1. Baru-baru ini Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Azmin Ali datang ke Kedah dan menabur 'gula-gula' setelah hampir 11 bulan tidak ada sebarang tindakan atas dasar signifikan Kerajaan PH untuk negeri Kedah. Beliau kemudian memberitahu bahawa sebahagian daripada projek-projek berkenaan adalah dalam bentuk PFI.
3. Kebiasaannya, syarat dan perjanjian projek jenis PFI adalah lebih menguntungkan pihak swasta tersebut berbanding kerajaan atau rakyat. Sektor swasta tidak akan melabur berbilion wang mereka hanya untuk kerja-kerja amal atau suatu yang merugikan kerana projek tersebut akan berdasarkan "Profit Making Oriented" yang lebih mencari keuntungan dan bukan "Public Responsibility Oriented" yang seharusnya mengutamakan kebajikan dan keharmonian ekonomi rakyat.
4. Selain itu, pengawalan kontraktor dan pembekal adalah terletak dibawah kuasa syarikat swasta yang dipilih pihak kerajaan itu dan pihak kerajaan tiada hak untuk campur tangan terhadap keputusan syarikat berkenaan. Maka adakah ianya akan dapat menjamin bahawa syarikat tersebut akan membantu kontraktor bumiputera tempatan negeri Kedah secara adil?
5. Kemudian, situasi projek PFI amat mudah melibatkan kronisma dari "A to Z". Misalnya pembekal bahan bakar kenderaan dan pesawat. Pihak kerajaan tidak dapat mengawal kronisma tersebut kerana ia adalah projek swasta. Perlu diingat, abang kepada Menteri Besar Kedah dan anak kepada Perdana Menteri juga terlibat secara aktif dalam industri bahan bakar tersebut. Adakah 'skrip lama' akan diulang tayang sekali lagi?
6. Tempoh dan kadar kutipan tol juga tidak dapat dikawal kerajaan kerana ia berdasarkan perjanjian dengan syarikat konsesi terbabit. Sekiranya terdapat campur tangan kerajaan untuk mengawal kadar kutipan tol, maka pihak konsesi mungkin akan menerima pampasan wang yang diperah dari kantung rakyat. Semata-mata mengelak beban kewangan di bahu kerajaan, rakyat dipaksa tanggung beban berkenaan puluhan tahun? Nampaknya kita mundur kembali kepada 'dasar tol' PM ke-4.
7. Status syarikat swasta itu juga tidak di maklumkan kepada umum. Mungkinkah dari China? Jika dari China dibawah projek OBOR (One Belt One Road Innitiative), akan berpotensi Kerajaan Negeri Kedah 'menggadaikan' tanah dan aset kepada China seperti yang berlaku di Sri Lanka pada 2016 terpaksa menggadaikan tanah seluas 15,000 ekar dalam projek pelabuhan mereka. Jika dulu PH memfitnah BN konon 'menjual negara' kepada China, kini PH begitu mudah serahkan Jelapang Padi kepada negara asing?
8. Tidak dinafikan bahawa projek PFI mampu mengurangkan kos kerajaan bagi pembinaan projek, tetapi bukan saja kerajaan malah ramai pihak perlu menanggung risiko yang tinggi. Wajar atau tidak, Kedah laksanakan tujuh projek mega ketika rakyat hadapi pelbagai masalah yang melibatkan keperluan yang lebih penting seperti air dan kos sara hidup?
9. Pandangan saya biarpun ianya merupakan suatu yang mampu membangunkan Kedah, namun ianya kurang penting berbanding perkara asas yang merupakan keperluan hidup dan membabitkan kebajikan rakyat. Projek-projek berkenaan hanya wajar dilaksana setelah masalah keperluan dan kebajikan rakyat Kedah itu dapat diatasi dengan baik.
10. DS Mukhriz perlu lebih bijak membezakan antara kemahuan PH dan keperluan rakyat Kedah. Keperluan semasa rakyat Kedah bukanlah pembinaan KXP, tetapi penyediaan bekalan air bersih kepada rakyat. Ia adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih.
11. Menyelesaikan masalah bekalan air bersih, itulah keutamaan mantan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini yang berjaya memujuk Kerajaan Pusat membiayai Pelan Transformasi Bekalan Air Kedah yang bernilai RM1.2 bilion. Namun ia seolah sengaja dilengahkan DS Mukhriz dan setelah ditegur pemimpin BN dan PAS, barulah terhegeh mengumum akan meneruskan projek-projek berkenaan?
12. Kerajaan harus melaksanakan tanggungjawab ini sebelum 'gila mencari nama' dengan membuat projek mega yang seharusnya boleh dilaksanakan setelah selesai masalah air dan kos sara hidup di Kedah. Mungkin masalah bekalan air ini tidak memberi kesan kepada Menteri Besar Kedah kerana keluarganya tinggal di ibu negara. Apatah lagi 'kekayaan ajaib' keluarga Perdana Menteri yang gemar 'seksi' melancong di Eropah, sudah tentu tidak terasa perit hidup tertekan sebagaimana penoreh getah di Kedah.
13. Pada hemat saya, penyediaan infrastruktur yang mantap di kawasan sekitar projek tersebut harus dilaksanakan dahulu. Jika tidak, ia akan menguntungkan negeri Pulau Pinang kerana majoriti tenaga kerja di Kulim adalah warga Pulau Pinang dan ini akan merancakkan ekonomi dalaman Pulau Pinang dengan menaikkan kuasa beli mereka berdasarkan gaji dan upah yang diperoleh. Bagaimana dengan nasib anak Kedah sendiri?
14. Jika dibandingkan dengan nilai projek PFI tersebut. Kerajaan PH sebenarnya mampu menyelesaikan masalah air di Kedah. Malah bagi merancakkan ekonomi, kerajaan PH juga mampu memantapkan lagi kawasan ekonomi sedia ada di Bukit Kayu Hitam yang tidak melibatkan kos yang terlalu besar seperti projek KXP ini kerana fasiliti seperti lebuhraya sudah tersedia seperti yang dirancang dan tidak perlu bangunkan yang baharu.
15. Kerajaan PH juga mampu menggunakan dana tersebut secara kebih berfokus kepada rakyat. Misalnya dengan menambah serta melaksanakan pelbagai skim bantuan bagi Peniaga Kecil ataupun memberi insentif kepada lebih 25 buah IKS yang berdaftar dibawah SME. IKS adalah kunci bagi merancakkan ekonomi setempat di Kedah dan mampu mengurangkan Kos Sara Hidup di kalangan rakyat di negeri ini.
16. Selain itu, sektor perikanan dan nelayan juga dapat diperhebatkan oleh Kerajaan Negeri sebagaimana yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN sebelum ini. Justeru dalam masa yang sama dapat membantu ekonomi lebih 4,500 nelayan di Kedah yang kini semakin terhimpit dengan tekanan kos sara hidup dan dasar baharu kerajaan yang menekan.
17. Malah sektor pelancongan juga dapat ditambah baik seperti di Kawasan Warisan Dunia Lembah Bujang yang mampu memberikan suasana ekonomi rakyat yang baik di kawasan sekitar. Ia merupakan suatu identiti sejarah Kerajaan Kedah Tua yang harus dijaga baik seperti mana Kerajaan Indonesia lakukan terhadap Candi Borobudur yang terkenal seluruh dunia malah menggiatkan ekonomi rakyat setempat.
18. Oleh yang demikian, saya menyarankan pihak Kerajaan PH harus lebih memahami dan memberi fokus terhadap tanggungjawabnya ke atas rakyat, berbanding projek mega yang boleh ditangguhkan perlaksanaannya. Tidak lari gunung dikejar, namun utamakanlah keperluan dan rintihan rakyat terlebih dahulu.
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah
|
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.