Wednesday 20 January 2016

INSTRUMENTAL DATO SERI AHMAD BASHAH BIN MD HANIPAH


1. Sehari dua ini, terutama malam semalam hangat desas-desus bertebaran tentang dunia politik negeri Kedah. Mungkin ramai yang pernah mendengar desas-desus berkenaan setahun lalu, namun tiada sebarang perkara yang merubah landskap politik Kedah ketika itu maka khabar angin berkenaan pergi dan lenyap begitu sahaja. Namun tidak saya nafikan bahawa angin semalam yang bertiup kencang mampu menggoncang Sri Mentaloon yang bakal menjanjikan politik di Kedah bakal kembali kepada keadaan asalnya yang terbukti mantap.

2. Khabar yang saya terima mengatakan segala desas-desus berkenaan tidak dapat disembunyikan lagi apabila pihak tertentu di laman internet secara tiba-tiba telah menyerang Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Video yang memaparkan beliau tertidur di satu majlis di Istana Kedah baru-baru ini begitu cepat disebarkan oleh pihak berkenaan sehingga menimbulkan persoalan tentang 'siapa yang bekalkan rakaman video tersebut kepada mereka yang berada di luar Kedah?'.

3. Gara-gara viralnya video berkenaan, maka Dato' Seri Ahmad Bashah teruk diganyang pihak berkenaan di laman maya meskipun beliau hanyalah terlelap seketika, mungkin kerana terlalu letih ekoran jadualnya yang padat selaku Timbalan Menteri KPDNKK, Adun Bakar Bata dan Timbalan Pengerusi UMNO Negeri dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar. Sejak beliau bertugas di ibu negara, tidak dapat saya nafikan bahawa beliau sering berulang alik dari Kedah ke Kuala Lumpur, menandakan beliau tetap kuat bekerja di peringkat pusat dan tidak pernah melupakan tanggungjawabnya di peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan.


4. Jadi, apakah rasional pihak dan kumpulan cybertroopers yang dikatakan 'upahan' itu menyerang Dato' Seri Ahmad Bashah? Pernahkah Ketua UMNO Bahagian saya itu menyerang, menghentam, menganiaya atau berlaku zalim terhadap mereka? Malah saya yakin bahawa pihak yang membekalkan sumber bahan serangan terhadap beliau itulah yang dulunya datang 'menyembah-nyembah' meminta pelbagai peruntukan dan mungkin secara tidak langsung 'mengugut' untuk menyerang beliau di blog dan media sosial jika permintaan mereka tidak dipenuhi. Saya akui cybertroopers amat penting di zaman ini, namun apakah itu etika dan kualiti seorang pejuang cyber UMNO yang diperlukan? Layakkah mereka mendabik dada mendakwa mereka itu kononnya 'pejuang UMNO'? Lebih pelik lagi, yang diserang mereka bukan pemimpin pembangkang, tapi pemimpin UMNO lain termasuk di pemimpin di peringkat pusat yang diserang? Tambahan pula desas-desus khabarnya mereka dibiayai pihak tertentu yang berkait rapat di bawah seliaan pejabat Menteri Besar, bertambah naik tocanglah mereka. Itu cybertroopers UMNO atau 'polong penghisap darah' sebenarnya?

5. Siapa mereka diluar sana yang mengutuk dan menyerang Dato' Seri Ahmad Bashah? Mereka kenal sangatkah dengan beliau? Jika setakat kenal pada nama, pernah melihat dan berjumpa sekali dua, itu tidaklah bermaksud mereka benar-benar 'kenal' dengan Dato' Seri Ahmad Bashah. Saya selaku Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar sendiri tidak mendabik dada untuk mengatakan saya kenal rapat dengan beliau meskipun saya sudah lama berkhidmat di UMNO Bahagian yang beliau ketuai, kenal dan tahu keluarga beliau, dan hubungan kami tidak terhad di majis rasmi sahaja. Kadang-kala bergurau bertepuk bertampar pun ada dengan beliau yang saya anggap sebagai bapa itu.

6. Mahu menerima hakikat atau tidak, lelaki yang bernama Ahmad Bashah Md Hanipah yang dihina pihak 'penjilat' itulah yang mengetuai UMNO Negeri dan Barisan Nasional Negeri Kedah untuk merampas kembali tampuk pentadbiran kerajaan negeri dari tangan PAS pada PRU ke-13 yang lalu. Beliaulah 'arkitek' sebenar yang menyusun gerak kerja, strategi dan menyatupadukan seluruh warga UMNO di negeri Kedah sehingga berjaya membawa kemenangan manis, merampas kembali bumi jelapang padi dari tangan-tangan yang 'meliwat' Kedah selama 5 tahun. Malah lebih mengharukan, beliau langsung tidak mendabik dada atau mementingkan diri sendiri apabila sanggup merelakan jawatan Menteri Besar diberikan kepada Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir, walaupun beliaulah yang berpeluh-peluh 'bersilat' bekerja keras mengukuhkan UMNO Kedah, mencari dana dan peruntukan, menggerakkan jentera di saat itu.


7. Seingat saya, sudah 6 penggal Dato' Seri Ahmad Bashah menang sebagai Adun di DUN Bakar Bata dan pernah berkhidmat di bawah beberapa Menteri Besar Kedah yang terdahulu, termasuk pernah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri. Maksud saya, penglibatan politik beliau beredar dari zaman ke zaman menyaksikan dirinya dapat diterima oleh orang lama dan generasi baharu. Mungkin masyarakat di luar Kedah hanya mengenali Dato' Seri Ahmad Bashah setelah beliau menjadi Timbalan Menteri KPDNKK, namun jika ditanya pada orang Kedah khususnya di DUN Bakar Bata, percayalah bahawa mereka memandang tinggi kepada beliau sebagai seorang yang sangat merendah diri, bijak bergaul dengan orang ramai, mesra rakyat, tidak pandai berpura-pura berlakon dan paling penting, beliau menghormati seluruh rakyat negeri Kedah walaupun mereka hanya golongan marhaeinis...

8. Saya masih lagi ingat detik-detik kemenangan BN di negeri ini merampas kembali Kedah yang ditawan PAS pada tahun 2013. Wajah Dato' Seri Ahmad Bashah ketika itu yang letih lesu tersenyum gembira mendakap kemas Timbalannya, Dato' Seri Mukhriz. Mungkin menyedari tugas beliau merampas Kedah kembali telah tamat, beliau beransur pulang perlahan-lahan membiarkan 'penjilat-penjilat' mengerumuni Dato' Seri Mukhriz, walaupun mereka-mereka itulah yang membodek beliau sebelumnya. Selaku anak buah beliau, saya faham beliau puas dengan kemenangan yang beliau usahakan sedaya mampunya, namun itulah dunia politik yang turut menjadi tumpuan golongan 'opportunis' yang sanggup mengampu untuk meraih laba. Entah bilalah agaknya mereka akan berubah sikap untuk menjadi 'orang UMNO' sebenar?


9. Selaku hulubalang UMNO Bahagian Alor Setar, maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mempertahankan imej dan integriti Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Kesetiaan yang beliau tunjukkan kepada UMNO dan Bapak Presiden, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak menjadi inspirasi kepada saya sebagai kepimpinan pelapis UMNO untuk mengamalkan sikap setia tidak berbelah bagi kepada ketua dan parti. Pada saya, mungkin tidak salah untuk mengkritik pemimpin, namun biarlah bertempat, rasional, dilakukan ikhlas untuk kebaikan dan berniat membina. Menegur pemimpin bukanlah dengan cara memalukan mereka, menuduh mereka dengan tuduhan tidak berasas bukti yang kukuh atau tergamak menjadi pengkhianat, 'gunting dalam lipatan' yang bermuka-muka di depan, tapi berwajah syaitan di belakang!

10. Justeru itu, saya ingin tegaskan di sini bahawa saya dan barisan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar tetap gagah berdiri menjadi benteng utuh dari sebarang serangan jijik dari mana-mana pihak yang cuba dilemparkan kepada Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Beliaulah bapa kami, beliaulah ketua kami. Membujur lalu melintang patah, keris yang terhunus ini sedia mempertahankan pemimpin kami dari serangan pihak durjana yang cuba mencorak onar padanya. Sama ada 'gunting dalam lipatan' atau 'api dalam sekam', berambuslah 'polong-polong penghisap darah' sekalian keluar dari terus memporak-perandakan UMNO di Kedah! Ini negeri kami dan kami bertanggungjawab mempertahankan kemakmurannya kerana di sinilah lahirnya sebuah cinta...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

6 comments:

  1. bashah x layak ..fullstop...standard bashah takat jadi pak pacak jaa.. mcm ang jugak ..dok harap kulit teloq pak ang jaa ..

    ReplyDelete
  2. Md Bashah ialah contoh hipokrit tulen yang masih hidup. I dont know how far Syed kenal Md Bashah...tetapi saya kenal Md Bashah seawal usia dia berjinak dengan Umno...sebelum beliau menjawat sebarang jawatan dalam parti sehinggalah ke hari ini.
    Syed...sebagai pengikut...i salute u...but please tak payah lah nak penaik Bashah tu sangat. Simpan untuk u sudah.

    ReplyDelete
  3. Md Bashah ialah contoh hipokrit tulen yang masih hidup. I dont know how far Syed kenal Md Bashah...tetapi saya kenal Md Bashah seawal usia dia berjinak dengan Umno...sebelum beliau menjawat sebarang jawatan dalam parti sehinggalah ke hari ini.
    Syed...sebagai pengikut...i salute u...but please tak payah lah nak penaik Bashah tu sangat. Simpan untuk u sudah.

    ReplyDelete
  4. pilihan tepat tetap mukhriz tun m

    ReplyDelete
  5. pilihan tepat tetap mukhriz tun m

    ReplyDelete

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.