Tuesday, 5 July 2016

RAMADHAN DIRINDUI, SYAWAL DIRAI…SALAM LEBARAN 2016


1. Ramadhan 1437 Hijrah melabuhkan tirainya hari ini, 5 Julai 2016. Genap 30 hari seluruh umat Islam istiqamah berpuasa dalam erti kata sebenarnya. Bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, namun turut menahan nafsu yang sikap negatif sambil bermujahadah meningkatkan pahala melalui ibadah selama sebulan. Syukurlah kita bertemu'madrasah' Ramadhan tahun ini.

2. Dan esok, apabila sinar 1 Syawal menjelma, kita bertakbir, bertasbih dan bertahmid tanda kemenangan menyanggah hawa nafsu. Kita kembali kepada fitrah, bagaikan dilahirkan semula, bersih jiwa, dan mudah-mudahan ditempatkan kita di kalangan mereka yang bertaqwa padaNya.


3. Selaku barisan pimpinan pemuda, saya dan rakan-rakan telah mengisi Ramadhan yang lalu dengan program pelbagai seperti kebiasaan setiap tahun. Rakan asnaf gen-Y tidak dilupa, yang memerlukan kita santuni, yang kurang upaya dibantu dan segmen komuniti yang susah didekati.
4. Inilah secebis bakti, tanda khidmat, dari kami Pergerakan Pemuda UMNO yang telah banyak mentarbiyah, mendidik, agar jika mahu beroleh berkat, kerja mesti dipasak dengan muafakat. UMNO jualah yang mentarbiyah diri ini agar mendahulukan rakyat, dan melunaskan khidmat. Tanpa jemu, penuh hikmah dan rela berkorban jiwa dan raga.


5. Usaha meluas memberi bakti demi Memenangkan Perjuangan Sebuah Bangsa terus dilestari usai menyambut Aidilfitri nanti. Lantas, bagi merapatkan lagi ukhuwwah, tautan setiakawan sesama kita, kita bermaaf-maafan di antara kita, melupakan sengketa lama, merapatkan lagi apa yang renggang. Buang yang keruh, kita ambillah yang jernih.


6. Mudah-mudahan di Aidilfitri ini, saf-saf kita rapatkan, segala kekeruhan yang terzahir kita rungkaikan. Demi menyiapsagakan bahtera Pemuda UMNO Bahagian agar terus kental, berani gah ke medan perang menjulang nakhoda kepimpinan negeri yang diterajui YAB Dato Seri Ahmad Bashah selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

7. Ayuhlah wahai seluruh rakan pemuda, Syawal kita jadikan tapak mula, menggilap kekentalan diri, mengupayakan potensi diri demi menyemarak aspirasi bangsa, agama dan negara. Takkan rebah diri kita sebelum ajal menyentap dihujung nyawa. Kekuatan kita pasakkan, semangat teguh kita sematkan, inilah Pemuda Bandaraya, pendahulu zaman, pencetus perubahan. Beristiqamah dalam perjuangan.


8. Akhir qalam, kepada seluruh muslimin dan muslimat di seluruh negara khususnya di negeri Kedah, sepuluh jari saya hulurkan tanda maaf atas dosa , khilaf masa nan lalu. Semoga di hari yang mulia ini, tekad kita tidak berubah. Syariat dijulang, syiar ditatang selain perjuangan murni ini wajib diolah biar sentuhan kita dikenang zaman berzaman.

‘Ramainya orang berhari Raya
Tanda gembira Berakhir puasa
Muafakat terpatri seia sekata
Demi menobat bahtera bangsa...'

Salam Aidilfitri 1437H
Maaf Zahir dan Batin

Ikhlas dari:

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.