1. Tahun 2015 sudah pun melabuhkan tirainya. Kini kita sedang berada di awal tahun 2016, mengharapkan sesuatu yang lebih baik berbanding tahun lalu. Secara jujur saya akui, ramai dikalangan kita yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup yang terkini, rentetan dari kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu. Mungkin sudah menjadi asam garam kehidupan, langit tidak selalunya cerah, roda hidup pula berputaran mengikut rentak era dan zaman. Negara kita pernah mengalami keperitan putaran ekonomi. Kita pernah berada dipuncak keselesaan dan pernah diuji dengan keperitan zaman ekonomi meleset pada tahun 1997 hingga 1999 dahulu. Kita pernah makmurkan negara dengan limpahan kekayaan, namun kita juga pernah merana dimufliskan tangan-tangan ekonomi dunia.
2. Menyebut mengenai kenaikan harga barang yang didakwa menekan rakyat, saya suka untuk menganalisa tentang sesuatu harga barang itu mengikut fakta. Seingat saya sebagai contoh, harga sekilogram gula pada tahun 2009 ialah pada harga RM1.45 sahaja. Pada harga tersebut, sebenarnya pihak kerajaan terpaksa membayar subsidi gula sebanyak RM1.26 bilion. Subsidi gula itu kemudian ditarik secara berperingkat sehingga kini dan harga gula yang terkini berada di paras RM2.85 sekilogram. Ertinya, dalam tempoh 6 tahun, harga gula meningkat sebanyak RM1.40 pada harga pasaran. Saya yakin, ramai rakyat yang merungut terutama yang mengeluh dengan kenaikan harga gula tersebut, bukan?
3. Walaupun begitu, saya juga yakin bahawa ramai yang tidak tahun tentang harga gula runcit di negara-negara jiran kita. Sebagai contoh pada tahun 2010, harga runcit sekilogram gula di Filipina adalah pada paras RM3.60, Indonesia pada harga RM3.40 dan Singapura pada harga RM3.05 sekilogram. Itu harga gula di negara tersebut pada tahun 2010 dan kini kita berada pada tahun 2016. Saya tertanya-tanya, apakah harga runcit gula di negara-negara berkenaan tidak meningkat kini atau kekal dengan harga pada tahun 2010? Sekiranya ia kekal, maka saya simpulkan bahawa harga runcit gula di negara kita masih lagi ditakuk yang rendah. Malah, ekoran dari harga gula Malaysia yang rendah itu, tidak mustahil sekiranya ia menjadi mangsa eksploitasi penyeludupan haram ke negara-negara jiran seperti yang berlaku pada petrol dan diesel, bukan?
4. Perbandingan tentang fakta harga gula tersebut adalah satu contoh kenaikan harga barang di negara kita. Gula pada saya adalah merupakan salah sesuatu yang menjadi keperluan bagi kita, bukan? Namun, apakah kita kini telah berhenti dari membeli gula? Pada satu-satu masa dalam tempoh enam tahun ini, pernah dilaporkan tentang insiden kekurangan gula di pasaran. Pada paras RM2.85 sekilogram, gula masih lagi menjadi pilihan sehingga Kementerian Kesihatan pernah melaporkan tentang peningkatan penyakit diabetes atau kencing manis di kalangan rakyat di negara ini. Pada saya, senario ini menunjukkan bahawa biarpun harga gula naik RM1.40 sekalipun, rakyat Malaysia tetap mampu membeli gula pada kadar harga tersebut. Gula terus menjadi permintaan 'ruji utama' rakyat di negara ini.
5. Saya pernah beberapa kali ke luar negara. Saya melihat bagaimana kos sara hidup di negara-negara membangun lain yang jauh lebih tinggi berbanding di negara kita. Malah, pada negara-negara tertentu yang dilanda konflik 'Arab Spring' seperti Iraq, Turki dan Mesir, kos sara hidup di sana jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Maka saya tidak hairan sekiranya ada di kalangan imigran dari negara-negara berkenaan meluahkan rasa syukur kerana dapat tinggal di negara kita ini. Hidup mereka derita dan tertekan di negara sendiri, namun dapat hidup agak selesa di negara kita. Malangnya, kita pula yang rasa tertekan dan mendakwa kerajaan kita 'zalim' kononnya kerana peningkatan kos sara hidup yang tinggi.
6. Kita semua juga maklum bahawa ekonomi dunia di kuasai oleh negara maju seperti Amerika Syarikat. Banyak negara mempunyai nilai kebergantungan ekonomi terhadap negara itu khususnya membabitkan pelaburan, perdagangan antarabangsa dan aktiviti ekonomi pelbagai hala. 'Terusik' sedikit nilai dolar, pasti banyak matawang negara di dunia ini yang akan terkesan, tidak terkecuali Malaysia. Walaupun Malaysia merupakan rakan dagang terbesar China dengan jumlah dagangan bernilai USD$101 bilion tahun lalu, perlu diingat bahawa jumlah dagangan tersebut juga dikira dengan matawang US Dollar, bukan? Bukan kita saja yang tidak dapat elakkan diri dari pengaruh US Dollar, malah negara-negara maju yang lain turut berada di bawah matawang utama dunia itu. Itu hakikat yang perlu kita terima.
7. Justeru itu, apabila US Dollar 'terusik' sedikit dan dikhabarnya kurang stabil kedudukannya ekoran harga minyak mentah yang merudum, kegiatan militari dan penglibatan Amerika Syarikat dalam beberapa insiden keselamatan dunia memberi kesan pada ekonomi negara itu, maka sedikit sebanyak ia turut memberi kesan kepada negara kita. Bagaimanapun, dengan langkah pre-amptive dan pro-aktif dari pihak kerajaan serta laporan kewangan negara yang disahkan kukuh dan positif oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, saya yakin ekonomi negara dalam keadaan yang meyakinkan di mata dunia. Jika tidak, Malaysia sudah tentu tidak terpilih sebagai antara negara paling berdaya saing di dunia pada tahun lalu, bukan?
8. Berkenaan dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia, saya tidak nafikan ia memberi kesan kepada ekonomi negara.Belanjawan negara kita juga bergantung kepada harga minyak mentah dunia, dikhabarkan akan ada semakan semula belanjawan 2016 akibat dari penurunan lagi harga minyak dunia. Sebenarnya, fakta menunjukkan bahawa negara kita merupakan negara pengeluar minyak yang berkualiti tinggi dan kita jual sepenuhnya hasil minyak tersebut kepada negara luar. Keuntungan dari hasil jualan minyak mentah itu kita gunakan untuk membeli minyak yang lebih murah untuk diimport masuk bagi kegunaan dalam negara. Namun, memandangkan harga minyak mentah merudum, maka sudah tentulah hasil keuntungan penjualan minyak mentah negara itu juga akan terkesan juga. Malah ekoran keuntungan yang merosot itu, maka ia turut membebankan ekonomi kerajaan untuk mengimport jumlah minyak yang sama tetapi dengan peruntukan yang kurang.
9. Bagi mereka yang tidak mengerti tentang keadaan ekonomi negara dan global itu, maka tidak hairanlah sekiranya mereka menyalahkan kerajaan ekoran harga petrol yang meningkat dan rantaian kenaikan kos barang yang antaranya dimanipulasi peniaga. Dalam peringkat ini, berlaku proses melibatkan makro yang menentukan mikro. Meningkatnya harga milo ais, teh tarik dan roti canai yang meningkat dari 20 sen hingga 50 sen, ia menjadi alasan kepada rakyat untuk mengkritik kerajaan dan melaungkan kos sara hidup yang kini membebankan. Namun begitu, di sebalik kritikan dan kecaman tersebut, kedai-kedai mamak tetap menjadi tumpuan dan kompleks membeli-belah tetap sesak seolah-olah mereka tidak terbeban dengan kos sara hidup. Saya melihat perkara berkenaan berlaku pada golongan berpendapatan sederhana.
10. Namun saya tidak nafikan tentang golongan berpendapatan rendah yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup di negara kita. Apatah lagi di awal sesi persekolahan, saya dapat rasakan keperitan hidup mereka. Namun begitu, saya yakin bahawa pihak kerajaan, agensi-agensi dan badan zakat memandang sepi terhadap kegawatan hidup golongan ini. Dari penelitian saya, boleh dikatakan hampir setiap dewan undangan negeri menganjurkan program-program bantuan berkonsepkan 'back to school' di mana pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan dihulurkan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Bukan saja dari sudut kelengkapan sekolah, malah bantuan kewangan turut dihulurkan. Malah, dengan pengagihan BR1M dan sebagainya, saya yakin ia mampu meringankan sedikit beban yang ditanggung golongan tersebut.
11. Walau bagaimanapun, saya menjangkakan bahawa tahun 2016 bakal memberikan cabaran yang tersendiri untuk diharungi setiap rakyat di negara kita. Mungkin ada yang perlu mengubah cara berbelanja, dan mungkin ada yang perlu merubah gaya hidup. Namun yang utama pada saya ialah menangani persepsi di minda masyarakat tentang perubahan demi perubahan ekonomi negara. Bersetuju atau tidak dengan perubahan itu, kita perlu hadapi dengan persediaan yang rapi dan pemikiran yang positif. Kita pernah hadapi kesukaran sebelum ini dan tidak mustahil untuk kita harungi kemelut ekonomi sara hidup sekiranya berlaku pada tahun ini. Saya sentiasa positif bahawa tiada satu pun cabaran yang tidak dapat diharungi dan kita semua mampu mengatasi segalanya sekiranya kita ikhlas, sabar dan bertawakkal pada Allah SWT.
12. Pada pandangan saya, mungkin ekonomi negara bergantung dan melibatkan aktiviti ekonomi dunia. Namun saya yakin bahawa ekonomi 'poket' kita sebenarnya tidak terletak di tangan kerajaan mahupun ekonomi dunia. Keadaan ekonomi 'poket' kita sebenarnya terletak di tangan Allah SWT yang menentukan rezeki bagi setiap hambaNya. Kita hanya perlu berusaha, meminta dariNya dan berserah atas ketentuan Allah SWT. Apa yang penting iala kita perlu bersyukur dengan apa yang Allah berikan. Jika RM1,000 yang diberi, kita syukur. Dan jika 10 sen diberikan pun, kita tetap ikhlas bersyukur padaNya. Kenapa? Kerana saya sentiasa yakin dengan firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim, ayat 7, yang mafhumnya;
"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".
13. Justeru itu, saya meminta supaya kita semua terus beristiqamah dalam mengharungi cabaran bagi tahun 2016 ini. Kita lipat gandakan usaha dalam melayari bahtera kehidupan di dunia ini dengan penuh kesabaran dan keimanan demi mencapai redha Allah SWT. Apa yang penting ialah kita terus bersikap positif dan teguhkan perjuangan memperbaiki taraf kehidupan kita selain memanjatkan doa meminta rezeki yang lebih dariNya. Kita mahu ekonomi negara kita teguh dan kita mahu juga kemakmuran ekonomi diri sendiri. Apapun, betulka niat, ikhlaskan diri, berusaha sedaya mungkin, insha Allah, Dia tidak akan mempersiakan doa hambaNya yang tulus. Kita rakyat Malaysia, kita harungi segalanya tahun ini bersama. Dimana bumi dipijak, distu langit dijunjung, kerana di sini lahirnya sebuah cinta...
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.