Sunday 10 December 2017

#PAU2017: INTIFADA' DAN JIHAD BESAR UMNO.


1. Tersirna sudah segalanya. Kemurniaan UMNO yang bersandarkan prinsip muafakat, solidariti dan kesetiakawanan yang tinggi di kalangan ahlinya kini jelas semakin teguh. Berpaksikan hakikat dan khidmat cemerlang UMNO dan BN selama ini, maka tidak dapat dinafikan bahawa UMNO merupakan sebuah parti pilihan rakyat dulu, kini, akan datang dan mungkin selamanya.

2. Prinsip perjuangannya jelas, usaha menjulang Islam diletakkan pada tahap tertinggi. Lantaran itulah maka UMNO berjaya menyatukan suara ummah, menjadi harapan dunia Islam dan tetap konsisten menentang usaha regim zionis dengan kerjasama Amerika Syarikat mahu menjadikan BaitulMaqdis selaku ibu negara Israel.

3. Kebenaran dan kejelasan visi UMNO selaku tulang belakang kerajaan BN cukup bermatlamat. Rakyat di negara ini juga semakin jelas dengan hala tuju UMNO yang selama ini cuba dikelirukan musuh-musuh politiknya yang cemburu. Maka tidak aneh jika semakin ramai yang sebelum ini terpengaruh dengan agenda peribadi pihak musuh telah kembali sedar tentang perjuangan sebenar yang didokong parti keramat bangsa ini.


4. Lantaran itulah apa yang dirancang, dibentang, dilaksana melalui siri-siri kejayaan pembangunan dan perkasa ekonomi negara. Bermula dari utara hingga selatan Semenanjung menganjur ke Sabah dan Sarawak adalah bukti jelas bahawa masa depan negara sentiasa dalam situasi kondusif dan makmur di kemudi UMNO dan BN.

5. Berdaya saing serta menjamin pertumbuhan, peluang kerja dan ekonomi selain membentangkan akses yang jelas kepada generasi muda selaku pengisi masa depan negara. Sekaligus, pengumuman KJ untuk tidak mempertahankan jawatan KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA adalah selaras dengan pacuan masa depan agar generasi ini mampu terus menyambung legasi, mencetus realiti.

6. Lantas, penggulungan ucapan YAB PM dalam perhimpunan agong UMNO kali ini adalah yang terbaik serta memberi arahtuju yang amat jelas. Membayangkan betapa beliau bekerja keras untuk agama, bangsa dan negara. Walau diganggu mereka-mereka itu, namun segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat tetap terlaksana dengan jayanya. Itulah Presiden kami, Dato' Seri Najib Tun Razak.


7. Beliau tidak pernah mengenal erti lelah. Jiwanya tetap membara, membakar semangat jitu di kalangan pimpinan semua peringkat UMNO bagi menyediakan parti ini untuk terus menakhoda bumi Malaysia ke arah masa depan yang lebih cerah. Bukan autokratik atau diktator seperti yang sebelumnya, konsep syura dan kolektif menjadi pendekatan paling ampuh yang menyatukan semua.

8. UMNO kini terus menjulang hak bangsa. Tidak hanya kepada orang Melayu, malah memberi keadilan pada semua kaum dan kepelbagaian etnik di negara ini. Inilah agenda murni UMNO dan BN yang membuatkannya terus perlu menjadi pilihan di hati rakyat. Tidak mungkin keharmonian ini mampu dilakukan oleh parti pembangkang, malah merekalah yang menjadi 'batu api' dan hampir pernah merosakkan segalanya.

9. Semboyan perang yang ditiupkan oleh Presiden begitu membakar jiwa. Ia menandakan bahawa PRU ke-14 kali ini merupakan satu medan ' jihad besar ' untuk setiap ahli dan pendokong UMNO demi memastikan survival agama, generasi bangsa dan kesinambungan tamadun bangsa serta keharmonian antara etnik dapat terus dikekalkan.


10. UMNO dan seluruh pengundi perlu yakin bahawa berbanding pakatan parti lain UMNO dan BN berada dilandasan yang betul. Pendekatannya amat jelas murni dan berjiwa besar, dasar dan gerak kerjanya demi memartabat keharmonian dan kesaksamaan sebuah negara bangsa.

11. Ahli UMNO dan seluruh rakyat tidak mempuyai opsyen lain yang lebih baik jika mahu melihat negara ini terus kondusif, aman dan stabil melainkan dengan memastikan BN terus diberi mandat melengkapi kejayaan pentadbiran dan pengurusan negara yang telah dibuktikan selama ini.

12. Hakikat yang diakui kawan dan lawan adalah terhadap realiti kejayaan UMNO dalam tiga aspek yang cukup dicemburui. Pertamanya, adalah kerana keupayaan UMNO dan BN mengurus negara dalam kepelbagaian etnik budaya dan agama. Malaysia bagaikan bayangan Madinah Munawwarah di zaman moden.

13. Keduanya, strategi ekonomi yang betul menerusi pertumbuhan dan agihan sehingga mencipta keadilan sosial yang tidak mungkin dapat direalisasikan pembangkang. Makro dan mikronya diktiraf dunia antara yang terbaik mengendalikan ketidaktentuan ekonomi dunia.

14. Ketiganya, kerana kebolehan meletakkan negara tersohor di pentas antarabangsa. Tidak perlu dihuraikan, nama Malaysia cukup harum di persada dunia kecuali di mata musuh-musuh politik  yang sering memburuk-burukkan imej negara di mata dunia.


15. Pada pandangan saya, inilah yang dikatakan sebagai kesejagatan politik dan keterangkuman yang diketengahkan oleh Timbalan Presiden, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Selain realiti kejayaan, inilah juga yang diutarakan oleh KJ dalam ucapan dasarnya tempohari.

16. Namun kini, siri kejayaan ini dihambarkan dengan nostalgia dongengan ciptaan pembangkang. Konon merekalah 'juara'? Mungkin mereka juara merosakkan minda rakyat. Medium media sosial mereka pergunakan sepenuhnya sehingga melakar titik hitam seolah-olah UMNO itu kononnya sarat dengan isu, kontroversi dan masalah? Bagai memaku dulang paku serpih, hakikatnya mereka mengata orang, padahal mereka yang lebih!

17. Sebenarnya, pakatan pembangkang lebih bermasalah. Jika diteliti, mereka lebih awal dan mengitu berjaya mengamalkan korupsi. Mungkin takut dengan bayang sendiri, maka dituduhnya orang lain? Menilai pembangkang yang terkini, maka apa yang jelas adalah apa yang diketengahkan mereka hanyalah sekadar 'Harapan Palsu' sebagai sajian untuk melekakan dan mengelirukan rakyat. Mereka fikir rakyat bodoh untuk menilai mereka?

18. Lebih mereka menyerang UMNO, lebih kuat UMNO jadinya. Hakikatnya, UMNO akan terus segar dan relevan kerana pendekatannya pragmatis. Visinya jelas, cakna komuniti dan memahami aspirasi generasi kini selain sentiasa bersedia dengan opsyen bagi keperluan generasi akan datang. Maka kerana itulah rakyat yakin dan terus memilih UMNO dan BN!


19. Kini, UMNO semakin kuat dan teguh bukan dek individualistik mana-mana pemimpin. Namun solidariti ahli demi keunggulan parti dalam mengorak langkah sebagai parti yang lebih segar masakini dan bersedia untuk revolusi masa depan. UMNO kini bagai sebuah keluarga yang amat besar dan mendokong perjuangan mengimarahkan agama, memperkasakan bangsa dan terus mendaulatkan negara.

20. Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang dinobatkan sebagai 'ibu kepada seluruh himpunan' kini telah melabuhkan tirainya. Nakhoda tertinggi pengemudi bahtera keramat bangsa juga telah menyampaikan amanatnya kepada lebih 3.6 juga anak kapal yang berikrar berjuang demi agama, bangsa dan negara.

21. Kami semua kini kembali ke posisi masing-masing. Kami kini berada dalam gerakan terakhir. Langkah maut yang bakal mematikan langkah pembangkang dari terus menipu rakyat dan mengelirukan masyarakat dengan otak mereka yang keliru.


22. Orang Melayu tidak mudah lupa. Orang Malaysia juga tidak mudah lupa tentang segala jasa, pengorbanan dan keunggulan UMNO yang menunjangi negara lebih 60 tahun. Yang lupa hanya 'mereka' sahaja. Mereka lupa bahawa UMNO yang mengkayakan keluarga dan kroni-kroni mereka. Tanpa UMNO, siapalah mereka. Tapi mereka begitu muda melupakan itu semua...

23. Akhir kata, bersedialah untuk berentap. Jika penipu dan penyangak menjual, kami pejuang UMNO sedia membeli. Akan kami pertahankan tanahair bumi bertuah dari penjajahan politik palsu yang selama ini berpuaka membohongi rakyat. Anak Melayu pantang berundur, biar terpasak ke bumi, namun UMNO akan tetap kami pertahankan..!

Hidup UMNO..! Hidup UMNO..! Hidup UMNO..!
Hidup rakyat..! Hidup Rakyat..! Hidup Rakyat..!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman