Ahlan wa sahlan ya Ramadhan... didiklah nafsu kami kembali ke jalan yang diredhai Allah... |
1. Baru-baru ini, pelbagai perkara berlaku di negara kita membabitkan bencana alam, banjir, gempa bumi, kemalangan udara, pertikaian mengenai agama Islam, percakaran sesama bangsa dan saudara seagama, termasuk pertembungan krisis di antara dua tokoh negara yang sangat dihormati. Saya akui, saya agak 'kalut' dan kusut memikirkan apa yang berlaku. Secara langsung atau tidak, saya turut terkesan dengan apa yang berlaku. Dukacitanya hanya Allah saja yang tahu...
2. Esok, inshaAllah kita seluruh umat Islam akan mula berpuasa. Alhamdulillah, saya dan keluarga berpeluang untuk sekali lagi bertemu dengan Ramadhan kali ini. Jauh disudut hati, saya amat bersyukur dan zuhud tunduk padaNya atas kurniaan yang begitu berharga untuk sebulan bernaung di bawah bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini. InshaAllah, saya dan keluarga akan tabah mengharungi ibadah ini dengan lebih baik tahun ini.
3. Saya bersyukur kita sama-sama diberi kesempatan kali ini untuk berpuasa bersama, berbuka bersama, bersahur bersama. Namun apa yang saya ingin tekankan bahawa puasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Paling utama, kita perlu tahu konsep puasa diperintahkan adalah untuk kita sama-sama menahan diri dari nafsu yang menggelodak jiwa sehingga ada yang 'terbabas terlanggar tiang'!
4. Selama hampir setahun kita dididik hawa nafsu, diberi ujian dengan pelbagai godaan. Sama ada nafsu itu berkaitan dengan hawa nafsu dalam bentuk seksual, mengejar harta kekayaan, membeli-belah, mengumpat, mengeji, dan bermacam-macam lagi keinginan, termasuklah menyerang, mengutuk dan bergaduh di antara satu sama lain, khususnya melibatkan antara kita umat Islam, saudara seagama.
5. Soalnya, mampukah kita menahan diri dari terus bertuhankan hawa nafsu tersebut? Berjayakah kita menahan diri dari menyalahkan kerajaan dan pemimpin negara dari bencana yang ditentukan Allah? Mampukah kita menyalahkan pihak berwajib mengenai perkara di luar kawalan seperti kemalangan? Dan yang paling utama, mampukah tokoh-tokoh pemimpin negara mengawal diri dari bertelagah sesama sendiri tentang sesuatu yang belum pasti dan berasaskan persepsi? Mampukah atau tidak?
6. Saya secara peribadi, inshaAllah akan cuba sedaya mampu untuk menjadikan Ramadhan ini sebagai tempoh saya mendidik diri dan keluarga saya untuk mengawal nafsu yang menjadi 'duri dalam daging'. Saya bermohon, doakanlah saya diberi kekuatan untuk merubah diri bertransformasi untuk menjadi seorang insan, suami, ayah dan pemimpin yang baik serta diredhai Allah SWT sepanjang hayat saya. Doakanlah saya...
7. Berhubung beberapa polemik yang mengelirukan dan menghantui keadaan negara kita sejak kebelakangan ini, saya hanya mampu mendoakan agar segala yang keruh kembali jernih semula, semua yang jelek kembali berseri cantik semula dan segala yang mengusutkan akan berjaya dihuraikan dengan baik tanpa menjejaskan kestabilan serta kemakmuran negara kita. Saya mohon rakan taulan terutama yang beragama Islam sama-sama mendoakan yang terbaik buat masa depan anak-anak kita dan generasi akan datang.
8. Saya yakin, kehadiran Ramadhan kali ini bakal membawa rahmat kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia termasuk di warga Palestin, etnik Rohingya di Myanmar, umat Islam yang tersepit di Syria, dan semua penganut agama Allah di segenap pelosok muka bumi Tuhan ini. Kita sama-sama raikan keberkatan Ramadhan ini dengan ibadah dan amalan soleh yang luar dari kebiasaan yang mampu kita lakukan di hari biasa.
9. Bagi rakyat negeri Kedah, umumnya di seluruh Malaysia, saya mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak ini dengan ketabahan, keimanan yang jitu, jalinan ukhuwwah yang lebih erat, dan semoga ia membawa rahmat serta rahimNya kepada kita semua, tidak mengira di mana jua kita berada. Kita sama-sama harungi Ramadhan ini dengan penuh keikhlasan dan kesabaran di dada.
10. Selamat datang wahai Ramadhan yang penuh barakah, bulan yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Muhammad SAW di seluruh pelosok alam. Saya menyeru diri saya, keluarga saya, sahabat handai dan seluruh anak Kedah supaya memanfaatkan kehadiran Ramadhan kali ini sebaiknya. Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan, penuhi barakah mu di bumi jelapang padi ini kerana 'Disinilah Lahirnya Sebuah Cinta'...
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian AlorSetar
|
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.