1. Tinta sejarah tertulis indah. Dua kali disinggahsana selaku Ketua Negara, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, jelas mempamir ciri seorang raja berdaulat, berhemah tinggi dan berjiwa rakyat.
2. Di usia 89 tahun, baginda menunjukkan khidmat yang penuh cemerlang, menaungi Negara. Mendepani segala macam mehnah dan cabaran demi mengukuh perpaduan dan citra sebuah peradaban.
3. Dalam konteks Kedah, peranan baginda usah dipersoal, kejituan tumpuan dalam pentadbiran negeri dilakar satu persatu, sehingga Kedah bergerak maju.
4. Semuanya hasil didikan awal, pengalaman pentadbiran, dan asuhan yang cukup sempurna. Malah tatkala menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid, antara 1946-1949, baginda memilih untuk bersemayam di istana, bergaul dengan pelajar dari kalangan rakyat biasa.
5. Inilah hemahan baginda, dan kesemua ini adalah asas latihan dan menjadi breeding ground yang cukup berkesan tatkala baginda dimahkotakan selaku Sultan Negeri Kedah.
6. Budi pekerti baginda, lengkap serta seimbang, diasuh dan dididik dengan nilai agama dan urusan keduniaan. Pengalaman baginda luas jauh terbentang, sehingga dihormati seanterio benua.
7. Bukan sekali baginda bersemayam selaku ketua Negara. Kali pertama antara tahun 71-75 tatkala Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri. Sedang Negara pula baru pulih dari landaan tragedi dan mahu menyegerakan kembali teras demokrasi.
8. Kali kedua sejarah dicatat, 13 Disember 2011 menerusi sistem elected monarchy, baginda sekali lagi dinobat selaku Ketua Negara, dengan memanda PERDANA Menterinya adalah Dato Seri Najib Tun Razak, selaku putera kepada Allahyarham Tun Razak.
9. Berkat daulat Duli Paduka, sinergi baru pembangunan dan ekonomi Negara terus dilakar. Kepaduan dan harmoni masyarakat majmuk terus diperkasa.
10. Urustadbir Negara efisien, cekap dan teserlah segalanya. Diadun dengan sentuhan penuh berhemah, tertib, dan semangat tanpa sedikitpun mengabaikan keperluan rakyat. Sesuai dengan jiwa dan sikap baginda yang mendahulukan rakyat.
11. Kini, baginda kembali semula untuk memayungi Mahkota Negeri Kedah. Tanggal 12 Disember 2016, baginda yang cukup cemerlang dan menakhoda takhta selaku Ketua NEGARA, kini akan memugar kembali dan memberi sirna pada sebuah tamadun bangsa bernama KEDAH DARUL AMAN.
12. Kekentalan semangat baginda, sentuhan kasih saya dan daya dinamik kepimpinan adalah ramuan segalanya. Raja Berdaulat Berjiwa Rakyat, itulah gelaran paling sempurna yang sewajarnya menjadi milik baginda.
13.Kedah akan kembali bercahaya, negeri akan terus maju jaya, rakyat berbilang kaum di Darul aman akan terus berbangga, kerana Sultannya adil, bertimbang rasa, mengerti akan aspirasi dan keperluan rakyat jelatanya.
14.Seperti kata pantun Melayu lama:
Negeri Kedah indah laksana
Ramai orang berdagang santeri
Raja Berdaulat Di Singgahsana
Bakti leluhur payung Negeri…
‘RAJA BERDAULAT BERJIWA RAKYAT’
Daulat Tuanku!, Daulat Tuanku!, Daulat Tuanku!
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.