Baru-baru ini Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang, dalam satu kenyataannya begitu positif terhadap UMNO untuk
duduk semeja bagi membincangkan soal perlaksanaan pindaan Rang Undang-Undang
Kanun Jenayah Syariah di Kelantan berkenaan hudud. Atas bibit-bibit perpaduan
di antara UMNO dan PAS berkenaan berikut saya berpandangan;
1. Pada pandangan saya, barisan pucuk pimpinan
UMNO sewajarnya perlu mengambil serius dengan kesudian Datuk Seri Abdul Hadi
yang berlapang dada untuk menerima pelawaan duduk semeja bagi membincangkan hal
berkenaan dengan menyediakan platform terbaik sebagai satu landasan ke arah
perpaduan ummah di dalam landskap politik negara.
2. Platform UMNO - PAS yang julung-julung
kali diadakan itu perlulah bersedia mengenepikan soal ideologi politik
masing-masing. Saya kira, perbincangan ini sebenarnya bukanlah bertujuan
utamanya untuk memperjuang persaingan politik antara UMNO dan PAS, sebaliknya
adalah bagi membincangkan soal perlaksanaan undang-undang Islam yang diyakini
bakal melengkapkan undang-undang sedia ada bagi membendung maslahat dan
muamalah umat Islam di Malaysia. Justeru
itu, saya menyarankan agar kedua-dua pihak bersikap terbuka dalam soal
ini seikhlas-ikhlasnya, tanpa prejudis.
3. Perbincangan antara UMNO dan PAS itu
juga perlu berusaha ke arah mencari titik pertemuan untuk bersetuju tentang
hasrat kedua belah pihak tanpa melibatkan kepentingan politik atau populariti
'siapa lebih Islam dari siapa'. Sebaga contoh, saya harap Datuk Seri Abdul Hadi
tidak menggunakan isu ini bagi memulihkan imej kepimpinan ulama di dalam PAS
yang terjejas, dan begitu juga kepada UMNO. Pada saya, sekiranya isu ini
dibincangkan secara ikhlas, ia akan membuka jalan yang lebih luas kepada usaha
penyatuan dan perpaduan nasional, di mana umat Islam merupakan golongan
majoriti di Malaysia.
4. Pada pandangan saya lagi, semua parti
komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu memberi ruang dan kebebasan kepada
perbincangan antara UMNO - PAS ini tanpa sebarang perasaan buruk sangka. Isu
ini melibatkan kepentingan undang-undang Islam dan hanya melibatkan umat Islam
sahaja.
5. Lagipun, sudah termaktub di dalam
perlembagaan bahawa hak dan keistimewaan Islam, bangsa Melayu dan
kepentingannya adalah merupakan hak eksklusif yang tidak boleh dipersoal. Saya
yakin, hasil perbincangan atau perlaksanaan hudud sekiranya berjaya, tidak akan
sama sekali menjejaskan kepentingan agama, bangsa atau budaya golongan bukan
Melayu Muslim di negara pelbagai etnik ini.
6. Malah, parti-parti komponen BN mahupun
parti pembangkang seperti DAP dan PKR yang sebelum ini menolak hudud tidak
perlu khuatir dalam soal perlaksanaan enakmen jenayah Syariah berkenaan hudud
itu. Jangan pula cuba mengambil kesempatan 'menangguk di air yang keruh' cuba
meraih keuntungan politik dalam soal ini dengan menakut-nakutkan rakyat,
khususnya yang bukan beragama Islam. Saya yakin, belum ada dalam sejarah negara
yang menyaksikan seorang bukan Islam didakwa di mahkamah Syariah, bukan?
7. Sama ada rang undang-undang pindaan
berhubung jenayah Syariah membabitkan hudud itu diluluskan atau berjaya
dilaksanakan atau tidak, itu soal kedua. Yang paling penting ialah UMNO dan PAS
menemui titik persamaan bagi kedua parti terbesar umat Islam di Malaysia itu
dan kemaslahatan ummah dapat disimpulkan secara muafakat bersama. Itulah hikmah
terindah yang saya harapkan dan saya yakin ia juga diimpikan oleh jutaan lagi
umat Islam yang mahu melihat UMNO dan PAS bersatu di atas satu titik persamaan.
8. Akhir sekali, saya
sekali lagi ingin menekankan di sini bahawa isu yang bakal diperbincang oleh
UMNO dan PAS itu adalah membabitkan kemaslahatan umat Islam di Malaysia dan
bukan soal politik semata-mata. Perpaduan umat Islam sama ada dari UMNO
atau PAS di dalam soal ini hanyalah satu 'bonus', menandakan kami mampu bersatu
kerana Islam, bangsa dan negara. Berdoalah kita semua....
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian AlorSetar.
|
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.