1. Orang Kedah sememangnya terkenal sejak tradisi amat mementingkan ajaran dan hukum hakam Islam. Malah di negeri ini terdapat ratusan buah pondok, maahad dan pusat pengajian agama yang telah lama berjasa menyebarkan syiar Islam ke seluruh negara.
2. Namun begitu, tidak dapat juga dinafikan tentang segelintir pihak yang terlalu taksub atau ekstrim fahamannya terhadap sesuatu yang berkaitan Islam sehingga mereka menjadi jumud dan beku mindanya. Lantaran itu, tidak hairanlah jika ada di kalangan anak muda yang begitu teruja dengan istilah 'JIHAD'.
3. Saya sendiri misalnya dulu tidak terkecuali. Mendengar perkataan 'jihad' diungkap ustaz, menyirap darah muda dan bersemangat melaungkan takbir, Allahu Akbar! Jika ada rintangan di depan, nescaya akan saya redah atas kalimah Allah, jihad fi sabilillah.
4. Namun setelah diperjelas oleh ustaz dan ulama-ulama, serta melalui pengalaman dan pembacaan saya, lama kelamaan saya menyedari tentang makna sebenar 'jihad' menurut Islam. Ia tidaklah satu tindakan semberono mengangkat senjata, menerkam musuh yang menentang atau menghalalkan apa saja tindakan demi memenuhi matlamat.
5. Pada pandangan saya, jihad itu terlalu umum dan adalah demi kepentingan Islam yang ummah. Ia terdiri dari pelbagai bentuk seperti jihad ilmu, jihad ekonomi, jihad akhlak, jihad menegakkan syiar Allah, jihad nafsu dan sebagainya.
6. Namun pada saya berdasarkan zaman ini, jihad terpenting sekali adalah JIHAD ILMU. Jika umat Islam tidak berilmu, bagaimana hendak menyusun rancangan berjihad membangunkan ekonomi ummah, memperbaiki akhlak masyarakat, menegakkan syiar Allah di negara kita dan cara bagaimana untuk kita menahan diri 'berperang' dengan nafsu sendiri?
7. Mungkin jihad ilmu itulah yang sering dilupakan oleh generasi muda muslimin dan muslimat di zaman ini sehingga tergelincir dari memahami istilah 'jihad' dengan memperhambakan diri kepada perjuangan yang terpesong dari fahaman Sunnah Wal Jamaah. Gara-gara itu, ada yang melibatkan diri dengan pengganas, militan dan pelampau DAESH.
8. Mereka begitu mudah terpengaruh bila diajukan ungkapan 'jihad', 'syahid', 'syurga' dan seumpamanya. Kononnya DAESH berjihad mahu mengembalikan Daulah Islamiah sebagaimana di zaman Khulafa' Ar-Rashidin. Kononnya jika maut ketika berjihad bersama mereka, maka mereka akan bergelar 'syahid' dan bakal dijanjikan 'syurga' oleh Allah S.W.T.
9. Pada pandangan saya, hanya yang tiada asas agama yang teguh saja yang akan mudah terpedaya dengan kata-kata sebegitu. Sedangkan, apa yang dilakukan DAESH itu adalah jauh menyimpang dari ajaran Islam yang dibawa Rasulullah S.A.W.
10. Islam jenis apakah yang membunuh dan menyembelih saudara seagama sendiri? Pejuang Islam jenis apakah yang merogol dan memperhambakan muslimah untuk memenuhi serakah nafsu seks sendiri? 'Jihad' jenis apakah yang membunuh bayi dan kanak-kanak Islam yang tidak berdosa?
11. Lebih memelikkan saya, mereka langsung tidak berani menyentuh rejim Zionis Yahudi Israel laknatullah yang zalim terhadap saudara-saudara kita di Palestin. Kiranya terlalu hebat sangat semangat 'jihadnya', mengapa tidak serang saja Tel Aviv? Mengapa negara-negara Islam yang menjadi mangsa keganasan militan DAESH? Mereka tentera Islam atau tentera Yahudi sebenarnya?
12. Saya amat memandang serius ancaman militan DAESH terhadap negara kita. Mereka mengancam mahu membunuh pemimpin-pemimpin tertinggi negara dan mahu menghuru-harakan Malaysia. Namun mengapa tidak berani sedikit pun mengancam Benjamin Netanyahu atau menjejas kepentingan Israel? Semangat 'jihad' jenis apakah yang digalas DAESH?
13. Saya yakin bahawa pihak berkuasa kita, PDRM dan ATM, mampu menangani ancaman pengganas DAESH. Negara kita pernah diancam komunis dan berjaya dikuburkan, saya yakin DAESH juga bakal dimatikan nanti. Dari sudut perundangan pula, dengan wujudnya rangkaian akta seperti POTA, POCA dan SOSMA, saya yakin mereka tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang.
14. Namun begitu, saya lebih suka menggunakan pendekatan 'prevention is better than cure'. Dengan gandingan kerjasama antara pondok agama, maahad, pusat pengajian Islam tradisional, sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah-sekolah agama kerajaan, pusat-pusat pengajian tinggi, Jabatan Agama Islam, BTN, NGO-NGO Islam, Kementerian Pendidikan hinggalah ke peringkat tertinggi, Kementerian di Jabatan Perdana Menteri supaya mengembeling tenaga berganding bahu memperkasakan fahaman Islam yang sebenar kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda.
15. Tindakan-tindakan pro-aktif perlu dilaksanaka secara menyeluruh di semua peringkat bagi menerangkan tentang ajaran Rasulullah SAW yang sebenar, khususnya tentang pengertian 'JIHAD' dari sudut pandang Islam sejagat. Mungkin perlu dilakukan road tour, mungkin perlu penerangan diberi di setiap sekolah, pusat pengajian tinggi dan sebagainya. Rancanglah semantap mungkin asalkan dakyah DAESH dapat disekat dan tidak menular di negara kita.
16. Militan DAESH merupakan pengganas, tidak syak lagi. Setelah komunis meletak senjata, kini DAESH mengancam negara kita. Perkara sebegini tidak wajar dibiarkan dan perlu dikekang sebelum ia memalukan agama Allah di mata masyarakat bukan Islam terutama di Malaysia. Cerminan Islam tidak seperti yang dipaparkan DAESH. Islam itu sangat indah, aman dan sejahtera. Allahu Akbar!
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.