Monday, 1 February 2016

BERJIWA BESARLAH WAHAI MUKHRIZ...


1. Bagi sesetengah pihak, ada yang menganggap tentang apa yang berlaku di Kedah sekarang adalah merupakan satu 'KRISIS'. Namun pada saya, ia hanyalah merupakan proses biasa pertukaran pucuk pimpinan membabitkan MB Kedah. Sejak dari zaman 1960'an lagi, MB Kedah bertukar ganti. Datuk saya Tun Syed Ahmad Mahmud Shahabuddin contohnya pernah ditukar menjadi Timbalan Menteri dan digantikan dengan Dato' Seri Syed Nahar selaku MB ke-5. Syed Nahar meletak jawatan dan digantikan oleh Tan Sri Osman Aroff. Walaupun Tan Sri Osman ketika itu menang besar di Kedah, namun beliau diarah melepaskan jawatan kepada Tan Sri Sanusi Junid.

Walaupun terdapat sedikit kesulitan untuk melantik Sanusi menjadi MB, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu menggunakan hak prerogatif beliau selaku Presiden BN untuk mengarahkan Osman meletak jawatan dan semua Adun BN perlu menerima Sanusi sebagai MB baru dengan hati yang terbuka. Semua 22 Adun BN akur dengan arahan Presiden.

Kemudian, Sanusi pula meletak jawatan dan menyerahkan Kedah kepada Tan Sri Syed Razak Syed Zain. Syed Razak yang uzur pula melepaskan jawatan MB kepada Dato' Seri Mahdzir Khalid. BN kalah di Kedah pada tahun 2008 dan Allahyarham Tan Sri Syed Azizan Razak naik menjadi MB dari PAS yang pertama. Kembali merampas Kedah pada PRU yang lalu, barulah Dato' Seri Mukhriz menjadi MB ke-11 atas nasihat dari Presiden BN, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Jadi, ia merupakan satu proses pertukaran biasa dalam amalan demokrasi di Kedah.

2. Prinsip amalan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan di Malaysia memperuntukkan Ketua Parti yang menang majoriti dalam pilihan raya yang sah di sesebuah negeri untuk menasihati Sultan untuk melantik Menteri Besar yang dicadangkan. Jadual kelapan Perkara 71 di Bahagian I (2a) menggariskan Raja atau Sultan bagi sesebuah negeri itu melantik seorang Menteri Besar di atas budi bicaranya dan perkara berkenaan tertakluk kepada nasihat yang dikemukakan Ketua Parti. Kuasa berkenaan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan 1948.

Jadi, adalah jelas bahawa Dato' Seri Najib atas budi bicaranya berhak atas prerogatif beliau untuk melantik, menggugurkan atau menukar individu yang difikirkan sesuai untuk menjadi MB di negeri yang dikuasai BN. Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan pula atas kuasa Ketua Negeri pula berkuasa untuk melantik MB berdasarkan nasihat dari Dato' Seri Najib.

Berbalik kepada apa yang berlaku di Kedah, maka terserahlah kepada Dato' Seri Najib untuk menggugurkan atau mencadangkan supaya MB ditukar. Itu hak prerogatif jawatan beliau sebagai Ketua Parti. Manakala Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan Kedah pula berkuasa untuk melantik MB baru sebagaimana yang dinasihati Dato' Seri Najib.

3. Justeru itu, atas alasan apakah Mukhriz dan kem beliau untuk menafikan peranan Presiden BN dan kuasa Sultan untuk menetapkan siapa yang difikirkan layak untuk menjadi MB Kedah? Mengapa perlu mengheret rakyat untuk mempertahankan jawatan beliau sedangkan jawatan tersebut dilantik Sultan atas nasihat Presiden BN. Beliau hanya dilantik rakyat di Dun Air Hitam sebagai Adun sahaja, bukan jawatan MB.


4. Sungguh memalukan apabila seorang terpelajar seperti Mukhriz gagal untuk memahami bahawa kedudukan Raja atau Sultan itu mengatasi ketinggian politik. Institusi DiRaja adalah berkecuali dan tidak mencampuri urusan politik. Dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah 1948 jelas termaktub mengatakan "Raja-Raja Melayu berkecuali dalam politik". Sukar sangatkah untuk difahami ertinya? Malah Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah juga sudah menegaskan pendirian dan titah Istana yang tidak mahu dikaitkan dengan isu ini.

Namun mengapa Mukhriz tetap berdegil dan cuba sedaya upaya mengaitkan Istana Anak Bukit dalam isu membabitkan jawatan beliau itu? Mukhriz kononnya 'khabarkan' pada rakyat tentang kemurkaan Istana? Sejak bila beliau mewakili titah Istana untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu? Apakah aristokrat seperti beliau tidak tahu tentang protokol DiRaja Kedah? Terdesak sangatkah untuk selamatkan jawatan hingga cuba berlaku derhaka dengan mengheret pihak Istana? Saya kira tindakan ini sangat memalukan!

5. Jemaah Pemangku Sultan telah pun bertitah sebelum ini menegaskan pihak Istana Kedah adalah bersikap berkecuali dan melarang untuk dikaitkan dengan pertikaian politik membabitkan jawatan MB. Jadi, mengapa pula kem Mukhriz secara biadap tetap berdegil mengaitkan Istana dengan apa yang berlaku?

Permainan politik apakah ini? Cuba mengambil hati Istana dengan memohon maaf dan memburuk-burukkan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di mata Istana? Apakah Mukhriz tidak sedar bahawa segala yang berlaku itu adalah berpunca dari beliau sendiri dan selaku Pengerusi UMNO Kedah, beliau sepatutnya mengambil tanggungjawab atas tindakan tersebut.

Istana Kedah terkenal dengan pendirian 'non-partisan'. Usahlah menagih simpati Istana dengan cara mengambil hati secara tiba-tiba memuat naik gambar bersama Jemaah Pemangku Sultan, memohon maaf secara unitari seolah-olah menjadi Ketua UMNO Negeri yang tidak bertanggungjawab dan kemudian memburuk-burukkan mereka di depan Jemaah Pemangku Sultan? Siapakah yang mengajar Mukhriz untuk berpolitik dengan Istana?

6. Saya yakin bahawa proses pertukaran MB di Kedah ini tidak berteraskan emosi, peribadi atau balas dendam mana-mana pihak. Ia hanyalah satu proses biasa dalam hierarki pentadbiran untuk memastikan KPI pucuk pimpinan yang dilantik dipenuhi sebaik mungkin sebagaimana yang tertera di dalam Aku Janji atau manifesto BN Kedah 2013.

Melihat pendirian hilang kepercayaan majoriti Adun BN terhadap Menteri Besar menggambarkan kegagalan Mukhriz dalam badan eksekutif negeri. Hanya 3 Exco yang hadir mesyuarat pula menggambarkan beliau hilang kawalan pentadbiran kerajaan negeri. Malah kegagalan paling jelas adalah apabila 15 UMNO Bahagian di seluruh Kedah termasuk beberapa pemimpin UMNO tertinggi di Bahagian Mukhriz sendiri hilang keyakinan terhadap beliau dan mendesak Presiden UMNO untuk menukar kepimpinan. Politik Mukhriz gagal sepenuhnya di Kedah.

Kerana itulah Presiden UMNO terpaksa mengadap Yang DiPertuan Agong yang juga Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan untuk menukar Mukhriz dengan individu yang difikirkan layak mengembalikan apa yang sepatutnya beliau lakukan dalam tempoh hampir 3 tahun ini di Kedah. Ia adalah demi memastikan pentadbiran kerajaan negeri lebih berkesan, memenuhi tuntutan aku janji dan memastikan keadaan politik UMNO di Kedah kembali stabil serta menyakinkan. Ia juga adalah sebagai persedian bagi menghadapi PRU ke-14.

7. Saya difahamkan Presiden UMNO juga telah  menawarkan Mukhriz jawatan KABINET bagi menyelamatkan beliau dari terus 'hanyut' dalam arus kegagalan di Kedah, namun ditolak. Mengapa Mukhriz tolak JIWA BESAR Perdana Menteri. Mengapa persiakan peluang dari Perdana Menteri jika berada di barisan kabinet dilihat lebih sesuai untuk ketokohan Mukhriz berbanding di negeri Kedah yang telah beliau dilihat gagal 'perform'. Bukankah itu satu tindakan kurang bijak politik dan kelihatan angkuh sombong?

8. Dalam pada itu, saya melihat tindakan politik Mukhriz itu telah membenarkan pihak pembangkang mengambil kesempatan atas apa yang berlaku. Secara tiba-tiba saja mereka mahu Mukhriz kekal sebagai MB sedangkan sebelum ini merekalah yang memperlekeh beliau sebagai 'lembap' dan penuh 'lakonan'.

Mungkin juga mereka sudah lama dapat menghidu pelbagai kelemahan Mukhriz terutama dari sudut gerakan dan susun atur politik di mana jentera UMNO di bawah 'general' itu hampir lumpuh, gagal digerakkan secara bersepadu di seluruh 15 UMNO Bahagian, termasuk di kawasan beliau sendiri.

9. Tradisi UMNO di Kedah mengamalkan sistem berjemaah di mana Pengerusi UMNO Negeri diberi mandat penuh untuk menggerakkan seluruh jentera parti untuk sama-sama berlaku sebagai parti yang memerintah negeri. Kita tidak mengamalkan pemerintahan 'anarki' secara individu atau unilateral. Namun apa yang dilakukan Mukhriz selama ini ialah mentadbir Kedah secara individu dengan jentera beliau sendiri tanpa menghiraukan amalan yang sepatutnya.

Bukan saja gagal menyusun gerak bersama parti sendiri di Kedah, malah parti-parti komponen BN juga turut terkesan denga gaya unilateral Mukhriz itu. Rekod buruk pengurusan, mesyuarat perhubungan termasuk bersama parti komponen BN menjadi batu tanda kegagalan beiau menyusun pelan strategik mentadbir negeri dan parti. Boleh dikatakan gerak kerja bersama parti menghampiri angka sifar bilangannya.


10. Saya mencadangkan kepada Mukhriz supaya mengambil sikap berjiwa besar dengan apa yang berlaku. Beliau sepatutnya mendapat sokongan dari seluruh Adun BN bagi memastikan survival parti pada PRU yang akan datang kerana beliau hanya membawa majoriti mudah di dalam sidang DUN Kedah. Apabila hilang kepercayaan 19 Adun BN dan hanya 3 Exco yang dikatakan menyokong beliau, maka ia adalah tanda isyarat jelas menandakan beliau perlu berundur dari pucuk pimpinan negeri demi pentadbiran kerajaan negeri dan parti.

11. Saya melihat, apa yang dikatakan sebagai 'sokongan rakyat' kepada Mukhriz sejak bermula proses pertukaran pucuk pimpinan ini hanyalah sekadar tempelan dokongan dari segelintir peminat bola sepak negeri dan sebahagian pengundi DUN Air Hitam. Malah ada di kalangan mereka yang dikatakan tidak mendaftar sebagai pengundi dan ada yang masih tidak layak untuk mendaftar diri untuk mengundi.

Konsep yang kononnya menyatakan 'suara rakyat' wajar diterjemah Mukhriz. Sekiranya beliau benar-benar 'gentleman', beliau sepatutnya merumuskan suara lebih 800,000 pengundi yang sah di seluruh negeri Kedah. Bukan undian 'online' di Facebook. Kerana itulah saya berpandangan bahawa Mukhriz tidak wajar mengheret, memanipulasi dan mempegunakan rakyat untuk kepentingan mempertahankan jawatan beliau itu.

12. Galak sungguh saya melihat kem Mukhriz menyerang Timbalan Pengerusi BPUNK, Dato' Seri Ahmad Bashah. Mereka menuduh beliau sebagai 'gila kuasa' dan mahu merebut jawatan MB. Pada saya, serangan itu hanyalah 'diversion' untuk menyembunyikan kegagalan Mukhriz di Kedah. Hanya mereka yang tidak tahu, tidak kenal dan tidak tahu sejarah Ahmad Bashah sahaja yang akan menuduh beliau dengan tuduhan jahat sebegitu.

Secara ringkas, Ahmad Bashah mengambil alih jawatan Pengerusi BPUNK pada 2011 setelah diberi mandat menggantikan Dato' Seri Shapie Apdal. Ahmad Bashah adalah 'jeneral perang' yang berjaya menyatukan seluruh UMNO Bahagian dan Cawangan, serta berdepan cabaran getir merampas Kedah dari PAS. Beliaulah arkitek dan hero sebenar yang tidak didendang.

Di mana-mana negeri pun, tradisinya Pengerusi UMNO Negeri akan dilantik menjadi MB jika berjaya menang di sesebuah negeri. Berlawanan pula dengan Ahmad Bashah yang bukan saja berjaya menang malah merampas kembali Kedah dari PAS, namun beliau cukup berlapang dada menyerahkan jawatan MB kepada Mukhriz seperti yang diarahkan Presiden BN. Memberi laluan selesa kepada Mukhriz mengambil jawatan MB, Ahmad Bashah tidak protes, tidak boikot, tidak menaikkan sepanduk, tidak memperguna stadium untuk menentang hak prerogatif Presiden.

Ahmad Bashah bersahaja, tetap setia dan patuh pada ketetapan arahan Dato' Seri Najib tanpa sedikit pun cetusan rasa tidak puas hati. Tapi kem Mukhriz pula mengambil pendekatan menghina dan menyerang Ahmad Bashah yang beri laluan padanya? Itu sikap politik dari kem Mukhriz Mahathir yang digambarkan 'baik dan suci' itu?

13. Setelah hampir 3 tahun menjadi MB dan Pengerusi UMNO Kedah, apakah gagasan dan program besar pentadbiran dan 'political engagement' Mukhriz yang telah memberi manfaat yang jelas terhadap 2 juta rakyat Kedah dan kira-kira 2,000 cawangan UMNO di seluruh negeri Kedah selain ribuan lagi cawangan parti komponen yang lain? Pandangan saya melihat bahawa hampir tiada langsung.

Justifikasinya, fakta menjelaskan bahawa hampir semua perencanaan aktiviti UMNO Bahagian dijana hasil inisiatif setiap UMNO Bahagian itu sendiri, dan begitu juga dengan sayap-sayap parti yang ada. Kekuatan UMNO Negeri sedikit demi sedikit terhakis dengan sikap sambil lewa dan kegagalan merancang strategi yang menyeluruh dari kem Mukhriz yang diberi amanah oleh Presiden Parti selaku Ketua Parti di Kedah.

14. Saya difahamkan bahawa Mukhriz memiliki jentera 24 orang Pegawai Khas, lebih 40 staf di pejabat PMB yang selama ini giat menggilap imej individu Mukhriz di mata rakyat Kedah. Apakah Mukhriz yakin dengan bala jenteranya itu maka beliau mampu bertahan menjadi MB di Kedah tanpa jentera dari 14 UMNO Bahagian di seluruh Kedah selepas PRU ke-14? Bolehkah Mukhriz dan jentera individunya itu menjamin kemenangan BN di Kedah tanpa sokongan dari seluruh 14 UMNO Bahagian?

Memanipulasi minda rakyat menerusi populariti 'terancang' bukan budaya orang Kedah dan ia dilihat sebagai permainan politik murahan. Rakyat mudah mengesan lakonan atau watak tulen 'orang Kedah' dan tidak mudah diperbodoh dengan sketsa populariti terancang seperti itu. Mungkin benar senyuman Mukhriz menawan, tapi apakah senyuman itu mampu menghapus air mata ibu-ibu tunggal yang dhaif dan golongan miskin tegar yang masih ramai di Kedah? Apakah dengan senyuman yang viral itu mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan anak Kedah yang masih menganggur?


15. Saya berada di pusat khidmat ADUN kelolaan Dato Seri Ahmad Bashah apabila  30 orang penunjuk perasaan dan dibawa dari Pokok Sena oleh mungkin salah seorang Pegawai Khas Dato' Seri Mukhriz untuk berdemo di hadapan pusat khidmat DUN Bakar Bata meskipun calon Menteri Besar yang baru belum pun diputuskan oleh Perdana Menteri. Sekiranya desas-desus itu benar, apakah ini satu cerminan akhlak pemimpin yang dikatakan punyai 'aura' yang sangat istimewa di kalangan rakyat? Budaya politik jenis apakah yang di bawa kem Mukhriz ke Kedah ini?

Apakah operasi Pegawai Khas Mukhriz itu mendapat restu dari beliau? Jika 'aura' yang kononnya jadi sandaran, kenapa tidak 500,000 rakyat Kedah yang datang berhimpun di depan Pusat Khidmat Dun Bakar Bata? Saya yakin, jika dikatakan 'aura' Mukhriz itu terlalu hebat, setidak-tidaknya sudah tentu berpuluh-puluh Cawangan UMNO Alor Setar sendiri akan menyokong Mukhriz dan memprotes Dato' Seri Ahmad Bashah. Tidak perlu pun di import dari Pokok Sena.

16. Belum pun pihak Istana menyingkirkan Mukhriz, saya melihat serangan hebat telah dilakukan terhadap beberapa Adun UMNO terutama di media sosial dan blog. Ia bagaikan langkah 'pre-emptive' atau ugutan awal untuk menghalalkan 'pembunuhan karektor' pemimpin UMNO Kedah. Dan saya menjangkakan serangan itu akan semakin hebat ditujukan kepada pemimpin bakal diumumkan menjadi MB Kedah nanti.

Berapa banyakkah wang yang dilabur Mukhriz untuk menggerakkan serangan siber itu agaknya? Mengapa mereka perlu berlaku biadap mengaitkan Istana dan sering mendahului Istana dengan menyebarkan fakta yang tidak benar? Apakah itu yang dikatakan sebagai mengutamakan parti lebih dari kepentingan politik peribadi? Adakah sikap seperti itu melayakkan mereka untuk tidak malu mendabik dada kononnya 'pejuang UMNO sejati'? Sedangkan, apa yang mereka perjuangkan itu ialah memastikan pemimpin yang mengisi 'tembolok' mereka itu supaya tidak hilang jawatan, bukan kerana parti!

17. Sebelum ini, fakta-fakta dari Laporan Ketua Audit Negara dan prestasi kewangan negeri sepanjang 3 tahun Dato' Seri Mukhriz mentadbir Kedah bukankah menunjukkan angka defisit? Begitu juga dengan kedudukan simpanan tetap dan surplus akaun yang ditinggalkan oleh Menteri Besar sebelum ini telah berubah kini untuk berada pada angka negatif.

Apakah keadaan tersebut memperlihatkan kecekapan pentadbiran yang hebat? Apakah dengan kedudukan tersebut tidak membolehkan 14 Ketua UMNO Bahagian tampil berkata benar dengan mengadakan sidang akhbar di Grand Alora setelah suara-suara mereka sebelum ini dicantas dan tidak dipedulikan Mukhriz dan para pegawainya? Maka terimalah hakikat bahawa Mukhriz gagal mentadbir negeri Kedah meskipun kebenaran itu pahit untuk ditelan.

18. Sejak jawatan Mukhriz terancam di Kedah, boleh dikatakan hampir setiap hari pelbagai himpunan jalanan diadakan walau pun yang hadir itu hanya membabitkan jumlah yang kecil. Stadium Darul Aman akan dipergunakan sebagai lokasi berhimpun mempertahankan Mukhriz dari gugur jawatan. Kesempatan sebuah perlawanan bola sepak persahabatan di antara pasukan kesayangan orang Kedah, Helang Merah, telah dipergunakan sepenuhnya untuk tujuan politik. Di mana agaknya semangat kesukanan? Idea siapakah himpunan mempergunakan sukan untuk tujuan kepentingan politik peribadi itu?

Pada pandangan saya, jika kesemua himpunan politik sebenarnya yang bertujuan menunjukkan sikap bangkangan dan ego Mukhriz untuk tidak mahu menerima ketentuan qadha dan qadar Allah, dan kemudiannya gagal pula menghayati semangat berjemaah dan aturan dalam organisasi, maka terbuktiklah Mukhriz merupakan seorang Menteri Besar yang hanya pentingkan politik diri sendiri dengan menjadikan rakyat sebagai 'alat perkakas' dan wahana kepentingan politiknya sahaja.

19. Sejarah Kedah dalam arena bola sepak sebelum ini tidak pernah dijadikan modal untuk meraih sokongan politik. Pasukan Kenari pernah menggondol 'double treble' apabila muncul juara 3 piala, iaitu Piala FA, Juara Liga Super dan Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2007 dan 2008. Mukhriz tahu fakta itu? Namun pada PRU 2008, BN tewas di Kedah! Itu membuktikan bahawa meskipun BN berjaya membawa pasuka Kenari sebagai juara 'double treble', ia tidak menjami sokongan politik pada BN.

Jadi, apakah yang menjamin sokongan terhadap BN apabila Mukhriz dan kem beliau mengheret penyokong Helang Merah untuk meraih sokongan politik pada BN pada PRU kelak? Jika terlalu hebat, apakah Mukhriz dan kem beliau berjaya merekrut puluhan ribu anak muda di Stadium Darul Aman untuk menjadi pejuang dan ahli UMNO yang sejati? Yang saya lihat, mereka itu berjaya dimanipulasi untuk kepentingan politik peribadi tanpa memikirkan kepentingan parti yang sepatutnya lebih diutamakan.


20. Secara bermaruah dan prinsip, saya senada dengan beberapa penganalisis politik yang menyarankan Mukhriz berjiwa besar untuk meletakkan jawatan secara terhormat. Usahlah kerana kerana ego sombongnya dan sifat bantah-membantahnya untuk mencetus populariti peribadi, bukan sahaja bakal menyebabkan pihak Istana Anak Bukit turut terpalit dengan isu kebejatan politik ini, malah ia juga dijangka bakal mengakibatkan pentadbiran kerajaan negeri dan UMNO Kedah turut 'gerhana', selain 'aura' yang dimegah-megah para pengikutnya itu bakal ditelan kesan kelemahan dan khilaf dirinya sendiri.

Memohon maaf kepada Jemaah Pemangku Sultan itu sebenarnya adalah tanggungjawab Mukhriz seorang selaku Pengerusi UMNO Kedah. Beliau patut mengambil tanggungjawab sepenuhnya sebagai ketua dan bukan menyalahkan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di bawahnya. Malah dalam situasi ini, beliaulah punca Ketua-Ketua UMNO Bahagian, Adun dan Exco itu memberontak. Pikullah tanggungjawab itu sebagai ketua yang berani.

21. Hakikat dan faktanya setelah Istana cuba dipengaruhi dengan pelbagai rayuan, tekanan dan cuba diperguna bagi menyelamatkan diri dari kehilangan jawatan, rakyat pula dijadikan jenama kononnya menyokong kepimpinannya, kini Allah pula dijadikan alasan untuk menghalalkan segala tindak tanduk Mukhriz yang tidak pernah dizahirkan pada rakyat Kedah.

Fakta dan hakikatnya, hanya aktivis UMNO tulen, ahli dan pimpinan NGO, KCS, alim ulama, rakyat marhein ,penjaja, penjual ikan, pedagang di pasar karat di Kampung Berjaya dan yang sewaktu dengannya sahaja yang lebih mengenali lakonan yang cuba ditampilkan Mukhriz dengan 'arahan' para pegawai selaku 'sutradara'.

'Aura' yang dijaja hanyalah 'kosmetik' untuk tujuan 'promosi jualan megasale' dan meraih laba populariti diri sendiri bukannya kehebatan kerajaan pimpinannya melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat serata-rata.

22. Saya bukanlah berhasrat menukil panjang. Namun atas rasional politik yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, saya sekadar puas mengutarakan pandangan saya secara peribadi. Saya bukanlah penulis yang hebat, karya saya hanyalah dilihat sebagai gred C sahaja oleh pegawai politik Mukhriz. Namun setidak-tidaknya saya berani menyatakan kebenaran walaupun terpaksa menongkah arus membelah badai populariti palsu yang dibuat-buat.

Saya menegur bukanlah kerana benci, tapi saya sayangkan Mukhriz selaku seorang pemimpin yang menjadi aset berharga yang dimiliki UMNO di masa akan datang. Namun jika Mukhriz dihidangkan dengan laporan indah-indah belaka tanpa menyedari kelemahan berada di hampir segenap penjuru rumah bernama UMNO Kedah, maka beliau akan 'rosak'. Selaku salah seorang penghuni kecil rumah berkenaan, saya bertanggungjawab memperbetulkan dan mengutarakan cerita sebenar demi keteguhan sebuah institusi keluarga.

Maafkan saya sekiranya tersinggung dengan tulisan ini dan saya yakin jauh di sudut hati Mukhriz, beliau faham dan mungkin akan menyedari tentang kebenaran yang cuba saya sampaikan ini. Saya menulis demi negeri jelapang padi, demi perjuangan, demi agama, bangsa dan negara kerana di sinilah lahirnya sebuah cinta...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.