Sunday 24 April 2016

SIDANG DUN KEDAH ; MB BARU, SEMANGAT BARU..MEMBINA KEDAH YANG BARAKAH


1. Sebaik mengangkat sumpah selaku MB tanggal 4 Februari 2016, Ahmad Bashah tidak berlengah. Bagai tidak peduli pada persepsi buruk yang sengaja dilempar padanya.

2. Di sebalik tohmahan dan nista, satu persatu pendekatan sosialisasi dilaksanakan beliau. Keperluan dan prioriti rakyat didahulukan. Maka lahirlah program induk yang diberi nama BARAKAH. Kini menjengah di ke semua 36 buah DUN di seluruh jelapang padi.

3. Satu persatu halangan dilepasi. Pelbagai kelompok masyarakat didekati. Dari Melayu, India, Cina, Siam, NGO, anak sekolah, pondok agama, marhein miskin, komponen BN, golongan peniaga, pimpinan akar umbi JKKK hinggalah dekat di hati dan jiwa rakyat marhainis.


4. Pelbagai agenda disusun rapi, malah jadual program dan aktiviti sehariannya saya lihat cukup padat. Beliau bekerja, berada bersama rakyat di segenap segmen dan sesekali berkejar ke ibu negara demi memenuhi tuntutan tugas selaku MB, selain menjaga hubungan harmoni dengan kerajaan pusat. Segalanya adalah bagi membolehkan lebih banyak agihan dapat disalurkan kepada kita semua, rakyat Kedah.
.
5. Berpegang pada amanah yang diberikan Allah SWT, tidak mengira siang atau malam, tanpa mengira panas hujan, masalah ditangani, aduan rakyat didekati dan keperluan setiap komuniti sedaya mungkin cuba dipenuhi sebaiknya.

6. Hakikatnya, jadual beliau cukup padat. Malah tidak salah jika dikatakan Ahmad Bashah menjadi lebih energetik berbanding usianya. Mungkin kerana kemahuannya hanya satu, menjana kemakmuran negeri, mencorak Kedah yang barakah secara holistik dengan sentuhan peribadi. Sikap benevelonce yang cukup menyerlah, kepimpinan sejati yang jelas bermaruah tinggi.


7. Bukan melalui lakonan ala marhein atau agamawan namun substancenya boleh dipertikaikan. Beliau mungkin tidak terlalu memikirkan populariti asalkan tugas yang diamanahkan dilaksana sebaik mungkin.

8. Sifat kebapaan, penyayang dan sanggup berjuang untuk menaungi anak-anak di bawah jagaannya begitu terserlah. Saban hari ada saja jemputan dan semahunya cuba untuk memenuhi kesemua program yang diterima jawatan yang dipikul. Tidak ada konsep ‘wakil’ malah beliau rela hadir sendiri. Biar penat, beliau tidak peduli walau lokasi antara satu program dengan yang lain jaraknya jauh terpisah ke utara dan selatan.

9. Mungkin inilah antara kelebihan dan iltizam Ahmad Bashah. Menyedari rakyat Kedah cukup merasa dihargai dan berbesar hati apabila pemimpin utama menghadiri majlis mereka. Biar seketika cuma, namun tetap jadi ingatan sampai bila-bila.


10. Ahmad Bashah kini terus menghayun langkah. Pasukan Helang Merah dan sukan bola sepak yang menjadi hiburan nombor wahid di Kedah terus digilapnya. Dipastikan segala keperluan dan belanja pengurusannya cukup. Walau beliau sendiri dilayani dengan penuh kurang timbang rasa oleh segelintir penyokong tatkala berada di stadium, beliau tetap tegar beristiqamah menjalankan tanggungjawab sebagai 'ayah'.

11. Saya melihat, inilah harga pengorbanan seorang ayah. Rela menahan segala nista, asalkan keperluan anak-anak dipenuhi dan hidup mereka dilingkungi rasa bahagia yang penuh barakah.

12. Ahmad Bashah tetap dengan pendekatan dan sistem nilainya tersendiri. Dia adalah genuine politician, beliau tahu ‘soft sport’, memahami aspirasi dan keperluan rakyat. Mengerti what is dan how to go about.


13. Dan pada 25 April 2016 hari ini, sidang DUN Kedah penggal ke-4, pula mengambil tempat. Sidang DUN pertama yang dikemudinya selaku MB. Tanggungjawab ketiga terbesar ini pasti diatasi dengan penuh. Langkah pemimpin yang sudah 35 tahun di arena silat dan gendang politik tetap bersahaja mengatur langkah yang kemas tidak goyah.

14. Beliau tahu menguruskan dan menangani segalanya. Inilah MB Baru.. Semangat baru. Ke arah pembinaan sebuah negeri yang bernama Kedah nan berpadu.

15. Muafakat dijadikan terma rujukan. Mudah-mudahan barakah bakal melimpah, Kedah kekal harmoni, bersatu dan maju dikendalikan nakhoda bernama Ahmad Bashah bin Md. Hanipah.

Selamat bersidang..!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Wednesday 20 April 2016

OLA BOLA!!!!! Kera dihutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan.


1. “Ahmad Bashah di boo lagi”, demikian sinikal kata-kata seorang rakan.

2. Seakan menjadi trending, Presiden KFA yang baru yang juga MB Kedah di boo sera-rata. Setiap kali kehadiranya dalam stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan Lang Merah.

3. Bila diimbau kembali peristiwa lampau, era 70-an dan 80-an, gelagat penyokong Kedah dalam stadium memang sukakan benda-benda pelik. Di kala itu, jika ada penonton yang membawa masuk isteri, anak perempuan atau teman wanita untuk menonton perlawanan, pastinya di booo. Demikian juga jika kucing melintas sekalipun di tengah padang sebelum ‘game’ bermula.

4. Untuk rekod juga, hiburan bagi sebahagian besar rakyat Kedah semenjak puluhan tahun yang lampau hanyalah dua, ‘funfair’ dan perlawanan bola sepak. Dua perkara itu seakan menjadi ‘taboo’ di Kedah.

5. Namun, apabila  tamatnya ‘riwayat’ funfair yang selalu diadakan di tapak pesta bermula di Kompleks Kanchut dan kemudiannya di awal 90-an berpindah ke tapak di mana berdiri megahnya Star-Parade sekarang, maka tumpuan beralih keperlawanan bola sepak.

6. Apatah lagi bila era pimpinan Arwah Dato Paduka Ahmad Basri Akil, menerusi program pembangunan bola sepaknya, pasukan Kedah bergaya memasuki perlawanan final Piala Malaysia untuk edisi 1987, 1988, 1989, sebelum muncul juara 1990 dengan mengalahkan Singapura 3-1 di Stadium Merdeka.


7. Tatkala itu, era bola sepak masih bertaraf Semi-Pro. Di kala siang, semua players bekerja. Sama ada sebagai kerani, buruh jalan, cikgu, juruteknik dan ada player yang hanya bekerja sebagai driver. Di malam hari merekalah the unsung heroes yang mengharumkan nama negeri. Dari setiap perlawanan, diberikanlah sedikit imbuhan selain elaun latihan.

8. Apabila bola sepak memasuki era profesional, fungsi selaku pemain menjadi kerjaya tetap. Pemain dinilai berdasarkan prestasi, dan gaji pemain yang menjangkau sehingga RM100 ribu sebulan seperti mana kadar gaji yang diterima rata-rata pemain JDT kini.

9. Ini belum termasuk biaya dan perbelanjaan lain seperti pengangkutan, makan minum, alatan, penginapan ketika away game dan sebagainya. Pendek kata, secara bulanan memakan biaya mungkin sehingga RM1 juta dan belanja tahunan bagi sesebuah pasukan bola sepak di Malaysia wajib disediakan antara RM10-15 juta.


10. Jadi, inilah antara dana yang wajib disediakan bagi pengendalian sesebuah pasukan bola sepak zaman sekarang. Tatkala pasukan menang dan stadium penuh penonton, maka di stadium Darul Aman dalam satu perlawanan, jangkaan dari pungutan hasil tiket adalh antara RM300 ribu hingga RM350 ribu bagi satu perlawanan.

11. Setelah ditolak bayaran sewa dan selenggara stadium, saguhati petugas, komisen perlawanan untuk pasukan lawan, bayaran fee pada FAM dan pihak pengendali Liga Super. Bayaran itu belum lagi termasuk bayaran denda jika ada berlaku insiden penyokong buat hal dalam stadium pada malam berkenaan. Setelah ditolak bayaran-bayaran wajib itu, maka bakinya dianggarkan hanya tinggal sekitar RM200 ribu sahaja. Walhal, perlawanan ditempat sendiri hanya diadakan seminggu sekali.


12. Penyokong hanya harapkan kemenangan. Dan upaya Presiden KFA merangkap MB Kedah jualah yang perlu merancang, memikir strategi bagaimana dana pengurusan bulanan yang berjumlah RM900 ribu hingga RM1 juta dapat dipenuhi untuk memudahkan urusan mengurus pasukan Lang Merah. Peranan Presiden KFA, bukan hanya sekadar datang bersorak dan suruh peminat Lang Merah ‘sokong dan pertahan jawatannya’ saja.

13. Inilah namanya tanggungjawab. Demi memastikan hiburan utama rakyat Kedah dapat dipenuhi. Walhal RM1 juta jika dibangunkan dengan rumah kos rendah berharga RM50 ribu sebuah, maka dalam sebulan 20 buah rumah PPR yang boleh dihuni 100 isi keluarga dapat dibangunkan. Dalam setahun bermakna 240 buah siap dibina dengan 1,200 isi rumah mendapat manfaat.

14. Namun, niat itu terpaksa diketepikan, hanya kerana bola sepak. Sukan nombor satu digilai semua rakyat Kedah. Maka ‘OIa Bola’ menjadi fenomena. Namun sukan adalah sukan, dan apakah budaya boo terutamanya pada orang yang bertanggungjawab berusaha menyediakan ‘hiburan sukan’ untuk kita wajar jadi amalan? Agama kita menggalakkan perbuatan itu?

15. Beradab atau tidak??,si ayah yang bekerja, ikhtiar siang dan malam untuk mencari keperluan membahagiakan anak-anaknya sehingga mengorbankan masa, kepentingan dirinya, kemudian menjadi mangsa diperlekeh dan dipersenda oleh anak-anaknya?.


16. Biar budaya murni disuburkan, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Politik adalah politik, sukan biarlah kekal dengan sukan. For the spirit of the game, let’s enjoy the game, kekalkan kesantunan dan kegemilangan sorakan penyokong Lang Merah dan jauhi gelagat yang ‘memalukan’. Pulun Kedah Pulun!!!.



Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Sunday 3 April 2016

60 HARI AHMAD BASHAH: ANTARA STIGMA DAN REALITI

Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
1. Alhamdulillah sudah 2 bulan Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengemudi Kerajaan Negeri Kedah sejak 4 Februari lalu. Sudah kira-kira 60 hari beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, satu peristiwa yang saya anggap sebagai 'sireh pulang ke gagang'. Adilnya Allah 'meletakkan sesuatu kena pada tempatnya'.

2. Sebelum mengangkat sumpah lagi, beliau sudah dihujani dengan persepsi buruk. Dalam satu majlis di istana, gambar Ahmad Bashah tersebar seakan-akan terlena di kerusi. Amat menghairankan saya, siapakah sebenarnya yang menyebarkan gambar yang mencetus persepsi negatif terhadap beliau di majlis rasmi yang tertutup itu? Biar ditanya 1,000 kali, saya yakin pihak berkenaan tidak akan mengaku.

3. Gambar tersebut mencetus persepsi awal terhadap Ahmad Bashah. Malah bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Mahathir tanpa rasa bersalah turut melemparkan persepsi berkenaan isu yang sama ketika meletak jawatan. Biarpun ia menjadi bayangan kepada dalang penyebaran persespi buruk itu, pada saya, biarlah masa yang menghukum segalanya.



4. Apa yang saya lihat di depan mata, Ahmad Bashah masih belum lagi putus-putus berkhidmat kepada 2.3 juta rakyat Kedah. Pada masa yang sama, beliau tidak pernah lupa tanggunjawab beliau dan mengambil berat soal UMNO dan Barisan Nasional Negeri Kedah. Pelbagai sudut beliau teliti sehingga saya sendiri tidak tahu bilakah masa beliau meluangkan masa bersama keluarga. Jika tidak bersama parti, beliau bersama rakyat.

5. Sejak hari pertama 'punch card' sebagai Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah sudah bersama rakyat. Beliau sebagaimana rutinnya sebelum menjadi MB lagi, beliau selalu bersarapan bersama rakyat, merasmikan majlis-majlis rasmi dan bersapa mesra dengan rakyat Kedah yang menghulurkan tangan mengucapkan tahniah. Perkara itu tidak perlu diviralkan kerana ia adalah perkara biasa bagi pemimpin yang memang anak jati Kedah.

6. Beliau turut menyambut kehadiran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ke Kedah. Hubungan baik dari zaman Pemuda UMNO dulu memang akrab hingga sekarang dan sebuah kompleks perniagaan diluluskan Najib ketika itu. Ia juga menandakan Kedah mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat di mana ia akan menjami kelancaran pentadbiran yang sehala dan mampu memberi kemakmuran kepada negeri jelapang padi ini.


7. Ahmad Bashah memang terkenal sebagai seorang yang mudah didekati. Selain sering mendekati rakyat di majlis tahlil, menziarahi kematian, kenduri kendara, bersama ulama dan agamawan, beliau adalah antara yang pertama tiba di lokasi yang ditimpa bencana seperti banjir, kebakaran, puting beliung dan sebagainya. Apa yang menariknya, bantuan yang dihulurkan lebih realistik, pantas dan menepati keperluan mangsa. Jadi, tidaklah jadi seperti orang perlukan timba tapi diberi payung.

8. Selain itu, selaku pemimpin yang pernah berjawatan Exco dan bergaul dengan kakitangan kerajaan negeri, Ahmad Bashah sudah berpengalaman dan mesra dengan KCS dan kakitangan kerajaan negeri Kedah. Beliau pandai mengambil hati dan bijak menyesuaikan diri. Tidak hairanlah sekiranya beliau diterima baik dan diberikan kerjasama yang erat oleh hampir seluruh KCS dan kakitangan awam sama ada di peringkat negeri atau persekutuan. Mesyuarat Exco pun tidak dibuat di ibu negara, tapi di pejabat-pejabat daerah di Kedah.

9. Walaupun baru 2 bulan mengambil alih kembali jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, ramai yang melihat bahawa UMNO Kedah sudah kembali 'bernyawa'. Tidak lagi 'tidur' atau 'pengsan' seperti sebelum ini. Semua mesyuarat perhubungan yang diadakan dihadiri oleh majoriti UMNO Bahagian. Mesyuarat pun tidaklah jauh hingga perlu ke ibu negara. Ia menandakan bilik mesyuarat di Bangunan Tunku 'hidup semula'.

P/s: Gambar aktiviti beliau boleh dilihat di Facebook rasmi Menteri Besar Kedah
10. Saya yakin bahawa taktik kotor yang menyerang Ahmad Bashah secara peribadi menandakan pihak tertentu itu kekeringan idea. Jalan mudahnya ialah dengan memanipulasi minda rakyat Kedah terutama penyokong Hijau Kuning dengan persepsi buruk terhadap Ahmad Bashah. Mungkin mereka sedar bahawa Ahmad Bashah adalah wira sebenar yang menawan Kedah dari pembangkang pada PRU 13 sedangkan mereka hanya menempel di saat akhir. Tapi khabarnya, ada yang mengaku dialah penyebab Barisan Nasional menang di Kedah?

11. Sehingga 2 bulan ini, saya secara jujur dan rasional, belum lagi melihat Ahmad Bashah 'lena' sebagaimana yang dipesan oleh anak Tun Mahathir. Sebaliknya, beliaulah yang semakin tersasar dari landasan jemaah parti dengan menjaja fakta yang diceduk dari sumber tidak benar. Selaku pejuang parti, saya dengan rendah diri menganjurkan beliau supaya bermuhasabah diri dan jernihkan kembali kekeruhan yang dibuat, demi parti.

12. Saya secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Dato' Seri Ahmad Bashah kerana beliau tidak berkecil hati dengan tindakan mereka yang menjejaskan imej beliau. Malah pada masa yang sama, Ahmad Bashah juga turut membuktikan beliau tidak 'lena'. Sekiranya Ahmad Bashah konsisten memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan tidak mempedulikan onar serta tohmahan yang dilemparkan, saya yakin beliau akan menjadi MB yang baik untuk rakyat negeri Kedah.

13. Ikhlas yang saya luahkan adalah atas apa yang saya lihat sejak 4 Februari lalu, Ahmad Bashah tidak henti-henti memberikan khidmat beliau kepada seluruh anak Kedah. Tidak terhad pada Bakar Bata sahaja, kini beliau makin sibuk mengelilingi segenap daerah Jelapang Padi menabur bakti. Doakan supaya beliau diberikan kesihatan, kekuatan, hidayah dan ilham yang lebih mantap untuk memacu kemajuan dan transfomasi negeri Kedah kerna disini lahirnya sebuah cinta.
#MuafakatKedah #RakyatKedahKeluargakita 

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar