Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam 1Malaysia, Salam Kedah Aman Makmur di serata-ratanya...
1. Alhamdulillah, akhirnya sampai jua hajat saya untuk memiliki sebuah blog yang bakal menjadi medan untuk saya meluah bicara, menyampaikan pandangan, prinsip perjuangan dan ideologi kepada masyarakat umum, khususnya golongan muda yang memonopoli dunia blog serta laman sosial di zaman serba internet ini.
2. Menyahut perubahan di zaman serba maklumat di hujung jari ini, saya melangkah setapak lagi untuk menyuarakan pendapat saya secara rasmi menerusi medium media sosial.
3. Memiliki dan meluahkan pandangan menerusi blog dan laman sosial merupakan bukti jelas yang menunjukkan pihak kerajaan Malaysia mengamalkan polisi kebebasan bersuara untuk seluruh rakyat.
4. Walau bagaimanapun, saya lebih percaya kepada keterbatasan dalam kebebasan bersuara dan kita sebagai pengamal media sosial perlulah mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
5. Pada pandangan saya, kebebasan bersuara perlu ada batasnya demi memelihara keharmonian di Malaysia yang merupakan sebuah negara yang terkenal dengan sifatnya yang memiliki pelbagai agama, bangsa, suku kaum, etnik, budaya, bahasa, dan adat resam.
6. Mengambil semangat perjuangan yang lahir dari hati, maka izinkan saya untuk menukilkan coretan bagi dikongsi bersama dengan seluruh anak Malaysia.
7. 'Di sini lahirnya sebuah cinta' menandakan penulisan di blog ini adalah memberi fokus kepada perjuangan saya sebagai seorang anak bangsa yang cintakan agama, bangsa dan tanahair, yang lahir setulus seikhlas hati demi konteks kenegaraan sebuah negara bangsa yang maju serta dihormati di mata dunia.
8. Namun, sekiranya saya tersilap atau terkhilaf dalam penulisan di sini nanti, maka saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf atas kelemahan tersebut, serta berjanji akan berusaha sedaya mungkin untuk tidak mengulanginya pada masa yang akan datang.
9. Cuma, para pembaca dan rakan-rakan dipohon supaya membuktikan terlebih dahulu kesalahan tersebut, dan saya tidak akan teragak-agak untuk memohon maaf secara terbuka sekiranya khilaf berkenaan.
10. Apapun, mohon rakan-rakan, pembaca dan warga netizen di seluruh dunia terutama di Malaysia untuk memberi sokongan padu dan mendoakan agar perjuangan ini terus subur di dalam diri saya selagi hayat dikandung badan.
11. Bak kata pepatah Melayu, 'berpantang maut sebelum ajal', perjuangan saya akan diteruskan secara konsisten dari masa ke masa.
12. Akhir kata, terimalah penulisan ini dengan hati yang terbuka demi kelangsungan perjuangan yang tidak pernah selesai. 'Di sini lahirnya sebuah cinta' akan membelah badai perjuangan hingga di hujung nyawa...
Ikhlasnya dari hati,
Syed Johan Rizal Syed Unan
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.