Sunday, 7 February 2016

BAGAI SIREH PULANG KE GAGANG, AHMAD BASHAH MENTERI BESAR KEDAH KE-12


1. Tanggal 4 Februari memahatkan sebuah sejarah bagi saya, semua pemimpin ahli dan penyokong UMNO negeri Kedah, serta umumnya rakyat negeri Kedah. Dengan kehendak rahman dan rahim dari-Nya, dengan perkenan Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 di Istana Anak Bukit. Bagaikan sireh pulang ke gagang, maka sahlah insan bernama Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar.

2. Terdahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir. Segala jasa bakti dan sokongan beliau kepada program-program dan polisi polisi yang terbaik telah dirancang dan dilaksanakan untuk negeri Kedah ini saya ucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan. Melepaskan jawatan selaku Menteri Besar biar pun disaat akhir, menjelaskan beliau juga berjiwa besar. memikirkan agar parti tidak berpecah dan rakyat menjadi semakin resah. Memberi komitmen bahawa beliau akan ttap setiap pada parti begitu melegakan saya dan menolak sebarang jawatan dalam kabinet menunjukan beliau seorang yang berpegang pada prinsip.Betul atau salah bukanlah persoalan tapi prinsip beliau wajar dilihat tinggi. dan disini juga saya ingin mengucapkan syabas kepada YB Dato Aminuddin (YB Pak Tam) yang juga sehingga akhirnya terus kukuh berpegang pada prinsip beliau bersama Mukhriz berbanding sesetengah pemimpin yang "flip flop" Cuma apa yang dikesalkan kenyataan media beliau agak mengundang konfrantasi. Apa yang saya harapkan DSMM tahu apa yang beliau lakukan dan harapan saya juga dengan berakhirnya kemelut ini. DSMM perlu mengkaji semula gerakan politiknya dan kembali dalam kepimpinan utama negara satu hari nanti. saya percaya DSMM mempunyai potensi yang tinggi cuma pada pandangan saya beliau harus berupaya memperkemaskan pengaruh politiknya dalam rumah beliau sendiri iaitu UMNO.  Walaupun begitu,dengan apa yang terjadi dikedah, dengan berat hati saya melihat tindakan itu sebagai perlu.

3. Saya sebenarnya telah pun mengucapkan tahniah kepada Dato' Seri Ahmad Bashah secara peribadi. Apabila SUK, Dato' Bakar Din mengumumkan beliau bakal dilantik sebagai Menteri Besar, saya melihat sendiri bagaimana beliau diraikan pelbagai lapisan masyarakat dan juga tok guru dan mudhir dari 30 pondok dari seluruh negeri Kedah. Mungkin ada yang melihat 'perang saudara' di ruang maya internet berlaku, namun pada pandangan saya itulah 'asam garam penyedap rasa' dunia politik, terutama mereka yang menyokong pemimpin secara individu dan tidak mengutamakan kepentingan parti.



4. Saya percaya semua 'orang parti' di seluruh negeri Kedah saja yang tahu tentang keperluan peralihan kuasa di negeri Kedah ini. Buktinya, boleh dikatakan hampir semua 'orang lama parti' dari seluruh UMNO Bahagian di negeri Kedah hadir di majlis tahlil dan doa selamat  di rumah Dato' Seri Ahmad Bashah. Mereka inilah pejuang-pejuang parti sebenar di zaman muda yang tidak menagih imbuhan dalam perjuangan. Mereka-mereka inilah yang lebih mengutamakan parti, bukan individu. Mereka mungkin bukan 'keyboard warrior', namun pada saya, merekalah 'the unsung hero' di hati saya. Mereka perjuang parti demi masa depan generasi saya. Terima kasih yang teramat sangat buat mereka.

5. Merenung jauh di dalam kepekatan malam, saya menghela nafas panjang. Benarlah bahawa hanya aktivis UMNO atau orang parti di Kedah saja yang faham tentang apa yang berlaku. Mereka di media sosial yang tidak tinggal di Kedah, bukan orang Kedah dan tidak terlibat dengan perjuangan parti dan rakyat di sini mungkin gagal memahami apa yang berlaku. Saya enggan memberi jawapan di sini kerana saya yakin biar apa pun dijelaskan di sini, mungkin ramai yang tidak mahu menerima hakikat. Biarlah masa yang mentafsirkan hikmah di sebaliknya.

6. Walaupun dalam penulisan saya sebelum gagal diraikan sebaiknya, ditohmah dan difitnah dengan pelbagai kenyataan dan diserangnya saya secara peribadi oleh pekerja upahan dan Setiausaha Politik Mukhriz atas kritikan saya, Saya tahu jauh disudut hati mereka sedar apa yang perkatakan adalah kebenaran yang pahit untuk mereka telan. Walaupun begitu saya percaya Dato Seri Mukhriz akan berpikiran lebih matang jika beliau sendiri menilai penulisan saya. Saya juga kesal dengan segelintir pihak yang menjadi 'jemuan parti' dan mengambil kesempatan menjadi 'batu api' mengeruhkan keadaan. Mereka mendakwa pejuang parti sebenar, namun mereka tidak menyedari bahawa tindakan mereka itu sebenarnya meruntuhkan dan tidak patuh pada prinsip kepartian. Saya yakin bahawa sekiranya di zaman ayahanda Tun Mahathir dahulu, awal-awal lagi mereka dikenakan tindakan disiplin. Apabila Majlis Tertinggi membuat keputusan secara kolektif, maka kita orang parti perlu akur. Asas itupun masih ramai yang tidak faham?


7. Sekiranya mahu berseloroh, menyindir atau menghina sekalipun, usahlah ditujukan pada mangsa yang tidak bersalah. "Lena" atau tidak, latar belakang pendidikan SRP atau PhD, itu adalah modal politik yang tidak matang. Ada perbezaan jika mengejipkan mata, menutup mata buat beberapa saat dan tidur lena yang kemudian sengaja disebarkan. Jangan juga terkejut jika mereka yang hanya lulusan SRP juga pernah memimpin negara. Faktanya, Dato' Seri Ahmad Bashah mungkin tiada ijazah dan hanya lulusan MCE. Jika mahu hina sekalipun, gunalah fakta yang benar. Yang dihina itulah yang merampas Kedah dari PAS pada 2013. Yang rampas Pulau Pinang dari BN pun bukannya seorang doktor falsafah pun.


8. Saya tegaskan bahawa budaya politik Kedah sebenarnya mahukan 'anak Kedah' yang benar-benar 'orang Kedah' yang mentadbirnya. Yang 'pekat Kedah' dialek bahasanya, yang tahu di mana Lana Bulu, Pengkalan Putat, Binjai, Megat Dewa, Naka Nambua dan sebagainya. Yang tahu perangai 'ketegaq' orang Kedah, tahu 'kecek' memenangi hati rakyat. Dia perlu tulen dan menetap sebagai anak jati Kedah. 'Keloi' tengah malam pun dia 'mangkit pi'! Paling utama, perlu ada hubungan baik dengan Istana Anak Bukit, KCS, pemimpin parti di semua bahagian di pelbagai peringkat dan seluruh akar umbi pejuang parti sebenar.  Semua sifat itu lengkap ada pada diri Ahmad Bashah. Beliau tidak perlu berlakon atau berpura-pura di depan mata rakyat Kedah kerana itulah dia Ahmad Bashah yang sebenar.

9. Pada pandangan saya, segalanya telah selesai. Kini adalah masa untuk bekerja lebih keras. Bukan lagi 'double', tapi 'tripple effort' bagi menggantikan kembali gerak kerja yang terlalu hambar selama hampir 3 tahun. Terlalu banyak perlu dilakukan. Mungkin nanti ada 'jemuan', 'gunting dalam lipatan' atau halangan baru yang melintang, namun ia perlu ditangani dengan baik dan bijaksana. Paling utama, segala susun atur dan perlaksanaan gerak kerja serta strategi yang berkesan amat memerlukan komitmen, kerjasama dan penyatuan semula dari segenap lapisan UMNO di negeri Kedah sama ada di Bahagian, Cawangan mahupun akar umbi. Semangat perjuangan dan roh alif ba ta kita semua amat diperlukan.

10. Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan setinggi tahniah buat Dato' Seri Ahmad Bashah atas perlantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah yang baru. Juga setinggi tahniah dan jutaan terima kasih atas jasa bakti Dato' Seri Mukhriz selama hampir 3 tahun ketika menjadi Menteri Besar. Buat seluruh warga UMNO di Kedah, ayuh kita bersatu hati bersatu jiwa bekerja keras melipat gandakan usaha memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat di negeri bertuah ini. Semoga segalanya kekal aman makmur di bumi jelapang padi ini kerana disinilah lahirnya sebuah cinta...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.