Thursday 31 December 2015

SALAM TAHUN BARU 2016


1. Tahun 2015 semakin hampir melabuhkan tirainya. Segala kenangan pahit dan manis di sepanjang tahun ini bakal tersimpan di dalam lipatan sejarah. Banyak perkara yang telah kita sama-sama harungi di sepanjang 2015. Yang baik dijadikan tauladan dan yang segala yang negatif adalah wajar dijadikan sempadan. Namun yang pasti, tahun baharu 2016 bakal menjelma tidak lama lagi dan sudah tentu ramai yang memasang azam bagi menghadapi cabaran yang bakal ditempuhi nanti.

2. Menghadapi tahun 2016, pertamanya, suka saya untuk mengimbas kembali detik-detik hijrah Rasulullah SAW dari kota Mekah Al-Mukarramah ke kota Madinah Al-Munawwarah pada tahun pertama Hijriah. Detik-detik itu adalah yang paling manis untuk kita kenangi bersama di mana ia menjadi titik tolak perkembangan Islam ke seluruh dunia. Paling utama, detik itu menyaksikan Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar, melambangkan perpaduan umat Islam yang bersifat unggul, ikhlas dan penuh hikmah di sebaliknya.

3. Kedua, saya imbas kembali detik-detik perjuangan nenek moyang kita di bidang tanah yang bernama Tanah Melayu dalam menuntut sebuah kemerdekaan. Dahulunya kita berpecah-belah, namun titik persamaan yang mahu membebaskan Tanah Melayu dari penjajah durjana telah menyatukan semua anak-anak bangsa ketika itu untuk berpadu jiwa berteguh hati memperjuangkan hak di tanah tumpah darah sendiri. Terbayang kelibat Allahyarham Tunku Abdul Rahman berkelana ke seluruh Tanah Melayu menyatukan bangsa yang tercerna di bawah sistem pecah perintah penjajah British. Terasa seolah-olah saya hidup di zaman beliau, teruja melihat bangsa Melayu benar-benar bersatu di saat itu...

Tuesday 15 December 2015

PASCA #PAU2015: MENGORAK KEHADAPAN; SATU PENILAIAN


1. Selesai sudah temasya tahunan UMNO. Perhimpunan Agung UMNO 2015 telah pun menutup tirainya baru-baru ini.Kali ini saya diberikan ruang dan kesempatan menjadi perwakilan G10 selaku wakil pemuda Malaysia. Saat-saat keemasan bertemu sahabat-sahabat seperjuangan di perhimpunan keramat bangsa itu senantiasa benar-benar merupakan detik yang amat berharga buat saya. Sama-sama berkongsi pandangan dan idea, bertukar-tukar fikiran sesama kita, bertengkar kecil namun mesra, kita masih di pohon yang sama, tetap UMNO dihati kita. Terima kasih atas kenangan tidak terucap dek kata itu...

2. Saya tidak menafikan tentang wujudnya kelainan 'angin' yang bertiup di sepanjang PAU 2015 baru-baru ini. Malah sebelum temasya itu bermula, guruh mula berdentum di Kelab Sultan Sulaiman dalam satu majlis yang dihadiri oleh Timbalan Presiden, Naib Presiden dan mantan Presiden UMNO yang dikasihi, Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang negarawan yang sangat saya hormati. Bahang kehangatan itu makin terasa sebermulanya Ucapan Taklimat Presidan yang kemudian disusuli dengan Ucapan Dasar Presiden yang begitu marak bersemangat. Tepukan gemuruh saya berikan kepada Bapa Presiden dan Timbalannya...

3. Ianya bukan lagi rahsia tentang hubungan dingin antara Presiden dan Timbalan Presiden UMNO disaat ini. Tidak lagi bertengkar bertepuk meja di dalam mesyuarat tertutup Ahli Majlis Tertinggi UMNO, pertelagahan itu diheret secara terbuka di depan khalayak rakyat dan acap kali dipetik oleh media-media online pro-pembangkang seperti Malaysiakini.com, Malaysian Insider dan sebagainya. Viral atau tidak 'perang dingin' itu, saya terpaksa akui bahawa kehangatan drama antara dua pucuk pimpinan utama UMNO itu begitu meresahkan para perwakilan dan akar umbi parti di seluruh negara. Tidak terkecuali, saya sendiri.

Wednesday 2 December 2015

#PAU2015: MEDAN MEMPERTEGUH RUH UMNO, BUKAN MERUNTUHKAN SEBUAH PERJUANGAN


1. Pertamanya, saya menyusun jari memohon maaf ekoran sudah agak lama saya tidak menukilkan sesuatu di blog perjuangan agama, bangsa dan negara ini. Kesibukan tugas seharian dan perkara-perkara tertentu yang berlaku dari masa ke masa membuat saya agak kesuntukan masa untuk menulis. Namun akhirnya saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk meluangkan sedikit masa untuk menulis lagi buat kesekian kalinya, kali ini...

2. Sebagaimana yang kita tahun, pada 8 hingga 12 Disember ini, sekiranya diizinkan Allah SWT maka akan berlangsungnya Perhimpunan Agong UMNO 2015 (PAU 2015) di mana seluruh perwakilan dari senegap pelosok negara akan hadir ke himpunan parti keramat bangsa itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Jika tiada aral yang melintang, saya juga akan turut berkampung di sana bersama semua rakan-rakan seperjuangan, insha Allah.

3. Menyebut tentang PAU 2015 kali ini, boleh dikatakan ia sedikit sebanyak mencetus sedikit kontroversi berkenaan beberapa perkara khususnya berhubung liputan media, ucapan perasmian tiga sayap UMNO dan pendekatan pengurusan UMNO sendiri yang mengadakan perhimpunan tersebut dalam keadaan 'tertutup'. Saya kira, pengumuman yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung perkara berkenaan mencetus reaksi yang bercampur-campur.

4. Pada pandangan saya, kenyataan ayahanda Ku Nan tentang liputan media yang terhad dan terbatas tersebut membayangkan tentang ada yang tidak kena dengan segelintir media yang sebelum ini kerap memanipulasi atau menyiarkan laporan yang tidak tepat dalam menyampaikan maksud sebenar tentang PAU 2015. Selalunya terdapat beberapa media yang bersikap begini, khususnya mereka yang dilihat lebih pro kepada pihak pembangkang. Mungkin kerana enggan melihat fitnah dan 'spin' itulah maka ayahanda Ku Nan memutuskan PAU 2015 sebegitu rupa kali ini.


5. Sebagai contoh, PAS sebelum ini pernah terkena dengan media-media berkenaan yang dikatakan suka melaporkan secara tidak tepat dan lebih cenderung untuk 'spin' kenyataan yang diucapkan pada muktamar PAS yang lalu. Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi sendiri mendakwa bahawa 80 peratus dari laporan media online pro pembangkang itu adalah 'spin' dan tidak tepat. Saya menyimpulkan bahawa kerana itulah maka MT UMNO bersikap lebih tegas dan berhati-hati kali ini. Mungkin ayahanda Ku Nan tidak mahu apa yang berlaku di muktamar PAS itu 'dejavu', berlaku pula di PWTC.

6. Walau bagaimanapun, saya berpandangan bahawa tidak semua media bersikap seperti Malaysian Insider, Malaysiakini, Roketkini dan sebagainya. Banyak lagi media yang lebih telus, melaporkan perkara benar dan benar sebagaimana yang dimaksudkan pengucapnya. Dek 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga', dan mungkin kerana itulah media-media lain terpalit 'bau busuk'nya hingga terpaksa terhad kebebasan mereka dalam membuat liputan. Namun saya yakin, pihak UMNO mampu menangani isu media ini dengan baik nanti. Apa yang utama, media perlu menyampaikan kepada rakyat bahawa UMNO merupakan satu-satunya tunjang umat Islam, Melayu yang mampu membela nasib kita semua di bumi bertuah ini.

7. Lagipun, congak saya sekiranya tidak silap, PRU ke-14 mungkin akan berlaku dalam sekitar tempoh 2 tahun dari sekarang. Sudah tentulah kita juga memerlukan penglibatan media untuk membuktikan keteguhan UMNO dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional. Jika mereka melihat pepecahan yang berlaku, bagaimana hendak yakinkan tentang perpaduan dan keteguhan parti tunjang bangsa Melayu ini? Adalah menjadi peranan pihak media untuk melaporkan keteguhan UMNO dan mana-mana media yang dilihat memutar belitkan kebenaran wajar dikenakan tindakan. Saman saja media terbabit jika mereka melakukan onar pada PAU 2015 nanti.

8. Berkenaan dengan ucapan perasmian 3 sayap UMNO yang dikatakan tidak mengikut tradisi yang biasanya dibuat oleh Timbalan Presiden parti, saya menganggap perkara berkenaan hanyalah satu perkara kecil. Tiada sebarang peraturan rasmi yang mewajibkan perkara berkenaan dan ia hanyalah satu tradisi yang mengikut budi bicara MT UMNO. Yang menghangatkan isu ini hanyalah beberapa pihak yang suka menabur persepsi terhadap parti sendiri atau pihak yang mahu menjejaskan imej UMNO, terutama pihak pembangkang. Ia sepatutnya tidak pun menjadi isu.

9. Namun seremeh mana pun sekali perkara berkenaan, saya melihat seolah-olah terdapat usaha untuk menghalang Timbalan Presiden UMNO itu dari memberikan ucapan di atas kapasiti jawatan yang beliau sandang. Pada pandangan saya, mungkin penyampaian ucapan perasmian ketiga-tiga sayap UMNO itu boleh ditukar tradisinya, namun sewajarnya Tan Sri Muhyiddin tidak disekat untuk memberikan ucapan di pentas Perhimpunan Agung UMNO 2015. Jika tidak dipentas ketiga-tiga sayap itu, berilah peluang kepada beliau untuk berucap di pentas yang turut dihadiri Presiden parti. Saya yakin, ucapan beliau tidak akan menjejaskan kuasa, autoriti atau pengaruh Dato' Seri Najib sebagai Presiden UMNO.

10. Mungkin PAU 2015 kali ini agak 'tertutup' sifatnya. Saya faham, mungkin ia diaturkan begitu perjalanannya oleh Allah SWT untuk UMNO memelihara perpaduan dan mengurangkan kontroversi yang tidak perlu. Namun saya juga yakin, platform dan podium di PWTC itu nanti tidak akan menafikan hak kebebasan para perwakilan untuk berucap dan menyampaikan mesej kepada warga parti keramat bangsa itu. Sejak turun-temurun, UMNO tidak pernah menyekat ahlinya untuk meluahkan ruh perjuangan mereka di pentas parti. Dalam pemerhatian saya juga, belum pernah Presiden UMNO bersifat pengecut untuk menghadapi kritikan dari mana-mana pihak. Saya juga yakin darah pahlawan yang mengalir di tubuh Dato' Seri Najib mampu menghadapi sebarang keadaan di PAU 2015 kali ini.


11. Pada pandangan saya, PAU merupakan salah satu temasya yang ditunggu-tunggu oleh setiap warga UMNO di seluruh pelosok negara. Di himpunan itulah kita akan bersuara, mengusulkan idea-idea segar dan melaungkan perjuangan 'alif, ba, ta' sejajar dengan semangat parti keramat bangsa. Tidak juga dinafikan terdapat kritikan, permintaan dan cadangan dari setiap perwakilan yang hadir. Percambahan fikiran dan hala tuju bangsa terzahir pada setiap PAU yang diadakan. Justeru itu, saya percaya bahawa setiap perwakilan dan pembahas di pentas PAU 2015 akan bersikap terbuka dalam meneruskan tradisi berkenaan. Sikap terbuka dan berlapang dada amat perlu untuk memberikan nafas baru kepada transformasi politik di dalam UMNO dewasa ini. Tiada apa yang perlu dirisaukan, jika bertengkar sekali pun, kita masih mampu berpeluk sebagai sebuah keluarga yang bersatu hati dan berjiwa bangsa.

12. Walau bagaimanapun, saya senada dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menegaskan bahawa setiap ahli UMNO perlu seimbang dalam hak kebebasan bersuara dan disiplin parti ketika menyampaikan ucapan, mahupun mengeluarkan kenyataan. Sebelum ini, ramai yang lebih mengambil peduli kepada hak kebebasan bersuara, sedangkan kita juga perlu mementingkan disiplin parti, peraturan dan moral dalam menyuarakan sesuatu. Islam juga menggariskan kita supaya berfikir sebelum bercakap dan hanya meluahkan sesuatu yang baik serta memberi manfaat sahaja. Sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari;
"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam."
13. Saya tidak menafikan bahawa kita semua bebas bersuara. Sebagaimana Islam, agama Allah itu juga memberikan hak kebebasan bersuara. Namun apakah Islam itu membenarkan kita bebas untuk memaki hamun dan mencela sewenang-wenangnya tentang sesuatu yang tidak dipersetujui? Dan begitu juga dengan UMNO, dalam keghairahan menyampaikan ucapan yang berapi-api, kita juga perlu bijak dalam menyusun bahasa yang adil, membina, berhemah dan bermoral tinggi meskipun bagi tujuan membuat kritikan. Sebagai contoh, jika marahkan bapa, apakah kita akan tinggikan suara sebagaimana yang dilakukan terhadap musuh kita?

14. Perlu juga kita berhati-hati tentang kebijaksanaan dalam menyalurkan pandangan atau meluahkan ketidakpuasan hati kita. Sebagai contoh, kita memberi pandangan yang mengkritik rakan kita yang 'lompong' solat lima waktunya dan menggesa dia mencukupkan kewajipan itu. Namun memalukan, kita sendiri solat tidak cukup lima waktu! Kita juga kononnya mahu teguhkan parti, tapi kritikan-kritikan yang kita laungkan di pentas parti itu lebih menjurus kepada meruntuhkan parti dan kepimpinannnya. Apakah itu yang dikatakan cuba memperteguhkan parti atau bagai 'tikus memperbaiki labu'?


15. Pada pandangan saya, saya lebih gemar kepada usul atau cadangan yang disusuli dengan perjuangan yang beristiqamah. Misalnya, jika saya memulakan satu cadangan, maka saya sendiri akan memulakan perlaksanaan cadangan itu di peringkat cawangan saya. Setelah hasilnya berbuah dan terbukti manis, barulah saya akan bawa sebagai usul yang terbukti berkesan. Contoh politiknya, jika kita mempunyai strategi memikat generasi muda untuk berjuang bersama UMNO dan meningkatkan jumlah daftar pemilih yang menarik, sewajarnya idea berkenaan diimplementasikan di peringkat cawangan atau bahagian terlebih dahulu. Jika berkesan dan terbukti berjaya dengan baik, bukankah ia merupakan satu usul yang cantik untuk dibahaskan di PAU 2015 nanti?

16. Walau bagaimanapun, saya sedar bahawa setiap cadangan atau perkara yang disuarakan itu akan diterima atau dilaksanakan. Begitu juga dengan pandangan dan suara saya. Saya hanya meluahkan pandangan dan menyuarakan apa yang terbuku dihati dan saya yakin ia tidak melanggar sebarang ketetapan disiplin parti mahupun ruh perjuangan 'alif, ba, ta'. Yang pentingnya, kita bersama-sama berganding bahu bekerjasama menjaga keutuhan parti dan mengembeling tenaga memerah akal yang diberikan untuk mengutamakan parti lebih dari kepentingan diri sendiri. Itu prinsip yang sepatutnya menjadi pegangan pada setiap pejuang UMNO!

17. Pada saya, dari UMNOlah bermulanya sebuah perjuangan bangsa. Dari UMNOlah tercetusnya pemartabatan Islam sebagai agama unggul di tanah Melayu itu. Dan dari UMNOlah juga terbinanya sebuah negara bangsa yang terdiri dari kepelbagaian kaum, etnik, budaya dan adat resam yang berbeza. Kita sendiri adalah jiwa bangsa Malaysia. Perjuangan kita itu tidak mungkin akan selesai selagi ada petualang-petualang durjana yang mengejar kuasa politik yang masih dimiliki bangsa Melayu ini. Maka saya menyeru kepada mereka yang cintakan agama, bangsa dan negara, ayuhlah kita perteguhkan UMNO seikhlas-ikhlasnya kerana 'Di sinilah Lahirnya Sebuah Cinta'...SELAMAT BERSIDANG!!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar