Saturday, 4 June 2016

RUU AKTA 355 : PEMUDA MCA UMPAMA CACING NAIK KEMATA


1. Berdasarkan fakta dan sejarah negara, kali terakhir Akta 355, yang secara spesifik memperuntukkan bidang kuasa dan hukuman Mahkamah Syariah di Malaysia ditambahbaik ialah pada tahun 1984.

2. Kerangka Perlembagaan Persekutuan 1957 secara jelas menggariskan bagi maksud perbicaraan kes jenayah melibatkan warga Malaysia adalah tertakluk dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Mahkamah biasa (meliputi Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi).

3. Secara jelas, Mahkamah Syariah dimaktubkan HANYA memperihalkan kisaran berkaitan soal faraid, jenayah syariah (enakmen kecil yang bukan hudud), bab nikah cerai, hadanah dan perkara bersangkutan dengannya. Had bidang kuasa pula terhad kepada umat Islam SAHAJA.

4. Kuatkuasa hukuman, implementasi enakmen pula tertakluk kepada perkenan Sultan di sesebuah negeri atas kapasitinya sebagai ketua agama.

5. Inilah teras Akta 355. Ia sebenarnya langsung TIDAK menyentuh hak bukan Islam dan tidak terpalit sama sekali isu pelaksanaan Hudud. Kerana dari segi istilah hudud bermaksud 'had' atau mencegah. 'Capital punishment', misalnya hukuman mati mandatori hakikatnya sudah pun dilaksanakan dalam sistem perundangan di Malaysia. Seksyen 302, Kanun Keseksaan, Seksyen 39B, Akta Dadah Merbahaya contohnya memperincikan hukuman gantung bagi sabitan kesalahan. Secara ironi, jika tafsiran istilah hudud itu merujuk kepada had, mencegah atau 'capital punishment', bermakna ianya telah lama dijalankan di Malaysia.

6. Kenapa Pemuda MCA tidak sedar tentang isu ini dari awal? Dan kenapa baru kini apabila usaha menambahbaik fungsi serta peranan institusi kehakiman melibatkan umat Islam mahu diperkasa, tiba-tiba timbul ugutan dan 'kata dua' kepada PM diberikan?


7. Pada pandangan saya, penjelasan yang sangat jelas sudah diberikan. 'Private Bill' siapa sahaja boleh mengemukakannya dalam sidang Parlimen sebagai wasilah membincangkan dasar dan rang undang-undang yang melibatkan kepentingan umum.

8. Kenapa PM yang dijadikan sasaran, walhal rang undang-undang(Pindaan) ini baru dibentang dan akan dibahaskan? Cukup banyak masa diberi nanti untuk diwacana. Dan proses perdebatan pula melibatkan bacaan kali pertama, kedua dan ketiga. Jika diluluskan, maka dibawa ke Dewan Negara untuk melalui proses yang sama. Kemudian, untuk diwartakan, ia memerlukan pekenan dari YDPA serta implementasi di negeri-negeri memerlukan kesemua 9 orang Raja-Raja Melayu menandatangani dekri sebelum diwartakan dalam Enakmen Negeri.

9. Untuk rekod, Sabah dan Sarawak adalah dua buah negeri yang tidak menguatkuasakan tambahan hukuman apabila Akta 355 ini dibuat penambahan pada tahun 1984.

10. Adalah amat pelik apabila tiba-tiba saja pakatan MCA, MIC, GERAKAN begitu lantang bersuara. Walhal suara ini boleh dikonsensus dan dipolemik dalam mesyuarat pimpinan tertinggi BARISAN NASIONAL.

11. Meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada PM bagi kesemua persoalan ini seolah-olah mahu menuduh secara jahat kononnya PM mempunyai kuasa mutlak untuk mengarahkan speaker Dewan Rakyat menentukan apa yang boleh diusul dan apa pula yang tidak boleh dibincangkan di PARLIMEN. Sedangkan, praktisnya tidak begitu.

12. Bukankah ini satu sekatan suara  ke atas hak 222 Ahli Parlimen yang telah dipilih lebih 14 juta pengundi di kawasan masing-masing di seluruh Malaysia secara demokratik?


13. Sekali lagi secara 'mala fide', Pemuda MCA atau sesiapa sahaja yang membuat ugutan terbuka terhadap PM agar bertanggungjawab dan mengundurkan diri kerana membenarkan 'Private Bill' Akta 355 ini dibentang di Parlimen pada hakikatnya perlu meminta maaf dengan segera.

14. Pemuda MCA atau sesiapa saja rakan komponen BN, perlu lebih peka kepada konsep 'collective responsibility', tidak membuat spekulasi jahat lagi melencong dengan bersandarkan andaian bahawa jika pindaan Akta 355 diluluskan membuka ruang bagi pelaksanaan Hudud di Malaysia. Jika tidak jelas, silakan bertanya. Jangan pakai 'serkap jarang' sahaja.

15. Analoginya, mana mungkin secara teori dan amalinya pelajar yang tidak pernah lulus peperiksaan dalam sistem persekolah menengah, tiba-tiba dibenar memasuki universiti untuk mengikuti pengajian ijazah lanjutan. Lojik, rasional dan unsur realistiknya langsung tidak ada disitu.

16. Demikian juga Rang Undang-Undang Akta 355. Sekali lagi dijelaskan bahawa ianya adalah tentang bidang kuasa, hukuman, aturan dan kuatkuasa Mahkamah Syariah yang terhad jurisdikasinya ke atas umat Islam sahaja dan langsung TIDAK menyentuh hak atau teritori  bukan Islam. Bagaimana lagi hendak dijelaskan untuk memahamkan Pemuda MCA? Sukar sangatkah memahami penjelasan dengan bahasa yang semudah ini?

17. Demikianlah bila kefahaman dangkal dijadikan sandaran. Maka pertimbangan yang dibuat akhirnya tidak masuk akal dan berkecenderungan untuk dengan mudah memalitkan kesalahan ke atas bahu orang lain tanpa usul periksa. Mudah sangat melatah, seolah-olah terpengaruh dengan ultra kiasu DAP.

18. Paling tidak, Pemuda MCA sepatutnya  perlu menilai perkara yang lebih pokok. Prestasi parti mereka yang hanya sekadar memenangi 7 kerusi Parlimen pada PRU ke-13 lalu dan berapa pula jangkaan benar untuk PRU ke-14 nanti.


19. Dan selaku Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, saya minta Pemuda MCA Malaysia atau Negeri Kedah menjawab tiga soalan mudah dari saya dengan jujur:
a. Sudah berapa ramai pengundi Cina berumur 21 tahun yang telah berjaya didaftar oleh Pemuda MCA setiap bahagian di Negeri Kedah dan seluruh Malaysia amnya?

b. Dari sejumlah 4 juta pengundi kali pertama yang bakal mengundi dalam PRU ke-14 nanti, dengan lebih 23% dari etnik Tionghua, berapakah jumlah pengundi yang boleh didekati dan secara nyatanya boleh diraih oleh MCA?

c. Apa jaminan jika MCA terus diberikan kerusi yang pengundinya lebih 50% pengundi Tionghua, MCA tidak akan tewas dengan mudah pada DAP atau PKR pada PRU ke-14 nanti?
20. Jika 3 persoalan fundamental itu berjaya dijawab, dibuktikan secara meyakinkan dan dengan pemetaan lengkap MCA boleh meraih misalnya kemenangan 100% kerusi yang ditandingi baik Parlimen atau DUN dalam PRU akan datang, maka barulah Pemuda MCA yang ibarat 'cacing naik kemata' sekurang-kurangnya punyai asas agak besar untuk menuntut PM selaku Pengerusi Barisan Nasional Malaysia mengundurkan diri dari jawatannya.

21. Jika tidak, saya nasihati selaku rakan komponen, eloklah pemuda MCA semua peringkat utamakan kerja. Tindakan menggandakan jumlah pengundi dari cubaan belagak menjadi hero palsu yang ketinggalan zaman.

22. Sebelum saya terlupa, welcome back YB Dato’ Dr Leong Yong Kong, EXCO Kedah, kuota jawatan dari MCA setelah tidak sampai dua minggu menukar keputusan untuk kekal bersama MCA dan pentadbiran kerajaan. Barangkali Dr Leong sudah faham, bahawa emosi jangan didahului sehingga akhirnya boleh menampakkan kedangkalan pendirian diri sendiri...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Seta

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.