Tuesday, 17 January 2017

TANAH DAN KEMAJUAN PEMBANGUNAN DI KEDAH.. (BAHAGIAN PERTAMA)


1. Ada dua isu besar yang diselewengkan fakta berkaitan tanah sepertimana heboh baru-baru ini di KEDAH.

2. Pertamanya, status "Melayu" yang diberi semula kepada institusi kewangan konvensional sepertimana tertulis dalam undang-undang Malaysia bagi membolehkan mereka menerima gadaian atau pajakan Tanah Simpanan Melayu.

3. Wujud rasa sensitif apabila isu tanah dikemukakan. Pertama, dari sudut sosiologi tanah ibarat Negara bagi orang Melayu. Keduanya, tanah adalah aset tetap tidak alih yang boleh menjana pelbagai kegiatan ekonomi di atasnya.

4. Ketiga, milikan tanah melambangkan status sosial seseorang individu. Dalam konteks KEDAH dan di mana-mana wilayah sekalipun hakikatnya saiz atau keluasan tanah tidak bertambah, walhal keperluan penggunaanya kian meningkat.

5. Kesan pertambahan populasi yang kemudiannya melibatkan permintaan perumahan, perusahaan, kilang industri, kawasan rekreasi, pembangunan komersial dan pejabat kerajaan serta swasta.

6. Perlu difahami, pemilik mutlak semua tanah yang ada di sesebuah negeri adalah PBN (Pihak Berkuasa Negeri). Apabila ada permohonan bagi tujuan pertanian, perusahaan, perkliangan, perumahan, PBN akan melupuskan tanah miliknya melalui proses pemberi milikan dengan adanya satu geran 'title'.

7. Pemberi milikan ini juga tidak menandakan satu milikan mutlak oleh penerima tadi. Setiap tahun ianya perlu membayar cukai taksiran hasil tanah, premium dan juga status tanah diberi milik itu perlu diperbaharui selepas tempohnya jika ianya adalah pajakan.

8. Selaku PBN, dengan saiz tanah yang tidak pernah bertambah ini, keseimbangan agihan dan fokus berhubung pembangunan perlu difikirkan. Misalnya, jika satu hektar tanah pertanian ditanam dengan padi, ianya hanya memberi pulangan sebagai contoh kepada 4 atau 5 orang pekerja bagi mencari rezeki. Namun apabila dibuat rumah kedai dua tingkat misalnya ratusan penduduk sekitar beroleh manfaat selain bercambahnya aktiviti ekonomi hiliran.


9. 12 tahun yang lalu, apabila 1,200 ekar tanah pertanian dipinggir Bandar Raya Alor Setar dibuat pengambilan, untuk diwujudkan Bandar Baru Mergong, maka ianya menjadi isu politik. Pemilik tanah tidak menolak usaha ini kerana selain pampasan, mereka juga beroleh manfaat sampingan yang lain. Kini dengan kepesatan projek pembangunan bercampur dan komersial di kawasan berkenaan meliputi hotel, lot kedai, hypermarket, perumahan, lebih 150,000 penduduk sekitar mendapat manfaat. Sejumlah 6,000 peluang kerja diwujudkan. Hotel Grand Alora yang berdiri megah di kawasan berkenaan, nilai jualan perkhidmatan bilik, serta pelbagai acara yang diadakan mengaut hasil jutaan ringgit sebulan.

10. Tumbuhnya pelbagai pusat komersial, kawasan perumahan baru dan juga lot niaga menatijahkan peningkatan hasil kutipan cukai taksiran, cukai hasil pintu, dan kesan ekonomi sampingan kepada kerajaan dan masyarakat setempat.

11. Samalah jua dengan pembangunan di Persiaran Sultan Abdul Hamid, atau dulunya dikenali sebagai Jalan Pegawai, yang menempatkan kuarters rumah pegawai kerajaan. Jika mahu bersandarkan nostalgia tanpa memikirkan keperluan jangka panjang, maka rumah-rumah nostalgia itu dikekalkan, namun tentulah tidak adil bagi generasi baru, pencari kerja serta pengusaha yang mahu melangsungkan kehidupan mereka.


12. Lantas kini, Persiaran Sultan Abdul Hamid adalah mercu pembangunan baru yang auranya tersebar luas. Dengan pusat kewangan, perniagaan pelbagai, penjaja, restoran, gedung alatan sukan, pusat kecantikan dengan rangkuman kesemuanya membuka peluang hampir 5,000 peluang pekerjaan.

13. Kes yang sama juga boleh dilihat dalam konteks pembangunan Pekan Simpang Kuala. Bagi penduduk Alor Setar totok Simpang Kuala dulunya disinonimkan dengan kegiatan jenayah, kongsi gelap dan pusat perjudian. Apabila pengambilan tanah di kawasan itu dilakukan di era Tan Sri Osman Aroff untuk pembangunan pusat pertumbuhan baru, ianya mendapat tentangan bukan sedikit, malah Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu diugut, keluarganya di ancam.

14. Kini, pekan Simpang Kuala dan nadi ekonominya bergerak tanpa henti. Pelbagai pusat barangan elektrik, kenderaan bermotor, restairan makanan segera, pusat kecergasan berdiri gagah di situ dan menawarkan bukan sahaja kerencaman aktiviti ekonomi, malah membuka ruang untuk kegiatan perdagangan, perusahaan dan perniagaan komersial termasuklah disini tempat saya menjalankan operasi firma guaman saya.


15. Inilah asasnya, dan kesemua pembangunan serta mercu tanda yang membawa manfaat jangka panjang kepada pelbagai pihak perlu dibangun dan didirikan di atas tanah. Tidak ada pembangunan atau kawasan komersial mahupun perumahan yang boleh didirikan di atas angin atau di awangan, melainkan bagi golongan yang percaya pada keajaiban mitos kerajaan sesat ayah Pin.

16. Maka tanah dan keperluannya bagi pembangunan tidak boleh dilihat dari sudut sentimental atau nostalgia semata-mata. Ianya harus diukur berdasarkan keperluan, manfaat kepada masyarakat teramai, sumber pendapatan pada kerajaan,ruang bagi dinamisme aktiviti ekonomi serta peluang kerja untuk rakyat. Selain prospek dan keperluan jangka panjang..

Bersambung di bahagian ke-2, ISU RIZAB MELAYU dan PEMBANGUNAN KAWASAN HIJAU DI SUNGAI PETANI…

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.