Thursday, 31 December 2015

SALAM TAHUN BARU 2016


1. Tahun 2015 semakin hampir melabuhkan tirainya. Segala kenangan pahit dan manis di sepanjang tahun ini bakal tersimpan di dalam lipatan sejarah. Banyak perkara yang telah kita sama-sama harungi di sepanjang 2015. Yang baik dijadikan tauladan dan yang segala yang negatif adalah wajar dijadikan sempadan. Namun yang pasti, tahun baharu 2016 bakal menjelma tidak lama lagi dan sudah tentu ramai yang memasang azam bagi menghadapi cabaran yang bakal ditempuhi nanti.

2. Menghadapi tahun 2016, pertamanya, suka saya untuk mengimbas kembali detik-detik hijrah Rasulullah SAW dari kota Mekah Al-Mukarramah ke kota Madinah Al-Munawwarah pada tahun pertama Hijriah. Detik-detik itu adalah yang paling manis untuk kita kenangi bersama di mana ia menjadi titik tolak perkembangan Islam ke seluruh dunia. Paling utama, detik itu menyaksikan Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar, melambangkan perpaduan umat Islam yang bersifat unggul, ikhlas dan penuh hikmah di sebaliknya.

3. Kedua, saya imbas kembali detik-detik perjuangan nenek moyang kita di bidang tanah yang bernama Tanah Melayu dalam menuntut sebuah kemerdekaan. Dahulunya kita berpecah-belah, namun titik persamaan yang mahu membebaskan Tanah Melayu dari penjajah durjana telah menyatukan semua anak-anak bangsa ketika itu untuk berpadu jiwa berteguh hati memperjuangkan hak di tanah tumpah darah sendiri. Terbayang kelibat Allahyarham Tunku Abdul Rahman berkelana ke seluruh Tanah Melayu menyatukan bangsa yang tercerna di bawah sistem pecah perintah penjajah British. Terasa seolah-olah saya hidup di zaman beliau, teruja melihat bangsa Melayu benar-benar bersatu di saat itu...



4. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 baru-baru ini, bapak Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak turut menghulurkan salam silaturrahim yang menzahirkan 1,001 satu erti bagi saya. Sama ada pihak di dalam UMNO mahupun diluar sana, begitu terkesan dengan salam penuh makna yang memberi harapan ikhlas untuk melihat bangsa Melayu bersatu buat kesekian kalinya. Sebak didada, hampir megalir airmata pahlawan ini mengenangkan bangsa Melayu yang berpecah angkara durjana politik semasa. Harapan bapak Presiden itu saya sanjung dan junjung tinggi atas satu matlamat yang murni.

5. Terbaru, umat Islam di Malaysia baru saja menyambut Maulidur Rasul bagi tahun 1437 Hijrah, mengenangkan detik bersejarah kelahiran junjungan besar, Muhammad bin Abdullah, yang kita kasihi dan cintai, Rasulullah SAW. Bertemakan 'Perpaduan Nadi Transfomasi Negara', menyaksikan hari kelahiran Rasulullah SAW itu disambut meriah penuh salawat dan salam terhadap baginda. Tersirna hikmah di sebalik sambutan itu yang menampakkan bibit-bibit penyatuan bangsa Melayu di bumi bertuah yang kini bernama Malaysia...

6. Menurut Perlembagaan Persekutuan 1948 yang merupakan sumber perundangan tertinggi negara, bangsa Melayu diberikan definisi sebagai mereka yang berketuruan ras Melayu dan beragama Islam. Justeru itu, saya menyimpulkan bahawa bangsa Melayu dan agama Islam di negara Malaysia berpisah tiada. Begitu erat ikatannya, sebati dalam setiap jiwa mereka yang berbangsa Melayu, saudara sebangsa seagama. Berdasarkan definisi itu jugalah maka saya melihat bahawa bangsa Melayu di negara berdaulat ini perlu bersatu padu sebagaimana yang dianjurkan Islam seperti yang difirmankan Allah SWT di dalam surah Ali Imran yang mahu umat Islam berpegang pada tali Allah yang satu.

7. Berdasarkan seruan Islam, imbasan-imbasan peristiwa dan fakta-fakta sejarah yang saya kemukakan di atas, disulami dengan perkembangan terkini di negara kita, saya dengan rendah diri menyeru kepada semua umat Islam, tanpa mengambil kira fahaman atau ideologi, kita ketepikan kepentingan diri atau perbezaan pandangan politik, ayuhlah kita bersatu padu membentuk sebuah ummah sebagaimana yang diseru Islam, berpegang pada tali yang satu di atas nama Allah dan Muhammad SAW. Seikhlas hati, berlapang dada, kita buangkan yang keruh, kita tangguk air yang jernih untuk menhilangkan haus dahaga generasi Melayu beragama Islam yang sentiasa mengharapkan warisan bangsa yang teguh tautan silaturrahimnya.


8. Ayuh kita mengambil iktibar atas apa yang menimpa bangsa Arab Jahiliyyah beribu tahun dahulu yang lemah akibat berpecah-belah sebelum disatukan oleh agama Islam yang agung. Ayuh kita jadikan tauladan melihat Tanah Melayu dahulu yang pernah dijajah bangsa asing hingga menyebabkan nenek moyang kita menderita beribu-ribu tahun lamanya dipijak penjajah durjana akibat enggan bersatu padu.Ayuh kita rapatkan saf-saf ampuh berteraskan silaturrahim, berpaksikan persaudaraan sebangsa seagama agar nasib Islam dan bangsa Melayu tidak diperkotak-katikkan begitu saja oleh musuh-musuh durjana sama ada di dalam mahupun di luar negara.

9. Saya sedar bahawa mungkin suara saya berteriak halus, tidak didengar oleh pemimpin atasan di sana mahupun rakan-rakan seperjuangan saya di bawah sini. Namun bertekad membujur lalu melintang patah, berpasakkan kekuda berpijak di bumi Allah ini, itulah azam dan cabaran buat saya bagi tahun baharu 2016 yang bakal menjelang tiba. Nostalgia dan sorotan negara sejak kebelakangan ini menjadi batu asas bagi saya untuk mengerah seluruh kudrat yang ada demi melihat kelangsungan cahaya Islam terus bersinar menerangi bangsa Melayu di negara berdaulat ini.

10. Justeru itu, saya bermohon sekali lagi kepada umat Islam di Malaysia, sama ada pemimpin yang tertinggi hinggalah ke golongan marhainis seperti saya supaya kita sama-sama membentuk satu kerjasama, perpaduan dan sebuah ikatan yang ikhlas, bagaikan Muhajirin dan Ansar, kita bersatu demi Islam, demi bangsa Melayu dan negara Malaysia yang berdaulat ini. Tidak langsung bermaksud untuk menafikan hak yang sah terhadap kaum serta etnik lain dan kami masih bertekad untuk bertindak adil atas prinsip jus soli yang tercipta sejak merdeka. Namun saya merasakan bahawa sudah sampai tika dan waktunya bangsa Melayu kembali bersatu di atas kalimatul Islam, bertaut teguh di atas kalimah 'la ilaaha illAllah', kerana 'disinilah lahirnya sebuah cinta'...

Akhir kata, selamat menyambut tahun baru 2016 kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga segala yang bakal mendatang menjanjikan seribu makna buat anak-anak bangsa di masa yang akan datang....
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.