Thursday 25 August 2016

MEMOIR SIDANG DUN KEDAH 15Ogos - 18Ogos 2016; SATU RUMUSAN


1. Ringkasan dari Penggulungan SIDANG DUN oleh YAB DATO SERI MB KEDAH pada 18 OGOS 2016 dapat menyaksikan tiga persoalan pokok yang dibangkitkan oleh YB Air Hitam, Mukhriz Mahathir dijawab secara penuh berhikmah oleh Ahmad Bashah, namun sesuai dengan konsensus diambil oleh seluruh ADUN BN serta selari pula dengan peruntukkan diberi undang-undang Tubuh Kedah 1948.

2. Pelantikan jawatan Timbalan Menteri Besar bukan satu keperluan kerana tiga sebab. Pertamanya tidak diperuntukkan dalam undang-undang Tubuh Kedah. Kedua, konvensyen sebelum ini menggunapakai kekananan EXCO bagi mewakili MB, jika MB   tidak berupaya menjalankan tugasnya, selain tugas atau agihan tanggungjawab boleh turut  dipikul oleh  Setiausaha Politik. Ketiganya, 9 orang EXCO sedia ada dengan bantuan jentera pentadbiran kerajaan negeri dan dokongan agensi pusat membolehkan segala dasar yang dirancang dilaksana dengan baik tanpa sebarang masalah.


3. Demikian juga persoalan berkaitan penggantian Menteri Besar, ianya adalah hak ketua parti yang mempunyai kuasa mutlak melantik sesiapa yang dipercayai, memperolehi sokongan majoriti dari ahli DUN. 

4. Dalam kes di Kedah, disebabkan yang mengetuai kerajaan ialah parti Barisan Nasional, justeru kuasa melantik MB adalah hak mutlak YAB Dato Seri Mohd Najib, sehingga kini beliau terus selesa dan memberi lampu hijau kepada Ahmad Bashah untuk meneruskan tugas selaku MB. 


5. Oleh yang demikian pada pandangan saya, persoalan ditimbulkan Mukhriz dalam sidang DUN tempoh hari mempunyai dua motif. Pertama untuk menzahirkan rasa  dendam dan sifat tidak puas hatinya  kerana  beliau digugurkan selaku MB. Kedua bagi mewujudkan perpecahan dalam kalangan ADUN BN, memandangkan beliau kini sudah menganggotai parti baru yang BERSATU yang menjadi musuh UMNO dan BN.

6. Secara rangkuman keseluruhan selain isu politik melibatkan jawatan Menteri Besar,  Ahmad Bashah turut menekankan empat komponen teras dalam penggulungannya. Pertama,   terapan muafakat Kedah dalam pentadbirannya. Meliputi semua dimensi baik politik, ekonomi, sosial dan kemasyarakatan, kerana konsep ini adalah sebahagian dari amalan biasa yang menjadi pegangan di kalangan masyarakat. Oleh itu jika disebar luaskan mampu membantu Kedah untuk berjaya dalam segala lapangan. 


7. Aspek kedua adalah penekanan kepada isu prioriti yakni isu  bekalan air. Melalui   penubuhan pasukan task force air, 6 langkah jangka pendek sudah diambil, selain kerjasama   harmoni dengan kerajaan persekutuan sudah digerakkan bagi memenuhi dua maksud berikut. Langkah awalan dengan memperoleh kelulusan geran RM37 juta bagi bekalan air  luar bandar yang sudah pun diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan   Wilayah. 

8. Aspek kedua melibatkan rundingan bersama Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan program transformasi  menyeluruh bekalan air Kedah, dengan fasa   pertama RM547 juta telah dipohon oleh Kerajaan Negeri dan dipersetujui secara dasarnya oleh Kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah praktikal ini mampu merungkai secara total isu bekalan air di Kedah.


9. Aspek ketiga adalah sikap keterbukaan dan jiwa besar Ahmad Bashah yang melaksanakan   dasar bersifat inkluisf.Mahu melibatkan semua segmen, dan mengalu-alukan sebarang idea   dan cadangan tanpa mengira fahaman, ideology politik atau laterbelakang sosial bagi memacu kemakmuran negeri Kedah di masa hadapan. 

10. Antara bukti jelas ialah meneruskan projek ikonik melibatkan 6 teras projek yang diperkenalkan oleh Mukhriz Mahathir. Kini dengan upaya Ahmad Bashah melengkapkan rundingan, berusaha memeterai perjanjian, RM320 juta peruntukkan sudah diberikan bagi projek Kedah Rubber City di Padang Terap melibatkan kawasan seluas 1,500 hektar, RM70 juta tersedia untuk pembangunan Kedah Science and Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam. RM60 juta sudah tersedia bagi pengambilan tanah di Tebengau, Kuala Kedah untuk inisiatif awal projek terminal Ikan Bersepadu Kedah (KIFT), selain projek yang lain. Rasional diteruskan projek ini kerana ianya mempunyai kesan gandaan ekonomi yang besar kepada pertumbuhan dan kemajuan masyarakat setempat.


11. Aspek keempat, ialah tumpuan pembangunan modal insan menyedari setengah juta dari 2.1 juta   rakyat  Kedah terdiri dari Gen-Y.  Lantas usaha pembangunan sahsiah, kecemerlangan ilmu, jatidiri dan penyediaan masa depan ditumpukan. Dengan demikianlah kenapa Hab Maahad Tahfiz, Pondok Agama, hab Hafazan Al-Quran, keperluan Kedah menjadi negeri cemerlang dalam akademik dalam tempoh 3 tahun lagi disasarkan.  

12. Selain peluang  gilapan latihan modal insan, pengurusan, kepimpinan untuk Gen-Y khususnya golongan mahasiswa memandangkan mereka ini merupakan kelompok pewaris negeri. Perincian mengenai BARAKAH turut disentuh memandangkan ianya adalah skim bantuan untuk mendayakan semangat serta memberi rangsangan kepada isi rumah di Kedah agar akhirnya bantuan awalan ini dapat dijadikan semangat untuk mereka keluar dari   belenggu kemiskinan.

13. Saya berharap agar semua rakan-rakan jelas dengan perkembangan pentadbiran Kerajaan Negeri dan hala tuju Negeri Kedah yang sebelum ini telah pun diperjelaskan secara terperinci. Kita wajar menyokong usaha-usaha murni berkenaan demi masa depan dan kemakmuran negeri kita yang tercinta ini dan selebihnya sama-samalah kita berdoa agar segala perancangan tersebut mendapat redha dari Allah SWT seterusnya memberi manfaat kepada rakyat Kedah secara keseluruhan, inshaa Allah.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.