Wednesday, 29 July 2015

POLITIK SANG PRESIDEN..

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin
1. Semalam terpatri lagi satu sejarah. Saya yakin, semua warga UMNO di seluruh negara agak terkejut dengan pengumuman rombakan kabinet di mana ia melibatkan pengguguran Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Perasaan bercampur-baur. Ada yang marah, ada yang kecewa, ada yang sedih dan ada pula yang terkedu. Bagi kebanyakkan 'typical' pembangkang, tindakan itu seolah bola tanggung untuk terus memecah-belahkan UMNO dari luar sana. Bukankah itu sikap mereka yang suka menangguk di air yang keruh? Sedangkan rumahtangga mereka sendiri sedang porak peranda dihentam badai, ada hati pula mereka menjaga tepi kain orang? Sangat memalukan, bukan?

2. Ikhlasnya, saya sendiri selaku seorang pemimpin muda UMNO yang masih 'hijau', sangat terkejut dengan langkah drastik yang dilakukan institusi Presiden yang saya sanjungi. Namun di sebalik kejutan itu, setelah menghela nafas sedalam-dalamnya, saya mampu menenangkan diri di atas keributan yang berlaku sejak semalam. Setelah bertenang, saya cuba meletakkan diri di tempat Tan Sri Muhyiddin. Dan setelah bertenang juga, saya cuba menempatkan diri saya di tempat Dato' Seri Najib. Rasional mula timbul di akal fikiran saya. Saya mula menggunakan keupayaan untuk berfikir secara rasional, tanpa berbaur emosi yang hanya akan membakar diri ke arah mudarat yang memusnahkan jiwa dan perjuangan anak bangsa ini...

Tun Musa Hitam
3. Merenung jauh dalam lipatan sejarah, negarawan agung sebelum ini, mantan Perdana Menteri yang sangat saya kagumi, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah memperlihatkan ketegasan yang sama ketika mentadbir negara. Tindakan menggugurkan seseorang dari jawatan Timbalan Perdana Menteri bukanlah satu tindakan yang asing atau luar biasa. Justeru itu, ia menunjukkan bahawa pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga bukan tindakan yang pertama kalinya dibuat. Sepanjang lebih dua dekad Tun Dr Mahathir mentadbir negara, tiga orang tokoh UMNO yang gugur dari jawatan tersebut. Sejarah negara menunjukkan Tun Musa Hitam meletak jawatan gara-gara tidak bersetuju dengan tindakan Tun Dr Mahathir, Tun Ghafar Baba pula tewas 'dicantas' Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pemilihan UMNO, manakala Dato' Seri Anwar sendiri dipecat atas skandal yang sangat mengaibkan. Mana mungkin kita melupakan ketiga tokoh UMNO yang juga pernah berjasa pada agama, bangsa, tanahair dan parti kita, bukan? Hanya Tun Abdullah Ahmad Badawi sahaja yang kekal hingga dinobat sebagai pengganti Tun Dr Mahathir sebelum beliau diturunkan dari jawatan tersebut, juga oleh negarawan ulung itu pada tahun 2009. Itu sejarah kita, sejarah negara dan sejarah parti keramat UMNO.

3. Benarlah bagai dikata sesetengah kita bahawa pemimpin itu datang dan pergi. Kata orang lama, "meskipun pemimpin datang dan pergi, UMNO tetap teguh segagah asal mempertahan kedudukan agama, ketuanan bangsa Melayu dan kemakmuran rakyat Malaysia". Dek kerana mantra yang menjadi prinsip amalan UMNO itulah maka semua warga parti, khususnya para pemimpin parti keramat bangsa ini terus relevan menjadi tiang seri mendokong mandat mentabdir negara hingga kini. Sungguhpun kita mengamalkan ruh demokrasi di dalam parti, sesungguhnya kita perlu sedar bahawa Sang Presiden tetap tunggal dan satu. Tidak mungkin bahtera UMNO mahupun kerajaan BN mempunyai dua nakhoda untuk mengharungi lautan luas persada perjuangan ini, bukan?

4. Benarlah bagai dikata, siapalah yang tidak bersimpati apabila salah seorang dari tokoh kesayangan kita yang menjadi salah satu anggota penting di tubuh UMNO menghadapi hari-hari sukar. Atas dasar ukhuwah itu, saya turut bersimpati dengan apa yang menimpa Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dari jawatan kedua tertinggi pentadbiran negara. Pilu dihati siapalah yang tahu, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Namun sebagai seorang tokoh politik yang sangat berpengalaman, beliau begitu tenang menghadapi ujian besar sebegitu. Pun begitu, kita perlu memahami bahawa Dato' Seri Najib juga agak laman menghadapi hari-hari mencabar kerana diasak dengan pelbagai tohmahan tidak berasas. Lagi pula, hubungan di antara Tan Sri Muhyiddin dan Dato' Seri Najib sudah seakrab saudara, bukan saja bergandingan selama lebih 6 tahun mentadbir negara, malah mereka sejak sekian lama rapat sebelum keduanya ketika berjuang bersama di dalam UMNO. Justeru itu, pastinya keputusan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin dari kabinet semalam juga amat sukar dilakukan Dato' Seri Najib, bagai Hang Tuah yang berdepan dengan Jebat "derhaka", bukan? Namun sebagaimana yang saya tegaskan diatas, Sang Presiden itu tunggal dan hanya satu. Mana mungkin dua harimau merajai sebuah gunung, 
Lipatan sejarah: Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad
5. Secara jujur, saya sendiri sebenarnya agak resah apabila Tan Sri Muhyiddin memilih mesyuarat UMNO Bahagian Cheras sebagai platform untuk melontarkan pandangan beliau berkenaan isu 1MDB dan penggantungan akhbar The Edge. Di dalam hati, saya seolah dapat menjangkakan sudah pasti Sang Presiden akab bertindak balas apabila Timbalannya memilih forum terbuka serta meraih perhatian media untuk mengkritik. Jelasnya, itu bukan platform yang sesuai untuk bersikap begitu terhadap Presiden. Berdebar juga hati ini menanti detik tindakan Sang Presiden. Nah! Rupanya sepantas kilat. Sang Presiden yang selalu diejek tidak punya keberanian, dimomok kononnya selalu bersembunyi, akhirnya mempamerkan kuku sebenar apabila bertindak secara gerak politik menzahirkan beliau selayaknya sebagai seorang Presiden UMNO, selayaknya sebagai seorang Perdana Menteri yang tegas.

6. Soalnya, apakah tindakan Sang Presiden ini merupakan suatu yang ganjil? Saya kira tidak. Bukankah kita semua sudah terbiasa dengan "strong leadership" sebegini? Bukankah kita sudah terbiasa dengan corak pemerintahan Tun Dr Mahathir yang melebihi dua dekad itu begitu tegas dalam sebarang keputusan dan tindakan sebagai seorang Presiden dan Perdana Menteri? Dato' Seri Najib itu, samada kita akui atau tidak, beliau merupakan anak didik Tun Dr Mahathir, bukan? Ke mana tumpahnya lauk jika tidak pada nasi? Firasat saya, mungkin juga beliau merupakan anak didik ulung yang berjaya meresapi segala ilmu politik Tun Dr Mahathir, sedangkan yang lain seperti Anwar Ibrahim juga tewas, malah tidak pernah mengecapi kerusi Perdana Menteri itu, bukan?

7. "Manouvre"atau gerakan Dato' Seri Najib kali ini bagaikan keris yang sedang terhunus. Sesekali menghunus, tujuannya mungkin mampu menamatkan karier politik lawannya. Tindakan itu mengingatkan saya kepada percaturan politik di zaman Mao Zedong ketika tokoh berkenaan mengelapai Revolusi Kebudayaan di negara tembok besar itu. Melihat dasar-dasarnya dicabar pemimpin lain yang antaranya Marsyal Peng Denghuai dan Liu Shaoqi, Mao langsung tidak teragak-agak mencatur bidak untuk menewaskan lawannya. Sebagai seorang ahli yang tebal berjiwa UMNO, telahan saya memungkinkan satu atau dua hari ini hati kita mungkin terasa bagai dirobek-robek kerana sentimen simpati. Namun, selepas itu nanti apakah kita sendiri akan talkinkan parti keramat bangsa ini? Percayalah, pada saya, kita akan memahami langkah politik Dato' Seri Najib adalah suatu tindakan yang wajar selaku Presiden.

8. Tidak dapat dinafikan bahawa isu 1MDB mahupun dasar percukaian baharu membabitkan GST merupakan suatu cabaran kepada kita. Samada kita suka atau tidak, langkah telah diambil oleh pihak Kerajaan Malaysia serta barisan kabinet negara demi menyelesaikan permasalahan yang mungkin berpunca dari pentadbiran kabinet yang terdahulu. Justeru itu, kita tidak wajar lagi memilih sengketa dalaman kerana tindakan sedemikian hanya akan melemahkan UMNO. Pastinya seruan saya ini mungkin dianggap "cliche"; yang selalu didengari oleh sesetengah pihak. Namun itulah hakikatnya yang perlu kita terima. Saya anak muda dan selaku pemimpin muda UMNO, saya juga layak bersuara. Saya tidak mahu parti pusaka bangsa ini menjadi tidak relevan lagi di mata para pengundi muda di luar sana. Walau bagaimanapun, ini tidak membawa maksud bahawa UMNO seumpama pasar, yang semua menjerit-jerit tanpa usul periksa. Saya tegaskan bahawa UMNO adalah "Grand Old Party" yang punyai disiplin serta kaedah untuk menyatakan pendirian yang terus segar demi rakyat.

9. Menyedari bahawa kritikan boleh disampaikan mengikut saluran asalkan bertepatan dengan disiplin parti, saya ingin menyeru kepada seluruh warga parti agar berlapang dada, tenang hati yang gundah-gulana. Kita semua perlu berdiri teguh di belakang Sang Presiden, Dato' Seri Najib Tun Razak, kita perlu terus bersama-sama beliau dan kita wajib meyakinkan sekelian rakyat bahawa UMNO hakikatnya adalah sebuah parti yang sebenarnya merupakan pilihan terbaik untuk terus diberi mandat mentadbir negara. Selain rekod cemerlang kita mengemudi negara sejak zaman merdeka lagi, Sang Presiden kali ini jelas memperlihatkan bahawa beliau juga merupakan seorang pemimpin yang "decisive." Adalah wajib buat kita untuk meneliti pendirian Dato' Seri Najib yang menggugurkan Tan Sri Muhyiddin dan beberapa orang Menteri semalam. Ia adalah amaran kepada pembangkang bahawa UMNO bukan boleh diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak kerana kita merupakan sebuah parti yang bermaruah.

10.Kepada Tan sri,terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada Tan Sri Mahyuddin Yassin atas jasa beliau yang mentadbir negara selaku TPM dan apa yang saya mampu lihat adalah ketidaksanggupan beliau lagi menjadi org No 2 dalam pentadbiran atas sebab sebab beliau tersendiri berkaitan isu isu semasa.itulah adalah prinsip dan pandangan beliau, Saya amat berbangga dan amat menghormati jiwa besar Timbalan Presiden Umno ini yang sedikitpun tidak memperlihatkan dendam dan menyatakan akan terus komited sebagai timbalan presiden Umno membantu Presiden, dan beliau meyeru segenap lapisan ahli UMNO supaya usah resah dan terus komited pada parti.

11.Inilah yang dikatakan pemimpin berjiwa besar yang perlu dihormati, kualiti yang sangat terpandang tinggi oleh saya. BICARA DIA BICARA TUA,PENUH HIKMAH DIDADA, BICARA KITA, BICARA MUDA, PENUH GELORA DIJIWA. Apapun sebab musabab beliau, apa yang utama kita perlu utamakan, Parti dahululah harus kita utamakan, perpecahan tidak akan menguatkan kita, penyatuan adalah tetap menjadi ramuan utama dan ini telah terbukti dengan lipatan sejarah UMNO apabila pemimpin datang dan pergi. UMNO tetap Keramat dipasak bangsa pertiwi. DERHAKA BERSEBAB, SETIA BERSYARAT. Hanya Tan Sri dan Allah S.W.T yang mengetahui.

12. UMNO perlu melangkah lebih jauh dengan minda yang segar, bersesuaian dengan peredaran zaman yang memerlukan "good govenrnance" yang meyakinkan sekalian rakyat di bumi bertuah ini. Saya yakin, dengan TPM yang baru  dengan barisan kabinet terbaru yang diumumkan Dato' Seri Najib semalam, harapan saya ia bakal mengukuhkan lagi perlaksanaan dasar-dasar yang dianjurkan kerajaan ke arah yang lebih berkesan dan diterima rakyat dengan baik. Kegusaran rakyat haruslah barisan ini tidaklah mengambil masa yang lama untuk leraikan dan selesaikan. Dato Seri Zahid perlu membuat pembuktian dan memperlihat beliau selayaknya berada disitu dengan penuh kredibiliti. dan saya percaya dengan pengalaman yang saya kira cukup, beliau mampu mengalasnya. Tahniah Dato Seri Zahid Hamidi.

13.Apa yang utama, kembalikan keyakinan ahli dan rakyat. . Perlu diingatkan bahawa para fuqaha yang faqih menetapkan tentang prinsip ketaatan pada pemimpin di mana ia perlu dipatuhi selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak. Selagi itu, saya tegaskan pendirian saya dan ianya turut dikongsi oleh kenyataan Rasmi Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar oleh Ketua Pemuda saya. dan selaku pemimpin muda UMNO di negeri Kedah berdiri teguh di belakang institusi UMNO demi kelansungan agama, bangsa dan negara, kerana "Di Sinilah Lahirnya Sebuah Cinta"...
Terjawab sudah spekulasi,
Terlerai sudah konspirasi,
Termaktub sudah yang hakiki,
Terkorban sudah ikhlasnya hati yang mungkin tinggal hanya kepentingan diri...

Pemimpin datang dan pergi, terhormat atau dicabuli,
Adakah ia demi kelangsungan jatidiri?
Atau...
Ianya hanya retorika tersembunyi?
Transformasi apakah ini?
Hanya Keramat parti yang mengetahui, Yang Maha Kuasa yang pasti...

Apakah aspirasi dan junjungan kini,
Saya sendiri kurang pasti,
Moga wujud sinar kembali...

Demi perjalanan bangsa ini,
Rasa hati luluh bersemi,
Demi wadahku akan tetap ku gagahi,
Cuma harapku kini KAU mengasihani,
Lemparkan kembali keikhlasan yang dulu terpatri,
Kerna lahirnya cintaku disini...
~Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri~


Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.