Sunday, 22 May 2016

100 HARI:RUPANYA DALAM LENA, AGENDA TERISI, KERJA TERLAKSANA


1. Saya terfikir tentang label yang diberikan pada DS Ahmad Bashah yang dileluconkan dalam FB atau media sosial yang lain mahupun whatsapp group yang mengkritiknya sebagai 'MB Lena'.

2. Jika itu tanggapan pihak terbabit, maka dalam 'lena'nya beliau boleh berbangga.

3. Tanpa perlu disuburkan dengan ‘aura’ atau imej lakonan yang dicipta, semenjak 4 Februari usai mengangkat sumpah, rupanya sudah 53 sentuhan terlaksana dan sedang mengambil tempat untuk diisi.

4. Wow! Not bad. Jika ukuran sekolah politik UMNO selama  35 tahun, dan pengalaman 25 tahun selaku ADUN dijadikan ukuran. Maknanya, politik dinilai dengan produk yang berjaya dihasilkan, bukan retorik berpanjangan, kemudian merengek dan bersandar pula pada kekuatan ‘nama negarawan’.


5. Ahmad Bashah tidak perlu menunggu lama, seminggu setelah mengangkat sumpah, arahan pentadbiran dikeluarkan supaya semua jabatan dan agensi tidak terlalu menitikberatkan aspek formaliti bila mengadakan majlis rasmi. Khidmat kepada rakyat pula perlu dipermudahkan dan berlangsung dalam suasana santai.

6. Seminggu selepas majlis angkat perlantikan EXCO, sistem mengadakan mesyuarat mengikut giliran di setiap daerah pula mengambil tempat. 'Walkabout' terus dilaksana, banyak sentuhan peribadinya tanpa disedari berjaya menyelesaikan isu-isu asas dan kemudahan penting untuk komuniti setempat. Kini secara rutin, setiap Ahad, Ahmad Bashah ber'walkabout' berkelana ke daerah-daerah dengan tujuan mengenal pasti masalah pembangunan yang masih wujud. Energetik sungguh jika mahu dibandingkan dengan usianya.

7. Apabila isu kos sara hidup menghimpit, dengan kejatuhan harga getah mendadak, pada 9 April, BARAKAH dengan tangkas dilancarkan. RM2 juta sumbangan yang memberi manfaat 20,000 ketua keluarga yang kurang bernasib baik dapat diagihkan. Dijangka menjelang 31 Disember 2016 nanti, 100 ribu rakyat marhein sudah dikenal pasti untuk mendapat agihan empat lagi komponen BARAKAH yang dilancarkan.


8. Hari-hari biasa, urusan di pejabat MB sendiri ditekankan dengan amalan merakyatkan khidmat dan mendemokrasikan pentadbiran. Tidak sampai sebulan, hubungan yang agak muram dulunya bersama KCS di waktu kepimpinan terdahulu, sepantas kilat dijernihkan. KCS kini ceria, panggillah bila pun jua, program MB, perancangan dasar realistik, sumbang saranan idea mereka sanggup berikan. Dan menariknya, sudah 4 jawatankuasa panel yang melakukan 'engagement' yang jelas dengan pejabat MB. Inilah kunci muafakat pentadbiran dan apabila penjawat awam saling melengkapi, seia sekata bersama MB. Banyak dasar, implementasi polisi boleh digerakkan bersama.

9. Dalam diam juga, isu terbengkalai sejak 8 tahun berhubung anugerah tanah untuk skuad Lang Merah hasil kejayaan treble 2007-2008, berjaya dirungkai. Menerusi satu mesyuarat mingguan EXCO, sekitar April 2016, keputusan dimuktamadkan dengan anugerah tanah kepada barisan pegawai dan pemain di daerah Pokok Sena. Sekali lagi dalam ‘lenanya’, janji yang gagal dilunas oleh 3 Menteri Besar terdahulu, Ahmad Bashah berjaya mengotakannya.


10. MB sedar, selain tugasnya mengetuai kerajaan negeri, 9 orang anggota EXCO yang mengetuai portfolio masing-masing perlu lebih cergas, memantapkan pentadbiran negeri. Maka 21 Febuari 2016, KPI EXCO diperkenal dan dimantapkan lagi berbanding sebelumnya.

11. Kini, pada setiap Khamis dalam setiap minggu, diwujudkan pula di semua jabatan 'Hari Bertemu Pelanggan'. MB dan barisan pegawai tinggi kerajaan negeri secara khusus bersedia untuk menerima apa jua permohonan, rungutan rakyat tanpa perlu temujanji atau syarat yang menyusahkan. Mudah, bukan? Simple, kasual dan membolehkan masyarakat tidak segan silu untuk mengunjungi premis utama pejabat kerajaan.

12. Sekali lagi dalam diam, malah kalau anda mahu menyatakan Ahmad Bashah terus dalam igauan 'lena', tiba-tiba IMAN (Internship Mahasiswa AnakNegeri) dirasmikan pada 8 Mei 2016 yang lalu. Mahasiswa anak Kedah yang berpotensi diberi peluang untuk diberi latihan pengurusan di pejabat SUK, pejabat MB sendiri dan seluruh anak syarikat Kerajaan Negeri selama setahun. Bagi yang cemerlang, berbakat, selesai menjalani latihan mereka diserap ke dalam Perkhidmatan Tadbir Negeri (KCS) ataupun di tempat strategik. Inilah pelan jangka panjang seorang ‘Abah’ untuk anak-anaknya kerana beliau sedar ‘MASA DEPAN KEDAH BERMULA HARI INI’.


13. 'Wow' sekali lagi, apabila tahun ini mencatat sejarah, kerana 5 orang pelajar cemerlang anak Kedah, diusahakan untuk mendapat tempat di Harvard, Oxford, Cambridge, Princeton, Yale dan MIT. Jauh betul visi Ahmad Bashah, sekali lagi bukan kosmetik atau selfie retorik. Walaupun beliau sering dihina kerana hanya memiliki MCE (SPM), namun jelas fikiran beliau setajam graduan universiti tersohor dunia. Ia sekaligus membuktikan tidak guna jika berkelulusan universiti luar negara jika hanya gemar 'berselfie' sahaja mengejar populariti sahaja.

14. Ahmad Bashah terus merenung dari sisi yang lain. Setelah dicongak, dihitung jumlah pondok dan Maahad Tahfiz di Kedah, rupanya 70 buah lebih jumlahnya. Nah! Pada 17 Mei yang lalu, setiap pondok diagihkan RM10,000, biaya membeli kitab pengajian RM20 ribu setiap pondok diperuntukkan. Lebih mengharukan RM1.7 juta diberikan untuk biaya anak-anak generasi ini yang berada di Sekolah Agama Rakyat, buat mengurangkan beban ibu bapa. Tak semena-mena, di Pondok Pak Ya, pada tarikh yang sama, elaun khas untuk para Hafiz dan hafizah diumumkan terutama pada golongan Huffaz yang menabur bakti di Kedah. Bonus tambahan, bila Kedah diumumkan selaku HAB MAAHAD TAHFIZ DAN PENGAJIAN AGAMA DI MALAYSIA.


15. Bukan sekadar diumum, jawatankuasa kerja dan pelaksana ditubuhkan dua hari kemudiannya dengan dipengerusikan PENGARAH JAIK, Mudir Pondok dan muafakat bersama panel pakar ilmuan Islam. Rupanya kini, pengisian, kurikulum, keperluan selain aspek penting untuk menjadikan usaha itu sebagai satu realiti sedang disiapkan. Pantas dan tangkas gerakan MB, walau terus diwajahkan dengan wajah yang 'lena'.

16. Keperluan duniawi tidak ditinggalkan sama sekali walau ukhrawi dititikberatkan, menyedari dunia adalah jambatan ke akhirat. Rungutan jalan berlubang, berlopak, tidak di tar, pada 2 Mei 2016. Sepanjang 13,323 km jalanraya di seluruh negeri dinaik taraf, melibatkan biaya RM170 juta dan sekaligus 600 orang kontraktor Bumiputera kelas G1 yang selama 2 tahun yang lalu dahagakan kerja tiba-tiba mendapat rezeki dan laba.


17. Lebih manis, impian sejak 1990 untuk diadakan satu akademi bola sepak sempena nama BAPA PEMBANGUNAN BOLA SEPAK MODEN KEDAH, Allahyarham Dato' Ahmad Basri, dengan memori Ahmad Bashah yang masih utuh bersama arwah, tiba-tiba 18 MEI lalu berjaya dipenuhi penubuhannya. Rangka kerja ke arah itu sedang digandakan pencapaiannya. Untungnya, KBS dan program Pembangunan Bola Sepak Negara turut memberi kerjasama. Jangan terkejut jika dua minggu dari sekarang MOU antara KFA dan NFDP dimuktamadkan, jangan pula ternganga jika Ramon Marcote menjadi ketua jurulatih ADAB (Akademi Dato' Ahmad Basri) selain menggunakan pembantu pencari bakat dari kalangan bekas pemain skuad Hijau Kuning yang pernah berjasa.

18. Banyak rupanya. Walaupun baru melepasi 100 hari pentadbiran Ahmad Bashah. Sebenarnya, banyak agenda telah diisi, kerja dibuat, tanpa mahu menzahirkan rasa bongkak. Cukuplah sekadar coretan pendek ini berbicara. Cuma secara sinikal saya sekadar mahu berkata, “RUPANYA DALAM LENA SUDAH BANYAK AGENDA TERLAKSANA’.


19. Jangan lupa pada hujung tahun ini, LITAR LUMBA RAKYAT yang 'dipekasamkan' selama 3 tahun oleh 'pemimpin muda' yang dikatakan kuat auranya, di Sungai Petani telah dimuktamadkan pembinaannya. Dijangka pada hujung tahun ini siaplah litar tersebut.

20. Apalagi? Tunggu esok 22 Mei 2016, Amanat 100 hari..banyak yang sedang diisi, dan banyak lagi program sedang menanti. Semuanya untuk rakyat, program mudah dilaksana, cepat dirasa.

21. Terima kasih ‘ABAH’. Tanpa perlu aura, atau berbinkan 'negarawan', ABAH boleh melakukannya. Alhamdulilah.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.