO di Bahagian saya sebagaimana yang dituntut dalam parti untuk menyokong Ketua yang mereka bernaung di bawah mereka. Dato' Seri Mukhriz dan mereka-mereka yang berada di sekelilingnya perlu sedar tentang kegagalan beliau selaku 'Ketua Kumpulan' dan saya berpandangan bahawa Setiausaha Politik kepada beliau harus mengambil tanggungjawab untuk meletak jawatan secara sukarela atas kegagalan beliau dalam menjaga pengaruh politik Dato' Seri Mukhriz di dalam UMNO di Kedah.

13. Ada juga saya terbaca 'jasa-jasa' Dato' Seri Mukhriz yang ditulis dan disebar oleh 'tentera-tentera siber' yang dikatakan di bawah seliaan pegawai beliau tentang KPI, hasil pendapatan dan pelaburan di Kedah. Melihat fakta dan segala hujahnya, saya akui ia benar. Namun yang saya ketawakan ialah semua 'jasa-jasa' Dato' Seri Mukhriz yang canang mereka itu hampir kesemuanya adalah jasa-jasa kerajaan pusat. Malah ketika Menteri Besar mengumumkan 6 projek mega, dan tidak meneruskan projek fokus sebelum ini seperti Zipy/Sulih di Yan, saya melihat keenam-enam projek itu mungkin hanya akan terlaksana pada tahun 2050 nanti. Bila umum projek mega, sibuk pula mencari dana dan pelaburan, jika tidak dibantu maka 'tentera-tentera siber' itu akan menyerang kerajaan pusat dan memburukkan Perdana Menteri. Cuba lihat apa yang berlaku pada projek Litar Lumba 1Kedah. Pada saya, litar berkenaan sepatutnya sudah terbina pada tahun pertama beliau sebagai Menteri Besar namun hingga kini masih tidak terlaksana. Bila ditanya, 'macai-macai' tertentu beri pelbagai alasan dan menyalahkan kerajaan pusat konon tidak memberikan peruntukan. Litar berkenaan setahu saya adalah permintaan anak muda untuk satu litar yang biasa bukanlah untuk setaraf dgn SIC Sepang yg dianggarkan puluhan Juta, bagaimana perutukan nak dpt kalau semua nak diMEGAKAN?Ia adalah antara manifesto yang sepatutnya mudah dilaksanakan, tapi mengapa gagal sehingga kini? Kenapa pula sibuk mencari pelbagai alasan dan tidak berusaha bersungguh-sungguh serta menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri?

14. Saya langsung tidak bermaksud untuk menidakkan sokongan saya terhadap Dato' Seri Mukhriz yang saya sanjung sejak lama dulu, sejak sebelum beliau bergelar Timbalan Menteri atau Menteri Besar lagi. Malah saya adalah antara individu yang kuat melobi beliau untuk bertanding di negeri jelapang padi ini dan sangat menyokong sekiranya beliau dilantik menjadi Menteri Besar. Malah, ketika mana beliau bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Naib Presiden UMNO tempohari, saya juga antara penyokong kuat Dato' Seri Mukhriz. Namun menyokong beliau tidak bermakna saya perlu menyokong segala tindak tanduk yang saya fikirkan tidak wajar atau kurang rasional bagi kepentingan politik parti di Kedah. Ayahanda Tun M sendiri pernah berpesan kepada saya supaya tidak mementingkan diri, tidak taksub pada mana-mana pemimpin dan mengutamakan kepentingan UMNO di jemala. Pesan itulah yang saya pegang hingga kini. Saya tidak kisah sekiranya beberapa orang 'tentera siber' beliau menyerang saya di media sosial kerana ia menjadi asam garam dunia politik masa kini. Namun sebelum menyerang, fikirkanlah tentang kematangan berhujah dan fokus kepada isu yang diperbincangkan, tidak melalut-lalut ke isu lain dan lakukanlah dengan ikhlas membina. Jangan malukan nama baik Dato' Seri Mukhriz Mahathir yang dibawa....

15. Demi rakyat dan parti UMNO, saya tegaskan bahawa selaku ahli parti dan sebahagian dari anak jati Kedah, saya tetap menyokong penuh sebarang keputusan yang dibuat pucuk pimpinan. Saya menyusun 10 jari kepada Dato' Seri Mukhriz sekiranya beliau tersinggung dengan tulisan dari pemimpin kecil picisan ini. Saya berbangga pernah berkhidmat di bawah kepimpinan Dato' Seri Mukhriz, namun hakikat yang perlu disedari hari ini ialah para pemimpin UMNO yang mewakili majoriti seluruh negeri Kedah telah bersuara. Saya amat-amat menghargai kepercayaan dan sokongan Dato' Seri Mukhriz pada usaha saya menaikkan sukan paintball yang telah saya usahakan sejak sebelum Dato' Seri Mukhriz dilantik menjadi Menteri Besar Kedah lagi. Saya tidak 'berhutang' pada mana-mana pemimpin secara individu kerana saya adalah ahli UMNO dan khidmat bakti saya juga adalah demi parti, bukan individu. Saya menulis kerana saya sayangkan UMNO Kedah, sayangkan Dato' Seri Mukhriz, sayangkan Dato' Seri Ahmad Bashah, sayangkan semua ayahanda-ayahanda Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan seluruh pejuang-pejuang UMNO di negeri Kedah yang selama ini bertungkus lumus merampas Kedah kembali dari kebejatan pentabdiran PAS. Saya benar-benar ikhlas dan berniat baik mahu melihat kesinambungan kepimpinan dan pentadbiran UMNO yang lebih baik pada masa akan datang. Kepada Bapak Presiden UMNO berikanlah penilaian yang wajar dan berjiwa besar,Apapun Kelemahan Mukhriz potensi beliau harus terus digilap.perubahan itu perlu tapi jgn dibuang bak kata pepatah tiada rotan akar pun berguna, Manakala jika Bapak Presiden dan perhubungan mencapai semula kata sepakat dan Mukhriz dikekalkan Ia adalah satu wakeup call pada MB Kedah bahawa beliau perlu membina semula kepimpinan berpengaruh bukan semata KEPIMPINAN YANG POPULIS.Dikerat-kerat tubuh ini, biar hilang nyawa dikandung badan, saya yakin perjuangan saya adalah demi Islam, bangsa Melayu dan tanahair, kerana disinilah lahirnya sebuah cinta...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Wednesday 20 January 2016

INSTRUMENTAL DATO SERI AHMAD BASHAH BIN MD HANIPAH


1. Sehari dua ini, terutama malam semalam hangat desas-desus bertebaran tentang dunia politik negeri Kedah. Mungkin ramai yang pernah mendengar desas-desus berkenaan setahun lalu, namun tiada sebarang perkara yang merubah landskap politik Kedah ketika itu maka khabar angin berkenaan pergi dan lenyap begitu sahaja. Namun tidak saya nafikan bahawa angin semalam yang bertiup kencang mampu menggoncang Sri Mentaloon yang bakal menjanjikan politik di Kedah bakal kembali kepada keadaan asalnya yang terbukti mantap.

2. Khabar yang saya terima mengatakan segala desas-desus berkenaan tidak dapat disembunyikan lagi apabila pihak tertentu di laman internet secara tiba-tiba telah menyerang Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Video yang memaparkan beliau tertidur di satu majlis di Istana Kedah baru-baru ini begitu cepat disebarkan oleh pihak berkenaan sehingga menimbulkan persoalan tentang 'siapa yang bekalkan rakaman video tersebut kepada mereka yang berada di luar Kedah?'.

3. Gara-gara viralnya video berkenaan, maka Dato' Seri Ahmad Bashah teruk diganyang pihak berkenaan di laman maya meskipun beliau hanyalah terlelap seketika, mungkin kerana terlalu letih ekoran jadualnya yang padat selaku Timbalan Menteri KPDNKK, Adun Bakar Bata dan Timbalan Pengerusi UMNO Negeri dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar. Sejak beliau bertugas di ibu negara, tidak dapat saya nafikan bahawa beliau sering berulang alik dari Kedah ke Kuala Lumpur, menandakan beliau tetap kuat bekerja di peringkat pusat dan tidak pernah melupakan tanggungjawabnya di peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan.


4. Jadi, apakah rasional pihak dan kumpulan cybertroopers yang dikatakan 'upahan' itu menyerang Dato' Seri Ahmad Bashah? Pernahkah Ketua UMNO Bahagian saya itu menyerang, menghentam, menganiaya atau berlaku zalim terhadap mereka? Malah saya yakin bahawa pihak yang membekalkan sumber bahan serangan terhadap beliau itulah yang dulunya datang 'menyembah-nyembah' meminta pelbagai peruntukan dan mungkin secara tidak langsung 'mengugut' untuk menyerang beliau di blog dan media sosial jika permintaan mereka tidak dipenuhi. Saya akui cybertroopers amat penting di zaman ini, namun apakah itu etika dan kualiti seorang pejuang cyber UMNO yang diperlukan? Layakkah mereka mendabik dada mendakwa mereka itu kononnya 'pejuang UMNO'? Lebih pelik lagi, yang diserang mereka bukan pemimpin pembangkang, tapi pemimpin UMNO lain termasuk di pemimpin di peringkat pusat yang diserang? Tambahan pula desas-desus khabarnya mereka dibiayai pihak tertentu yang berkait rapat di bawah seliaan pejabat Menteri Besar, bertambah naik tocanglah mereka. Itu cybertroopers UMNO atau 'polong penghisap darah' sebenarnya?

5. Siapa mereka diluar sana yang mengutuk dan menyerang Dato' Seri Ahmad Bashah? Mereka kenal sangatkah dengan beliau? Jika setakat kenal pada nama, pernah melihat dan berjumpa sekali dua, itu tidaklah bermaksud mereka benar-benar 'kenal' dengan Dato' Seri Ahmad Bashah. Saya selaku Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar sendiri tidak mendabik dada untuk mengatakan saya kenal rapat dengan beliau meskipun saya sudah lama berkhidmat di UMNO Bahagian yang beliau ketuai, kenal dan tahu keluarga beliau, dan hubungan kami tidak terhad di majis rasmi sahaja. Kadang-kala bergurau bertepuk bertampar pun ada dengan beliau yang saya anggap sebagai bapa itu.

6. Mahu menerima hakikat atau tidak, lelaki yang bernama Ahmad Bashah Md Hanipah yang dihina pihak 'penjilat' itulah yang mengetuai UMNO Negeri dan Barisan Nasional Negeri Kedah untuk merampas kembali tampuk pentadbiran kerajaan negeri dari tangan PAS pada PRU ke-13 yang lalu. Beliaulah 'arkitek' sebenar yang menyusun gerak kerja, strategi dan menyatupadukan seluruh warga UMNO di negeri Kedah sehingga berjaya membawa kemenangan manis, merampas kembali bumi jelapang padi dari tangan-tangan yang 'meliwat' Kedah selama 5 tahun. Malah lebih mengharukan, beliau langsung tidak mendabik dada atau mementingkan diri sendiri apabila sanggup merelakan jawatan Menteri Besar diberikan kepada Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir, walaupun beliaulah yang berpeluh-peluh 'bersilat' bekerja keras mengukuhkan UMNO Kedah, mencari dana dan peruntukan, menggerakkan jentera di saat itu.


7. Seingat saya, sudah 6 penggal Dato' Seri Ahmad Bashah menang sebagai Adun di DUN Bakar Bata dan pernah berkhidmat di bawah beberapa Menteri Besar Kedah yang terdahulu, termasuk pernah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri. Maksud saya, penglibatan politik beliau beredar dari zaman ke zaman menyaksikan dirinya dapat diterima oleh orang lama dan generasi baharu. Mungkin masyarakat di luar Kedah hanya mengenali Dato' Seri Ahmad Bashah setelah beliau menjadi Timbalan Menteri KPDNKK, namun jika ditanya pada orang Kedah khususnya di DUN Bakar Bata, percayalah bahawa mereka memandang tinggi kepada beliau sebagai seorang yang sangat merendah diri, bijak bergaul dengan orang ramai, mesra rakyat, tidak pandai berpura-pura berlakon dan paling penting, beliau menghormati seluruh rakyat negeri Kedah walaupun mereka hanya golongan marhaeinis...

8. Saya masih lagi ingat detik-detik kemenangan BN di negeri ini merampas kembali Kedah yang ditawan PAS pada tahun 2013. Wajah Dato' Seri Ahmad Bashah ketika itu yang letih lesu tersenyum gembira mendakap kemas Timbalannya, Dato' Seri Mukhriz. Mungkin menyedari tugas beliau merampas Kedah kembali telah tamat, beliau beransur pulang perlahan-lahan membiarkan 'penjilat-penjilat' mengerumuni Dato' Seri Mukhriz, walaupun mereka-mereka itulah yang membodek beliau sebelumnya. Selaku anak buah beliau, saya faham beliau puas dengan kemenangan yang beliau usahakan sedaya mampunya, namun itulah dunia politik yang turut menjadi tumpuan golongan 'opportunis' yang sanggup mengampu untuk meraih laba. Entah bilalah agaknya mereka akan berubah sikap untuk menjadi 'orang UMNO' sebenar?


9. Selaku hulubalang UMNO Bahagian Alor Setar, maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mempertahankan imej dan integriti Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Kesetiaan yang beliau tunjukkan kepada UMNO dan Bapak Presiden, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak menjadi inspirasi kepada saya sebagai kepimpinan pelapis UMNO untuk mengamalkan sikap setia tidak berbelah bagi kepada ketua dan parti. Pada saya, mungkin tidak salah untuk mengkritik pemimpin, namun biarlah bertempat, rasional, dilakukan ikhlas untuk kebaikan dan berniat membina. Menegur pemimpin bukanlah dengan cara memalukan mereka, menuduh mereka dengan tuduhan tidak berasas bukti yang kukuh atau tergamak menjadi pengkhianat, 'gunting dalam lipatan' yang bermuka-muka di depan, tapi berwajah syaitan di belakang!

10. Justeru itu, saya ingin tegaskan di sini bahawa saya dan barisan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar tetap gagah berdiri menjadi benteng utuh dari sebarang serangan jijik dari mana-mana pihak yang cuba dilemparkan kepada Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Beliaulah bapa kami, beliaulah ketua kami. Membujur lalu melintang patah, keris yang terhunus ini sedia mempertahankan pemimpin kami dari serangan pihak durjana yang cuba mencorak onar padanya. Sama ada 'gunting dalam lipatan' atau 'api dalam sekam', berambuslah 'polong-polong penghisap darah' sekalian keluar dari terus memporak-perandakan UMNO di Kedah! Ini negeri kami dan kami bertanggungjawab mempertahankan kemakmurannya kerana di sinilah lahirnya sebuah cinta...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Monday 11 January 2016

EKONOMI GLOBAL VS EKONOMI NEGARA VS EKONOMI RAKYAT


1. Tahun 2015 sudah pun melabuhkan tirainya. Kini kita sedang berada di awal tahun 2016, mengharapkan sesuatu yang lebih baik berbanding tahun lalu. Secara jujur saya akui, ramai dikalangan kita yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup yang terkini, rentetan dari kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu. Mungkin sudah menjadi asam garam kehidupan, langit tidak selalunya cerah, roda hidup pula berputaran mengikut rentak era dan zaman. Negara kita pernah mengalami keperitan putaran ekonomi. Kita pernah berada dipuncak keselesaan dan pernah diuji dengan keperitan zaman ekonomi meleset pada tahun 1997 hingga 1999 dahulu. Kita pernah makmurkan negara dengan limpahan kekayaan, namun kita juga pernah merana dimufliskan tangan-tangan ekonomi dunia.

2. Menyebut mengenai kenaikan harga barang yang didakwa menekan rakyat, saya suka untuk menganalisa tentang sesuatu harga barang itu mengikut fakta. Seingat saya sebagai contoh, harga sekilogram gula pada tahun 2009 ialah pada harga RM1.45 sahaja. Pada harga tersebut, sebenarnya pihak kerajaan terpaksa membayar subsidi gula sebanyak RM1.26 bilion. Subsidi gula itu kemudian ditarik secara berperingkat sehingga kini dan harga gula yang terkini berada di paras RM2.85 sekilogram. Ertinya, dalam tempoh 6 tahun, harga gula meningkat sebanyak RM1.40 pada harga pasaran. Saya yakin, ramai rakyat yang merungut terutama yang mengeluh dengan kenaikan harga gula tersebut, bukan?

3. Walaupun begitu, saya juga yakin bahawa ramai yang tidak tahun tentang harga gula runcit di negara-negara jiran kita. Sebagai contoh pada tahun 2010, harga runcit sekilogram gula di Filipina adalah pada paras RM3.60, Indonesia pada harga RM3.40 dan Singapura pada harga RM3.05 sekilogram. Itu harga gula di negara tersebut pada tahun 2010 dan kini kita berada pada tahun 2016. Saya tertanya-tanya, apakah harga runcit gula di negara-negara berkenaan tidak meningkat kini atau kekal dengan harga pada tahun 2010? Sekiranya ia kekal, maka saya simpulkan bahawa harga runcit gula di negara kita masih lagi ditakuk yang rendah. Malah, ekoran dari harga gula Malaysia yang rendah itu, tidak mustahil sekiranya ia menjadi mangsa eksploitasi penyeludupan haram ke negara-negara jiran seperti yang berlaku pada petrol dan diesel, bukan?