Tuesday 21 August 2018

Tanah Kampung Baru 999 tahun;MB Perak Faizal Dato Azumu mesti dipertahankan!


Seperti yang kita maklum, DAP Perak tetap bertegas menuntut Kerajaan PH Negeri Perak berikan status hak milik tanah 999 tahun sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PH pada PRU ke-14 yang lalu.

Memetik desakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, dia mendakwa kuasa untuk meminda perkara tentang hal ehwal tanah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN).

"Saya merasakan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan di mana tanah-tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan Majlis Tanah Negara hanya memberikan nasihat, itu sahaja," begitulah katanya seperti yang dipetik daripada media arus perdana.

Namun begitu, saya tidak pasti sama ada Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu sedar atau tidak bahawa antara aspek perundangan yang harus diperhatikan adalah melibatkan Perlembagaan Persekutuan (PP) dan Kanun Tanah Negara (KTN). Isu-isu yang harus diperhatikan dalam tuntutan Nga dan 'bantahan' daripada MB Perak boleh dikategorikan seperti berikut:
(A) Adakah pemberian hak milik 999 tahun bercanggah dengan undang-undang; 
(B) Sama ada pemberian hak milik kekal bercanggah dengan Dasar Pembangunan Negara (DPN); 
(C) Kuasa dan peranan Majlis Tanah Negara (National Land Council)

Ayuh kita kupas satu persatu persoalan-persoalan di atas;

(A) Adakah pemberian hak milik 999 tahun bercanggah dengan undang-undang;

Untuk persoalan pertama ini, kita perlu merujuk kepada Perkara 91 PP yang menyebut bahawa;
91. National Land Council. (Federal Consitution) 
(1) There shall be a National Land Council consisting of a Minister as chairman, one representative from each of the States, who shall be appointed by the Ruler or Yang di-Pertua Negeri, and such number of representatives of the federal Government as that Government may appoint but, subject to Clause (5) of Article 95E, the number of representatives of the federal Government shall not exceed ten. 
(5) It shall be the duty of the National Land Council to formulate from time to time in consultation with the federal Government, the State Governments and the National Finance Council a national policy for the promotion and control of the utilization of land throughout the Federation for mining, agriculture, forestry or any other purpose, and for the administration of any laws relating there to; and the federal and State Governments shall follow the policy so formulated. 
(6) The federal Government or the Government of any State may consult the National Land Council in respect of any other matter relating to the utilization of land or in respect of any proposed legislation dealing with land or of the administration of any such law, and it shall be the duty of the National Land Council to advise that Government on any such matters.
Tafsiran Pekara 91 PP ini menjelaskan bahawa National Land Council (Majlis Tanah Negara) , diberikan hak untuk menasihati Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan berkenaan dengan perkara-perkara yang terkandung dalam Perkara 91 itu.

Memangkan diakui bahawa tidak terdapat mana-mana peruntukan dalam perkara tersebut yang menyatakan bahawa Kerajaan wajib menerima pakai nasihat tersebut, namun harus diketahui bahawa, Majlis Tanah Negara (MTN) adalah Majlis yang berhak menasihati Kerajaan. Tindakan memberi nasihat itu adalah selaras dengan undang-undang dan kepentingan Dasar Negara.


Selanjutnya, kita rujuk pula pada Seksyen 90A Kanun Tanah Negara yang berbunyi;
90A. Extension of land alienated for a term of years. (National Land Code) 
(1) The proprietor of any land alienated for a term of years may apply to the State Authority for the term to be extended. 
(2) The application shall be made before the expiry of the term specified in the document of title. 
(3) Upon receiving any application referred to in subsection (1), the Land Administrator shall endorse, or cause to be endorsed, a note on the register document of title to the land to which the note relates. 
(4) The State Authority shall not entertain any such application unless the State Authority is satisfied with respect to every person or body having a registered interest in the land, either that he has consented to the application or that his consent ought in the circumstances of the case to be dispensed with. 
(5) The approval or rejection of an application under subsection (1) shall be at the discretion of the State Authority, ... 
(9) Nothing in this section shall preclude the State Authority from considering the application together with any other application provided under this Act.

Hasil semakan dengan pihak MTN, Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baharu adalah seperti berikut;

i. Mesyuarat MTN ke-42 pada 8 Januari 1988 telah memutuskan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baharu telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun. 

ii. Berdasarkan Mesyuarat MTN ke-53 pada 25 April 1997, keputusan yang dibuat menetapkan bahawa tempoh pajakan atau "leasehold" bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Apa yang jelas, perkara-perkara yang diputuskan ini adalah selaras dengan undang-undang termaktub. 


Sebaliknya, keputusan untuk meneruskan cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-Kampung Baru seperti yang dituntut DAP itu adalah bercanggah dengan undang-undang sedia ada.

Sekiranya Nga dan DAP Perak tetap berdegil, saya menjangkakan bahawa ia akan mencetus komplikasi undang-undang yang (floodgate) yang tidak munasabah dalam tempoh masa yang panjang.

(B) Sama ada pemberian hak milik kekal bercanggah dengan dasar pembanggunan negara;

Isu kedua ini pula adalah berkenaan dengan pemberian hakmilik kekal. Pemberimilikan tanah dalam keadaan-keadaan khas untuk pegangan selama-lamanya di bawah seksyen 76(aa)(iii) Kanun Tanah Negara 1965. 

Tafsiran "special circumstances" atau keadaan-keadaan khas tidak diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara (KTN). Dalam hubungan ini, maksud "special circumstances" di bawah seksyen 76(aa)(iii) KTN bolehlah didefinisikan sebagai;
"the circumstances as distinguished from ordinary circumstances. It must be something exceptional in character, something that exceeds or excels in some way that which is usual or common" [Leong Poh Shee v Ng Kat Chong (1966) 1 MU 86].
Oleh itu, bagi tujuan penyeragaman amalan "special circumstances" tersebut, adalah wajar ianya dirujuk terlebih dahulu kepada MTN supaya amalan pemberimilikan tersebut tidaklah menjejaskan dasar keseragaman undang-undang. 

Tindakan merujuk kepada MTN itu adalah sejajar mengikut Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan, dan dipersetujui bersama menurut Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan.

Daripada perspektif Perlembagaan Persekutuan, keputusan MTN yang dibuat di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan adalah sebahagian daripada operasi perundangan yang mengikat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk mematuhinya. 

Dalam hubungan ini, jika Kerajaan-Kerajaan Negeri yang bertindak membelakangi keputusan MTN tersebut, maka tindakan itu boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.


Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-64 juga secara jelas mengambil maklum akan ketetapan dasar spesifik yang menegaskan tentang tempoh pegangan tanah bagi Kampung-Kampung Baru di seluruh negara seperti berikut:

(a) Mesyuarat MTN Ke-42 pada 8 Januari 1988 telah memutuskan bahawa tempoh pajakan (leasehold) bagi Kampung-Kampung Baru dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun; dan

(b) Mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 dengan menetapkan bahawa tempoh pajakan (leasehold) bagi Kampung-Kampung Baru tersebut hendaklah sekurang- kurangnya 60 tahun, tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Sebagaimana yang kita maklum, hasil utama Kerajaan Negeri ialah hasil daripada cukai tanah, hasil cukai kerajaan tempatan, bahan galian dan pembalakan. Walau bagaimanapun, tidak semua negeri mempunyai hasil dan keluasan tanah yang sama. Oleh itu, dari segi keseimbangan pendapatan, sesetengah negeri tidak mempunyai pendapatan yang stabil.

Penggubalan Kanun Tanah Negara 1965 merupakan satu contoh jelas yang menunjukkan Parlimen telah diberikan kuasa menggubal perundangan tentang hal ehwal tanah di bawah Fasal (4) Perkara 76 bagi mewujudkan keseragaman undang-undang dan polisi mengenai tanah. 

Sekiranya berlaku percanggahan antara Undang-Undang Persekutuan dan Negeri, Artikel 75 menyatakan bahawa undang-undang Persekutuan akan mengatasi dan undang-undang Negeri akan terbatal (setakat mana ianya bercanggah).

Sementara itu, perbezaan di antara Artikel 76(1)(b) dan artikel 76(4) yang terdahulu bersifat umum dan yang kemudiannya dikhususkan untuk tanah dan apa-apa yang boleh dianggap sebagai tanah.

(C) Kuasa dan Peranan Majlis Tanah Negara (MTN)

Kuasa dan peranan Majlis Tanah Negara terkandung dalam Perkara 91 PP yang menyebut antaranya ialah; 
i. Merancang suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh negara bagi tujuan perlombongan, pertanian, perhutanan atau sebagainya; dan  
ii. Mentadbir mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya.

Paling utama, Kerajaan Persekutuan dan Negeri diwajibkan untuk mengikuti dasar yang dipersetujui. 

Kerajaan Persekutuan atau Negeri boleh berunding tentang keputusan yang diputuskan MTN dengan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan penggunaan tanah, sebarang cadangan perundangan tanah atau pentadbiran perundangan. Namun begitu, MTN wajib untuk memberi nasihat kepada Kerajaan yang mengajukan cadangan atau perkara tersebut. 

Jadi, berdasarkan perspektif Perlembagaan Persekutuan, keputusan MTN yang dibuat adalah bertepatan di bawah Perkara 91(5) PP, yang merupakan sebahagian daripada kesan operasi perundangan yang mengikat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mematuhinya. 

Justeru itu, jika ada tindakan Kerajaan Negeri yang membelakangi keputusan MTN, maka tindakan tersebut boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, terdapat beberapa cubaan untuk membelakangi keputusan MTN di negara kita membabitkan kes seperti pemberian hak milik tanah kekal kepada tuan punya tanah di negeri Perak sewaktu kerajaan gabungan Pakatan Rakyat (PKR, DAP dan PAS) memerintah.

Perkara ini timbul semula apabila pemimpin DAP yang kini menjadi orang kepercayaan PM ke-7, kembali membangkitkan isu ini. Sebenarnya, situasi dan kesan-kesan tindakan ini telah pun diperjelas MTN dalam mesyuarat mereka pada tahun 2009. 


Adalah jelas bahawa kuasa yang diberikan kepada MTN untuk menggariskan Dasar Tanah Negara sudah pasti memberikan kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada hasil mahsul Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 

Oleh yang demikian, maka tindakan MB Perak yang enggan menerima desakan DAP itu adalah tepat dan wajar. Saya yakin bahawa tindakan beliau itu tiada sebarang perkaitan dengan sentimen perkauman,hak ketuanan Melayu dan sebagainya,  namun apa yang dituntut DAP itu jelas bercanggah dengan perundangan negara dan bersekali boleh juga diklasifikasikan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Syabas diucapkan kepada MB Perak walau secara politiknya di Perak beliau tidak mempunyai jumlah kerusi yang selesa tapi yang benar dan berhak tetap dipertahankan, Sebarang tekanan politik dari DAP perlu dihadapi dengan penuh penyatuan menjangkaui politik partisan. Saya amat berharap UMNO Perak menyokong MB Perak dalam isu ini kerana ini adalah soal berkepentingan negara, undang undang dan Perlembagaan. Saya harap DAP atau mana-mana pihak tidak sesekali mencabar kewibawaan perundangan negara atau cuba melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam soal ini. Jika mahu berusahalah untuk mengubah undang undang dan Perlembagaan tapi ianya tidak mudah tanpa berdepan dengan kebangkitan rakyat dan Umat. Jangan cuba cuba bermain api, kelak bakal membakar diri! 

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.