1. Kebebasan berfikir dan melontarkan pandangan kepada umum sewajarnya berteraskan fakta-fakta yang benar kesahihannya. Penghujahan berkredibiliti disusuli dengan bukti yang diiktiraf akan membentuk kredibiliti pandangan yang dilontarkan.
2. Pada pandangan saya, Fadiah Nadiah Fikri perlu kembali belajar semula sejarah negara ini seperti mana yang direkodkan oleh para pengkaji dan pakar-pakar sejarah, bukan hanya semata-mata melaungkan slogan dari benak fikirannya yang kecil itu sahaja.
3. Pertama, sebelum ini dia sesuka hati menyerang institusi Raja-Raja Melayu, dan kini, kenyataannya semakin angkuh mempertahankan perjuangan berhaluan kiri berideologikan komunis yang dulu pernah melakukan onar melalui entiti Parti Komunis Malaya (PKM).
4. Saya ingin bertanya, tiadakah anak muda ini punya perasaan? Sekurang-kurangnya tiada sekelumitkan rasa simpati terhadap pengorbanan pejuang-pejuang tanahair yang telah gugur di zaman sebelum merdeka dan selepas kita mencapai kemerdekaan negara?
5. Sejarah telah merekodkan bahawa dalam usaha negara kita mencapai kemerdekaan, adakah anak muda ini terlupa pahlawan dan hero-hero kita yang gugur di medan perang demi agama, bangsa dan negara kita akibat dari kerakusan Komunis untuk mendapatkan kuasa di negara ini?
Mari kita belajar sejarah
6. Di sini mari kita kembali melihat pemahaman transkrip sejarah agar peguam muda yang kuat menyokong Pakatan Harapan (PH) ini dapat memahami apakah dan perbezaan diantara satu ideologi dan Parti Komunis Malaya(PKM).
7. Tahukah Fadiah bahawa ideologi komunis tidak pernah mengiktiraf kewujudan Tuhan? Sedangkan kita semua tahu bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam diiktiraf dunia dan tidak pernah menyekat mana-mana agama dipraktikkan di negara ini.
8. Selain itu, ideologi komunis begitu sinonim mengunakan kekerasan untuk mencapai matlamat sedangkan mana-mana agama di negara kita ini jelas menolak sebarang bentuk keganasan. Sebaliknya, kita lebih menekankan kaedah perundingan berpandukan kemanusiaan, perlembagaan dan perundangan negara.
9. Komunisme juga tidak diterima oleh oleh kaum India dan atas sebab utama itulah kebanyakan ahli PKM dulu terdiri daripada kaum Cina yang mungkin terpengaruh dan menerima fahaman dari Negara Komunis China satu ketika dulu. Keadaan itulah yang telah menimbulkan pelbagai kecurigaan dari kaum dan etnik lain dalam negara ini.
10. PKM ditubuhkan di atas satu perjuangan dan matlamat untuk menubuhkan sebuah lagi negara Republik Komunis Malaya. Kaderisasi dan komrad yang setia telah dirancang serta didoktrinisasikan fahaman ini melalui pertubuhan buruh serata dunia. Bagi Komunis, mereka memperjuangkan hak hak buruh yang susah dan tertindas dan menolak sebarang kasta atau klas masyarakat.
11. Pada Febuari 1948, beberapa orang wakil PKM telah hadir ke Persidangan Belia Komunis Asia di Culcutta India, yang mana jelas persidangan tersebut menggalakkan semua Parti Komunis di serata dunia untuk mengadakan pemberontakan bersenjata untuk mencapai matlamat mereka.
12. Dalam konteks Malaya ketika itu, maka jelas bahawa PKM ketika itu membawa perjuangan untuk merampas kuasa dari penjajahan British, dan melakukan penjajahan baharu dengan matlamat penubuhan Republik Komunis Malaya.
14. Ini telah menyebabkan PKM, yang dipimpin oleh Chin Peng menubuhkan 'Malayan Races Liberation Army (MRLA)' di mana kebanyakan senjata pemberian British ketika mereka berjuang menentang Jepun sengaja disorok dan membentuk pasukan gerila bersenjata yang beroperasi serta bermaharajalela di dalam hutan negara kita.
15. Perlu diingat bahawa ketika Jepun menyerah kalah, MRLA ini sempat mengambil alih kuasa selama 14 hari sementara menunggu British kembali ke Malaya dan ketika itulah juga ramai rakyat di negara ini yang telah menjadi mangsa kekerasan dan keganasan komunis akibat tidak mengikuti kehendak PKM.
16. Jelas, bukan? Sejarah telah memperlihatkan kekejaman PKM bertahun-tahun lamanya. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan Malaysia ditubuhkan pada 1963.
17. Soalnya, apa yang PKM buat? Mereka membunuh, menyeksa dan merogol rakyat yang tidak bersalah, mengganas dan membunuh polis dan tentera yang membela masyarakat kita ketika itu. Apakah wajar mereka ini diberikan pengiktirafan sebagai 'pejuang kemerdekaan' sedangkan mereka hanyalah pengganas semata-mata?
Kekejaman PKM
18. Pada sekitar tahun 70'an dan 80'an, PKM menggandakan aktiviti keganasan mereka dan sering bertempur dengan pasukan-pasukan keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara dan kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
19. Kumpulan mereka merancang untuk meletupkan Tugu Negara di Kuala Lumpur, menyerang hendap pihak polis di lapangan seperti mana yang kita semua ketahui apa yang berlaku dalam peristiwa Bukit Kepong. Ada banyak lagi siri-siri serangan keganasan di lokasi-lokasi hitam yang dilakukan PKM terhadap pasukan keselamatan dan orang awam.
20. Kemuncaknya mereka berjaya membunuh Ketua Polis Negeri Perak dan juga Ketua Polis Negara ketika itu! Apakah tindakan-tindakan seperti itu menggambarkan PKM sebagai 'pejuang kemerdekaan' negara?
Idea dan sentimen yang salah
21. Dalam dua dekad seterusnya, PKM menjalankan propaganda mereka dengan meracun pemikiran masyarakan dengan laungan terma 'Perlembagaan Rakyat Untuk Malaya' dan menyokong gerakan 'kesamarataan rakyat untuk negara bangsa'.
22. Manifesto ini bermaksud mereka tidak mengiktiraf bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini adalah bangsa teras seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang kepada prinsip bahawa semua bangsa dan etnik sepatutnya dilayan sama rata.
23. Malah PKM juga telah menolak Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara dan menuntut agar 3 bahasa utama negara ini sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Ideologi dan sentimen seperti itu yang Fadiah perjuangkan?
Pengganas yang Kalah
24. Chin Peng menyebut didalam bukunya iaitu ‘My Side of History (2003)’ bahawa PKM telah mengubah dan mengurangkan gerakan gerila mereka di sempadan Thailand dan kerajaan telah mengisytiharkan pengakhiran darurat apabila semua kawasan dalam negara diisytiharkan 'putih'. Akhir mereka mengaku 'kalah' dan meletak senjata pada 1989.
25. Oleh yang demikian, pada 2 Disember 1989, PKM bersetuju dan menandatangi perjanjian gencatan senjata dan keamanan dengan Kerajaan Malaysia dan juga Tentera Selatan Thai. Manakala di Sarawak juga telah pada 1990, tindakan pro-aktif pasukan keselamatan negara telah berjaya memaksa unit gerila komunis yang dikenali sebagai NKCP juga meletakan senjata.
26. Justeru itu, setelah ribuan mereka yang tidak berdosa gugur dan diperlakukan kejam oleh PKM ketika mereka galak memperjuangkan tuntutan mereka adakah kita sebagai Rakyat Malaysia perlukan sebuah lagi PKM??
27. Kenyataan atau forum yang dianjurkan untuk mengangkat kembali perjuangan mereka merupakan sesuatu yang langsun tidak boleh diterima. Adakah Fadiah Fikri seorang penyimpati perjuangan Komunis? atau dia sebenarnya seorang yang berfahaman komunis??
28. Saya harap pihak PDRM bertindak pantas terhadap Fadiah dan kumpulan mereka kerana secara jelas ada usaha dari mereka untuk meracuni fikiran rakyat dengan ideologi songsang, terutamanya generasi muda yang mungkin tidak celik tentang sejarah melalui forum forum terbuka atas nama hak kebebasan bersuara.
29. Mempertikai dan menggugat kedudukan institusi Raja-Raja Melayu dan menyarankan untuk menghapuskan institusi DiRaja yang menjadi syarat pembentukan kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan itu sama sekali tidak masuk akal. Faktanya, Raja-Raja Melayu adalah payung negara, sebaliknya puak komunis hanya layak dinobatkan sebagai pengganas dan pengkhianat negara.
30. Malah memperjuangkan komunis dan ideologinya di Malaysia juga merupakan satu tindakan melampau dan mencetus curiga kepada kita tentang 'siapakah sebenarnya' yang berada di belakang kumpulan ini??
31. Bersempena Ogos, bulan kemerdekaan ini, saya dengan seikhlas hati menyeru kepada rakyat di seluruh negara, semua anggota Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia terutama di Kedah dan UMNO Bahagian Alor Setar supaya memperteguh kembali jati diri kita. Dirgahayu Negaraku, Allahu Akhbar!
Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman
|
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.