Wednesday, 15 July 2015

HARAPAN LEBARAN UNTUK SUATU BANGSA

Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO yang saya hormati, Dato' Seri Najib Tun Razak
1. Berdesing telinga. Wajah saya mula merah padam. Gelisah jiwa tidak terkata. Dihati bagaikan meronta mahu meleraikan kekusutan yang ada. Selain disajikan dengan pelbagai juadah berbuka puasa dalam kesempatan iftar bersama beberapa rakan media di ibu negara baru-baru ini, saya turut disajikan dengan rintihan mengenai Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Presiden UMNO, seorang tokoh yang sememangnya saya hormati. Pedih. Namun sepahit manapun, kenyataan mereka saya perlu 'telan' jua...

2. Dalam bicara kami, rakan-rakan media ada menyentuh soal 'rating' terkini Dato' Seri Najib yang dikatakan jatuh ke tahap yang sangat rendah. Dakwa mereka, jika laporan mengenai beliau diletakkan di muka hadapan media arus perdana, maka jualan akhbar mereka akan jatuh pada hari tersebut. Katanya keadaan berkenaan sangat membimbangkan bagi seorang tokoh yang merupakan pemimpin nombor satu negara. 

3. Rakan-rakan media turut memberitahu mengenai dua individu yang dikatakan jatuh 'rating' mereka di kalangan masyarakat Malaysia iaiti isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir. Persepsi rakyat terhadap isteri Perdana Menteri masih lagi kekal dengan tanggapan negatif, manakala Dato' Seri Mukhriz pula disalahkan kerana dikatakan tidak vokal mempertahankan ayahandanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagaimana yang pernah beliau lakukan sebelum ini di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjawat jawatan Perdana Menteri.


4. Saya akui kenyataan rakan-rakan media itu. Jauh di sudut hati saya, saya terima kedudukan terkini mengenai pemimpin yang menjadi tunjang negara itu. Perasaan saya bercampur baur, akal dan minda berputar ligat mencari resepi serta ramuan mujarab bagi menyelesaikan kekusutan di depan mata. Bukan saya di Facebook rasmi beliau, malah di laman sosial Twitter milik Dato' Seri Najib juga penuh dengan kata caci maki rakyat terhadap beliau. Ya, mungkin maki hamun itu adalah kerja 'cybertroopers pembangkang', namun saya terpaksa akui bahawa ia turut memberi kesan kepada rakyat yang lain dan mempengaruhi mereka untuk menimbulkan kebencian terhadap Presiden saya.

5. Saya terkesima memikirkan bahawa keadaan terkini menyaksikan nyawa UMNO sedang berada di tangan para pemimpin UMNO itu sendiri, khususnya para pemimpin di peringkat tertinggi. Di saat majoriti masyarakat Cina hilang kepercayaan kepada UMNO dan Barisan Nasional umumnya, kita semua perlu menggunakan seluruh kudrat yang ada untuk menjernihkan kembali keadaan. Sama ada menyelamatkan UMNO atau menyelamatkan Datuk Seri Najib atau kedua-duanya sekali, saya kira ia amat perlu dilakukan. Timbulkan persoalan, sekiranya tidak menyelamatkan Datuk Seri Najib, apakah penggantinya mampu menyelesaikan masalah dan kembali menarik sokongan rakyat terhadap parti keramat bangsa ini? Apakah dengan memaksa Datuk Seri Najib turun dari jawatan Presiden maka segalanya akan jernih kembali dan UMNO akan mendapat sokongan rakyat? Pada pandangan saya, modus operandi seperti itu pernah dilakukan di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu, bukan? 

Kemelut 1MDB yang masih belum terungkai dan membingungkan ramai...
6. Saya melihat pandangan Ketua Pemuda PAS, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz adalah lebih relevan untuk diguna pakai dalam menegakkan kebenaran mengenai kemelut yang melanda 1MDB. Kita semua wajar terus menjunjung prinsip kebenaran dan menolak agenda fitnah serta provokasi melampau pihak-pihak tertentu yang cuba menyemai rasa tidak yakin dan kebencian terhadap pemimpin yang menjadi mangsa tuduhan tidak berasas. Sepatutnya, sebarang tuduhan perlu diadili ke muka pengadilan sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam yang kita pegang selama ini. Tuduhan semberono yang membawa kepada dosa fitnah perlu ditolak secara mutlak. Justeru itu, biarlah isu berkenaan disiasat seadil-adilnya oleh pihak berkuasa tanpa sebarang gangguan spekulasi dari mana-mana pihak demi memelihara prinsip keadilan dan kebenaran itu.


7 .Kemelut 1MDB sememangnya sangat memeningkan kepala. Ditambah pula dengan persoalan yang dilontarkan Tun Dr Mahathir, sudah tentu ia menambah parah pada Perdana Menteri. Jika saya ditempat Dato' Seri Najib, sudah tentu tidur saya tidak lena mengenangkan apa yang berlaku. mungkin jugak dengan mental yang tidak kuat saya dahpun meletakkan jawatan. Sungguh besar dugaan dan tekanan yang beliau terima. Namun, kita semua sedar kerisauan Tun M itu ada asasnya, Para pemimpin besar UMNO, malah anaknya sendiri, Dato Seri Mukhriz tidak mampu menyelesaikan kemelut yang berlaku antara dua pemimpin itu, kerna ini adalah perdebatan "facts< figures and finding", 

8. Berkenaan 1MDB, berkenaan aliran wang yg diperkatakan oleh WSL ke dalam akaun peribadi Presiden UMNO, saya yakin ia hanya akan dapat diselesaikan selepas Pasukan Petugas Khas membentangkan laporan mereka nanti. Sehingga kini, siasatan masih diteruskan dengan teliti dan saya yakin ia akan dapat diselesaikan juga nanti. Di saat itu, suka atau tidak, percaya atau tidak, laporan tersebut perlu diterima dengan hati yang terbuka. Jika bersalah, maka bersalahlah. Namun jika terbukti ia hanya merupakan sebuah sketsa fitnah, maka saya kira ramailah yang perlu tampil meminta maaf dan membersihkan nama baik 1MDB, khususnya Dato' Seri Najib yang terpalit di dalam skandal kontroversi berkenaan. Saya harap, selagi laporan penuh siasatan Pasukan Petugas Khas itu, maka kita wajar tidak mencetus sebarang spekulasi yang mampu memburukkan keadaan kerana tindakan tersebut tidak akan membantu kita dalam mencari jawapan berhubung isu tersebut.

9. Namun apa yang saya ingin tekannkan di sini adalah dari sudut perspektif masyarakat marhainies seperti saya. Kami keadaan tertekan dengan dasar baru seperti GST dan berdepan kos sara hidup yang menekan, ditambah pula dengan isu-isu yang menimbulkan persepsi politik yang ditimbulkan untuk membenci kepimpinan UMNO terutama Dato' Seri Najib, saya rasa beliau perlu melakukan sesuatu yang drastik untuk merubah keadaan. 'Rating' beliau jatuh terlalu rendah dan tidak membayangkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang sepatutnya dihormati kawan dan lawan. Dato Seri Najib perlu bangkit dalam hal ini dan mencari jalan yang terbaik bagi menjernihkan kekeruhan yang mencemar...

Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato' Seri Najib Tun Razak dan Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir: Inilah dia pemimpin dahulu, kini dan masa depan yang kita sayangi...
10. Saya berpandangan bahawa Dato' Seri Najib perlu bertindak tegas dalam beberapa perkara dan tindakan saman yang beliau bakal failkan terhadap Wall Street Journals (WSJ) adalah salah satu dari tindakan yang wajar. Saya mengambil contoh Tun Dr Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, ketegasan beliau yang tidak berkompromi dengan unsur fitnah dan hasutan yang menjurus kepada menjejaskan imej beliau sama sekali tidak dibiarkan, malah tindakan dilakukan sewajarnya untuk membendung unsur-unsur negatif yang cuba dicetuskan. Sebagai contoh, Ops Lalang di mana meskipun ia dilihat sebagai satu tindakan yang kontroversi, namun dilihat sangat berkesan, bukan? Pun begitu, saya yakin Dato' Seri Najib mempunyai cara yang tersendiri untuk memperlihatkan ketegasan beliau dan saya mohon supaya ketegasan tersebut dizahirkan segera.

11. Selain itu, saya juga menyarankan supaya Dato' Seri Najib melakukan rombakan kabinet selewat-lewatnya selepas Aidilfitri ini di mana beberapa Menteri perlu dirombak, digugurkan atau ditukar ke jawatan yang lebih sesuai. Saya melihat beberapa pemimpin kita sendiri yang memberi 'sokongan membawa rebah' dan gagal menjelaskan isu dengan baik kepada rakyat. Pada saya, keadaan ini memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan lagi imej Dato' Seri Najib di mata rakyat. Contohnya, seorang Menteri yang memberikan kenyataan karut, namun nama Dato' Seri Najib pula yang dikaitkan dan dituduh gagal memilih barisan kabinet yang setanding di zaman Tun Dr Mahathir. Saya sedar komentar tersebut tidak wajar, namun itulah hakikat persepsi rakyat terhadap beliau yang perlu diubah.

12. Berkenaan dengan tanggapan negatif terhadap Datin Seri Rosmah, saya menyarankan supaya beliau tidak lagi terlalu menonjol membayangi Perdana Menteri buat sementara waktu sehingga keadaan reda. Cerita mengenai beliau yang diada-adakan sebelum ini turut memberi impak negatif terhadap Dato Seri Najib. Biar pun sekadar persepsi liar, saya melihat ramai yang terpengaruh dengan dakyah tersebut meskipun tidak benar dakwaan yang dilontarkan. Jadi, apalah sudi kiranya Datin Seri Rosmah sendiri mengambil inisiatif tersebut dengan mengurangkan bayangan beliau, bukan? Saya sentiasa doakan agar isteri Perdana Menteri itu turut diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan yang sedang melanda suaminya. Sesungguhnya di belakang kejayaan suami, terdapat seorang isteri yang menyokongnya dari belakang walaupun tidak kelihatan kelibatnya. Itulah pengorbanan tidak terhingga seorang isteri yang dimuliakan Allah...

Isteri Perdana Menteri yang saya segani, Datin Seri Rosmah Mansor. Semoga Allah SWT memberi ketabahan sehebat Asiah dan seteguh Siti Khadijah pada beliau...
13. Berkenaan dengan kemelut yang tercetus dengan Tun Dr Mahathir, saya menyarankan supaya Dato' Seri Najib tidak terlalu mendengar pada pandangan para penasihat di sekelilingnya yang kadangkala tersasar dari keikhlasan hati. Sewajarnya Dato' Seri Najib mendengar naluri Islam dengan mengambil inisiatif berdamai dari "retaliation" dengan mantan Perdana Menteri itu. Bak kata orang Kedah, berlaku "hemoi" tidak semestinya mengaku kalah atau salah. Gunakan kebijaksanaan yang ada pada Dato' Seri Najib untuk membuktikan beliau tidak salah dan yang menyakinkan Tun Dr Mahathir. Lagipun, sekeras-keras hati Tun Dr Mahathir, saya yakin beliau masih sayang dan kasihkan Dato' Seri Najib. Sempena Ramadhan dan Syawal, harap dapat dimanfaatkan sepenuhnya bulan penuh keberkatan ini...

14. Saya mengharapkan agar Dato' Seri Najib, Datin Seri Rosmah, Tun Dr Mahathir dan mana-mana pihak tidak tersinggung dengan tulisan saya kali ini. Bukanlah bermaksud untuk berlaku kurang ajar atau tidak sopan, jauh sekali untuk mengajar para pemimpin yang saya sangat hormati. Namun saya hanya meluahkan perasaan dan pandangan saya selaku barisan pelapis para pewaris perjuangan anak bangsa yang bakal meneruskan bakti kepada agama, bangsa dan negara. Saya hanya menyuarakan rasa hati kami yang marhainies, yang sayangkan keteguhan kedaulatan sebuah negara merdeka, meneruskan kesinambungan sebuah ketamadunan Melayu terbilang dan mengimarahkan sebuah agama Allah yang suci di muka bumi bernama Malaysia...

15 Lewat Ramadhan ini, kita diduga dengan pelbagai kejadian yang tidak diingini seperti insiden kekecohan berdarah di Plaza Low Yat yang mampu mencemar hubungan kaum gara-gara dimanipulasi segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab serta laman sosial rasmi PDRM telah digodam para "hackers" yang kemudian mengancam untuk menggodam akaun laman sosial milik Perdana Menteri pula selepas ini. Apakah provokasi seperti ini mampu menghuraikan kekusutan yang ada untuk menjadikan negara ini aman damai seperti sedia kalanya? Atau ia akan terus mencemarkan apa yang sedang cuba dicemarkan lagi? Apakah Aidilfitri kali ini akan cuba dicemari dengan insiden yang akan memalukan kita rakyat Malaysia? Kita selaku bangsa Malaysia tepuklah dada tanya selera...

17. Akhir kalam, sempena Aidilfitri ini, saya ingin mengambil kesempatan menyusun jari, menyantun jutaan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya semua umat Islam tidak kira di mana jua anda berada. Juga tidak ampun dan maaf saya pinta dari para ulama dan umara, seluruh ahli UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sama ada di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian mahupun di peringkat akar umbi Cawangan di seluruh negara, terutama di Bahagian Alor Setar., Kedah. Begitu juga untuk rakan-rakan parti politik lain, meskipun kita tidak sefahaman dalam perjuangan, saya memohon maaf dari kalian semua. Paling utama, kepada para pembaca setia yang tidak jemu-jemu membaca "Bila Shahabudin Berbicara", jutaan terima kasih atas sokongan anda semua dan maafkanlah saya sekiranya terdapat salah silap bicara selama saya berblog sini. Semoga lebaran kali ini membawa titik tolak perubahan kepada kita semua untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya. Ingatlah firman Allah SWT yang mafhumnya bahawa kita tidak akan berubah selagi kita tidak mengubah nasib dan diri kita sendiri. Ayuh pada 1 Syawal ini, kita raikan kejayaan mendidik diri berjihad perang melawan nafsu sebulan di bulan Ramadhan. Semoga kita menginsafi tentang apa yang terjadi dan agar Malaysia terus berada di bawah limpah rahmat dari-Nya hingga ke hari pembalasan. Kerana "Di Sinilah Lahirnya Sebuah Cinta"...Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahi Al-Hamdu...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar


No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.