Thursday, 12 March 2015

Konvensyen UMNO Kedah 2015: Cabaran Hadapi Politik Serba Mungkin

Majlis Konvensyen UMNO Negeri Kedah 2015
1. Sama ada suka atau tidak, UMNO tulang belakang BN terus diberi kepercayaan menerajui negara dan kembali bertakhta di hati pengundi Kedah selepas PRU-13. Justeru, saya, selaku kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah dan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar menyambut baik dan mengucapkan setinggi tahniah kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, khususnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, atas inisiatif dan komitmen tinggi untuk menjayakan Majlis Konvensyen UMNO Negeri Kedah yang bakal berlangsung pada 14 Mac 2015 hingga 15 Mac 2015 ini yang mana kali terakhir dianjurkan selepas kekalahan BN di Kedah dalam 3 -4 tahun lepas.

2. Kehadiran penganjuran konvesyen UMNO Kedah adalah bertepatan dan telah lama dinantikan oleh kepimpinan akar umbi khususnya diperingkat negeri seperti itu yang bakal diadakan membuktikan bahawa UMNO Negeri Kedah tidak “tidur”dan terus komited dalam matlamat mencapai kelansungan UMNO dan BN dalam penguasaan tampuk kerajaan negeri.Justeru itu, sekaligus menafikan dakwaan-dakwaan nakal dan persepsi negatif terhadap Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah sejak berjaya merampas Kerajaan Negeri Kedah yang ‘dijajah” parti pembangkang sebelum ini.

3. Pada pandangan saya, “Revival” Konvensyen seperti ini sudah sekian lama dinanti-nantikan oleh semua warga UMNO di setiap peringkat di negeri Kedah di mana ia mampu memberikan anjakan paradigma perjuangan politik khususnya di zaman maklumat di hujung jari. Dalam perniagaan, persatuan, kumpulan mahupun peperangan acara mahupun program seperti ini perlu diadakah secara berterusan kerana ia bersifat “retreat” seperti dalam buku yg terkenal ‘Sun Tzu the art of war’ yang menceritakan dalam ilmu peperangan kita memerlukan elemen elemen seperti ini untuk kita mengkaji apakah kelemahan, apakah peluang dan apakah keadaan masakini dalam pergerakan kita. Harus kita ingat, dalam setiap masa dan keadaan kita senantiasa berada dalam ‘mode’ perang. 

4. Dengan perubahan landskap politik negara yang kian mencabar dan berhadapan dengan pelbagai jenis ancaman luar dan dalam, provokasi politik dari pihak yang tidak bertanggungjawab serta penularan fitnah dan perang persepsi di medium laman sosial, seharusnya majlis konvesyen seperti ini amatlah dituntut kerana disinilah medan diskusi kita, di sinilah pekung kita dibuka, di sinilah segala kelemahan kita wajar dikupas dan dicari apakah penyelesaian terbaik dan manisnya ia  berlaku dalam keluarga besar kita yakni UMNO KEDAH. 

5. Justeru, saya menyeru dan mengingatkan para perwakilan konvesyen itu nanti gunakanlah ruang yang ada ini untuk melemparkan permasalahan, cadangan serta pandangan kita terhadap perjalanan UMNO Kedah “Post-PRU13” dan “Pre-PRU14”. Jadikan medan ini untuk isu isu lokal yang membina dan senantiasa mempunyai kelangsungan dan keberuntungan politik terhadap parti yang kita cintai. Jangan kita jadikan ia medan untuk kita menghentam kerajaan negeri mahupun kelompok manapun sehingga menjadi punca perbalahan dan perpecahan. “Wasatiah”lah dalam landasan yang membawa penyatuan Insyaallah!

6. Justeru, ruang konvesyen ini seharusnya menyedarkan juga kita tentang dua perkara; Pertama, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi mengilap semangat kekitaan, menetap aras tuju perjuangan dan mengukuhkan solidariti kita. Kedua, rumusan atau “self assessment” yang tercerna dari resolusi wajar dilaksanakan secara bersungguh. Bukan sekadar menjadi dokumen penghias khazanah semata mata.

7. Pun begitu,saya juga mengingatkan kepimpinan Kerajaan Negeri yang diterajui Dato’ Seri Muhkriz Mahathir perlu berlapang dada supaya menjadi “a good listener” menerima komentar terhadap semua kupasan kupasan perwakilan, permasalahan dan pandangan dengan penuh tindakan yang wajar. Janganlah dengan penganjuran ini yang semestinya menelan kos yang besar semuanya umpama mencurah air di daun keladi, JANGAN RETORIK akhirnya ia ditinggalkan didalam dewan hotel itu sahaja. Jadikan segala resolusi resolusi diterjemahkan dalam tindakan. Dengan itu, Saya percaya dan ternyata, UMNO Kedah sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan politik dan terus memacu jatidiri anak bangsa ke arah memperjuangkan agama Islam, bangsa Melayu dan bumi bertuah bernama Malaysia ini khususnya Negeri Kedah.


8. Adalah manisnya, dengan kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang bakal merasmikan majlis berkenaan, saya yakin bahawa UMNO di negeri Kedah sentiasa mendapat restu dari pucuk pimpinan UMNO di peringkat pusat. Lebih menarik, majlis itu juga akan menyaksikan kemunculan negarawan ulung yang banyak menabur jasa bakti, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang diberikan slot khas di mana para peserta konvensyen diberi peluang untuk berbicara secara dua hala dengan beliau. Pada saya, ia sangat menarik!

9. Selain itu, program yang akan disertai oleh tokoh akademik dari Majlis Profesor Negara (MPN), Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Kedah yang mewakili “Kedah Civil Service” (KCS) sebagai jentera pentadbir negeri akan turut memberikan peluang kepada para peserta untuk berdialog secara terbuka dan terus. Saya “salute” ruang ini diberikan juga pada pegawai kerajaan negeri tertinggi kerana tugas KCS ialah untuk berkhidmat dengan ‘Goverment Of the Day’ dan tugas politikus adalah untuk menetapkan “good governance” dan polisi polisi yang menguntungkan rakyat kerna harus  Kita ingat,  UMNO adalah Wakil Rakyat.

10. Utamanya, majlis konvensyen berkenaan juga menyediakan slot perbincangan meja bulat yang akan disertai oleh para kepimpinan UMNO Bahagian, barisan kepimpinan sayap-sayap negeri dan wakil-wakil pusat daerah mengundi dari seluruh negeri Kedah. Malah, perbincangan meja bulat itu juga bakal menghasilkan resolusi-resolusi yang dijangka akan memberi nafas baru serta idea-idea bernas demi memperkasa dan memperkukuhkan kedudukan UMNO di negeri Jelapang Padi ini.

11. Selaku pemimpin pemuda di peringkat Bahagian, saya istiqamah dan teguh untuk mencari idea bagaimana keahlian dan daftar pemilih mahu ditingkatkan yang cenderung menyokong kita. Hakikatnya, politik adalah permainan angka. Dalam masa yang sama..saya juga ingin mentarbiyah dan merencana program latihan biar “roh perjuangan UMNO” tersemat kukuh di dada Pemuda. Inilah cabaran Pemuda! PRU 14 bukan lagi fokus pada generasi Y tetapi sudah pada generasi Z yang lebih kritis dan pentingkan nilai tambah untuk mencari adiwira mereka. Hampir 5 juta pengundi baru yang bakal mengundi pada PRU 14 menanti sentuhan dari seluruh kepimpinan PEMUDA khususnya di negeri Kedah untuk didekati dan dibelai jiwa mereka.


Tugas asasi kita tentunya merakyatkan program, pencerahan dan justifikasi kepada setiap tindakan, agar segala usaha kita dirasai dan tersemat kukuh didada anak muda serasi dengan tuntutan zaman.

Maka, ayuh, medan konvesyen ini jadikan ia titik lonjakan, kita semarakkan kegemilangan Pemuda dan juga parti dengan langkah bersungguh. Kita ubah RETORIK kepada WALK THE TALK. Kita ubah dari cemuhan rakyat kepada pujian massa. Dinamis dalam gerak kerja.

12. Dengan restu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, “wisdom” dari Tun Dr Mahathir Mohamad,kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, cetusan pemikiran pakar-pakar akademik, informasi dari pegawai pentadbir kerajaan negeri, saya percaya majlis konvensyen ini bakal menghasilkan sesuatu yang sangat positif dan bernilai tinggi kepada UMNO Negeri Kedah.

13. Di akhir konvensyen berkenaan, saya difahamkan bawah semua resolusi yang terhasil dari majlis tersebut akan dibentangkan sebelum acara penggulungan. Ahli dan pimpinan diharap mempunyai semangat baru yang lebih segar...kerja jangan ditangguh, masa tidak menunggu kita. Diharapkan resolusi yang bakal dilaungkan meresap ke akar umbi yang dalam masa yang sama kita UMNO akan menghadapi persidangan tahunan cawangan cawangan seluruh negara.

14. Justeru itu, besarlah harapan saya untuk melihat supaya seluruh kepimpinan UMNO Negeri Kedah, UMNO Bahagian-Bahagian, sayap-sayap UMNO Negeri di pelbagai peringkat serta seluruh pejuang-pejuang agama, bangsa dan negara untuk sama-sama melaksana dan menjayakan, sekaligus “menghidupkan” resolusi-resolusi yang bakal dibentang nanti.

15. Majulah UMNO demi agama Islam, bangsa Melayu dan tanahair. Itulah perjuangan sebenar UMNO dulu, kini dan selamanya...Di sini Lahirnya Sebuah Cinta...SELAMAT BERKONVENSYEN!!

Ikhlas dari,
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.