Wednesday, 3 June 2015

MUKTAMAR PAS: KEMBALIKAN SIRATUL MUSTAQIM SEBENAR


1. Esok, seluruh negara dan pemerhati politik akan memberi tumpuan pada pemilihan PAS yang bakal berlangsung dalam penuh sejarah. Ia adalah berdasarkan jawatan tertinggi parti itu yang sebelum ini tidak pernah dicabar sejak 1951, akan cuba direbut. Malah kali ini juga kita akan menyaksikan pertembungan dua golongan di dalam parti itu, golongan pro-ulama dan golongan pro-Pakatan Rakyat, atau lebih tepat lagi mereka yang sanggup tunduk pada DAP dan PKR.

2. Tidak dinafikan bahawa selaku pemimpin politik, saya juga mempunyai hubungan dengan rakan-rakan PAS dan PR. Meskipun berlainan ideologi politik, kami sememangnya mengekalkan hubungan saudara seagama dan bergaul secara matang. Dan topik pemilihan PAS kali ini juga ada kami perbualkan.

3. Pada muktamar PAS kali ini, Datuk Seri Abdul Hadi akan dicabar bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang. Jawatan Timbalan Presiden PAS yang disandang Mat Sabu pula akan cuba direbut oleh Tuan Ibrahim Tuan Man. Saya yakin, hasil keputusan bagi kedua jawatan utama yang bakal dipertanding dalam muktamar PAS itu pastinya akan menentukan hala tuju perjuangan PAS kelak.


4. Di dalam penelitian saya pada PAS, parti itu sebenarnya ditubuhkan adalah sebagai alternatif kepada dominan Melayu Islam selain UMNO. Namum apa yang dikesalkan, Parti PAS selama ini seumpama parti yang separa masak dan tidak dominan dan saya percaya ini membuahkan kegusaran pada rakyat Islam dan Melayu dengan terus memberi pilihan itu kepada UMNO yang terus dominan didalam BN. Sejak parti itu ditubuhkan dan sejak negara kita mengadakan pilihanraya umum, belum pernah lagi dalam sejarah PAS menyaksikan parti berkenaan meletakkan cukup calon untuk membentuk majoriti di Parlimen. Malah dalam satu-satu PRU sekalipun, selalunya PAS hanya meletakkan jumlah calon di bawah 111 orang calon di kerusi parlimen, berbanding jumlah keseluruhan 222 kerusi. 


5. Misalnya, pada PRU ke-10 yang menyaksikan PAS diangkat menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, PAS hanya bertanding di 63 kerusi Parlimen. Pada PRU ke-12 dan ke-13 pula, PAS hanya bertanding di 63 dan 73 kerusi parlimen sahaja. Justeru itu, dengan mudah saya menyimpulkan bahawa PAS sememangnya tidak bercita-cita memegang tampuk pentadbiran negara.

6. Saya yakin, mungkin ada yang berpandangan bahawa PAS 'bodoh' dan 'tidak bermatlamat' dalam berpolitik. Kononnya, "gila"lah bagi sesebuah parti itu bertanding pilihanraya tapi tidak mahu menguasai pentadbiran politik negara. Benarkah PAS 'bodoh', 'tidak bermatlamat' atau 'gila'? Pada saya, jawapannya ialah TIDAK. 

7. Pada pandangan saya, niat PAS berpolitik di negara ini adalah sebagai unit pembangkang yang efektif untuk memastikan perjuangannya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan mengamalkan pentadbiran yang tidak bertentangan dengan Syariah Islam. Itu saja matlamat PAS pada saya. Dan untuk dua matlamat asas itu, saya kira PAS telah berjaya melakukannya hingga kini. Buktinya, Malaysia kini diikiraf sebagai sebuah negara Islam dan menjadi model terbaik sebuah negara Islam di mata dunia. Malah belum ada lagi dasar negara yang dilihat bertentangan dari maqasid syariah oleh para ulama muktabar. 

8. Berbalik pada pemilihan PAS kali ini, kita bakal menyaksikan sama ada PAS mampu mengekalkan kepimpinan ulama di dalam parti itu atau tidak. Maksudnya, apakah PAS mampu memastikan seorang ulama yang benar-benar ulama untuk terus menjadi IMAM mereka, atau lebih suka memilih ulama yang lebih suka menjadi 'BONEKA' DAP dan PKR. Tersilap pilih IMAM akan menyebabkan PAS akan rosak binasa. Pilih satu antara dua, semudah itu? Tidak semudah itu pada pandangan saya.


9. Kepimpinan ulama PAS hanya akan berjaya sepenuhnya jika jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PAS disandang oleh mereka yang wala' pada ulama. Paling penting, Jawatankuasa PAS Pusat perlu dikuasai kembali sepenuhnya oleh golongan ulama memandangkan mereka selaku badan esksekutif yang akan menjalankan semua dasar yang ditetapkan Presiden dan Majlis Syura PAS selaku badan tertinggi parti itu. Sekiranya itu terlaksana, barulah PAS akan kembali 'sihat'.

10. Justeru itu, sekiranya Abdul Hadi menang sekalipun, saya berpandangan ia tidak semestinya akan melihat PAS kembali ke perjuangan asal mereka. PAS yang telah rosak teruk itu perlu melakukan 'transformasi' besar-besaran, khususnya di bahagian 'enjin' yang perlu di'overhaul' secepat mungkin. Hanya dengan itulah PAS akan maju ke depan dan bukannya mundur ke belakang.

11. Apatah lagi dengan gangguan dari PasMa yang menjadi "tunggangan" terbaru DAP dan PKR, pastinya PAS perlu bersedia segagah mungkin untuk memastikan perjuangan mereka terus hidup. Tamrin, tarbiah, usrah dan syura yang sebelum ini dilupakan pemimpin parti itu perlu diperhidupkan kembali di dalam PAS. Barulah PAS akan 'bernafas' kembali.


12.Apapun, seperti pepatah Melayu, jika tiada rotan, akar pun berguna, daripada PAS terus dilihat terpesong jauh dari landasan sebenar dek terpaksa tunduk pada 'tahalul bahalol' Pakatan Rakyat yang memperlihatkan DAP dan PKR terus menerus tidak pernah menghormati PAS sebagai Parti Orang Melayu Islam dominan negara ini. AHLI AHLI PAS perlu mengunakan ruang ini untuk bermuhasabah dan realistik dalam membuat pilihan daripada terus menjual prinsip dek dibuai mimpi mimpi berkongsi kuasa bersama PR. Serangan serangan sekutunya pada penyandang Presiden USTAZ HADI menunjukan tetapi bahawa suatu pakatan jahat sedang berlaku bagi mengulingkan kepimpinan bukan sahaja Ulama' tetapi juga kepimpinan yang sedar dari terus menjual prinsip asal perjuangan PAS. janganlah Ahli ahli PAS terpesona dengan gula gula DAP mahupun PKR, lihat sahaja Singapura kini dari segi kuasa geopolitiknya hasil pencapaian mendiang Lee Kuaw Yew yang dikini diteruskan oleh protege terbaiknya en LIM KIT SIANG di Malaysia. Teruskanlah memberi sepenuh padunya sokongan pada Ustaz Hadi dan barisannya supaya overhaul PAS mampu berlaku.

13.   Saya menulis mengenai PAS bukanlah kerana saya suka menjaga tepi kain orang. Tapi memandangkan saya menganggap parti itu sebagai saudara seagama, saya wajar memberi pandangan untuk mencelikkan mata-mata hati yang sebelum ini berjaya 'dibutakan' oleh DAP dan PKR dengan 'topeng' Pakatan Rakyat. Sudahlah tidak didaftarkan, perjanjian bertulis pun tidak ada. Itupun masih lagi mahu bermain 'wayang opera' kononnya 'sepakat'?

13. Justeru itu, saya sarankan pada saudara-saudara saya di dalam PAS, bangkitlah! Bangunlah dari terus diselubungi 'syaitan dalam jemaah', 'jebon-jebon' itu perlu dinyahkan dari PAS. Selamatkanlah parti sendiri dari terus terpesong dari perjuangan PAS yang sebenar. Sama-samalah kita membangunkan negara ini. UMNO sebagai kerajaan, PAS sebagai pembangkang, kita sama-sama jadikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang mendaulatkan Islam, agama dan bangsa, kerana DI SINILAH LAHIRNYA SEBUAH CINTA... ALLAHU AKBAR..!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian AlorSetar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.