Monday, 3 August 2015

MENGHARAP SINAR DI HUJUNG TEROWONG


1. Dalam suasana syawal yang masih diraikan, seluruh warga UMNO juga sedang giat fokus pada Persidangan Perwakilan UMNO Tahunan di peringkat baik diperingkat sayap sayap dan Bahagian masing-masing. Berbicara, berusul kata. Ada yang bertempik, ada yang tersenyum sumbing. Ada yang hiba, ada pula yang bersorak gembira. Namun itulah keluarga saya, keluarga UMNO dulu kini dan selamanya...Medepani isu mutakhir kini, kesannya turut dirasai dan dipersoalkan rata-rata perwakilan disegenap pelosok negara termasuk pemuda bahagian saya sendiri, penjelasan dituntut dengan pelbagai reaksi dan rasa. Kita tidak mampu menolak Hak bersuara ahli-ahli kita. Apa yang jadi harapan mereka, keluh dan rasa mereka diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya oleh pimpinan utama. Namun saya yakin dari sudut pandangan kacamata saya, rasa dan keluh mereka adalah akibat rasa kasih dan cinta mereka pada perjuangan parti yang berkeramat ini.

2.Walau bagaimana pun, 'Bani Jawi' ini masih jauh perjalanannya. Tiada jaminan atau kepastian bahawa kejayaan itu pasti dalam genggaman. Masih belum ternoktah sirna cahaya ‘Utopia’ yang memancarkan cahaya kemenangan itu. Namun benarlah kata Pendita Za’ba, "hidup ini satu ujian dan mengharungi hidup juga adalah satu perjudian"...Al-Furqan juga ada mengingatkan kita betapa duniawi hanyalah destinasi ujian. Jawatan, kepimpinan, kuasa adalah amanah dan kadangkala menjadi 'fitnah'. Di mata saya ia bukan 'habuan', malah lebih kepada dugaan berat, amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Ia bakal dihisab, dihitung di Mahsyar kelak. Jika tergelincir, akan diazab. Soalnya, cuaikah kita? Amanahkah kita? Jujurkah kita dalam melunaskannya? Ya Allah, aku berserah pada Mu...

3. Lantaran itu, bila diangkat seorang pemimpin dan kepimpinan itu, maka tanggungjawab terpikul di atas pundak jemalanya. Bagai kehendakNya, setiap kita adalah pemimpin, paling kurang pun untuk memimpin diri kita sendiri. Justeru kita wajar bermuhasabah diri, "soul searching" atau melakukan penilaian kendiri wajar dilakukan. Suluh diri sedalam-dalamnya. Selemah-lemah iman, kita berdoa di dalam hati. Kita menadah kedua tapak tangan, biar UMNO terus subur, tidak terpadam obor perjuangannya. Jangan sesekali ditakdirkan senasib seperti mereka yang lain. Tidak seperti Kongres di India, Kuomintang di Taiwan, Liberal di Mexico, Golkar di Indonesia dan LDP di Jepun. UMNO membujur lalu melintang patah, tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas...



4. Walau menginjak selama 6 dasawarsa, sudah terlalu banyak legasi yang parti ini telah terbina. Jangan tipu diri sendiri. Jangan bohong pada nurani. Tepatnya fakta adalah berdasarkan rekod, bukti dan juga kacamata realistik. Apa yang terpampang di depat mata adalah jelas hasil dan sentuhan UMNO. Sebut saja apa bidang, segalanya diilhamlah Allah untuk dilaksanakan UMNO. Namun, jika mahu diulang-ulang, pastinya kita akan dianggap syok sendiri. Seolah bernostalgia dengan gemilang sendiri. Walhal, sistem nilai kian terubah dek peredaran masa. Kini persepsi rakyat makin condong menyalahkan kita. Parti ini dituduh dengan segala pelbagai mehnah. Kitalah raja kronisme,kitalah pengamal rasuah. Konon kita juga tamak kuasa, konon merompak kekayaan negara, menyamun kocek jelata untuk kepentingan kita... Benarkah?

5. Walhal Hakikatnya masih ramai ahli kita yang miskin papa kedana, masih ramai ahli kita yang melarat tidak bekerja, dan masih besar jumlahnya ahli kita yang tidak mendapat kontrak berjuta seperti mereka. Maka mungkin yang menuduh itulah sebenarnya beroleh untung. Mereka melontar provokasi, lantas kita sekali terikut menari-nari, mereka mencuit sedikit di pinggang, kita melatah melenting berpencak menghunus kapak! Lalu kita berprasangka sesama sendiri. Tuduh itu, tuduh ini, tanpa sebarang fakta atau bukti. Hanya berbekal maklumat dihujung jari. Entah benar, entah tidak, yang penting puas hati? Yang benar tidak kita percaya, yang was-was itulah yang kita anggap fakta. Kita masih berbalah terus sengketa, hanya kerana sesuatu yang belum pasti? Jika dulu boleh diselesaikan di dalam keluarga, mengapa kini kita mahu laungkan ke seluruh dunia? Atau ada yang tidak lagi ikhlas, ada agenda di sebalik suara?

6. Namun itulah kita umat Muhammad. Biar dipesan sabdanya bahawa fitnah berleluasa di penghujung senja dunia, kita masih lagi leka percaya pada mereka. Tubuh fitnah itu kian membesar dewasa lewat hari ini. Media sosial yang digemari kita kini menjadi perantara, maklumat hujung jari menerobos sempadan kewarasan minda, segala macam wahana akhirnya menggoyah iman dan roh pegangan di dada. Dan dalangnya bertepuk gembira di luar sana, tidak terperi sukanya melihat kita tidak ketentuan hala...

7. Barangkali, kita juga ada silapnya. Mungkin kita agak lewat menzahir reaksi. Terlalu leka dengan 'budaya selesa' yang kian membuai mimpi di kayangan, kita berbisik di hati... "Ah biarlah itu bukan urusan aku...". Kita seolah senang melihat saudara sebangsa kita jatuh tersungkur menyembah bumi. Sudahlah terjatuh, lalu dicincang lumat. Ditohmah sehingga tersalut lumpurlah segala daki dan dosa, seolah-olah rakan itu tidak pernah berjasa walau sekelumit. Kononnya kita sahajalah yang benar, dan mereka itu salah belaka. 

8.Kata sepakat kita yang terpatri dahulu, kini bukan lagi ukuran saf barisan. Strategi yang dulu diatur pada mereka diluar sana, kini diatur untuk mengenakan keluarga sendiri. Adu domba berjalan pantas, seolah menjadi zikir untuk memenangkan puak atau kelompak tertentu. Falsafah yang dulu berbunyi "MEMENANGKAN PERJUANGAN SEBUAH BANGSA" kini sudah bertukar menjadi "BIAR JAHANAM SELURUH BANGSA". Demi sebuah kuasa politik yang hanya duniawi, kita sanggup bersekongkol hatta dengan musuh Islam sendiri pun. Malah ada yang tergamak membiar diri menjadi alat diperalatkan. Ada yang sebelum ini rela bertahaluf siyasi meskipun sedari awal tahu dan sedar bahawa puak itu adalah kafir harbi. Sebaliknya, terhadap saudara seagama, kita dipandang penuh dendam dan benci. Mungkinkah itu yang diajar di dalam Al-Quran, versi mereka?


9.Seharusnya Pemuda yang merupakan sayap terpenting UMNO seharus bermuhasabah asas sejarah perjuangan pemuda lampau sepermulaan zaman Kapten Hussein Onn dalam mencerminkan perjuangan kini yang bersesuaian dengan peredaran zaman. Orang muda adalah kelompok terpenting dalam mengukir pembentukan Negara Bangsa dimana mana negara seluruh dunia. jika kita masih ingat Sumpah pemuda 1928 di Indonesia oleh susuk susuk lagenda seperti Soekarno, M. Hatta, Sutan Syahir dan Bung Tomo, dan juga gerakan "Trisakti" meranapkan Golkar dlm pembentukan Orde Baru Indonesia. Kita juga tidak kurang hebatnya, dengan 'coin' Tun Abdul Razak "Hidup Melayu", Sardon Jubir, dengan revolusi mental dan slogan Pemuda Tahan Lasak, Harun Idris yang membangkitkan ketahanan orang Melayu bersaing, Jaafar Albar yang cukup digeruni mendiang Lee Kuan Yew membuktikan bahawa pemuda adalah "agent of Change" pencetus startegi kuasa moral dan sosial masyarakat. 

10. Kita kini diibarat bagaikan bidak yang dicatur. Tentunya ada perencana yang menyusun strategi, merancang gerak tari pencak untuk dipentaskan. Dihujung sana pula, ada kelibat mata-mata yang memandang, mengintai dari jauh mencari peluang untuk meratah kesempatan. Cuba menangguk di air yang keruh? Dan kita masih membiarkan diri menjadi bidak yang dicatur? Suka menjadi bidak? Justeru itu tidak hairanlah bahawa tokoh agung nusantara, Bung Soekarno pernah berpesan pada bangsanya, "hati-hati dengan bahaya neo-kolonialisme...". Tampak bagai ramalan beliau itu seolah kian benar belaka....

11. Kita menjadi saksi. Satu persatu jiran kita di sana menjadi lumpuh, luluh. Seakan menjadi "remote control" hegemoni kuasa barat berpaksikan "neo-con" Amerika. Kini hanya Bani Jawi yang berpijak di "Bumi Suvarnabhumi" yang terletak di daerah Bumi Emas yang sudah lama diidamkan namun belum mendapat. Ruang yang dibuka sejak 1998, yang mungkin juga telah dianjur berpuluh tahun sebelumnya kini diperhebatkan lagi. Agenda mereka itu kian meluas. Satu persatu tiang seri dan kekuatan umat Bani Jawi ini diserang di segenap penjuru, termasuk dari dalam. Mungkin sudah lama mereka menyusup masuk, memecah dari dalam. Dan hasilnya, saudara kita, PAS, telah berpecah melahirkan zuriat bernama GHB. UMNO secara hakikatnya teguh berdiri dari asalnya pula, sedang dilanda dugaan dan cabaran yang mengakibatkan ramai masing-masing memendam rasa... Namun sedar atau tidak, pihak itu diluar sana sedang menghitung detik untuk bersorak gempita meraikan kemenangan perancangan mereka. Lantas, timbul tanda tanya…masih adakah lagi legasi ABATA? Masih mampukah lagi UMNO bernafas selepas ini? Atau jika ada pun kini hanyalah sekadar nyawa-nyawa ikan, dalam sedar menanti koma? Terpaksa dibantu dengan alat penyambung nyawa...?


12. Bangun dan bangkitlah anak muda bangsa. Teguhkan jatidiri Bani Jawi dan rapatkan saf yang kian terbelah seribu. Islam kita julang, bangsa ini kita tatang semula. Jadilah berjiwa kental, berwatakkan Usamah bin Zaid, Muaz ibnu Jabal, atau Ali bin Abi Talib. Kitalah benteng terakhir kedaulatan BANI JAWI dan Islam di bumi bertuah ini. Kita bukan PEMUDA KOMPANG, kita juga bukan PEMUDA PINTU GERBANG. Selamilah jiwa masing-masing. Motivasikan diri, sahutlah cabaran di depan mata. Jika ada yang sanggup menjual, kita anak muda bangsa sanggup membeli. Kita bagai sudah tiada masa lagi untuk berdelusi, untuk terus khayal atau bersikap syok sendiri dalam situasi bila mana nasib Melayu ini kian diasak  setiap hari. Apa yang Utama adalah kita titipkanlah kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat....janganlah kita biarkan rakyat terus dirundung kekecewaan, parah akibatnya.

13. Wahai saudara-saudaraku, rakan-rakan seperjuanganku.. Ketahuilah bahawa nasib negara, dan masa depan negara ini sebenarnya adalah terletak di tangan kita. Biar miskin harta, jangan kita sesekali miskin maruah atau tergadai jiwa. Kita sanggah apa jua anasir jijik, kita tentang dengan semangat membara biar apapun jua usaha penjajahan semula oleh manusia-manusia durjana itu. Yang pasti, parti yang bernama UMNO akan tetap akan subur, tetap gah dan megah di mata rakyat, kerana dibawahnya itulah bernaungnya BANI JAWI. Menjulang Islam sebagai tonggak peradaban jiwa, kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai pasak dan kejituan bangsa perlu terus kita lonjak menuju ke puncak tertinggi biar tidak goyah selamanya..! Maka yakinlah saudara-saudaraku bahawa perjuangan kudus ini tidak akan terhenti di sini. Malah ia akan menjadi azimat yang tergenggam erat di genggaman ini untuk terus menjadi tanggungjawab yang wajib kepada kita semua untuk menyahut seruan pertiwi. Kitalah patriot sejati. Pesan Saya;

WAHAI MANUSIA DIATAS SANA,
JANGAN MUDAH MERASA SELESA,
KENANGLAH BUDI PADA YANG BERJASA,
JANGAN SAMPAI RAKYAT MURKA.

PUTERA ANDALAS BERTANYA KHABAR,
SEBAK BERSARANG DIDALAM HATI,
TAKAN BERUNDUR WALAU DICABAR,
KERNA CINTAKU TERPATRI DISINI.

SELAMAT BERSIDANG.....

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.