Friday, 29 June 2018

RASIONAL MEMILIH PRESIDEN UMNO DEMI KELANGSUNGAN PARTI


1. Polemik kepimpinan muda di dalam UMNO bukan merupakan suatu isu baharu yang diperkatakan sejak di era 1980'an. Bermula era 'warlord' dan 'dewa' ketika itu, maka turut bermula rungutan-rungutan daripada akar umbi Pemuda parti yang mengeluh ekoran tidak diberi ruang dan peluang sewajarnya untuk bersama kepimpinan mencipta serta mengemudi dasar parti. Suara-suara pemuda bagaikan tersekat, enggan dipeduli, malah mereka yang berani untuk vokal bersuara turut menjadi mangsa pucuk pimpinan ketika itu.

2. Ada juga di kalangan Pemuda UMNO sering menyindir dan menyifatkan seolah-olah parti ini bagai 'parti dinasour'. Ada pula yang melihat Ketua-Ketua UMNO Bahagian seumpama raja yang terpaksa ditaati sepenuhnya. Mereka memiliki kekuatan kuasa dan sumber yang memberi kemampuan mutlak untuk beraja di Bahagian. Ada yang berkata, peranan kepimpinan muda dalam parti seolah disisihkan sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun pusat.


3. Keadaan itu tetap dilihat masih berlaku pada PRU 14 yang lalu. Malah ada yang memperbandingkan perbezaan budaya politik golongan muda dalam UMNO itu dengan permainan politik PH yang dilihat banyak memberi peranan dan ruang kepada golongan muda untuk bersama kepimpinan parti. Pandangan dan suara golongan muda dalam PH diberi perhatian, malah ramai yang diberi kepercayaan mengemudi parti dan beberapa ikon mudanya terpilih sebagai calon pilihan raya. 

4. Berbanding UMNO pula, memang ada yang diberi perhatian dan diangkat kepimpinan atasan. Namun berapa kerat sangat golongan Pemuda dan Puteri yang diberi mandat untuk menerajui parti pada pilihan raya yang lalu? Boleh dihitung dengan jari. Ada yang berpandangan Pemuda dan Puteri amat rapuh kedudukannya dan mudah dipatahkan. Biarpun diperlekeh dan dilayan bagai 'double standard', namun kami Pemuda UMNO tetap setia kepada parti dan sanggup menabur bakti kepada rakyat. Itulah kualiti yang ada pada Pemuda UMNO berbanding anak muda PH yang kurang jatidiri dan lebih bersifat liberal terhadap kepentingan agama, bangsa dan negara.


5. Namun persoalan paling utama di sini adalah mengapa terdapat usaha untuk mengubah segala yang menjadi rungutan itu, tiba-tiba pula terdapat pula pemuda yang memperlekeh usaha tersebut? Segala rungutan dan keluhan yang diluah dan diperjuangkan dulu tiba-tiba hilang begitu saja? Entah ke mana perginya perjuangan membuka ruang kepada kepimpinan muda untuk mendapat ruang di dalam politik dan kepimpinan utama UMNO? Kenapa tidak disokong apabila mantan Ketua Pemuda kita membawa agenda perubahan terhadap sistem dan budaya yang selama ini dikritik selama ini?

6. Pada pandangan saya, sistem demokrasi sama ada di dalam parti mahupun sistem politik negara tetap subur. Adat bertanding, adakalanya menang dan adakalanya tewas. Kita telah berusaha sedaya upaya, kita serahkan saja kepada Allah yang menentukan kerana saya yakin terkandung seribu hikmah atas ketentuanNya. Namun kini, kita telah diberi peluang untuk memilih pemimpin nombor satu parti setelah hak berkenaan telah berdekad-dekad dinafikan. 

7. Pertandingan kali ini menawarkan kita calon pucuk pimpinan yang hebat-hebat belaka. Namun begitu, menarik sekali apabila kita kini berpeluang untuk memilih seorang pemimpin muda yang berjiwa besar, matang, kreatif dan amat tepat untuk mengisi kedudukan tertinggi parti berdasarkan karektor yang lain daripada yang lain. Bukan kepalang lagi manifesto dan keazaman beliau. Bukan sekadar tekad untuk memperkasa jatidiri anak bangsa, malah beliau berhasrat untuk merubah pelbagai aspek dalaman parti termasuk budaya demokrasi dalam parti, keterbukaan bersuara, penstrukturan semula organisasi dan pelbagai lagi pendekatan baharu di luar kotak yang segar demi kelangsungan parti.


8. Saya tidak fikir kita wajar untuk berundur ke belakang sekiranya mahu bangkit maju ke hadapan. Kita hanya perlu merujuk kepada sejarah dan nostalgia lama untuk dijadikan sempadan atau panduan sahaja. Namun untuk mengemudi sebuah perubahan yang menyeluruh ke arah masa depan yang lebih baik, kita tidak wajar untuk bergantung kepada 'yang lama' untuk mengemudi parti, sebaliknya kita lebih perlu bijak memilih yang lebih segar, muda, bertenaga, berjiwa besar, terbuka, matang dan relevan sebagai usaha memastikan UMNO tetap berada di landasan terbaik untuk mendapat keyakinan rakyat.

9. Pada PRU 14 yang lalu telah menyaksikan penyertaan lebih daripada 45 peratus pengundi muda yang pertama kali mengundi dan mereka juga akan mengundi pada PRU 15 nanti. Pada pilihan raya akan datang nanti, saya yakin akan lebih ramai bilangan pengundi muda yang turut akan mengundi. Jadi, adalah jelas bahawa kita memerlukan kepimpinan yang benar-benar mendengar, memahami, menjiwai dan boleh menjadi harapan kepada golongan muda untuk mengemudi parti dan negara demi masa depan yang lebih baik. Golongan muda pastinya bakal membentuk majoriti yang besar nanti, mungkin mereka tidak akan memilih parti yang dikemudi 'dinasour' untuk memajukan negara.


10. Sejujurnya saya berpandangan bahawa golongan muda di negara ini amat dahagakan perubahan dalam pelbagai konteks. Mereka tidak mahu lagi tunduk kepada sistem lama yang penuh retorik, sebaliknya mereka memerlukan sistem baharu yang lebih praktikal, berkesan dan lebih realistik, bersesuaian dengan jiwa mereka terutama dalam menghadapi cabaran menjelang Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan pakej lengkap kepimpinan futuristik. Itulah yang kini diperkata dan diharapkan dalam banyak perbincangan anak-anak muda masa kini bagi menjamin masa depan mereka dan generasi akan datang nanti.

11. Pada hemat saya, terus-terang saya katakan bahawa saudara Khairy Jamaluddin merupakan calon yang paling tepat untuk dipilih dan dinobatkan sebagai Presiden UMNO bagi sesi 2018-2021 ini. Bukanlah niat saya untuk menafikan peluang dan kehebatan dua lagi tokoh yang menawarkan diri, namun penelitian secara rasional, adil dan matang jelas memberi kelebihan kepada KJ sebagai calon paling sesuai dan tepat untuk mengemudi perubahan secara menyeluruh dalam UMNO bagi memastikannya terus menjadi institusi politik terunggul di negara kita berbanding parti lain.


12. Memilih seorang Presiden yang masih muda, versatile dan berpandangan terbuka ini tidak bermaksud kita menolak tokoh-tokoh UMNO yang lama dan amat berjasa kepada parti. Saya yakin, KJ mempunyai perancangan tersendiri dalam agenda penstrukturan semula parti nanti dan semua tokoh-tokoh terbilang parti keramat bangsa ini pastinya tidak akan sesekali diketepikan, malah akan diberi ruang utama dan istimewa dalam parti untuk bersama meneraju kepimpinan parti yang kita perjuangkan ini.

13. Tidak ada agenda lain yang lebih utama kini melainkan untuk memilih pemimpin yang terbaik bagi mengemudi UMNO dalam tempoh ini. Tiada niat lain untuk saya selain mahu melihat UMNO kembali bertakhta di hati rakyat di negara ini. Tiada maksud lain selain daripada mahu lihat UMNO kembali diperkasa demi kebaikan dan masa depan parti yang lebih relevan. Sesungguhnya setiap akar umbi itu berhak untuk memilih yang terbaik, maka pilihlah KJ sebagai pemimpin yang paling tepat untuk meneruskan wadah perjuangan kita ke arah UMNO yang lebih gagah.


Jika nak pilih tempat bermandi, pertama teluk keduanya pantai. Jikalau nak pilih pemimpin negeri, yang pertama elok keduanya pandai...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Thursday, 28 June 2018

CIRI-CIRI NAKHODA YANG BAKAL MENGEMUDI BAHTERA UMNO


1. Sebenarnya bukan mudah untuk saya menghadapi kekalahan BN pada PRU 14 yang lalu yang turut menyaksikan UMNO buat kali pertama dalam sejarah gagal mempertahankan kuasa bangsa Melayu dan bumiputera di bumi bertuah ini. Namun apakan daya, takdir Allah SWT telah tersurat dan kita pejuang-pejuang anak bangsa harus redha dengan ketentuanNya. Saya yakin, pastinya terkandung 1001 hikmah di sebalik kekalahan ini sama ada kepada parti mahupun seluruh rakyat di negara ini. 

2. Berbekalkan semangat juang darah hulubalang Melayu yang mengalir di tubuh, keinsafan ini membawa saya untuk meneliti segala aspek kelemahan yang kita miliki bagi memudahkan saya memperbaiki dan melahirkan nafas baharu yang lebih meyakinkan pada masa yang akan datang. Hikmah di sebalik kekalahan ini benar-benar meningkatkan semangat juang saya dan rakan-rakan Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar untuk bangkit kembalj menuntut maruah Melayu yang tercabar. 

3. Namun begitu, saya berpandangan bahawa UMNO kini seharusnya memilih seorang 'general' yang paling tepat untuk mengemudi layar sang saka bangsa dan menawan kembali bumi merdeka yang kini porak peranda dijajah 'pengkhianat anak bangsa' dan sekutu-sekutunya. Pemilihan kali ini lebih terbuka dan demokrasi apabila jawatan Presiden dipertandingkan kembali sejak sekian lama membudayakan gaya autokrasi bermula era 1980'an dulu. 


4. Pada era berkenaan, tidak ramai cerdik pandai yang berjaya menyertai UMNO kecuali mereka yang memiliki pertalian dengan 'warlord-warlord' parti. Presiden ketika di zaman itu bagaikan dewa kayangan di mana siapa yang menyanggah sudah pasti terkena 'sumpahan pendek umur' dalan karier politik mereka. Jika ada pemimpin atau menteri yang cuba menongkah arus mempertikai 'titah'nya, bolehlah bersiap sedia mengucapkan selamat tinggal kepada anak isteri dan keluarga sebelum 'dipaksa' bermastautin di Kamunting, Perak, untuk beberapa tahun. 

5. Akibatnya, keterbukaan yang menjadi budaya UMNO telah berubah, sekaligus membuat golongan profesional, cendekiawan, cerdik pandai dan ulama menjauhkan diri daripada parti kita. Sedangkan UMNO selama ini bermati-matian memperjuangkan pendidikan anak bangsa supaya menjadi sebuah bangsa berilmu dan kembali berbakti kepada generasi anak bangsa yang akan datang. UMNO seolah tandus kepada golongan berilmu akibat daripada sikap 'tidak boleh ditegur' dan pihak yang menegur itu pulak dianggap 'penderhaka'. 

6. Saya tidak pasti hingga bila UMNO akan dipimpin secara elitis yang pantang ditegur. Saya faham bahawa pihak yang menegur itu perlu menyuarakan teguran secara berhemah, bertatasusila dan membina. Namun bagaimana teguran seperti itu dilakukan mengikut saluran yang betul, tapi tidak diendahkan oleh pimpinan malah disekat daripada sampai ke pengetahuan beliau oleh pihak tertentu? 

7. Saya berpandangan bahawa UMNO perlu memiliki Presiden yang bersikap lebih terbuka  dan berjiwa besar untuk mendengar sebarang cadangan, teguran atau kritikan demi kebaikan bersama. Walaupun apa yang cuba disampaikan itu kelihatan bernas, kelakar mahupun dangkal, sekurang-kurangnya ia diterima dengan tenang dan baik. Sekiranya pucuk pimpinan tidak bersetuju atau enggan menggunapakai pandangan yang dilontar, sewajarnya rai dan hargailah pihak yang menegur itu. Saya berpandangan, Islam di zaman Khulafa Ar-Rashidin juga menganjurkan budaya seperti itu, bukan? 


8. Bukan itu sahaja, kita juga perlu lebih teliti untuk memilih pucuk pimpinan yang menawarkan suatu pembaharuan yang lebih dinamik, sistematik, progresif dan mampu mengangkat kedudukan UMNO sebagai sebuah parti yang lebih bermaruah, berwibawa serta berupaya menyaingi cabaran pihak pembangkang yang begitu teruja 'meratah', 'merobek' segala kepentingan negara yang sepatutnya dinikmati rakyat sebagaimana di zaman pentadbiran UMNO sebelum ini. 

9. UMNO juga perlu dikemudi oleh pemimpin yang berani melakukan suatu yang berada di luar kebiasaan parti, termasuk menstruktur semula organisasi UMNO dan menyediakan platform yang lebih mesra masyarakat untuk mereka mudah mendekati parti.

10. Mendepani Revolusi Industri 4.0, maka sudah tentu kita memerlukan pucuk pimpinan yang benar-benar memahami cabaran berkenaan dan berdaya saing untuk membawa UMNO maju 50 lebih ke hadapan berbanding parti-parti politik lain di negara ini. Bukan saja mempunyai latar belakang akademik yang tinggi, calon yang wajar dipilih nanti juga perlu bijaksana, lasak menerima tekanan, kreatif dan lebih bertenaga dalam menghadapi cabaran semasa serta akan datang. 

11. Mencongak tiga calon Presiden UMNO yang kita sayangi, pastinya masing-masing mempunyai pandangan untuk menyokong dan memilih. Itu membuktikan demokrasi kembali subur di dalam parti kita. Namun begitu, saya mengharapkan agar kita benar-benar memilih calon yang paling 'versatile' untuk mengemudi parti keramat bangsa ini. Semoga sang saka bangsa kembali berkibar megah, ayuh semua pejuang bangsa kita berjuang memerdekakan semula Malaysia merdeka! 

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Wednesday, 27 June 2018

JULANG KEMBALI SUARA KERAMAT AKAR UMBI PARTI..!


1. Melihat kepada kehangatan semaraknya demokrasi yang membara di musim pemilihan UMNO kali ini membuat saya teruja untuk terus berbicara tentang agenda utama menuju ke arah pembaharuan parti keramat bangsa ini. Selaku pemimpin muda akar umbi, pemilihan pucuk pimpinan yang sekian lama tidak terusik, kali ini menyaksikan kerusi Presiden dan Timbalan Presiden disaingi dalam suasana yang cukup harmoni, sihat dan matang. 

2. Sejarah kebangkitan bangsa Melayu terpahat sejak ratusan tahun yang lalu, khususnya dalam usaha menentang penjajahan bangsa asing yang bermaharajalela di Kepulauan Tanah Melayu ini. Sekiranya diteliti dengan baik, adalah jelas bahawa akar umbi menjadi teras kepada setiap penentangan tersebut. Nenek moyang kita bermandi darah, berkorban keringat dan penuh semangat demi bumi bertuah ini.

3. Malah jika diteliti sejarah kemerdekaan tanahair, akar umbi sekali lagi menjadi teras kepada pembentukan parti UMNO, parti ulung yang berjaya menyatukan semua gerakan akar umbi yang meluap-luap menentang penjajahan kolonial British yang merosakkan tradisi bangsa melalui pelbagai muslihat licik. Akhirnya, merdekalah negara ini dengan nama Persekutuan Tanah Melayu, hasil perjuangan yang bermula dari perjuangan di peringkat akar umbi. 


4. Demikianlah pentingnya kedudukan akar umbi yang tradisinya menjadi nadi kepada gerakan politik bangsa Melayu. Suara akar umbi merupakan suara keramat parti yang sewajarnya menjadi garis panduan bagi pucuk pimpinan merealisasikan impian ke arah mempertahankan kuasa bangsa Melayu di bumi tercinta ini. 

5. Dekad demi dekad berlalu, suara akar umbi terus berkumandang diperjuangkan pucuk pimpinan parti. Namun sayang, ekoran ditakdir terpimpin dengan corak autokrasi dalam tempoh lebih dua dekad bermula tahun 1980'an, budaya autokratik menghimpit suara-suara lantang akar umbi yang selama ini menjadi inspirasi kepada perjuangan anak bangsa. 

6. Malah sejak itu juga suara hulubalang-hulubalang Melayu Pemuda UMNO bagai sengaja dibisukan dengan ugutan, cantas membenam sehingga ramai yang 'terkorban', 'parah', 'terpenjara' dan terpaksa akur dengan gaya kepimpinan autokratik berkenaan. Maka keadaan itu secara tidak langsung terbudaya di dalam parti tanpa disedari ramai pihak. 

7. Tapi kini tibalah masanya kita bangkit melaksanakan pembaharuan parti dengan mengembalikan kedudukan akar umbi di tempat yang sepatutnya. Suara akar umbi yang jelas mahukan pembaharuan harus difahami dan direalisasikan oleh pucuk pimpinan pada pemilihan UMNO kali ini. Namun bagaimanakah suara akar umbi akan diterjemahkan nanti? 

8. Sebelum ini, kita selalu mendengar tentang konflik 'parti tersilap meletak calon' menjelang pilihan raya. Calon yang dipilih tidak direstui akar umbi menyebabkan UMNO kehilangan kerusi dan terjejas akibat pepecahan yang disusuli pergolakan dalaman. Ada yang setia kepada parti, tapi terpaksa memberi undi kepada calon pilihan pucuk pimpinan yang tidak pernah dilihat membantu rakyat, malah ada yang tidak dikenali akar umbi. Hasilnya, keputusan pilihan raya menjejaskan penguasaan politik UMNO, bukan? 


9. Saya berpandangan bahawa beberapa perubahan perlu diketengahkan dalam agenda pembaharuan parti khususnya berhubung mengembalikan kepentingan suara keramat majoriti akar umbi yang perlu menjadi keutamaan kepimpinan UMNO. Berlapang dadalah menerima pandangan mahupun kritikan membina agar parti ini kembali kepada perjuangan asal yang bernafas baharu bagi memenangi hati rakyat di negara ini. 

10. Apa salahnya jika kita amalkan konsep penurunan kuasa daripada peringkat pusat ke peringkat negeri dan UMNO Bahagian? Apa khilafnya jika suara majoriti akar umbi diangkat kepimpinan sebagai wadah perjuangan parti? Bukankah itu yang diamalkan UMNO sejak sebelum, ketika dan beberapa dekad selepas merdeka? Bukankah itu yang kita perjuangkan pada asalnya? 

11. Justeru itu saya menyarankan kepada seluruh anggota parti supaya mempertimbangkan mana-mana calon pucuk pimpinan kali ini yang membawa dan mementingkan suara akar umbi secara serius di dalam perjuangan dan dasar parti. Permulaan demokrasi berasal daripada akar umbi, maka sewajarnya hasrat akar umbi itulah yang dijulang UMNO dalam perjuangannya. 

12. Saya yakin, pemilihan pucuk pimpinan kali ini akan memberikan suntikan semangat juang yang sangat tinggi kepada seluruh jiwa ahli UMNO dan pemimpin yang bakal terpilih nanti juga perlu serius memberi perhatian kepada pembaharuan yang menjadi harapan kita seluruh pejuang parti. Pilihlah dengan bijaksana, dan semoga Allah terus memberi rahmat dan kekuatan kepada kita untuk memerdekakan bumi bertuah ini daripada penjajahan corak baharu di alaf ini. 

Allahu akbar! Hidup UMNO!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Tuesday, 26 June 2018

PEMBAHARUAN PEMIKIRAN LUAR KOTAK, STRUKTUR SEMULA ORGANISASI PARTI


1. Pemilihan UMNO bagi sesi 2018-2021 kini sedang hangat berlangsung di seluruh negara. Tumpuan kali ini sudah tentulah kepada pemilihan kepimpinan tertinggi parti di mana pemimpin berkenaan bakal menentukan hala tuju baharu dan usaha mengembalikan keyakinan rakyat di negara ini kepada UMNO untuk mengemudi negara. Sudah tentu setiap calon akan berbicara dan menawarkan 'manifesto' masing-masing dalam agenda pembaharuan parti.

2. Antara aspek yang saya fikir perlu diperhatikan adalah tentang bentuk pemikiran seseorang pemimpin yang bakal mengemudi parti. Pada pandangan saya, beliau bukan saja perlu memiliki ciri kepimpinan yang tinggi, malah mampu untuk berfikir di luar kotak dan kreatif dalam agenda melaksana pembaharuan UMNO. Kita tidak perlu lagi terikat dengan kaedah lama yang lapok dek zaman, sistem dan budaya politik kita perlu lebih ke hadapan berbanding parti lain.

3. Namun begitu, segala bentuk pemikiran tersebut adalah penting untuk ditimbal balas dengan perbincangan dengan teliti oleh barisan kepimpinan tertinggi UMNO supaya menepati garis panduan hukum-hakam agama, perlembagaan parti, adat resam, moral dan susila tradisi kemelayuan bangsa, serta dapat diterima dengan baik oleh segenap akar umbi di seluruh negara.

4. Saya berpandangan bahawa kita juga wajar untuk merubah bentuk struktur organisasi UMNO yang lama ekoran status parti kita yang kini sebagai pembangkang. Kita sewajarnya merancang penstrukturan semula organisasi dan mungkin memerlukan penambahan kepada beberapa jawatan tertinggi parti yang dijangka bakal membebankan penyandangnya dan menjejaskan keberkesanan agenda parti.


5. Sebagai contoh, seorang pemimpin yang berjawatan Naib Presiden mungkin akan diberi tanggungjawab untuk mengemudi empat atau lima portfolio. Terlalu banyak memegang portfolio akan membebankan beliau dan kemungkinan fokus tidak dapat dilakukan dengan baik. 

6. Namun jika diwujudkan penambahan kepada jawatan berkenaan, mungkin beban yang digalas akan berkurangan dan setiap pemimpin itu boleh memberi penumpuan yang lebih terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan. Ini akan memberi impak yang lebih baik dalam memenuhi matlamat parti.

7. Selain itu, saya melihat bahawa budaya lama yang enggan menerima penyertaan golongan cerdik pandai, cendikiawan, profesional, agamawan dan sebagainya yang mahu berjuang bersama UMNO wajib dihentikan serta merta. Partisipasi mereka bersama UMNO akan melahirkan banyak idea-idea segar dan lebih baik untuk memperkasakan parti keramat bangsa ini.

8. Saya sendiri sebelum ini sungguh kecewa apabila menerima beberapa keluhan sebelum ini di kalangan rakan yang mendakwa mereka seolah-olah disekat daripada menyertai UMNO. Saya tidak pasti puncanya, namun ada yang mendakwa pemimpin seolah-olah bimbang jika kedudukan mereka akan digugat dengan penyertaan golongan berkenaan di cawangan atau bahagian mereka.


9. Pada hemat saya, sikap seperti itu amat merugikan UMNO. Cukup-cukuplah mengamalkan budaya yang bermula daripada zaman Presiden parti kelima itu. Kerana sikap itu, ramai golongan cerdik pandai, cendikiawan, profesional dan agamawan yang berkecil hati serta berpandangan negatif terhadap kita. Jika kita benar-benar sayangkan parti dan berjiwa UMNO, maka kita perlu lebih terbuka dan bersifat inklusif dalam pembaharuan parti.

10. Pembaharuan UMNO sangat penting bagi saya dan yakinlah bahawa majoriti akar umbi parti juga mendambakan agenda yang sama. Namun terpulanglah kepada kepimpinan untuk menterjemahkan pembaharuan berkenaan secara menyeluruh dan berkesan. Walau apapun, kami akan tetap setia kepada UMNO dan sanggup berdepan dengan apa saja rintangan onak duri bagi memastikan parti kita terus unggul membela masa depan agama bangsa dan negara. 

Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Monday, 25 June 2018

PEMBAHARUAN UMNO, MENONGKAH CABARAN TRADISI LAMA


1. Syukur kepada Allah dan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh anggota Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar atas kepercayaan kepada saya untuk mengemudi batalion hulubalang pemuda parti bagi sesi 2018 - 2021. Saya sedar bahawa amanah, tanggungjawab dan harapan yang diberikan akar umbi amat berat sekali untuk dipikul, namun atas rasa keinsafan dan semangat jati diri bangsa, akan saya galas dan kita harungi bersama dalam tempoh 3 tahun ini, insha Allah.

2. Saya yakin, bukan saja ahli UMNO, malah seluruh masyarakat di negara ini khususnya yang berbangsa Melayu amat mengharapkan suatu pembaharuan berlaku di dalam UMNO. Nafas baharu adalah amat perlu untuk mengembalikan semangat dan keyakinan semua pihak terhadap parti ini.

3. Mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa sudah terlalu lama jawatan Presiden UMNO tidak tercabar, tidak dipertandingkan. Sejak tewasnya Ku Li pada 1987, jawatan nombor satu parti itu tidak dipertandingkan dengan alasan 'menjaga perpaduan dalaman parti' dan 'setia kepada pemimpin'. Maka sejak itu juga 'autokratik' seolah disemai dalam parti ini, menguntungkan Presiden paling lama 'bertakhta' dan secara tidak langsung menyuramkan sistem demokrasi yang sepatutnya subur dalam amalan parti kita.

4. Benar BN tewas, namun UMNO masih merupakan parti yang memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat. Walau bagaimanapun, kita semua perlu menginsafi kekalahan BN pada PRU 14 yang lalu. Terlalu pahit untuk ditelan, namun ia juga mampu menjadi penawar sekiranya kita sanggup mengakui kekhilafan diri sehingga menyebabkan PH berjaya mempengaruhi emosi pelbagai kaum dan lapisan masyarakat di negara ini.


5. Sebelum ini kita terikut-ikut dengan budaya 'autokratik' seorang lagenda UMNO yang paling lama memimpin kita. Beliau membudayakan sikap 'takut menegur' dengan alasan 'perlu menegur mengikut saluran', namun bila ditegur mengikut saluran maka habuannya akan 'dicantas' dan ditekan habis-habisan sehingga tidak mampu bangkit. Sejak itu, bukan saja menteri, malah kepimpinan tertinggi UMNO terpaksa tunduk atas nama 'setia kepada pemimpin' bagi mengelak karier politik mereka karam.

6. Saya amat bersetuju dan menyokong penuh pembaharuan UMNO ini akan bersifat lebih terbuka terhadap kritikan dan teguran membina daripada akar umbi parti, atau rakyat yang sayang pada parti keramat bangsa ini. Kita pemimpin UMNO tidak maksum dan apa salahnya jika kita terima saja teguran membina daripada akar umbi sendiri? Jika benar dan bernas teguran tersebut, apa salahnya kita usaha untuk memperbaiki diri sendiri? Sedangkan Saidina Umar Al-Khattab yang dijamin syurga itu bersikap terbuka terhadap teguran, apakah kita lebih mulia berbanding beliau?

7. Pada pandangan saya, kita sewajarnya belajar dari kesilapan lampau, meninggalkan budaya peninggalan 'purba' yang diwarisi puluhan tahun sebelum ini. Kita harus bangkit memperbetulkan keadaan dengan pendekatan baharu yang lebih progresif, realistik dan lebih berjiwa rakyat. Saya berbesar hati untuk berkongsi cabaran Prinsip 10P sebagai agenda pembaharuan utama dalam kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar.
a. PEMUDA perlu menjadi Pencetus..Pencetus suara rakyat, pencetus kesedaran baru bahawa kerajaan PH yang ada amat bahaya dan menjadi ancaman kepada survival bangsa..agama dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa. 
b. PEMUDA perlu menjadi PEMBELA pada isu isu rakyat..Bukan sekadar adakan program syok sendiri..Berkonvoi moto sana sini..berfutsal kesudahannya sekadar dalam lingkungan ahli kita semata mata. 
c. PEMUDA adalah PENGKAJI..Dalam erti kata memiliki budaya ilmu, kritis lagi matang dalam menilai sesuatu perkara. agar persoalan dan kekeliruan yang berligar di kalangan rakyat dapat kita huraikan. 
d. PEMUDA perlu menjadi PEJUANG..Ini menuntut keberanian. Jika darah..air mata atau kepenjara sekalipun demi menegakkan bangsa bermaruah dan memelihara institusi khalifaf beraja selaku pasak agama maka kita wajib pasrah dan rela melakukannya. 
e. PEMUDA adalah PEMIMPIN anak pemuda dan PENGASIH pada yang tua..Sikap ini jika dihubungjalinkan pasti membentuk karakter yang berintegriti lagi berwibawa. 
f. PEMUDA adalah PAHLAWAN sejati..Berani ke depan bukan menikus dibelakang apabila hak bangsa dan kedaulatan agama digoyah. 
g. PEMUDA adalah PEMANGKIN..yakni pelopor kepada gerakan massa demi membentuk keadilan menyanggah kezaliman yang kini dengan sikap besar kepala sedang direncana oleh kerajaan Firaun dalam negara. 
h. PEMUDA adalah PEMBINA..yakni mampu merangsang idea idea segar lagi konstuktif dalam pelbagai bidang demi kemajuan umat. 
i. PEMUDA adalah PASAK parti dan bangsa..Bermakna jika teguh jatidiri pemuda..Kental daya tahan dan kukuh maruah serta harga diri maka kita tidak boleh dijual beli atau diumpan dengan dedak murahan sehingga Iman tergadai..perjuangan tersadai.

8. Saya memahami bahawa kini seluruh ahli UMNO sedang hangat berbicara tentang pemilihan pucuk pimpinan parti. Bukan saja kita, malah bekas-bekas ahli parti, penyokong dan pemimpin PH pun turut menyibuk memberi tumpuan. Kita perlu buktikan bahawa UMNO mampu menghadapi pembaharuan. Terjemahan terhadap pembaharuan itu kita mulakan dengan kepimpinan tertinggi baharu yang lebih meyakinkan.

9. Jadi, pilihlah pemimpin tertinggi kita dengan rasional dan bijaksana, usah sesekali kita berlandaskan emosi dan persepsi negatif yang merosakkan. Berlapang dadalah memilih yang terbaik di antara yang terbaik. UMNO perlukan kepimpinan tertinggi yang bertenaga, berilmu, bijaksana, tinggi jatidiri, berani, lantang, baik dan 'nakal', serta mampu mengemudi parti dalam tempoh yang lama untuk menjayakan proses pembaharuan ini.

10. Salam perjuangan dari saya, semoga kita terus melangkah bersama melakar pembaharuan UMNO yang lebih segar demi agama, bangsa dan negara. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Hidup UMNO dulu, kini dan selamanya...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman