Wednesday 27 July 2016

KONSPIRASI YANG TAK PERNAH BERHENTI…


1. Kira-kira 15 tahun lalu, dunia digemparkan bila Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York runtuh bagaikan dibakar minyak apabila dua buah pesawat yang dibawa oleh pemandu yang baru beberapa hari mendapat lesen, dikatakan merempuh bangunan ikonik yang menjadi mercu kejayaan Yahudi di bandar raya dagang terbesar dunia.

2. Lantas, dilancarkan gerakan memerangi pengganas dunia yang dikatakan kononnya dikepalai Osama bin Laden, yang kemudian di akhir pemerintahan Obama, Osama diraikan berjaya dibunuh, namun sehingga kini kuburnya entah dimana sekaligus menjadi tanda tanya dunia.

3. Suatu ketika dahulu Iraq, ketika mana regim Saddam yang semasa perang 9 tahun Iran-Iraq dikatakan adalah ejen CIA yang kemudiannya berpaling tadah, telah dimomokan dengan tuduhan memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Maka George W. Bush melancarkan perang propaganda, dan berlakulah penaklukannya pada 1990. Kemudian diwarisi anaknya George Bush dan sehingga kini, Iraq musnah. Namun senjata pemusnah yang dikatakan itu tidak pula dijumpai walau sebutir, walhal kekayaan minyak Iraq kini dimonopoli oleh Amerika.


4. Saya juga meneliti krisis kewangan dan ekonomi serantau sekitar 1997 yang melanda Asia Timur dan Asia Tenggara. Di sebalik teori 'tomyam' menyaksikan semua negara terkesan dan menerima pakej bantuan IMF yang kemudiannya menyaksikan pemulihan yang cukup pantas, tiba-tiba sebuah negara bernama Malaysia dipimpin insan yang dikatakan arkitek dunia Islam dan negarawan hebat, boleh mencari formulanya sendiri menerusi tambatan ringgit dan beberapa kaedah lain.

5. Ironinya, jika perisian komputer semua jenama mesti memakai jenama Microsoft ciptaan Bill Gates, mana mungkin perisian antivirus memakai jenama dikeluarkan dari India. Tidak masuk akal bukan.

6. Maka di saat itu susuk tubuh bergelar negarawan hebat itu dijulang selaku wira dunia ketiga? Persoalannya apakah itu sengaja diciptakan bagi melindungi hakikat sebenar? Ini masih menjadi tanda tanya, walhal keakraban si negarawan Malaysia dan George Soros yang dikatakan menjadi dalang serangan matawang cukup intim dan rapat sekali.

7. Saya lantas membuka karya hebat seperti Protocol of The Zions, The Unseen Hand, Pawns in The Game, The Art of Deception dan The Final Chapter. Saya semakin faham berkenaan 'double agent', pendekatan dan strategi 'bad and good cops', selain sikap bermuka muka.

8. Saya buka pula sirah dan kitab lama, Abdullah bin Sabak juga dulunya berpura-pura Islam, disanjung masyarakat, lantas mengumpulkan kelompoknya sehingga mengkucar-kacirkan pemerintahan Saidina Uthman Ibni Affan sehingga Khalifah Islam ke-3 itu terbunuh syahid. Saya juga meneliti kisah 3 orang ulama Maghribi yang datang ke Madinah, berpura-pura menjadi ulama besar sehingga berjaya mengajar di Masjid Nabawi. Walhal niat sebenar mereka ingin mencuri jasad Nabi S.A.W. dimakam baginda untuk dipindahkan ke Maghribi. Namun Allah lebih berkuasa dengan menghadirkan mimpi kepada khalifah ketika itu, lantas jasad Rasullulah S.A.W di bumi Madinah terpelihara sehingga kini.

9. Semuanya bukan kebetulan, dirancang, sepertimana Roosevelt merancang penglibatan Amerika dalam Perang Dunia ke-2 dengan beralaskan sebab Pearl Habour diserang tentera Jepun. Walhal maklumat risikan telah diketahui oleh Roosevelt lebih awal sebelumnya.

10. Sama seperti WTC di New York, pada hari ianya diletupkan, semua pekerja Yahudi dari syarikat Yahudi tiba tiba boleh mengambil cuti, seolah-olah mereka sudah dimaklumkan lebih awal.


11. Saya tidak hairan juga kenapa dengan tiba-tiba Jabatan Keadilan Amerika berminat dengan Malaysia di bawah Najib. Oh ya, setelah disingkap banyak sebab rupanya. TPPA yang Malaysia turut serta membuktikan banyak syarat menguntungkan negara dipelihara termasuk hak Bumiputera, itu adalah kesan kecekapan perunding negara kita.

12. Bila dibuka lembaran kajian, baru terlihat data, era 1985-2000, di zaman pemerintahan negarawan bernama Mahathir, pelaburan Amerika mewakili 42% dan menguasai aset strategik negara lebih 27 % tertinggi berbanding negara lain. Walhal pada masa itu Mahathir mewajahkan dirinya seolah-olah anti-Semitic dan anti Amerika. Rupanya lakonan dan 'the art of deception' semata-mata.

13. Dan bila Najib lebih mesra dengan dunia Arab, bertemu mata dengan Perdana Menteri Palestine, Ismail Haniyeh, akrab dengan Putera Raja arab Saudi dan Amir Qatar termasuk beroleh derma dan hadiah kerana usaha memerangi pengganas IS dan DAESH yang turut dicipta oleh ejen CIA, Amerika bagaikan tidak senang hati.

14. Seperti biasa, taktik ugutan digunakan. Isu IMDB yang hangat diperkatakan kini menarik minat DOJ Amerika. Lantas mereka berkata akan menyiasat dan bertindak hasil dari aduan awam. Rupanya si pengadu awam itu adalah rakyat Malaysia, membayar USD100 juta semata-mata untuk DOJ Amerika bertindak? Tujuannya hanya satu, memalukan pemimpin negara,imej Malaysia dan sebagai 'blackmail' agar kesemua impian dan tuntutan Amerika selama ini ke atas bumi tercinta ini dipenuhi.

15. Dari sudut perundangan, kes ini cukup mudah difahami. Ianya adalah aduan awam terhadap beberapa individu yang dikatakan melakukan pengubahan wang haram untuk membeli aset di Amerika, satu aktiviti yang tidak dibenarkan oleh mana-mana negara sekalipun. Individu berkenaan tidak pernah pun dikaitkan menggunakan atau mencuri wang 1MDB. 1MDB hakikatnya berurusniaga sama ada dari sudut pelaburan dan perniagaan dengan dua entiti korporat, yakni IPIC dan AABAR Group.


16. Secara aliran tunai, laporan kewangan diaudit duit 1MDB tidak pernah dicuri atau hilang dimangsakan oleh dua individu yang dinamakan di dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika. Jika ada pelanggaran atau penipuan, ianya melibatkan salah laku antara si individu tadi dengan IPIC dan Aabar Group.

17. Dalam konteks ini jugalah, dek kerana tergesa-gesa hanya kerana menerima aduan awam yang sudah terancang dari Malaysia, maka kertas tindakan sivil DOJ menyatakan “tindakan untuk melucutkan aset berkaitan kecurian di 1MDB”, walhal sepatutnya kertas siasatan dan tindakan saman berbunyi, “tindakan untuk melucutkan aset berkaitan kecurian di IPIC’.

18. Secara legal, berdasarkan bukti dokumen, aliran wang 1MDB tidak pernah melakukan apa-apa usahasama perniagaan bersama Riza Aziz atau Jho Low, profesionalisme dan urusan dagang terhad kepada dua entiti yang dinyatakan yakni IPIC dan AABAR Group.

19. Lagipun, ianya sekadar tindakan siasatan, pemula, yang memerlukan Jabatan Kehakiman Amerika mengemukakan bukti, hujah, menyoalsiasat individu terbabit untuk membolehkan Mahkamah mensabitkan tindakan melucutkan aset milik dua individu terlibat. Kesediaan dan kemahuan YAB Dato' Seri Perdana Menteri sendiri yang sedia memberi kerjasama di pihak kerajaan Malaysia dan mahu individu terlibat yang rakus itu jika didapati bersalah dihukum, menjelaskan segala-galanya. Sebab itu, sebarang tuduhan yang cuba mengaitkan tindak-tanduk tamak lagi rakus dua individu ini dengan MALAYSIAN OFFICIAL NUMBER ONE adalah tidak mempunyai korelasi sama sekali. Kesan perbuatan dan salah laku mereka jika didapati salah sekalipun oleh Mahkamah Amerika tidak boleh dipindahkan tanggungjawabnya kepada individu lain. Ini prinsip asas yang difahami oleh semua pegamal undang-undang.

20. Analoginya mudah. Apakah jika anak PAK MAT menagih dadah, satu tuduhan semberono wajar dibuat atas alasan, ‘anak Pak Mat menagih dadah kerana Pak Mat didakwa dan disyaki mengedar dadah”? Walhal, pekerjaan Pak Mat adalah seorang petani yang berjaya. Inilah bezanya, dan setiap aduan atau tuduhan serta pendakwaan harus melalui satu siri proses siasatan dan penghakiman yang rapi disertakan dengan keterangan dan pembuktian yang melampaui keraguan yang munasabah.

21. Lantas, aduan, dakwaan dan tuduhan ini tiada lain, satu lagi usaha mencemar dan mengaibkan imej pimpinan negara sebagai paku keranda terakhir untuk meruntuhkan sebuah pemerintahan demokrasi demi menaikkan satu regim atas dendam kesumat dan agenda peribadi.

22. Kepada Allah kita berlindung dari petaka dan musibbah yang bakal menimpa negara. Musuh dalam selimut ini perlu kita tangani habis-habisan.

Allahu Akhbar!!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Thursday 14 July 2016

GILA TALAK: CUBAAN PEMAKAN DEDAK MENJADI HERO JADIAN.

1. Dua tiga hari yang lalu, tiba-tiba mantan Setpol era PAS mentadbir Kedah cuba belagak hero di media maya dengan sisipan angka dan faktanya berhubung isu air yang menyimpang, lantas saya dihubungi beberapa pihak yang pernah menjadi mangsa kehebatan si Setpol berkenaan semasa beliau gah di atas singgahsana.

2. Kesian pada seorang kakitangan MBI yang ditumbuk, kesian pula pada beberapa pegawai PKNK yang dikambing hitamkan, dan simpati pula pada beberapa pegawai BDB yang teraniaya.

3. Isu yang dibangkitkan oleh saya dalam konteks pengurusan air di Kedah adalah isu kelemahan dalaman pengurusan organisasi oleh pihak penguasa pembekal air yakni SADA.

4. Bagaimana kerajaan kini mewarisi sekian banyak legasi buruk tinggalan kerajaan PAS terdahulu kesan kelalaian dan kelemahan pemantauan ke atas pengurusan SADA.

5. Malah, bila si mantan Setpol membangkitkan hutang air kerajaan Kedah sejak MERDEKA, dengan angka yang bersimpang siur, sekejap RM1.7 bilion, ada pula angka RM1.9 bilion, sekejap yang dicakapkan oleh Pesuruhjaya PAS RM2 bilion, dan diwaktu yang lain pula dilontarkan angka RM2.4 bilion oleh cybertroopersnya.

6. Hakikatnya hutang keseluruhan kerajaan Kedah sejak 1957 ialah RM2.3 bilion (data MOF). Termasuk hutang pembinaan Insaniah yang dibuat PAS bernilai RM330 juta, melalui pinjaman 'bersindiket' yang dibuat dengan bank, dan kini kerajaan BN terpaksa mengeluarkan dana membayar hutang RM62 juta setahun termasuk urusan penyelenggaran INSANIAH.

7. Hutang air meliputi hutang bekalan air luar bandar RM400 juta, selain hutang pembangunan infra yang lain benilai lebih RM1 bilion.

8. Sebahagian dari hutang ini sudah ditukar menjadi geran, dan apabila dimuktamadkan rundingan dengan Perbadanan Aset Air Berhad milik kerajaan Persekutuan, maka hutang pengurusan bekalan air oleh SADA menjadi sifar.

9. Isu sebenar yang saya bangkitkan ialah kaedah pengurusan bekalan dan agihan air. SADA selaku sebuah entiti yang ditubuhkan 1 Januari 2010, dizaman PAS, sepatutnya apabila menjadi entiti korporat lebih cekap dan tangkas operasinya.

10. Mantan Setpol PAS berkenaan tidak boleh menafikan bahawa apabila JBA ditukar kepada SADA, dua bulan kemudian krisis teruk berlaku di seluruh di Kedah. Mantan Setpol yang dianggap oleh pegawai KCS sebagai garang dan semberono ini, harus akui hakikat bahawa kadar tarif air dinaikkan SADA dengan persetujuan Ahli Lembaga Pengarah SADA yang juga didalamnya ada ahli PAS dan rakan sekutunya pada kadar 25-44% pada 1 Oktober 2010, sepuluh bulan selepas SADA ditubuhkan. Dan jangan pula lupa, 1 Januari 2011, bermulalah sisi gelap untuk rakyat apabila bayaran bil tidak lagi boleh dibuat di pejabat POS.


11. Mantan Setpol juga mungkin lupa di zaman ahlinya menjadi Lembaga Pengarah SADA jugalah kos operasi pembekalan air oleh lori-lori air ke kawasan krisis mendadak kosnya dengan langsung tidak masuk akal. Nilai air dihantar RM1,900 tetapi kos sewa lori menjadi RM52,000. Perniagaan apakah bentuknya ini? Sekali lagi kegagalan pengurusan, bukan soal infra atau bekalan.

12. Unit NRW yang ditubuhkan diera PAS pula, hanyalah unit yang sebenarnya tidak memainkan fungsi yang jelas. Dapatan NRW pada kadar 47-50%, apabila SADA ditubuhkan hanyalah justifikasi bagi memperoleh pakej geran RM300 juta dari kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembaikan.

13. Walhal jika angka NRW sebanyak 50% ini mahu dijustifikasikan bermakna, dari rumah saya di sebelah KMC hendak ke pejabat guaman saya tentulah saya menaiki sampan.

14. Samalah, sepertimana geran penyelenggaraan jalan yang diperoleh kerajaan PAS dari Pusat, hanya separuh dibelanjakan, dan separuh lagi entah kemana disimpan atau disalurkan. Maka sepanjang 2009-2012, isu jalan compang camping menjadi bualan. Rim tayar kereta berulang kali perlu ditukar kesan bencana ini.

15. Sekali lagi isu terasnya ialah ‘management’ serta integriti dan jika MANTAN Setpol mempertikaikan kononya segala geran pinjaman bernilai berapa billion sekalipun yang diperoleh BN yang gagal dimanfaatkan untuk operasi bekalan air, berlaku penyelewengan itu merupakan tuduhan fitnah berniat jahat. Malah beliau sekali lagi telah tersalah fakta.


16. Dengan geran dan dana kerajaan PERSEKUTUAN, sepanjang 12,000 km paip air dapat dibina. 36 loji rawatan air tersedia, 100% kawasan bandar diliputi bekalan sementara 95% dikawasan luar bandar mendapat agihan bekalan. Dana dan pinjaman itu jugalah membolehkan tambahan sebuah Empangan yang bernama Empangan Beris di kawasan mantan Setpol tinggal dapat dibina sebagai perancangan bekalan air jangka panjang.

17. Masalah SADA selaku entiti korporat yang syernya dipegang kerajaan negeri ialah keperluan peningkatan khidmat. 493 juta padu air yang dihasilkan setahun hakikatnya cukup untuk 2,064,300 juta rakyat Kedah selain industri yang sedia ada. Raw waternya cukup, water reservoirnya selepas digunakan seharian juga cukup,untuk rekod berada pada kadar 2.0 juta liter padu sehari selepas comsumption penuh seharian. Ini data bagi tahun 2014, 2015, 2016. Berbanding reserve margin yang hanya pada kadar 0-0.1 juta liter padu sehari di tahun 2010, 2011 dan 2012 (zaman pemerintahan PAS). RESERVE MARGIN mampu lebih tinggi jika kapasiti loji rawatan siapsaga sepenuhnya. 

18. Juteru itu, isu sebenar ialah pengurusan agihan bekalan, ada petempatan yang diduduki seramai 100 orang tetapi saluran bekalannya untuk 1000 orang sementara di kawasan penduduk 1000 orang, disalur pula bekalan untuk 100 orang. Inilah audit yang gagal dilakukan bermula di zaman PAS, dan isu teknikal ini sudah diamati dengan nasihat pakar teknikal kejuruteraan air anak Kedah yang berkhidmat di banyak agensi.

19. Lantas, apabila isu ini dikenalpasti, langkah pembetulan sedang digerakkan, dan dalam tempoh 3-5 bulan exercise membetulkan semula agihan mampu menyelamatkan keadaan. Sebab itu YAB DS MB mengambil keputusan memanggil semua pihak bagi memuktamadkan solusi jangka pendek, sederhana dan panjang berkaitan isu air pada 12 Julai yang lalu, malangnya ramai ADUN PAS yang dijemput tidak hadir. Kerana mereka memilih untuk menunjuk pandai barangkali di FB dan mencari glamour dengan membuat laporan polis di IPD.

20. Jangan dilupa hakikat, apabila krisis air seluruh Kedah berlaku 2010, PRO SADA juga gagal memberi jawapan, bersembunyi di bilik CEO apabila Puspavathy Ramaloo dari TV3 datang mendapatkan kepastian.


21. Padanlah bila diteliti kenapa 2,000 aduan di musim raya baru-baru ini tidak ditangani dengan wajar, banyak kemusykilan yang timbul. Lebih malang susulan tindakan tidak ada, rekod aduan dan penyelesaian tindakan tidak direkodkan. Rupanya apabila disemak sisi latarbelakang PRO SADA, rupanya adik kandung beliau adalah calon PAS yang tewas di DUN Jeneri PRU ke-13 yang lalu. Dan PRO sendiri adalah AJK PAS kawasan Sik yang mantan Setpol lebih mengenalinya kerana mantan Setpol adalah penduduk Kg Sg. Pau yang juga di Sik, yang khabarnya pagar rumah beliau sahaja begitu gah dan hebat.

22. Justeru jika mahu dibuat ‘witch hunting’ semua pihak ada sisi gelapnya. Persoalan sebenar yang cuba ditunjuk hero oleh mantan si SETPOL era PAS tidak membawa apa-apa faedah melainkan cubaannya menjadi juara rakyat. Setelah 3 tahun membisu kesan terpukul teruk dengan kekalahan PAS dalam PRU ke-13 yang lalu. Apatah lagi YB Phahrolrazi kini sudah sertai PAN, YB Dato Mahfuz juga bercuti dari YDP PAS Pokok Sena dan intim dengan PAN, demikian juga YB Amiruddin HAMZAH sudah meletakkan jawatan selaku YDP PAS Kuala Kedah. YB Nasir Mustaffa, ADUN Kubang Rotan juga lebih mesra dan rapat dengan PAN.

23. Hanya tinggal si mantan Setpol sahaja ruang dan peluang baginya menonjolkan diri. 

24. Bagi kami di BN, lawan sebenar bertaraf heavyweight adalah PH, bukan PAS, kerana banyak legasi bobrok yang jika diungkit dan diulang siar tidak termampu dijawab PAS. Rakyat Kedah tak mudah lupa. Rakyat Kedah masih ingat isu haru birunya KUIN, isu transaksi tanah PKNK dan BDB yang meragukan, isu pelaburan balak di PAPUA NEW GUINEA yang lebur.

25. Isu TSM di Sungai Kob, Kulim yang ditukar menjadi ‘perkuburan cina’. Isu madrasah Salihiah dan tanah waqaf yang dirompak secara halus, isu cubaan memajak Taman Wira Mergong kepada bank untuk urusan penduduk membayar tunggakan bayaran sewa rumah. Isu Ladang Rakyat yang ladangnya tidak kelihatan, balak yang hilang. Sehingga air teh susu keluar di saluran paip penduduk Baling, Kubang Pasu dan Padang Terap. Isu K-keli yang kelinya tak sempat dibeli, tapi balak juga yang hilang. Isu kilang mengetin buah, yang buah rambutan dan nenasnya entah kemana, namun kambing jua yang menjadikan kilang berkenaan tempat beristirehat. Isu meriahnya Kedah dengan pusat hiburan, pusat judi online, disko, pub dan rumah urut tatkala Kerajaan PAS diharapkan membawa DAULAH ISLAMIYAH. Termasuk isu perebutan menjadi MB dan isu penolakan jawatan EXCO oleh dua EXCO kanan sehingga tuan Presiden PAS terpaksa turun ke Mentaloon menyelesaikannya.

26. Dan mantan Setpol memang bijak dalam mengurus soal ini, apabila berjaya memujuk ADUN Bebas Lunas, Bakar Arang ketika itu di sebuah Restoran di Shahab Perdana untuk menandatangani sokongan menyebelahi arwah Ustaz Azizan dengan kesemua tandatangan sokongan itu keesokan paginya dihantar ke Istana Negara. Akuilah kerana saksi hidup berhubung perkara ini masih bernyawa termasuk Walid saya yang mantan Setpol tentu ketahui apa jawatan dan tugasnya di istana……

27. Maka benarlah,kata bidalan, jika ekor bergelumang taik, salakan jadian jangan direka. Muhasabah diri, teliti kenapa PAS jatuh 2013 lalu, susun semula strategi dan lawanlah kami secara gentleman politik. Bukan politik menghasut, melencong dan menjadi batu api.

28. Dan saya tidak memerlukan dedak dari YAB DS MB, status jawatan saya selaku Pegawai KHAS tidak termasuk dalam payroll kerajaan Negeri, boleh disemak. Perolehan dan pendapatan dari syarikat saya lebih dari mencukupi buat membantu memenangkan perjuangan parti saya. Bukan semua pemimpin dan ahli UMNO gelojoh, dan kami tidaklah seperti pegawai khas di era mantan Setpol berkhidmat, dengan skil gaji yang dinaikkan begitu tinggi.

29. Namun, apabila ketua BAHAGIAN saya yang juga selaku MB dinista, ditohmah, maka menjadi kewajaran selaku pimpinan pemuda Bahagian bangun untuk menjelas dan mempertahankan semuanya.

30. Dan jangan menggangap kesemua usaha murni sebegini kesan dari disumbat dedak, kerana setahu saya dan hasil makluman dan rekod yang ada, mantan Setpol PAS lah antara pemakan dedak terbesar di era PAS bermaharajalela. Cukuplah tak perlu didedahkan semuanya. Prinsip UMNO bukan bermain sentimen politik mengaibkan atau sentuh pribadi seperti lagak laku sebahagian budaya PAS. Akan tetapi berlawan secara anak jantan di gelanggan sebenar. Gelanggang politik, dan PILIHANRAYA adalah medan untuk membuktikan segalanya.

LAWAN TETAP LAWAN!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Wednesday 13 July 2016

KRISIS DITANGANI, KEPERLUAN AIR DISANTUNI


1. Tanggal 12 Julai 2016, bertempat di Bilik Gerakan, Blok E, Wisma Darul Aman terpahat satu lagi sejarah baru di negeri Kedah, bumi bertuah Jelapang Padi ini.

2. Julung kalinya demi merungkai kemelut yang dihadapi 2.1 juta rakyat berkaitan keperluan asas yakni bekalan air bersih, YAB DS Ahmad Bashah menterjemahkan konsep Muafakat Kedah secara amali lagi realistik.

3. Semua pimpinan tertinggi, pengarah agensi dan Jabatan serta Ahli Parlimen, ADUN kerajaan dan pembangkang duduk semeja, lalu digarap idea yang cukup praktikal demi rakyat di seluruh negeri ini.

4. Lantas, sepanjang seminggu lalu tatkala umat Islam berhari raya dan krisis air mula melanda, maka dengan sentuhan ‘keperwiraannya’, DS MB telah memuktamadkan langkah berikut sebagai plan jangka pendek dan panjang. Di antaranya:
a. Penubuhan Jawatankuasa Bertindak bagi menangani masalah air yang dipengerusikan secara bersama di antara Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri dan Exco Sumber Air. 
b. RM37 juta peruntukkan KKLW diluluskan bagi program  bekalan air dan masyarakat menerusi medium kerjasama dengan Kementerian Kesihatan. Ini bakal memnafaatkan pengguna di kawasan separa dan luar bandar di negeri kita. 
c. Penghantaran lori-lori tangki yang membawa bekalan air ke kawasan yang memerlukan dan terkesan secara cekap dan konsisten. 
d. Pembinaan 6 buah loji rawatan air yang baru untuk keperluan bekalan air jangka panjang. 
e. Mewujudkan 'tube well' atau telaga tiub melalui kolaborasi bersama Jabatan Mineral dan Geosains, dan lokasi tiub berkenaan ditentukan hasil maklumbalas kaji selidik ADUN dan Ahli Parlimen di kawasan masing-masing. 
f. Mengadakan tong-tong air statik di kawasan terpencil yang padat penduduk khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan. 
g. Melakukan transformasi bekalan air di Negeri Kedah dengan komitmen kerjasama kerajaan Pusat berjumlah RM2.8 bilion.

5. Hakikatnya, liputan bekalan air di KEDAH yang diuruskan SADA sudah mencapai tahap infiniti dari segi data rekod. Di kawasan Bandar mencatatkan angka 100% dan di kawasan luar bandar 95%. Ini adalah satu rekod dan upaya prestasi terbaik.

6. Isunya produktiviti dan khidmat ini haruslah digandakan di masa hadapan dengan penambahbaikan khidmat di Pusat Aduan selain usaha susulan bagi aduan dibuat pengguna.

7. Memang benar, menguruskan air ke saluran paip berkehendakkan kepakaran tenaga, skills dan pengetahuan luar biasa. Air adalah industri strategik dan berkait dengan ‘state security’ selain ianya adalah 'basic necessity of life' yang tidak boleh dipandang enteng.

8. Alhamdulilah, sejak BN mengambilalih Kedah pada 2013, pelbagai usaha transformasi sudah dibuat bagi pembaikan ke atas khidmat SADA. Sekalung tahniah kita rakamkan kepada seluruh petugas SADA yang sepanjang musim perayaan telah menunjukkan komitmen tugas yang luarbiasa sifatnya.


9. Saya ambil contoh, penghantaran lori-lori air ke kawasan terjejas yang mengalami tekanan air rendah dan terputus bekalan. Untuk kesemua 12 daerah di Kedah, SADA telah Berjaya melaksanakan misi menghantar 584 trip lori air, dengan isipadu air berjumlah 2.12 juta liter air sehari yang telah memberi manfaat kepada 225 buah kampong dan kawasan perumahan di seluruh negeri.

10. Berhubung aduan, isu bekalan khasnya pengguna yang terjejas kesan tekanan air rendah dan terputus bekalan, secara angka ianya hanya melibatkan kira-kira 160,000 penggguna, atau 7.3% dari sejumlah 566,121 akaun (2.1 juta pengguna keseluruhan) khidmat bekalan air SADA.

11. Maknanya peratus ini jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan isu yang sama dihadapi Selangor, Johor, Kelantan dan Pahang.

12. Dengan pelan tindakan sistematik bagi pembinaan 6 buah loji baru, selain mengawal selia dan menaik taraf 36 buah loji sedia ada yang mampu menghasilkan air terawat dengan jumlah kapasiti 1.38 juta meter padu sehari, SADA pastinya dalam menoleh masa hadapan mampu menjadi antara penyedia perkhidmatan terbaik kepada seluruh pengguna di Kedah.


13. Apatah lagi melalui komitmen YAB DS MB, selaku PENGERUSI SADA dan hubungan baiknya dengan Kerajaan PERSEKUTUAN, melancarkan lagi perlaksanaan pelan tarnsformasi bekalan air Kedah yang bernilai RM2.8 bilion dapat dimuktamadkan pelaksanaannya, demi manfaat rakyat, kepentingan industri air dan pengguna di masa hadapan.

14. Ironinya, pada detik ini terbukti, visi jelas YAB DS MB dalam merungkai krisis yang gagal ditangani semasa kepimpinan kerajaan PAS, dan juga satu pembuktian bahawa agensi seperti SADA mampu berdaya saing dan kompeten untuk menjadi penyedia perkhidmatan bekalan air yang cekap bertaraf regional seperti citra visi syarikatnya.

15. Inilah keunikan, dan inilah dinamika Muafakat Kedah apabila krisis Berjaya ditangani, keperluan air untuk rakyat disantuni. Syabas kepada semua pihak, tahniah untuk kepimpinan berani YAB MB dan komitmen SADA dalam memikul amanah yang berat ini.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Friday 8 July 2016

MONOLOG UNTUK SADA…(SYARIKAT AYAQ DAH ABIH)


1. Servis utiliti termasuk perkhidmatan bekalan air memerlukan kecekapan berganda. Di Australia, Cina dan Kanada ia dirangkum di dalam seni pengurusan risiko dan strategik. Ia bukan mudah untuk diuruskan dan memerlukan kepakaran yang tinggi serta pengetahuan luas mengenai pengurusan industri air.

2. Maknanya, jangkaan keperluan harus tepat, persiapan kontingensi perlu ada, dan tidak boleh kekal berpuas hati dengan apa yang ada. Sebaliknya, ia perlu diuruskan dengan kaedah yang lebih menyeluruh, pelbagai penyelelidikan dan kajian serta tindakan yang tepat pada masa yang sesuai.

3. Semenjak SADA diswastakan di bawah kerajaan PAS, banyak usaha murni dibuat. Namun sejak itu juga mutu bekalan, tahap operasi menjadi bualan rakyat Kedah.

4. Di musim perayaan, sudah boleh dijangka penggunaan bertambah, isipadu liter air yang diperlukan turut meningkat mendadak. Selain isu paip lama yang belum diganti, loji air baru yang masih dalam pembinaan di Pokok Sena, serta isu paip pecah yang meningkatkan kadar peratusan NRW (Non-Revenue Water), SADA selamanya tidak lagi boleh  bersandarkan pada isu-isu konvensional sebegitu sebagai jawapan kepada pertanyaan rakyat.

5. Dua minggu sebelum Raya, EXCO sumber air mengumumkan penubuhan pasukan KHAS SADA untuk dihantar ke kawasan krisis, persoalannya sejauh manakah keberkesanan tindakan pasukan ini?


6. Bahagian komunikasi korporat yang diketuai oleh seorang Pengurus Besar yang dulunya adalah mantan SUSK MB yang lalu, turut mengemudi Pusat Aduan pengguna, isu asasnya berapa peratus aduan pengguna yang diambil tindakan, dan masa diambil untuk selesaikan rungutan (respond time)?

7. Isu lebih besar, disaat caci maki dan rungutan rakyat berterusan selama seminggu sebelum dan selepas Raya, dimanakah pengurusan tertinggi SADA? Apa jawapan dan penyelesaian realistic dari CEO SADA, pegawai Perhubungan Awamnya?

8. Rakyat Kedah menuntut penjelasan,usaha praktikal yang realistik. Perlu ada tindakan susulan jangka pendek, sederhana dan panjang. Isu yang timbul jika didiamkan, pasti melahirkan tohmahan dan persepsi negatif.

9. Sebab itu YAB Datuk Seri MB memilih untuk bersama rakyat. Dua hari sebelum menjelangnya Raya ditegur pusat ADUAN SADA, yang gagal menjawab aduan pengguna. Jawapan diberi kurang memuaskan, malah saya sendiri pernah cuba menghubungi pusat ini, malangnya yang diperolehi adalah caci maki dari petugas SADA sendiri.


10. Ini bukan seni perhubungan awam yang tuntas lagi harmoni yang melegakan keresahan rakyat. Ini adalah manifestasi sikap lepas tangan dan kurang ketanggungjawaban, terutama bila berdepan dengan maslahat yang melibatkan keperluan asas rakyat di negeri ini.

11. Tindak tanduk yang seolah-olah mencetus "sabotaj" secara tidak langsung turut menjejaskan imej kerajaan dan kepimpinan negeri.

12. Jika berminat untuk memberi khidmat yang terbaik, maka perlulah diusahakan tindakan demi tindakan drastik bagi memperbaiki keadaan, bukannya berdiam diri. Perlukan tanggungjawab sepenuhnya, jika gagal mengurus, berundur dan letak jawatan secara terhormat. Jika kirang upaya dan kurang minat, jangan menjadi liabiliti pada organisasi. 

13. Ini teguran ikhlas tanpa sebarang prejudis negatif memandangkan isu keperluan rakyat jangan dipandang remeh dan kecil. Usaha dan persiapan rapi wajar dibuat, kerana Hari Raya setiap tahun pasti menjelang tiba.

14. Tangki-tangki air bersih yang statik di kawasan krisis perlu disediakan. Lori-lori pengangkut air haruslah dicukupkan untuk digerakkan ke kawasan memerlukan. Jika tidak mencukupi, maka tambahlah. 


15. Makluman dan hebahan terkini sama ada melalui whatsapp, sistem khidmat pesanan ringkas (sms) perlu diadakan agar sampai makluman terus ke telefon pintar pengguna.

16. Pegawai tertinggi, kakitangan teknikal SADA wajar turun padang, tidak sekadar berpeluk tubuh dan selesa di pejabat.

17. Aduan dari rakyat juga harus disantuni dan diberikan jawapan susulan supaya pengguna tidak tertanya-tanya tanpa sebarang penyelesaian.

18. Ini merupakan sebahagian dari prinsip asas dalam pengurusan berstrategik. Cara kerja perlu diubah, jika tidak pastilah menjadi bualan dan sinikal di kalangan masyarakat. Misalnya SADA sudah diakronimkan menjadi "Syarikat Ayaq Dah Abih" (SADA). Ini merupakan lontaran cabaran supaya khidmat dilipatgandakan.

19. Sebenarnya, saya amat yakin SADA mampu melakukannya dan tindakan praktikal lagi realistik dapat memulihkan keadaan. Bukan sekadar membiarkan lebih banyak persoalan kekal menjadi tandatanya seterusnya mencetus persespi negatif di kalangan rakyat.

20. Coretan ini tidak bermaksud untuk menyinggung hati mana-mana pihak, namun hanya sekadar satu MONOLOG UNTUK SADA, agar yang lemah dibaiki, yang kurang ditutupi, yang baik pula dipertingkatkan kualiti. Berkhidmatlah sejiwa murni dan insha Allah, biar jasa SADA menjadi kenangan dan sebutan selepas ini.

‘Maaf Zahir dan Batin’.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Tuesday 5 July 2016

RAMADHAN DIRINDUI, SYAWAL DIRAI…SALAM LEBARAN 2016


1. Ramadhan 1437 Hijrah melabuhkan tirainya hari ini, 5 Julai 2016. Genap 30 hari seluruh umat Islam istiqamah berpuasa dalam erti kata sebenarnya. Bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, namun turut menahan nafsu yang sikap negatif sambil bermujahadah meningkatkan pahala melalui ibadah selama sebulan. Syukurlah kita bertemu'madrasah' Ramadhan tahun ini.

2. Dan esok, apabila sinar 1 Syawal menjelma, kita bertakbir, bertasbih dan bertahmid tanda kemenangan menyanggah hawa nafsu. Kita kembali kepada fitrah, bagaikan dilahirkan semula, bersih jiwa, dan mudah-mudahan ditempatkan kita di kalangan mereka yang bertaqwa padaNya.


3. Selaku barisan pimpinan pemuda, saya dan rakan-rakan telah mengisi Ramadhan yang lalu dengan program pelbagai seperti kebiasaan setiap tahun. Rakan asnaf gen-Y tidak dilupa, yang memerlukan kita santuni, yang kurang upaya dibantu dan segmen komuniti yang susah didekati.
4. Inilah secebis bakti, tanda khidmat, dari kami Pergerakan Pemuda UMNO yang telah banyak mentarbiyah, mendidik, agar jika mahu beroleh berkat, kerja mesti dipasak dengan muafakat. UMNO jualah yang mentarbiyah diri ini agar mendahulukan rakyat, dan melunaskan khidmat. Tanpa jemu, penuh hikmah dan rela berkorban jiwa dan raga.


5. Usaha meluas memberi bakti demi Memenangkan Perjuangan Sebuah Bangsa terus dilestari usai menyambut Aidilfitri nanti. Lantas, bagi merapatkan lagi ukhuwwah, tautan setiakawan sesama kita, kita bermaaf-maafan di antara kita, melupakan sengketa lama, merapatkan lagi apa yang renggang. Buang yang keruh, kita ambillah yang jernih.


6. Mudah-mudahan di Aidilfitri ini, saf-saf kita rapatkan, segala kekeruhan yang terzahir kita rungkaikan. Demi menyiapsagakan bahtera Pemuda UMNO Bahagian agar terus kental, berani gah ke medan perang menjulang nakhoda kepimpinan negeri yang diterajui YAB Dato Seri Ahmad Bashah selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

7. Ayuhlah wahai seluruh rakan pemuda, Syawal kita jadikan tapak mula, menggilap kekentalan diri, mengupayakan potensi diri demi menyemarak aspirasi bangsa, agama dan negara. Takkan rebah diri kita sebelum ajal menyentap dihujung nyawa. Kekuatan kita pasakkan, semangat teguh kita sematkan, inilah Pemuda Bandaraya, pendahulu zaman, pencetus perubahan. Beristiqamah dalam perjuangan.


8. Akhir qalam, kepada seluruh muslimin dan muslimat di seluruh negara khususnya di negeri Kedah, sepuluh jari saya hulurkan tanda maaf atas dosa , khilaf masa nan lalu. Semoga di hari yang mulia ini, tekad kita tidak berubah. Syariat dijulang, syiar ditatang selain perjuangan murni ini wajib diolah biar sentuhan kita dikenang zaman berzaman.

‘Ramainya orang berhari Raya
Tanda gembira Berakhir puasa
Muafakat terpatri seia sekata
Demi menobat bahtera bangsa...'

Salam Aidilfitri 1437H
Maaf Zahir dan Batin

Ikhlas dari:

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar