Monday, 30 July 2018

KITA HANYA UBAH KEPIMPINAN KERAJAAN BUKAN PENGHAPUSAN TERAS TERBINANYA KERAJAAN DAN PERLEMBAGAAN...


1. Pada pertengahan bulan ini (Julai), kita semua dikejutkan kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran yang mendakwa kononnya bangsa Melayu di negara ini adalah 'pendatang' dan kaum India pula dianggap beliau sebagai penduduk asal.

2. Lebih menjengkelkan lagi, Naib Pengerusi DAP ini juga memperlekeh dan jelas menghina profesyen perguruan di Malaysia apabila menghasut supaya mengetuk kepala guru-guru yang mengajar subjek sejarah di sekolah.

3. Lebih menjengkelkan, Ahli Parlimen Ipoh Barat yang diangkat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Kerajaan PH itu mencabar supaya kenyataannya itu disebar kepada umum dan mendakwa konon bangsanya tertindas di negara ini. Berikut adalah transkrip kenyataannya;


"Kebanyakan orang telah lupa. Orang Hindu mula mula jejak negara ini 2,500 tahun dulu. 
"Apa buktinya? Sekiranya anda pergi ke Lembah Bujang, kesemua bukti terdapat di sana. Terdapat banyak kuil lama yang ditemui di sana. 
"Apabila kitalah yang berada di negara ini terlebih dahulu, maka merekalah (Melayu) yang sebenarnya pendatang! 
"Kita dan Melayu adalah setaraf. 
"Tapi hari ini, semua ini sudah dilupakan. 
"Tanyalah kepada anak-anak kita yang bersekolah tentang sejarah asal usul kita; mereka akan berkata Guru di sekolah telah ajar yang orang Hindu menetap di sini 100 tahun yang dahulu. 
"Kita mesti mengetuk kepala guru-guru yang ajar sejarah salah yang sebegini! 
"Pergi beritahu kepada semua, kenyataan ini keluar dari mulut saya. Hindu, kaum pertama di Malaysia, 2,500 tahun yang lepas. 
"Kita seharusnya perlu sebarkan kepada semua supaya hak kita tidak akan tertindas. Ini adalah tanah air kita. 2,500 tahun dahulu kita sudah menetap di sini. Kita mempunyai semua hak untuk berada di tanah ini. 
"Ini Tanahair kita". - Malaysia Today & MyNewsHub.


4. Tidak cukup dengan itu, semalam (29 Julai 2018), beberapa anak muda Melayu yang begitu sinonim menyokong PH tanpa rasa malu dan bersalah telah mendesak agar gerakan subversif bersenjata berideologi komunis termasuk Parti Komunis Malaya (PKM) dimasukkan dalam buku teks Sejarah Malaysia.

5. Mereka mendakwa kononnya PKM juga layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan negara dan mendesak supaya 'perjuangan' gerila komunis itu juga dimasukkan ke dalam silibus buku teks sekolah di negara ini. Sila rujuk di sini, (Utusan Online). 

6. Malah mereka yang bukan merupakan pakar sejarah yang diiktiraf dan diyakini berlatar belakangkan bidang lain itu juga mendakwa buku sejarah sedia ada kononnya terpesong daripada sejarah sebenar selain menjadi bahan propaganda kerajaan terdahulu (BN).


7. Saya amat memandang serius dengan kenyataan Kula mahupun anak-anak muda PH itu. Saya yakin, mereka mengeluarkan kenyataan seperti itu tanpa asas pengetahuan sejarah yang kukuh, bersifat kajian secara akademik dan berdasarkan persepsi prejudis diri sendiri sahaja. Tiada sebarang kredibiliti atas dakwaan-dakwaan mereka.

8. Saya tidak fikir dakwaan mereka ini dibuat berasaskan sumber ilmiah. Sesungguhnya ia sangat bercanggah dengan sejarah negara dan kajian-kajian yang telah dibuat oleh sarjana-sarjana sejarahwan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

9. Tidak pasti apa motif sebenar mereka mengeluarkan kenyataan dangkal sebegitu. Namun di sebalik publisiti murahan mereka itu, kesan daripada mulut celupar mereka itu mampu mencetus kebencian dan permusuhan antara kaum, menyemarakkan perasaan rasa marah bangsa Melayu, serta mengancam keselamatan umum di negara kita.

10. Mereka nampaknya sengaja membangkitkan sentimen kebencian terhadap sejarah negara dan cuba untuk mengganggu gugat prinsip Rukun Negara, Kontrak Sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang seharusnya dijunjung oleh setiap warganegara di negara ini tanpa mengira bangsa, etnik atau anutan agama.

11. Kata-kata Kula dalam ceramahnya yang berbahasa Tamil itu misalnya begitu terserlah elemen memperlekeh identiti bangsa Melayu, sekali gus menggambarkan konon bangsa kita ini sebagai lemah, hina dan tidak bermaruah.


12. Saya tidak pasti sama ada Kula pernah dengar atau belajar dengan mendalam mengenai istilah 'Austronesian' dan 'Austroasiatic' yang wujud di sekitar kepulauan Asia Tenggara sejak 200 BC dahulu yang menjadi titik tolak kepada kewujudan bangsa Melayu Nusantara.

13. Beliau bercakap tentang candi di Lembah Bujang yang dikatakan terbina oleh pedagang India di Kedah? Pedagang Arab pun datang berdagang di Kepulauan Tanah Melayu, tapi tidak pula mereka mengaku 'penduduk asal' bumi bertuah ini. Malah ramai lagi pedagang-pedagang dari seluruh benua dunia datang ke Tanah Melayu, mereka 'penduduk asal' juga?

14. Apakah dia pasti tidak ada bangsa Melayu yang wujud dan memerintah Kedah ketika itu? Bagaimana pula dengan Kedah Tua, Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Johor-Riau-Lingga dan sebagainya? Raja-Raja Melayu dan Yang DiPertuan Agong yang menjadi payung negeri dan negara semuanya berketurunan India??? Atau orang asli?


15. Apa motifnya mahu mengubah silibus di dalam buku teks sejarah di sekolah jika ia menukilkan suatu yang benar dan berasaskan kajian mendalam secara ilmiah oleh pakar-pakar sejarah yang diiktiraf dunia. 

16. Komunis dan PKM mahu dilabel sebagai 'pejuang kemerdekaan' Tanah Melayu? Tahukah budak-budak itu tentang istilah 'Komunis' dan asal usulnya sehingga tertubuh PKM dulu? Tahukah mereka tentang angkara dan onar yang pernah dilakukan PKM?

17. Apakah mereka sengaja mahu nafikan perjuangan askar-askar Melayu, anggota polis dan tentera yang bernaung di bawah Raja Raja Melayu dalam mempertahankan kedaulatan bumi bertuah yang asal usulnya bernama Persekutuan Tanah Melayu? 

18. Mereka bermatlamat menubuhkan sebuah negara republik berasaskan fahaman komunis yang gara-gara perjuangan itu berapa ramai orang Melayu, Cina dan India di negara ini yang terkorban dan menjadi mangsa kekejaman 'penjenayah-penjeyanah perang' itu.

19. Saya yakin, panel-panel forum yang dianjur di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur-Selangor itu adalah budak-budak mentah yang langsung tidak faham tentang susur galur sejarah negara dan bukanlah mereka yang layak berhujah tentang sejarah, apatah lagi demi menghalalkan sejarah duka kekejaman komunis di Tanah Melayu.

20. Apa jenis 'pejuang kemerdekaan' jika selepas negara ini merdeka, mereka masih lagi bertindak kejam memberontak dan membunuh mangsa yang tidak seideologi dengan mereka? Tidakkah mereka diajar untuk berfikir menggunakan akal dan bersandarkan kebenaran sebagaimana yang dituntut agama dan undang-undang negara?


21. Kedua-dua isu yang dibangkitkan ini jelas tidak ada rasional yang waras untuk dijustifikasikan. Ia hanya merupakan satu propaganda yang mungkin hanya mahu meraih publisiti murahan dan membangkitkan perasaan marah serta mengancam memecah-belahkan keharmonian kaum yang subur disemai Kerajaan BN sebelum ini.

22. Mereka cuba mengambil kesempatan atas pepecahan bangsa Melayu yang kehilangan kuasa di tanah air sendiri pada PRU14 yang lalu? Mereka fikir bangsa Melayu ini lemah? Sudah dipesan berkali-kali supaya jangan jadi seperti Sikitul, Raja Mendeliar atau watak Buang di dalam filem Sarjan Hassan. Usah bermain api dan jangan dijolok sarang tebuan...

23. Namun kewujudan pengkhianat Melayu alaf baru ini mungkin telah menyuntik vaksin virus yang menuntut kebebasan aliran pemikiran sehingga menyebabkan berlakunya ancaman ketegangan kaum, fahaman dan doktrinisasi ideologi negatif di dalam minda masyarakat millennia #MalaysiaBaharu. 

24. Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh jiwa Melayu, kyaum dan etnik yang pelbagai di negara ini supaya bangkit menentang keras kepalsuan fakta yang cuba diterapkan meracuni pemikiran masyarakat majmuk oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab itu.

25. Semoga Allah SWT terus merahmati dan menyelamatkan negara dari mereka yang sangat berpotensi mencemar masa depan keharmonian bangsa, agama dan negara. Dalam pembinaan sebuah negara bangsa, bentuk pemikiran seperti mereka itulah yang sewajarnya tidak dibiarkan hidup melata! Allahu Akbar!

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.