1. Tidak ada sesuatu yang baru dalam Bicara Rakyat yang mengetengahkan Mahathir selaku tokoh pembicara utama, program anjuran PPBM di Taman Wira pada 23 Disember lalu.
2. Jika diukur dengan kehadiran kira-kira 1,000 orang penonton, dengan 95% darinya 'orang luar', ditambah dengan usaha menyewa beberapa buah bas Inter-City dua tingkat milik sebuah syarikat pengangkutan, maka program berkenaan jelas gagal sama sekali.
3. Kesilapan besar Mahathir adalah berterusan menunjukkan sikap marah dan dendam peribadinya dalam berpolitik. Sehingga hilang rasional dan pertimbangan bagi memacu tindakan tersusun.
4. Jelas dalam bicaranya, yang dimarahinya adalah Najib dengan perkataan Najib mencuri diulang sebanyak lebih kurang 27 kali. Meski yang dikatakan mencuri itu sehingga sekarang gagal dibuktikan kesalahan selain Najib sendiri berterusan kekal cool dan melaksanakan khidmat bakti untuk rakyat.
5. Pada tahun 80'an dan penghujung 90'an ceramah Mat Sabu ayam tambatan PAS ketika itu berjaya menggamit puluhan malah ratusan ribu pendengar, namun tiba saat pilihanraya, PAS terus kecundang.
6. Mahathir tampaknya gagal pelajari aspek itu. Psikologi budaya politik di Kedah sekadar menganggap ceramah politik tidak lebih dari sekadar hiburan malam sama seperti aksi wayang kulit.
7. Lantas, ramai yang ke program ceramah berkenaan secara santai setelah tidak ada aktiviti yang mahu dilakukan di hari cuti. Setelah mendengar selama 10 minit, jika tidak ada isu sensasi atau kontroversi terbaru yang menghiburkan, maka mereka lazimnya akan meninggalkan majlis.
8. Inilah yang berlaku di Taman Wira dalam program Bicara Rakyat. Kekentalan hati dan pendirian penduduk Taman Wira dan mana mana tempat di Kedah sudah utuh bersama UMNO.
9. Datanglah penceramah membawa apa jua status, baik negarawan atau ilmuan. Akhirnya yang dinilai ialah siapakah pemimpin setempat yang sering melakukan engagement dengan mereka dan siapa pula yang mudah mereka dekati untuk mendapatkan khidmat bakti.
10. Inilah strategi politik yang gagal difahami Mahathir dan gerakan PPBM. Tidak mustahil jika inilah kesudahannya, maka kerusi yang bakal mereka tandingi mudah kalah.
11. Ideologi, dasar dan halatuju PPBM juga kurang sirna. Dan dalam program Bicara Rakyat itu juga yang jelas, DAP beroleh untung, kerana satu persatu penceramah sebelum Mahathir asyik mempromosikan kebaikan DAP. Sekali lagi satu langkah taktikal yang silap kerana sentiment gagal dibaca. Dan masyarakat Kedah lebih mengerti dan memahami warna sebenar perjuangan DAP.
12. Maka jadilah apa yang diungkapkan itu sekadar retorik dan bahan tawa penonton.
13. Hakikatnya masih banyak perlu dipelajari PPBM. Dengan masa untuk Mahathir kian suntuk bagi menobatkan anaknya ke jawatan Menteri Perdana, maka kecelaruan Mahathir kian mengasak dirinya sendiri.
14. Dari bahasa badan pendengar yang datang juga, jelas mereka mencebih mulut dan ternampak betapa Mahathir bukanlah sepertimana 22 tahun di singgahsana selaku Menteri Perdana.
15. Mahathir jelas, sudah menurunkan tarafnya sama seperti gurkha kepada DAP yang sanggup diperkuda dengan butiran gerak kerja dan strateginya bercelaru tanpa halatuju.
16. Benarlah ibarat doa almarhum Ustaz Fadzil Nor, Mahathir dipanjangkan umur untuk melihat sisa kemusnahan hasil dari apa yang dibinanya dahulu.
17. Sistem tirani, police state yang zalim lagi kejam dengan pelbagai sekatan undang-undang. Kini rakyat membuka mata, Mahathir boleh ke sini dan ke sana secara bebas, tanpa sebarang sekatan pun di bawah era Najib.
18. Boleh menghentam kepimpinan negara dan negeri sesuka hati, namun hentamannya tidak berbekas. Ruang bicaranya adapun seperti tiada. Pimpinan negara dan negeri tetap bekerja seperti biasa.
19. Dan strategi inilah yang melemaskan Mahathir dan saya yakin dia sedar, auranya tidak seperti dahulu. Taringnya sudah tumpul, agenda dibawanya bukan lagi untuk rakyat Malaysia tapi tidak lebih dari usaha membina legasi keluarga seadanya.
20. Namun, UMNO seharusnya bekerja dengan lebih kuat menangkis segala tohmah mehnah, memperlihatkan khidmat bakti kepada rakyat setempat dan seluruh negeri kedah kerana akhirnya rakyat memilih kerajaan bukan mana mana individu. Biar kita tidak popular dibibir rakyat tapi dekat dihati rakyat yang merasai denyut nadi kita.
20. Mahathir, zaman anda sudah berlalu, kini tiba masanya AURA anda pudar jua…