Monday, 9 March 2015

#KitaLawan Dan Nik Nazmi, Antara Keadilan Atau Alat Politik


1. Saya rasa terpanggil untuk mengulas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), saudara Nik Nazmi Nik Ahmad yang mendakwa himpunan haram #KitaLawan yang diadakan di ibu negara baru-baru ini sebagai “berjaya”. Benarkah dia “berjaya” atau sekadar cuba meraih populariti murahan melalui sentimen negatif di kalangan anak muda demi kepentingan politik sendiri?

2. Mungkin benar Nik Nazmi telah berjaya “menghasut” sekitar 5,000 orang dari seluruh negara untuk berkumpul di ibu negara bagi menjayakan himpunan tersebut. Namun apa faedahnya? Kita semua maklum bahawa realitinya “kejayaan” itu tidak akan membebaskan Anwar dari hukuman penjara, bukan? Sebabnya, Anwar atau sesiapa sahaja tidak kebal dari hukuman dan kedaulatan undang-undang. Ya, yang itu semua orang tahu.

3. PKR lahir di tepi jalan sekitar 1998 dahulu. Ketika itu, Keadilan begitu ramai “hero” seperti Ruslan Kassim, Ezam Mohd Noor, Zul Noordin dan ramai lagi yang pernah ke penjara kerana Anwar. Justeru itu, saya positif untuk mengatakan bahawa himpunan #KitaLawan adalah satu permainan Nik Nazmi untuk mengangkat diri sebagai “hero” PKR memandangkan dia dilihat seolah “lembik” dan partinya semakin ketandusan “hero”. Secara jelas, ia hanyalah demi “political mileage” Nik Nazmi sendiri. Anwar tetap tidak bebas, tapi Nik Nazmi “berjaya” memenuhi matlamat untuk mengangkat dirinya, bukan? Saya tertanya-tanya, bilakah AMK atau PKR akan berubah dan bersifat matang dalam mencapai matlamat. Lain matlamat yang dilaung, lain pula matlamat yang dicapai. Konon bermatlamat membebaskan Anwar, tapi matlamat naikkan imej “hero” Nik Nazmi yang dicapai. Sampai bila PKR mahu terus jadi parti “kelentong” rakyat?


4. Pada pandangan saya, apa yang dilakukan Nik Nazmi itu sudah basi dan kebudak-budakan. Ia hanyalah permainan politik yang menabur persepsi negatif kepada kerajaan dan badan kehakiman negara. Dia hanya bermain sentimen menagih simpati rakyat, kemarahan rakyat melalui elemen tersebut. Sejarah dah membuktikan runtuhnya Kota Melaka adalah wujudnya Si Kitol seperti ini yang bermoduskan gerakan pembunuhan nama baik seperti ini, “Arab Spring” yang berlaku di timur tengah baru baru ini juga lebih banyak membawa keburukan setelah kerajaan Mesir ditumbangkan, Memang licik tindakan itu, namun ia memberi impak yang sangat negatif kepada generasi muda. Tidak salah untuk jadikan diri popular, tapi gunakanlah cara yang bermaruah dan memberi contoh yang baik kepada generasi muda. Kalau terpekik terlolong bagai “anjing menyalak bukit”, apa kesannya? CUMA RETORIK!!


5. Merujuk pada himpunan belia cetusan Ketua Pemuda UMNO, saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) sebelum ini, kempen berkenaan mensasarkan himpunan 1 juta anak muda di Putrajaya. Menariknya, yang hadir di program tersebut adalah seramai 2 juta orang. Itu barulah namanya berjaya menganjurkan himpunan yang benar-benar aman. Orang muda suka dan datang beramai-ramai tanpa mengira agama, bangsa mahupun sokongan politik. Bermanifestasi agenda belia secara positif.  Himpunan haram #KitaLawan ada?

6. Selain itu, dalam menarik sokongan dan menjuarai manifestasi anak muda, saya yakin Nik Nazmi jauh ketinggalan berbanding KJ. Bukanlah bertujuan mengampu, tapi itu realiti dan faktanya. Lihat saja bagaimana KJ berusaha membantu anak-anak muda mendapatkan pekerjaan menerusi BN Youth Job Fair di serata negara, memperjuang peluang para belia mendapatkan kuota perumahan mampu milik di bandar-bandar khususnya untuk bumiputera, parlimen belia sebagai saluran untuk mendengar suara anak muda dan banyak lagi. Nik Nazmi boleh “google” sendiri. Kalau cerita di sini banyak-banyak nanti merah padam pula muka Nik Nazmi dibuatnya, kan?

7.  Jadi, apa untungnya Nik Nazmi mengheret anak muda ke jalanraya, meracun fikiran mereka dengan persepsi negatif yang salah kepada pihak kerajaan selain dari mendapat “political mileage” untuk diri sendiri? Usah melacur minda anak muda dengan dakyah songsang. Tak baik perbuatan seperti itu pada generasi muda. Sebagai pemimpin, gunakanlah daya intelek yang Allah SWT berikan, jangan zalimi minda anak muda dengan dakyah negative yang merosak anak bangsa.


8. Paling menarik, saya melihat KJ sebagai seorang yang suka dikritik. Sama ada kritikan yang membina atau tidak, beliau tetap selamba tersenyum. Pentingnya, dia sanggup berubah sekiranya pandangan atau tersilap dari membuat keputusan. Berani berubah, pemuda berani dan setiakawan merupakan elemen penting yang berjaya beliau gabungkan untuk menapak selangkah demi selangkah dalam memenangi hati anak muda serta mencapai populariti di samping tidak menganjurkan budaya negatif kepada generasi muda. Mungkin perkara itu tidak wujud dalam diri Nik Nazmi hingga terpaksa menggunakan cara basi berhimpun di tengah jalan?

9. Alhamdulillah, UMNO sehingga kini langsung tidak terikut-ikut dengan perangai buruk dan permainan politik PKR itu. Di Kedah misalnya, Stadium Darulaman digunakan sepenuhnya dengan aktiviti ibadah, mengajak anak-anak muda di negeri ini secara berjemaah mencintai Rasulullah SAW di program Mahabbatur Rasul. Ekoran mendapat sambutan hangat, majlis yang mengimarahkan Islam itu diminta untuk dianjurkan sekali lagi oleh golongan anak muda dan ia bakal diadakan selama dua hari bermula 11 Mac hingga 13 Mac ini di lokasi yang sama. Kami mengumpul puluhan ribu anak muda di atas nama ukhuwwah Islamiyah yang jitu. Syabas Datuk Seri Mukhriz Mahathir! Yang pentingnya, kami tidak berarak menyusahkan orang di tengah jalan, kan?


10. Justeru itu, saya mencadangkan kepada Nik Nazmi supaya berubah. JANGAN AMALKAN SALAH SATU DARIPADA 24 PROTOKOL ZION @ YAHUDI ini. Jika tidak mampu menandingi Mukhriz atau KJ, sekurang-kurangnya anjurkanlah aktiviti yang berfaedah kepada masyarakat, terutama anak muda. Kalau tidak kisah tidur dilokap sekalipun, janganlah rosakkan masa depan anak muda lain untuk dilokap bersama. Berpolitiklah dengan sihat, insyaallah Allah SWT akan redha dengan perjuangan kita. Cuba tengok Ezam, Zul Noordin, Ruslan Kassim, Dr Chandra Muzaffar dan ramai lagi “pioneer hero” Keadilan 1998 dulu, semuanya sudah meninggalkan Anwar. Nik Nazmi bila lagi? Apa untungnya jika sekadar meraih nama atau pujian cuma dari kaum keluarga atau suku sakat Anwar?

Yang benar,
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian AlorSetar.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.