Monday, 23 January 2017

TANAH DAN KEMAJUAN PEMBANGUNAN DI KEDAH (Bahagian ke-2)


1. Pada sekitar 1992, berlaku polemik berhubung kes pengambilan tanah di Simpang Empat Kerpan, Jerlun. Kepimpinan ketika itu dengan menggunakan asas undang-undang, yakni Akta Pengambilan Tanah 1965, berusaha mengambil tanah sawah milik penduduk untuk dibangunkan dengan kolam ternakan udang harimau usahasama dengan Ben Laden Group.

2. Demikian juga sekitar tahun yang sama, Gunung Jerai mahu dibangunkan dengan JIP (Jerai International Park) oleh syarikat berbayar RM2 yang difahamkan milik Menteri Kewangan ketika itu. Namun hasil desakan masyarakat, projek ini dibatalkan, apatah lagi feasibilities study menunjukkan ianya tidak sesuai.

3. Tahun-tahun berikutnya, isu pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan tidaklah menimbulkan sangat kontroversi kerana masyarakat kian sedar pentingnya urusan pengambilan ini untuk menyediakan asas kemajuan dan keperluan di masa hadapan.

4. Polemik hanya dihangatkan tatkala adanya campurtangan politik, dan hujahan beracun yang cuba disemai oleh pihak berkepentingan, sama ada dengan menghasut tuan tanah, penduduk sekitar dan masyarakat umum. Padahal golongan penghasut ini tatkala mereka diberi amanah membentuk kerajaan sekitar 2008-2013 banyak mehnah dan karenah yang mereka laksanakan.

5. Tanah Waqaf khas Madrasah Salihiah misalnya yang berusia 110 tahun, diambil secara sewenang-wenang tanpapun digantikan secara konsep ibtibdal, sehinggalah Aman Sentral siap, dan mujurlah di atas keprihatinan Ahmad Bashah kini, sebidang tanah khas disediakan selain usaha membangun semula madrasah dibangunkan dengan diberi status Masjid Jamek


6. Difahamkan juga, semasa kerajaan Pakatan, banyak tanah-tanah milik kerajaan dibangunkan secara sewenang-wenang tanpa faedahnya boleh dirasai masyarakat terbanyak. Termasuk projek K-Keli di Sik, kelinya sudah tiada, kolam ternakannya juga tidak sebesar mana, namun rupanya yang diidamkan adalah tanah yang penuh berdirinya hutan balak di kiri kanan masuk kolam ternakan keli berkenaan.

7. Demikian juga tanah milik kerajaan di Jerai mahupun Sungai Petani yang dibangunkan dengan gudang kononnya bagi pengumpulan hasil tanaman dan produk kampung yang dibangun dengan nilai jutaan ringgit di era kerajaan Pakatan. Kini menjadi tempat berteduh kambing dan ayam itik semata-mata.


8. Demikianlah, jika sesebuah kerajaan gagal merancang manfaat penggunaan tanah, maka natijah ekonominya tidak akan melimpah untuk menguntungkan masyarakat. Sebaliknya ia akan menjadi sekadar projek Mat jenin, di mana tanah tergadai, modal dihabiskan dan aset negeri tergadai.

9. Lantaran itulah dalam pelan perancangan dan tindakan pembangunan di era Dato' Seri Bashah, segalanya diteliti. Rencana menambak lauk seluas 650 ekar di Pulau Langkawi misalnya oleh sebuah syarikat tempatan berdaya maju untuk dibangunkan dengan kediaman, perumahan mampu milik dan sederhana, pusat komersial punyai dua fungsi.

10. Pertama, tidak mahu menganggu lanskap pulau Langkawi dan pulau yang lain demi kelestarian pelancongan. Keduanya, projek ini langsung tidak melibatkan sebarang pengambilan tanah rakyat. Sebaliknya kerajaan negeri mendapat faedah dengan lebih 20% laut ditambak itu menjadi hak milik negeri. Premium, royalty dan hasil dari pembangunan projek berskala besar ini dianggar menyumbang RM500 juta kepada kerajaan Negeri.

11. Ribuan peluang pekerjaan bakal diwujudkan, perumahan baru dibentuk dan sebuah pekan baru selaku pusat pertumbuhan dimajukan. Pulau Pinang kini sedang membina 5 buah pulau bulatan juga menerusi mekanisme tebus guna laut, satu kaedah yang sejak 2008 mereka lakukan dengan besar-besaran dengan sebahagian besar aset dibangunkan serta dijual kepada warga China, Hong Kong,Taiwan dan Singapura. Kerana ini antara pelaburan yang menguntungkan, namun tidak pernah ada bantahan dan sehingga kini lebih banyak projek besar mengambil tempat di Pulau Pinang tanpa ada pun sebarang bantahan.


12. Dalam pada itu melihat kepada negeri jiran yagng melangkah maju kehadapan, sebarang usaha terancang yang sudah mengambilkira kepentingan semua pihak di Kedah pula hadapi tentangan.

13. Samalah dengan kes, permohonan sebuah pemaju swasta yang juga mempunyai modal besar dan antara syarikat pemaju hartatanah milik rakyat tempatan yang terkemuka di rantau Asia. Apabila mereka mahu mengadakan usahasama secara perkongsian strategik dengan PKNK menerusi kuantun pembahagian saham yang menguntungkan negeri serta boleh memanfaatkan 500,000 penduduk Sungai Petani bagi dibangunkan rizab kerajaan di dalam kawasan strategik dalam bandar dengan pusat pertumbuhan baru. Maka atas kepentingan politik dan hasutan, secara tiba-tiba isu nostalgia, kenangan kerana di situ masih wujudnya rumah lama Pegawai Daerah dibangkitkan.

14. Seperti kita sedia maklum, rumah pusaka ayah dan ibu kita dikampung sekalipun, jika sekadar mahu mempertahankan nilai sentimentalnya, maka tentulah kita sekeluarga akan membiarkannya ditumbuhi semak, dimakan anai-anai dan akhirnya reput rebah menyembah bumi. Apakah ini nostalgia yang memanfaatkan?.

15. Sebaliknya jika wujud kreativiti dan konsensus di kalangan ahli keluarga, rumah pusaka serta tanah halamanya yang luas itu bukan sekadar dicantikkan, dipelihara, malah boleh diberi tambah nilai misalnya menjadikannya homes stay unik, tarikan pelancong dan hasil dari itu boleh memberi peluang pekerjaan dan nilai tambah pendapatan pada ahli keluarga lain yang memerlukan.

16. Inilah asas dan falsafahnya jika sumber tanah selaku aset tetap yang tidak bertambah keluasannya secara bijak kita manfaatkan.

17. Lantaran itu,janganlah terlalu sensitif, beremosi atau mengalihkan fakta sebenarnya apabila mengupas berhubung soal tanah dan pembangunan. Janganlah pula kita merekayasa cerita, menghasut masyarakat sekadar untuk memenuhi kepentingan politik kita dengan isu tanah dijadikan sebagai scapegoat.

18. Realitinya dalam pada pembangunan tanah untuk projek berskala besar diberi perhatian misalnya Kedah Rubber City melibatkan keluasaan 1500 ekar tanah di Padang Terap. RM212 juta sahaja diperuntukkan bagi tujuan pengambilan tanah selain selebihnya bagi pembangunan infra.


19. Demikian juga tanah milik PKNK di Bukit Kayu Hitam untuk mercu tanda Kedah Science and Technology Park (KSTP). RM78 juta sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan dan kini kerja penyiapan infra Fasa 1 sedang giat dijalankan. Sudah ada nama besar dalam industri tertentu berminat dan antara yang sudah memuktamadkan pelaburan ialah sebuah syarikat kilang tayar dengan nilai pelaburan RM2 bilion. Dalam tempoh 5 tahun mulai tahun Disember 2017, 10,000 peluang kerja bakal diwujudkan. Untuk siapa? Untuk anak anak di Sintok, Changlon, Kodiang, Padang Sera, Hosba, Asun dan menjalar hingga ke Jitra.

20. Inilah formula pembangunan yang sedang digerak dan dipacu Ahmad Bashah dan rakan rakan dalam pentadbirannya. Jika duduk diam, tanpa berbuat apa-apa dituduhnya Mat Bashah MB yang lambat, kurang idea dan pelbagai lagi.

21. Namun apabila usaha sedang bergerak dengan pantas sama ada pembangunan fizikal mahupun modal insan, dituduhnya pula Mat Bashah menjual tanah kepada pelabur Cina. Untuk rekod, sepanjang pentadbiran Bashah selaku MB mulai 4 Febuari 2016 sehingga ke hari ini, dari sejumlah 27 ribu permohonan pemberi milikan tanah kerajaan kepada pemohon termasuk dari rakyat (permohonan individu) sejumlah 26,043 permohonan, belum ada lagi satu geran tanah yang dikeluarkan pada mana-mana pemohon menunjukkan tanah itu adalah hak milik kekal si pemohon berkenaan.

22. Berbalik kepada isu pengambilan tanah rizab kerajaan di Sungai Petani baru baru ini yang diviralkan oleh pihak yang berkepentingan dalam usaha mencemar nama baik Ahmad Bashah dan kerajaan BN kedah, Fakta Faktanya jelas telah diputar belitkan. Kenyataan daripada Pegawai Daerah Sik juga telah menyanggah isu viral ini seolah olah permohonan ini telah diluluskan walhal perkara ini masih dalam pertimbangan Pejabat Tanah SP dan sedang menjalani proses bantahan, jika pihak pejabat tanah diatas pertimbangan dan budi bicara mereka merasakan bahawa ia akan memberikan manafaat kepada kepentingan umum melebihi kepentingan sekumpulan kecil bantahan maka projek itu boleh dipanjangkan untuk pertimbangan exco kerajaan. begitrulah sebaliknya jika PT berpendapat ia menjejaskan kepentingan umum maka permohonan pemberi milikan ini boleh ditolak.

23. Turut diviralkan juga permohonan ini berlaku ketika mana Ahmad Bashah berkuasa kini dan bakal berusahasama dengan syarikat Chin Hin SDN BHD. Ini adalah satu fitnah jahat yang cuba dicontengkan kepada Menteri Besar sedangkan projek ini telah di cadangkan pada tahun 2014 oleh PKNK dan diluluskan permohonannya pada sekitar OCT 2015 didalam mesyuarat lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh mantan MB terdahulu iaitu Dato Seri Mukhriz Mahathir dan usahasama ini berlaku dengan sebuah syarikat bumiputera penuh Mastaja Sdn Bhd tiada pun Chin Hin terlibat. Oleh itu, janganlah kita mudah percaya atas viral viral yang enak didengar atas nama tuntutan Hak Rakyat terobek. Percayalah sebagai kerajaan, saya percaya Ahmad Bashah meletakan jaminan Hak rakyat adalah keutamaan pentadbiran beliau dan tidaklah sewenang wenangnya dicabuli tanpa pertimbangan yang wajar.  

24. Hak rakyat di Sik seramai 351 pemohon yang menunggu selama 14 tahun sekalipun Ahmad Bashah memeteraikan usahanya dengan kesemua mereka itu beroleh hakmilik tanggal 4 Januari lalu. Inikan pula tanah-tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi dan strategik. Ironinya ia bukan sahaja dipelihara malah dibangun secara kerjasama strategik dengan pelabur dalam dan luar, namun entiti pegangan kerajaan ke atas tanah berkenaan adalah jelas. Selain nikmat dan hasil dari pembangunan berkenaan membawa keuntungan kepada perbendaharaan negeri serta meluaskan faedahnya kepada masyarakat terbanyak. Inilah konsep sebenar tanah dan penggunaanya dimajukan di Kedah. Disini Lahirnya Sebuah Cinta............

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

1 comment:

  1. Tak kira sapa MB yg harus dinilai dan dibuang adlah PARTI

    ReplyDelete

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.