Wednesday, 8 April 2015

KENAIKAN TANGGA GAJI ADUN; SATU PANDANGAN

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah
1. Sebagaimana maklum, persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah bagi penggal ini baru saja selesai di mana menyaksikan usul menaikkan gaji dan elaun anggota dewan berkenaan telah mendapat sokongan serta diluluskan. Kelulusan itu tidak mengejutkan bagi saya kerana bila menyebut mahu menaikkan gaji dan elaun sendiri, siapa agaknya yang akan menolak,bukan? Malah disokong sebulat suara oleh WR pembangkang. Saya faham, sudah lebih 10 tahun tangga gaji anggota Dewan Undangan Negeri Kedah tidak dikaji semula, apatah lagi dinaikkan seperti di negeri-negeri lain. Bak kata Datuk Ahmad Lebai Sudin, kadar gaji dan elaun Adun di negeri ini sudah ketinggalan zaman...

2. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, semua gaji Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah dinaikkan dari RM4,112.79 kepada RM6,169.20. Bagi Timbalan Speaker Dewan, gajinya dinaikkan dari RM3,993 kepada RM5,989. Gaji barisan Exco Kerajaan Negeri dan Speaker Dewan pula dinaikkan dari RM6,109.29 kepada RM9,163.95. Kesemua kenaikan gaji itu adalah 50% dari jumlah gaji asal. Sementara gaji Menteri Besar pula dinaikkan sebanyak 25%, dari RM14,175.15 kepada RM17,718.95. Saya difahamkan kenaikan gaji dan elaun ini akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2016.

3. Saya amat2 bersetuju dgn pandangan bahawa tangga gaji ADUN sudah ketinggalan zaman bukan sahaja lapuk selama 10 tahun, malah ketinggalan zaman lebih 20tahun sepatutnya 'revision' ini dibuat setiap 5 tahun. Jika kita melihat pada negara lain, tangga gaji MP atau wakil rakyat jauh lebih tinggi.Singapura jiran paling dekat dgn kita mempunyai tangga gaji WR menjangkau puluhan ribu dollars malah difahamkan para menteri kabinetnya menjangkau hingga ke ratusan ribu dollars.


4.Positifnya, di singapura para wakil rakyat mempunyai fokus yg baik untuk berkhidmat pada rakyat yang diwakili malah ini juga telah menyebabkan mereka bole mencapai ke tahap sifar rasuah. Bagi saya WR kita dengan segala beban tugas mendepani isu rakyat sekurang mempunyai tangga gaji seperti Exco, malah para Exco sepatutnya mempunyai tangga gaji MB apatah lagi MB patutnya kenaikan 100% dari skarang.

5.Walaubagaimanapun, saya bukanlah bermaksud untuk campur tangan mengenai isu kenaikan gaji anggota DUN Kedah. Apatah lagi mempertikai rasional di sebalik kenaikan gaji tersebut yang sememangnya wajar.  Namun saya berpandangan bahawa saya sebagai sebahagian dari rakyat Kedah, saya bebas untuk bersuara menyatakan pandangan mengenai isu ini.


6. Pada pandangan saya, usul kenaikan gaji anggota DUN Kedah itu sepatutnya tidak berlaku buat masa sekarang. Maksud saya, "timing"nya tidak sesuai untuk dicadangkan buat masa ini. Di saat rakyat, terutama di Kedah, sedang gundah gulana mengenai perlaksanaan GST dan bergelut dengan para peniaga yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya serta kos sara hidup yang tinggi, tiba-tiba Kerajaan Negeri Kedah pula sibuk menaikkan gaji sendiri? Saya ingin bertanya, apakah Kerajaan Barisan Nasional Negeri Kedah kurang sensitif dengan perasaan rakyat marhain yang kini gawat memikirkan hidup mereka yang semakin terbeban?

5. Saya tidak pasti berapa pula kadar kenaikan gaji para penjawat awam di Kedah. Berapa kadar kenaikan gaji mereka agaknya? Berapa peratus? Berapa ringgit? Adakah naik hingga 50%? Naik 25%? Atau kenaikan gaji mereka hanyalah sekadar RM30 hingga RM50? Dengan kadar gaji para penjawat awam di Kedah itu, apakah mereka mampu menampung beban kos sara hidup yang semakin tinggi di zaman ini? Atau mereka harus mengikat perut dan berniaga burger di tepi jalan selepas waktu bekerja? Tidakkah Kerajaan Negeri Kedah terlintas untuk memikirkan nasib penjawat awam yang bertungkus lumus melakukan arahan, tugasan dan menjayakan polisi kerajaan negeri setiap hari, namun menerima gaji yang memaksa mereka mengikat perut anak isteri di rumah?

Kenaikan gaji dan elaun anggota Dewan Undangan Negeri Kedah yang telah diluluskan
6. Saya percaya, kedudukan kewangan di negeri Kedah tidaklah berada di ranking "top 5" negeri terkaya di Malaysia. Sumbangan KDNK kita setahu saya pun sangat jauh berbanding Selangor dan negeri-negeri kaya lain. Malah saya difahamkan keadaan kewangan negeri tidak baik dan berlaku kecairan FD baru-baru ini, dijangka defisit bajet yang dibentang pada akhir tahun lalu akan bertambah. Sekiranya itu berlaku, apakah wajar Kerajaan Negeri Kedah mengikut jejak langkah Kerajaan Negeri Selangor, Melaka dan lain-lain negeri kaya yang menaikkan gaji anggota Dewan Undangan di negeri masing-masing? 

7. Dalam pengamatan saya, barisan Adun, Exco dan Menteri Besar sendiri mempunyai sumber-sumber lain yang membantu pendapatan bulanan mereka. Saya percaya, elaun-elaun yang diterima mereka tidaklah sedikit seperti yang diterima kerani di jabatan-jabatan kerajaan negeri. Saya juga percaya jawatan-jawatan lain seperti "Board of Director" di beberapa GLC di negeri Kedah juga turut membantu sumber kewangan para pemimpin Kerajaan Negeri Kedah. Lagipun, secara peribadi saya melihat Adun-Adun, Exco-Exco dan Menteri Besar sendiri bukannya sembarangan dan mereka terdiri dari golongan berada serta berkedudukan. Semuanya cukup makan, memiliki kediaman yang selesa, mempunyai kenderaan yang tidak kurang hebatnya dan saya belum lagi mendengar ada keluarga mereka yang terpaksa berlapar, bukan? 

8. Jadi, mengapa tergesa-gesa menaikkan gaji sendiri sedangkan ramai lagi penjawat awam dan rakyat Kedah yang perlu dibela dari hasil mahsul yang diperoleh Kerajaan Negeri Kedah setiap tahun?Tambahan pula kini rakyat masih lagi terkesan dgn segala kenaikan akibat ekonomi dunia yang tak menentu serta GST yang baru dilaksanakan kita masih belum dapat mententeramkan rakyat.


9. Namun, memandangkan sidang DUN telah meluluskan usul kenaikan gaji dan elaun anggota Dewan itu, maka saya tidak berkuasa untuk menghalangnya. Cuma, dengan rendah diri saya memohon jasa baik dan pertimbangan dari Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang saya hormati, agar menangguhkan kenaikan gaji dan elaun tersebut buat sementara waktu. Menyelami jiwa dan perasaan 'mendahulukan rakyat Kedah', saya memohon supaya ia hanya dilaksanaka selepas Pilihanraya Umum Ke-14 nanti.

10. Pada pandangan saya, biarlah Kerajaan Barisan Nasional Negeri Kedah membuktikan kecemerlangan dan kejayaan membantu rakyat Kedah terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai menaikkan gaji masing-masing. Bagaimana?? KITA SEWAJARNYA WALK THE TALK dengan membuktikan segala janji2 manifesto pilihanraya PRU13  kita terlaksana dengan 100% dan dengan rekod ini mempertahankan kerajaan Negeri dalam menghadapi PRU14 akan datang.

11. Kita selaku berada di kem Barisan Nasional secara tradisinya memang terkenal dengan agenda 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Justeru itu, saya yakin sekiranya Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Mukhriz berjaya membuktikan kejayaan membangunkan negeri Jelapang Padi dan memakmurkan seluruh anak-anak Kedah untuk sepenggal ini, saya yakin rakyat Kedah sendiri akan menggesa supaya gaji Menteri Besar, barisan Exco, Speaker Dewan, Timbalannya dan Adun-Adun dinaikkan. Malah mungkin ketika itu kadarnya kenaikannya boleh diganda dari 25% kepada 50% untuk Menteri Besar dan kenaikan 100% pada semua Adun sebagaimana yang dimahukan Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin.

12. Saya memohon maaf sekiranya tulisan ini menyinggung emosi barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah atau Adun-Adun tak kira BN atau pun PR yang terlibat. Ikhlas saya katakan, tiada sekelumit pun perasaan untuk menyinggung perasaan pemimpin Kerajaan Negeri. Saya hanya menyuarakan suara rintihan hati akar umbi dan keluhan jiwa rakyat yang mereka luahkan setiap kali saya bergaul bersama mereka. Selaku pimpinan muda dibahagian mungkin pandangan saya ini ada cacat celanya, namun saya yakin pandangan saya ini merupakan sesuatu yang membina dan tidak berniat jahat. Kerana saya mahu terus Barisan Nasional dipersadakan kerana kitalah senantiasa mendepani isu rakyat dan senantiasa fokus dalam khidmat terbaik. Jangan kerna imbuhan kita, rakyat terasa, Ini negeri saya dan  Kerana di sini lahirnya sebuah cinta... pada Islam, bangsa dan tanahair saya.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar


No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.