1. Saya mengikuti dengan penuh minat perdebatan di Dewan Rakyat mengenai royalti minyak yang dituntut negeri pengeluar seperti Kelantan dan Sabah. Daripada perdebatan tersebut Perdana Menteri telah menyatakan komitmen untuk mengembalikan 20% royalti minyak kepada negeri negeri pengeluar tersebut.
2. Melihat perkara berkenaan, ia membawa saya melihat tentang perlunya kerajaan Kedah juga meneruskan kembali tuntutan pampasan seumpama royalti kerana Kedah adalah sebuah negeri yang banyak berkorban untuk negara. ‘Status jelapang padi negara’ menyebabkan kita terpaksa mengekalkan tanah sawah, hutan dan pengairan kepada negeri jiran.
3. Kerajaan Pusat perlu menghargai negeri Kedah yang mengekalkan lebih 115,000 hektar tanah sawah sebagai kawasan strategik makanan negara selain 300,000 hektar hutan simpan di Pedu dan Ulu Muda bagi memastikan bekalan air untuk sumber minuman dan pertanian bagi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Tindakan berkenaan merugikan Kedah dari sudut pulangan ekonomi.
4. Menteri Besar terdahulu seperti DS Syed Razak Syed Zain dan DS Ahmad Bashah Md Hanipah pernah memperjuangkan soal pampasan berkenaan dan adalah wajar ia diteruskan oleh DS Mukhriz Mahathir, supaya satu nilai pampasan tahunan yang munasabah diperolehi Kedah menyamai nilai royalti bagi negeri pengeluar minyak sebagai contoh.
5. Sekitar tahun 2001, sudah ada kelulusan secara dasar oleh mesyuarat kabinet untuk membayar pampasan tahunan kepada Kedah dengan nilai yang belum diputuskan. Namun kelulusan dasar itu tidak pernah diimplementasikan dan negeri serta rakyat Kedah kerugian hasil dianggarkan diantara RM100-RM150 juta saban tahun.
6. Mengikut dasar sekarang, Kedah harus mengekalkan keluasan tanah sawah sebagai "food security", dan ia tidak boleh dikomersialkan sewenang-wenangnya bagi tujuan perumahan dan industri meskipun urbanisasi kian meluas dalam konteks negeri ini.
7. Demikian juga khazanah balak yang bernilai berbilion ringgit serta sumber galian di hutan simpan langsung tidak boleh dimanfaatkan meskipun kerajaan negeri punyai bidang kuasa mengubah status hutan simpan berkenaan.
8. Walhal pengorbanan yang dilakukan itu atas kapasiti mahu memastikan sumber bekalan air mentah mencukupi yang sebahagian besar manfaatnya dinikmati negeri jiran seperti Pulau Pinang sedangkan hasil untuk Kedah amat rendah.
9. Atas faktor ini dan bagi tujuan menjamin satu punca pendapatan yang wajar lagi adil kepada kerajaan negeri, DS Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar perlu melihat isu ini secara serius.
10. DS Mukhriz selaku Ahli Dewan Rakyat mesti mengusulkan segera dalam perbahasan Parlimen untuk mengingatkan PM jgn menyisihkan Kedah dalam komitment perberian pampasan seumpama royalti ini untuk kehilangan hasil bumi Kedah.
11. Rundingan segera dan kelulusan muktamad wajar diperolehi dari kerajaan pusat berhubung perkara ini. Solusi untuk mendapatkan nilai pampasan yang wajar mengikut kadar semasa tidaklah menjadi terlalu rumit memandangkan Perdana Menteri juga adalah kelahiran Kedah.
12. Wang pampasan yang akan diperolehi ini bolehlah dimanfaatkan bagi tujuan peningkatan aspek kebajikan rakyat terutamanya petani, pesawah dan juga tumpuan terhadap kecemerlangan pendidikan dan kegemilangan syariat agama, dua bidang yang dikenal pasti negeri ini punyai potensi yang luas lagi besar.
13. Saya ingin mengingatkan kepimpinan Kerajaan PH Negeri, jika kita benar-benar komited ingin meningkatkan hasil kerajaan Negeri. Kita mesti mengusahakan satu ‘New Deal’ baru menuntut hak pengorbanan Kedah. Jika tidak, saya percaya Kedah akan terus kekal antara negeri termiskin dengan pertumbuhan yang terus perlahan di Malaysia biarpun mana-mana pimpinan Kerajaan bersilih ganti.
Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman
|
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.