Friday, 26 August 2016

MEMELIHARA KESTABILAN EKONOMI BANGSA, MENJAGA KEDAULATAN POLITIK NEGARA



USUL EKONOMI & POLITIK
MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN ALOR SETAR 2016


PENCADANG USUL:
  1. Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Al-Mashri
Cawangan Lubuk Peringgi
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian

    1. LATARBELAKANG


    1. Berdasarkan tassawur Islam, ekonomi umat dijana supaya dakwah ISLAM dan negara ISLAM MADINAH dapat berdiri dengan kukuh. Ibadat dalam Islam juga menunjukkan, selepas mendirikan solat anda perlu menunaikan zakat. Apabila beroleh rezeki dan nikmat anda perlu agihkannya untuk masyarakat, baik dalam bentuk infak, sedekah, jariah.

    1. Justifikasinya untuk memelihara kemaslahatan ummah, dan mengelakkan dharurah.

2.0    USUL CADANGAN
2.1    Lantas, menginsafi dan memahami hakikat ini, saya Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri, wakil Cawangan Lubuk Peringgi, mencadangkan perdebatan usul berikut untuk dibahas seterusnya dipersetujui dengan sebulat suara oleh sidang perwakilan. Usul dicadang berbunyi:
“MENJAGA KEDAULATAN EKONOMI BANGSA, MEMELIHARA KESTABILAN POLITIK NEGARA”


MENJAGA KEDAULATAN EKONOMI BANGSA
Justifikasinya bersandarkan perincian berikut:
2.1 Bangsa Melayu, Bumiputera mewakili 67% dari komposisi penduduk negara. Kadar kemiskinan tertinggi juga adalah dari kalangan Melayu dan Bumiputera.
2.2 Dalam masa yang sama, 80% kekayaan ekonomi negara dikuasai oleh 10% kelompok pengusaha dan peniaga kapitalis.
2.3 10% kek ekonomi negara pula kini direbut oleh pendatang asing yang dengan mudah menjadi pengusaha, pemodal dan peniaga yang kaya raya.
2.4  Bermakna hanya 10% kekayaan negara yang tinggal untuk dikongsi oleh 67% bangsa Melayu dan Bumiputera.
2.5 Ini menimbulkan ketidakadilan sosial, ketidakseimbangan agihan kekayaan yang memungkinkan mudarat dan boleh mencetus ketidakstabilan hubungan antara kaum.
Maka menyedari keluh kesah bangsa ini, supaya BUMI DIPIJAK BUKAN MILIKNYA ORANG selain tidak terus meletakkan bangsa ini selaku hamba di bumi sendiri, maka saya mengusulkan perkara berikut untuk dikuatkuasakan dengan segera:
Pertama, MENGUATKUASAKAN aturan yang tegas agar orang asing, pendatang tanpa izin, pekerja asing tidak dengan mudah diberi kebenaran menyewa, membuka premis niaga dengan sewenangnya.
KEDUA, menerusi   sikap   berintegriti   serta   bersungguh   pucuk pimpinan parti yang menakhoda kerajaan; digesa menghadkan pengambilan buruh asing,   mengutamakan   periuk   nasi   dan   peluang   ekonomi   warga Bumiputera   tempatan.   Agar   pisang   tidak   berbuah   dua   kali   kesan kemasukan   Imigran   ke   Tanah   Melayu   pada   kurun   ke-19   yang  kini menyaksikan   golongan   berkenaan   menguasai   80%   kekayaan ekonomi Negara, meskipun hanya mewakili  kelompok minoriti penduduk Negara
KETIGA, mendesak   UMNO   menerusi   wakilnya   yang   berada   di  dalam Jemaah   Menteri   agar   menggubal   model   perniagaan   bersifat   bitara, peluang   ekonomi   dan   agihan   kekayaan,   supaya   mencerminkan usaha meratakan kek ekonomi untuk dinikmati majoriti penduduk Melayu dan Bumiputera serta memastikan peruntukkan dalam Perlembagaan persekutuan diterjemah dalam tindakan dengan adanya keistimewaan bagi pemberian permit, lesen, saham niaga pada kaum Bumiputera dan Melayu yang layak mengikut merit dan bukan sepertimana amalan sebelum ini yang lebih mengutamakan kroni kapitalisme.
KEEMPAT, mengupayakan kembali MARA dan mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan agar disetiap daerah, bandar, atau bandaraya, pusat niaga komersial yang murah kadar sewanya, bantuan modal niaga, kursus dan latihan serta pasaran bagi produk Melayu Bumiputera mendapat tempat dalam pasaran utama negara.
KELIMA,  menyaran agar konsep  parti menguasai kerajaan yang pernah diterapkan   di   era   70-an   dan   80-an   dengan   keutamaan   kepada ahli,pejuang parti, pekerja parti diberi lebih ruang dan peluang dalam agihanekonomi,   pekerjaan,lesen   permit,   lot   niaga   komersial, pinjaman perniagaan, latihan, urustadbir korporat dan keusahawanan

MEMELIHARA KESTABILAN POLITIK NEGARA
Memahami bahawa keadilan agihan ekonomi menjadi penentu kestabilan politik negara, selain usaha untuk memastikan momentum itu dapat dipertahankan hanya menerusi kepimpinan UMNO selaku tonggak BARISAN NASIONAL maka justifikasi berikut harus diteliti:

2.1 3.3 juta ahli UMNO, 15 juta umat Melayu dan 30 juta rakyat Malaysia, sama ada secara langsung atau tidak, harus mengakui ruang lingkup kehidupan mereka yang kondusif dan dinikmati sehingga kini adalah kesan jasa UMNO.
2.2 Nikmat kemakmuran, kestabilan dan kerukunan hidup yang dirasai adalah natijah dari dasar-dasar pro rakyat yang dipraktiskan oleh UMNO bersama rakan muafakat BNnya.
2.3 Kelangsungan dan keutuhan Negara, perjalanan sistem pentadbiran yang cekap serta pengiktirafan dunia antarabangsa terhadap Negara bangsa Malaysia adalah impak dari kebolehan, track-record dan pembuktian pengalaman UMNO selaku tonggak kerajaan Barisan Nasional.
2.4  Cabaran dari pelbagai parti serpihan dan serangan bertalu-talu termasuk dari parti yang bakal ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir dan konconya tidak berdaya melemahkan UMNO, malah mengukuhkan lagi solidariti sesama ahli dan pimpinan. Berbekalkan prinsip bahawa meskipun UMNO bukanlah sempurna namun ianya lebih baik dan terbaik dari parti lain yang sedia ada, maka ketaatan pada parti wajib dikukuhkan. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi harus disuburkan.
Oleh itu, memahami realiti bahawa survival bangsa dan ketahanan Negara hanya boleh dilangsungkan menerusi kerajaan UMNO;
Menginsafi bahawa UMNO dan rakan BN nya adalah model permuafakatan politik yang serasi bagi kestabilan dan kesejahteraan ekonomi Negara,
Menyedari, nasib Melayu, Bumiputera dan bukan Bumi hanya boleh terbela kesan dasar pragmatik pentadbiran yang didokong oleh UMNO, serta;
Menekuni bahawa kesetiaan yang bulat pada UMNO selaku organisasi ulung wajar dipahatkan demi mewajahkan masa depan gemilang buat pewaris anak bangsa, dan;
Memperakui bahawa dasar-dasar UMNO selama ini adalah yang terbaik dan lebih baik dari parti-parti saingannya yang lain, maka ketetapan berikut perlu dibulatkan tekad, diambil,untuk memastikan KESTABILAN POLITIK NEGARA DAPAT DIPELIHARA. Maka saya wakil daripada cawangan Lubuk Peringgi mengusulkan ketetapan berikut;
PERTAMA, memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada organisasi UMNO, pucuk pimpinan YAB Perdana Menteri, dan YAB Menteri Besar selaku institusi nakhoda UMNO diperingkat pusat dan negeri.
KEDUA, dengan linangan darah dan cucuran air mata, penuh kudrat, keringat dan tenaga, UMNO wajib dipertahankan dengan apa juga cara, kerana UMNO sama sekali tidak pernah berdosa kepada kepentingan bangsa. Sebaliknya, tatkala UMNO hilang kuasa, saat itulah,sahsiah bangsa dan komuniti ini berdosa kepada masa depan dan legasi agama dan bangsanya sendiri.

KETIGA, menyemarakkan usaha terapan jatidiri, mengembleng muafakat sesama ahli dan komponen BN, supaya matlamat KERIS 2314 dapat disemarakkan   agar   dijadikan   landasan   perjuangan   di   kalangan pimpinan   dan   seluruh   ahli   untuk   membolehkan   UMNO   terus menjadi pilihan.
KEEMPAT, mengambil   tindakan   tegas   terhadap   musuh   dalam  selimut parti, agen subversif yang masih berada dalam parti,atau di dalam Negara yang bersekongkol dengan anasir dan kuasa luar dengan  membocorkan maklumat parti untuk manfaat parti lawan serta musuh negara. Golongan enau dalam belukar ini, rupa wajah mereka ibarat UMNO, namun roh dan perjuangan mereka berkiblat pada musuh UMNO. Jika elemen subversive dalam parti dan negara boleh disingkirkan, UMNO dan kerajaan Barisan Nasional   tidak   akan   lagi   disabotaj   dari   dalam   oleh   anai-anai   yang mereputkan   organisasi   secara   tikam   belakang,   sekaligus   dapat menyelamatkan perjuangan parti keramat ini,negara dan bangsa tercinta ini.

Akhir kalam, izinkan saya menukilkan sebuah sajak bilashahabudinberbicara untuk renungan bersama:
Tajuk nukilan sajak ialah :
‘Jangan Menjadi Melayu Mudah Lupa”
Dulu 22 tahun dipersada,
Kami taat, kami setia, kami julang siang dan malam
Maka..janganlah menjadi Melayu MUDAH LUPA.
Dulu..parti lawan serang silang menyilang
KAMI pertahan..kami setia..kami akur
Kerana prinsip dipegang..pantang Melayu menderhaka
Maka..janganlah menjadi Melayu Mudah Lupa
Dulu..krisis ekonomi bersama dihadapi..
Luka getir..keluh kesah bangsa dirawat bersama
Namun Kini..musuh tradisi diajak semeja,
dek nafsu amarah dan cita  cita
sanggup mengadai sahsiah bangsa..
Permainan apakah ini?..
Dulu..kata taat digembur..prinsip setia ditabur
Kami tunduk..patuh tanpa kabur…
Kerana faham..pemimpin itu parti..
Kuat Jemaah kerana berpadu
Kuat parti kerana bersatu..
Kini..parti dan prinsipnya dirobek..Nista dihambur
Hanya kerna dendam dan amarah dihati..
Janganlah..menjadi Melayu Mudah Lupa..
Negara ini kita kongsi bersama..
Pasak dengan linangan air mata..
Berkorban jiwa dan raga..
Kenapa perlu digadai masa depan cucu cicit..
Hanya bersebabkan cita-cita yang sedikit?..
kenapa berpaksikan amalan pecah dan perintah..
Bukankah itu jelmaan penjajah?
Akhirnya bangsa menjadi kembali lesu...
Akibat kita Alpa tinta sejarah kota Melaka...
Janganlah..menjadi Melayu Mudah Lupa..
Janganlah Menjadi Melayu Mudah Lupa..
Kembalilah bertaut pada aqidah yang satu..
Kiblat yang serupa..
Demi agama, bangsa dan juga perjuangan
Demi Memenangkan sebuah bangsa Merdeka…

Sekian, saya pohon mencadang
Wabillah hil taufik walhidayah wasalam mualaikum warahmatullah hiwabarakatuh
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.