Inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 yang dilancarkan baru-baru ini oleh Perdana Menteri adalah satu iltizam yang diharapkan dapat merealisasikan usaha mengurangkan indeks rasuah dalam negara.
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar mengalu-alukan pelan tindakan ilham Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir baru-baru ini. Saya percaya ini adalah kesinambungan komitmen kerajaan hari ini menambah baik Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan oleh Tun Abdullah Badawi pada 2004.
Dengan mewujudkan NAPC 2019-2023, ia jelas memberi amaran kepada semua terutamanya sektor awam dan ahli politik termasuklah Perdana Menteri sendiri serta barisan jemaah Menteri agar mereka bebas dari perbuatan rasuah.
Haruslah diingat, bagi menjayakan NACP, adalah menjadi fokus utama dan penting untuk institusi seperti Parlimen, Perundangan, eksekutif, ahli politik, pejawat awam, ahli korporat dan pelbagai lagi sektor lebih bertanggungjawab dalam tindakan mereka.
Mereka inilah yang bakal terkesan dengan kejayaan pelan tindakan ini bahkan mereka jugalah yang bakal bertanggungjawab jika iltizam ini dilihat gagal.
Pemuda UMNO Alor Setar melihat NACP sepatutnya tidak hanya berfungsi sebagai pelan untuk menghapuskan rasuah semata-mata, tetapi juga mengiatkan usaha untuk menyembuhkan sistem demokrasi negara dan pentadbiran kerajaan khususnya dalam memastikan tiada siapa pun mempunyai kuasa yang berlebihan dan pemisahan kuasa benar-benar diamalkan secara mutlak.
Malah institusi yang berkaitan integriti dan rasuah ini diberikan ruang yang lebih bebas dalam melaksanakan tugas demi kepentingan rakyat.
Justeru, pemisahan kuasa eksekutif, pembuat dasar dan badan kehakiman serta perundangan mestilah diangkat untuk memastikan sektor perkhidmatan awam tidak diragui dan dipertikaikan seterusnya menjadikan dasar NAPC efektif.
Campurtangan politikus dalam pentadbiran dan kewangan kerajaan adalah di antara isu utama dihadapi Malaysia dalam cabaran memenangi rasuah. NACP mestilah bertindak menghalang epidemik ini.
Jabatan Peguam Negara dan Kehakiman mestilah diberikan kebebasan untuk mendakwa sesiapa sahaja tanpa prejudis dan berkepentingan secara adil dan saksama.
Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar menyokong penuh usaha ini dan berharap Pelan NACP ini mencermin aspirasi dan harapan rakyat agar negara ditabal menjadi sebuah negara bebas rasuah di mata dunia yang senantiasa mempromosikan transparensi, akauntabiliti dan integriti pada setiap rakyat Malaysia.
Setakat hari ini, agenda ini belum benar-benar dilihat rakyat bahawa wujud keseriusan kerajaan PH dalam mengguna pakai kerana masih banyak isu-isu yang berbangkit dan jelas bertentangan dengan roh NACP ini. Kita tidak mahu agenda ini hanyalah semata-mata retorik oleh kerajaan yang akhirnya bersifat populis semata-mata.
Pemuda UMNO Alor Setar juga mahu melihat agenda bebas rasuah ini bukan setakat janji, tetapi yang lebih penting perlaksanaan tanpa mengira parti politik, kedudukan, jawatan dan pengaruh.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.