Wednesday, 20 February 2019

BSH RM100 HANYA PERSENDA ORANG BUJANG DAN DEDAK TERDESAK PH


Secara tiba-tiba kerajaan PH mengumumkan orang bujang juga dapat BSH dengan nilai RM100, amat jauh berkurangan daripada apa yang diberikan semasa zaman kerajaa BN dahulu.

Keputusan tergesa-gesa kerajaan PH ini satu lagi bukti lemahnya kepimpinan kerajaan sekarang, mengatur dasar tanpa berfikir kepentingan rakyat, suka mengikut sikap dendam terhadap legasi kerajaan BN. Ini adalah siri berterusan episod ubah dasar sejak PH menjadi kerajaan.

Pemuda UMNO Kedah yakin selepas ini ada lagi dasar yang akan berubah apabila ditekan, dikritik rakyat dan pemimpin pembangkang.


Cuma yang menjadi persoalan kenapa pengumuman di buat semalam dan pembayaran di buat bulan Mac. Kenapa ia tidak diumumkan semasa pembentangan bajet 2019 di Parlimen pada tahun lepas.

Adakah ini satu “test market” berikutan pilihan raya kecil Semenyih. 

Ini jelas sekali membuktikan bahawa kerajaan PH hanya bersikap ‘HIPOKRIT’ selama ini apabila BRIM dahulunya dilabel sebagai rasuah oleh kerajaan BN, malah BRIM utk golongan bujang ini dahulunya dikatakan tidak layak diberikan pada golongan bujang dalam negara ini kononnya antara sebab rakyat menjadi malas. Namun hari ini dasar ini dikembalikan. Adakah ‘rasuah’ ini yang di ubah ke BSHR telah memperoleh sijil halal dan bertepatan dengan maqasid syariah sekarang? 


Apa yang jelas, pengumuman bantuan oleh Lim Guan Eng yang terburu buru ini hanyalah bersifat politik menjelang PRK Semenyih dan Rantau kerana Kerajaan sedang mencari formula membendung kebangkitan rakyat terutamanya anak muda akibat penipuan demi penipuan yang dilakukan kerajaan. 

Berbalik kepada nilaian RM100, Pemuda UMNO Kedah menyifatkan ia amat kecil tidak setara dengan keadaan ekonomi semasa dan keperluan golongan berkenaan. RM100 itu hanya mempersenda, memperbodoh orang bujang yang merupakan majoriti golongan muda.

Nilaian BSH golongan bujang harus dinaikkan. Jikalaupun tidak boleh setahap dengan janji BN, sekurang-kurangnya biarlah satu angka yang berpatutan iaitu RM300.


Pemuda UMNO Kedah akan memperjuangkan supaya nilaian BSH itu dinaikkan.

Satu lagi perkara janganlah susahkan permohonan golongan bujang ini seperti mana yang berlaku dalam proses permohonan BSH dengan pelbagai prosedur dan pelbagai sijil. Mudahkanlah permohonan golongan bujang ini, janganlah hendak memberi RM100 sahaja tetapi proses mendapatkan amat menyusahkan.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan 
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah.

Friday, 8 February 2019

BANGSA KEDAH? TAK MASUK AKAL..!


Bangsa Kedah? Cadangan apa ni wahai Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul. Tidak masuk akal cadangan ini. 

Ingatlah anda itu dicanang-canang bakal Menteri Besar Kedah yang sedang menanti giliran, janganlah bagi idea yang jelas menampakkan ketidakupayaan berfikiran jauh.

Baiklah mari kita ulas cadangan berkenaan.

Kita fahami ia mahu meniru konsep Bangsa Johor. Ia mungkin baik dan berjaya dilaksanakan di Johor tetapi adakah ia juga sesuai dilaksanakan di Kedah.

Harus YB Johari Abdul fahami dengan jelas bahawa konsep dan perlaksanaan yang baik sesuatu perkara di sesuatu tempat, tidak bermakna ia juga sesuai dilaksanakan di tempat lain.


Kalau mahu bercakap konsep memupuk perpaduan, Pemuda UMNO Kedah sangat bersetuju bahawa perpaduan antara masyarakat dan kaum harus perlu diperkukuhkan terutama pada muktahir ini pelbagai isu melingkari hubungan antara kaum yang tambah mengeruhkan keadaan.

Namun Pemuda UMNO Kedah ingin bertanya, bukankah perpaduan di kalangan masyarakat kita elok sahaja kemudian datang parti pembangkang yang kini kerajaan yang menghasut rakyat sehingga membawa perpecahan dan berpuak-puak.

Dan Pemuda UMNO Kedah ingin bertanya, sejak PH mengambil alih kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri, adakah perpaduan semakin baik atau bertambah buruk.

Bukankah kerajaan PH telah gagal mengawal beberapa isu di kalangan masyarakat sehingga menyebabkan jurang permisahan antara kaum semakin meresahkan.


Perpecahan antara kaum semakin membesar adalah benar wahai Johari. Lihat sahaja komen-komen dalam media sosial anda akan dapat nilai situasinya.

Jikalau setakat YB Johari memberi cadangan tetapi realitinya kerajaan pusat dan negeri tidak mengambil tindakan pro aktif penyatuan, merapatkan masyarakat maka Johari boleh terus bermimpi soal penyatuan.

Masyarakat sebenarnya boleh hidup dengan aman damai sekiranya ahli politik tidak mengapi-apikan mereka. 

Di Kedah untuk pengetahuan YB, iklim politik sejak dulu tidak pernah dilihat berpecah belah biar pun parti mana yang memerintah. hubungan parti pemerintah dan pembangkang sejak dulu begitu akrab demi mencapai matlamat menjayakan pentadbiran kerajaan negeri. Pandangan politik mana mana parti begitu diraikan tanpa emosi dan profesional, cuma biasalah kritikan politik cuma dilihat didalam media tapi hakikatnya hubungan antara Adun adun sebelum ini cukup bersifat positif. 

Mungkin apabila YB Johari Abdul sudah bergelar YAB Menteri Besar Kedah suatu hari nanti, beliau boleh memikirkan kaedah yang lebih baik untuk menyatukan masyarakat dan kejayaan penyatuan itu boleh menjadi contoh kepada negeri lain tanpa perlu mewujudkan konsep Bangsa Kedah.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan 
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah.

Friday, 1 February 2019

NACP HARUS DILAKSANAKAN DENGAN TELUS


Inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 yang dilancarkan baru-baru ini oleh Perdana Menteri adalah satu iltizam yang diharapkan dapat merealisasikan usaha mengurangkan indeks rasuah dalam negara. 

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar mengalu-alukan pelan tindakan ilham Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir baru-baru ini. Saya percaya ini adalah kesinambungan komitmen kerajaan hari ini menambah baik Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan oleh Tun Abdullah Badawi pada 2004.

Dengan mewujudkan NAPC 2019-2023, ia jelas memberi amaran kepada semua terutamanya sektor awam dan ahli politik termasuklah Perdana Menteri sendiri serta barisan jemaah Menteri agar mereka bebas dari perbuatan rasuah.


Haruslah diingat, bagi menjayakan NACP, adalah menjadi fokus utama dan penting untuk institusi seperti Parlimen, Perundangan, eksekutif, ahli politik, pejawat awam, ahli korporat dan pelbagai lagi sektor lebih  bertanggungjawab dalam tindakan mereka.

Mereka inilah yang bakal terkesan dengan kejayaan pelan tindakan ini bahkan mereka jugalah yang bakal bertanggungjawab jika iltizam ini dilihat gagal. 

Pemuda UMNO Alor Setar melihat NACP sepatutnya tidak hanya berfungsi sebagai pelan untuk menghapuskan rasuah semata-mata, tetapi juga mengiatkan usaha untuk menyembuhkan sistem demokrasi negara dan pentadbiran kerajaan khususnya dalam memastikan tiada siapa pun mempunyai kuasa yang berlebihan dan pemisahan kuasa benar-benar diamalkan secara mutlak.


Malah institusi yang berkaitan integriti dan rasuah ini diberikan ruang yang lebih bebas dalam melaksanakan tugas demi kepentingan rakyat. 

Justeru, pemisahan kuasa eksekutif, pembuat dasar dan badan kehakiman serta perundangan mestilah diangkat untuk memastikan sektor perkhidmatan awam tidak diragui dan dipertikaikan seterusnya menjadikan dasar NAPC efektif.

Campurtangan politikus dalam pentadbiran dan kewangan kerajaan adalah di antara isu utama dihadapi Malaysia dalam cabaran memenangi rasuah. NACP mestilah bertindak menghalang epidemik ini. 

Jabatan Peguam Negara dan Kehakiman mestilah diberikan kebebasan untuk mendakwa sesiapa sahaja tanpa prejudis dan berkepentingan secara adil dan saksama. 


Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar menyokong penuh usaha ini dan berharap Pelan NACP ini mencermin aspirasi dan harapan rakyat agar negara ditabal menjadi sebuah negara bebas rasuah di mata dunia yang senantiasa mempromosikan transparensi, akauntabiliti dan integriti pada setiap rakyat Malaysia. 

Setakat hari ini, agenda ini belum benar-benar dilihat rakyat bahawa wujud keseriusan kerajaan PH dalam mengguna pakai kerana masih banyak isu-isu yang berbangkit dan jelas bertentangan dengan roh NACP ini. Kita tidak mahu agenda ini hanyalah semata-mata retorik oleh kerajaan yang akhirnya bersifat populis semata-mata. 

Pemuda UMNO Alor Setar juga mahu melihat agenda bebas rasuah ini bukan setakat janji, tetapi yang lebih penting perlaksanaan tanpa mengira parti politik, kedudukan, jawatan dan pengaruh.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan 
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah.