Showing posts with label Alif Ba Ta. Show all posts
Showing posts with label Alif Ba Ta. Show all posts

Monday, 30 March 2015

PEMUDA UMNO PERLU TERAJU PERPADUAN UMMAH DEMI KELANGSUNGAN NEGARA BANGSA

Menyelaras persidangan perwakilan cawangan Taman Wira Block E, Dun Bakar Bata
1. Segala puji-pujian kepada Allah SWT dengan limpah rahmatNya kini sidang mesyuarat cawangan-cawangan Pergerakan Pemuda UMNO di Bahagian Alor Setar sedang berjalan lancar penuh harmoni dan barakah. Lebih menarik melihat begitu ramai ahli Pemuda UMNO di Bahagian ini yang hadir bersidang, memberi tanda komitmen perjuangan yang tinggi di kalangan anak-anak muda di UMNO Bahagian Alor Setar. Selaku Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada ketua-ketua Pemuda UMNO Cawangan yang begitu bersemangat menganjurkan persidangan cawangan masing-masing. Meskipun sederhana majlisnya, namun pertambahan jumlah kehadiran ahli Pemuda UMNO di setiap cawangan itu begitu meriah dan amat saya hargai.

2. Boleh dikatakan setiap kali berucap di hadapan Pemuda UMNO di bahagian kami, saya sering menekankan tentang erti jatidiri seorang Islam, seorang Melayu dan seorang anak Tanah Melayu. Pada saya, asas kefahaman Islam yang kuat, memperjuang kepentingan bangsa bumiputera di tanah tumpah darah sendiri dan mendaulatkan tanahair dengan sifat patriotisme yang tinggi amat penting bagi seorang anak Melayu Muslim. Islam sebagai tonggak teratas dan di dalamnya terkandung mengenai cintakan keturunan bangsa dan tanahair. Perkara berkenaan perlu tersemat di dada pendekar muda Melayu di zaman serba mencabar ini.

3. Di zaman awal saya berjinak-jinak dengan politik, ramai di kalangan rakan-rakan yang bertanya apakah yang akan saya 'dapat' sekiranya saya menyertai UMNO. Saya tercengang dengan pertanyaan tersebut. Pada saya, bukan soal 'apa yang saya dapat', tapi sebenarnya 'apa yang mampu saya sumbangkan' demi agama, bangsa dan negara. Saya jelaskan bahawa selain darah perjuangan UMNO yang mengalir dalam tubuh ini, saya menegaskan bahawa saya memerlukan sebuah platform untuk melontar kesinambungan perjuangan tradisi anak Melayu yang amat tebal di jiwa saya. Di dalam diri saya, tersemat pertanyaan tentang apakah yang boleh saya sumbangkan untuk Islam, bangsa Melayu dan Tanahair. Dari kecil lagi saya melihat dan menyelami perjuangan itu dari susur galur tradisi keluarga dan saya tidak mahu ketinggalan dalam memberi sumbangan kepada perjuangan 'alif, ba, ta', meskipun sekecil hama...