Thursday, 30 August 2018

PASCA 61 TAHUN MERDEKA dan 100 HARI MALAYSIA BAHARU; PERUBAHAN UMNO, BILA DAN BAGAIMANA?


1. Rata-rata kebanyakan ahli parti dan masyarakat bersuara mahu supaya UMNO berubah. Saranan yang semua ahli dan masyarakat acapkali dengar mendakwa sekiranya UMNO tidak berubah, parti keramat bangsa ini pasti rebah.

2. Hakikatnya kini, UMNO sebenarnya sudah pun 'direhatkan', buat pertama kali tewas pilihan raya umum dan kini berada di kerusi pembangkang. Namun begitu, saya yakin bahawa inilah masanya untuk UMNO kembali memperkukuhkan parti, agenda dan perjuangan. Banyak ruang untuk penambahbaikan dan perubahan secara menyeluruh demi kelangsungan parti.

3. Ikhlas tanpa berselindung, saya melihat bahawa daripada aspek struktur dan perlembagaan parti misalnya, UMNO jelas jauh lebih demokratik berbanding parti-parti lain di negara kita. Pemilihan UMNO baru baru ini telah menyaksikan majoriti kepimpinan berubah. Cuma beberapa sosok yang rakyat masih berpersepsi negatif akibat kesan daripada ‘regim’ lama masih kelihatan termasuklah Presiden. 

4. Namun, demokrasi telah berjalan dengan baik. Jelas terbukti bahawa setiap wakil akar umbi yang terpilih secara demokrasi berjumlah 167,000 orang diberi ruang terbuka untuk mengundi pemimpin pilihan masing-masing secara bebas pada pemilihan parti. Kita mestilah memberi peluang dan ruang pada Presiden baru UMNO mencorak perubahan yang diidamkan bukan saja oleh saya selaku ahli UMNO tetapi juga rakyat yang mesti merasa dan melihat perubahan itu jika kita mahu rakyat kembali meyakini semula UMNO. 


5. Namun begitu, saya berpandangan bahawa perubahan secara menyeluruh yang diperlukan sebenarnya adalah melibatkan budaya dan 'attitude' (sikap) kepimpinan dan ahli parti kita, termasuk diri saya sendiri.

6. Saranan saya yang pertama adalah sikap dan mentaliti kita menerima bahawa kita bukan lagi kerajaan. Kepimpinan mesti menerima bahawa kita adalah pembangkang dan ‘move on’ dan peranan dan halatuju kita mestilah menjadi lebih berwibawa membawa suara rakyat. Ini kerana rakyat pilih kita menjadi pembangkang ini juga adalah satu mandat yang mesti kita pikul. Bagi saya, fokus kita perlu jelas. Usahlah lagi berusaha mahupun berharap bahawa kita akan kembali menjadi kerajaan tanpa pilihan raya, iaitu melalui ‘politic dealings’ pintu  belakang. Saya percaya jika ini berlaku ia tidak akan diterima rakyat dan pastinya impak negatifnya akan terus di terima UMNO. Kita akan dipersalahkan menidakan kuasa rakyat memilih.

Soal perjuangan kita, saya percaya rakyat terutamanya orang Melayu tidak pernah menolak Iaitu mengangkat dan mempertahankan martabat Agama, Bangsa dan Negara. Soal rasis sebenarnya tidak patut ditimbulkan sebab inilah perlembagaan negara kita. Islam adalah agama persekutuan, Melayu itu bangsa yang beragama Islam, dan negara ini adalah sebuah negara Islam. Memperjuangkan agenda kepentingan agama dan bangsa walau apa jua kos atau harganya mestilah diteruskan.

7. Keduanya, kita seluruh ahli UMNO di segenap peringkat perlu kembali merapatkan saf, tidak perlu bergolak sesama sendiri. Islam mewajibkan kita wajib bersatu dalam erti kata sebenarnya dan berupaya menyanggah musuh agama dan bangsa dengan satu suara.

8. Ketiga, sikap segelintir pemimpin dan ahli perlu ikhlas berubah supaya membuang identiti elitis, bersikap sombong atau susah didekati. Sebaliknya, kita semua wajar menjadi 'lebih biasa' daripada orang biasa.


9. Keempat, kita juga perlu memiliki sifat kesukarelaan yang tinggi dengan memberi sumbangan masa, tenaga, cadangan membina dan konsisten berjuang demi kepentingan agama dan bangsa, tanpa sebarang niat untuk kepentingan diri. Kita mesti sedar bahawa ramai di antara ahli kita kurang lagi kualiti ini. Soal nilai dan kepentingan imbuhan menjadi perkara pokok ahli kita sebelum ini. Kini tibalah masanya untuk kita kembali keperjuangan asal kita. Kesukarelawan kita yang pernah wujud 72 tahun dahulu bergolok gadai demi kelangsungan parti umat Melayu ini.

10. Selain itu, kita perlu terapkan dalam diri bahawa menyertai parti keramat bangsa ini tidak sesekali mengharapkan sebarang imbuhan, 'memeras ufti', mahukan projek tertentu daripada sesiapa. UMNO adalah parti politik, bukan ruang berniaga untuk keuntungan diri.

11. Pimpinan dan ahli UMNO perlu menjadi ikon atau role model masyarakat. Kita seharusnya meneruskan tradisi sebagai sebuah parti yang boleh diharap masyarakat dan diyakini menjadi jurubicara isu rakyat, memimpin gerakan massa dan bangkit segera apabila timbulnya perkara mudarat kepada ummah.

12. Bercakap memang mudah, namun untuk melaksanakan saranan-saranan ini tidak semudah yang disangka. Namun begitu, sekiranya setiap kita memiliki jati diri yang teguh, keberanian tulen, semangat juang yang tinggi, saya yakin kita pasti bersedia untuk berdepan risiko menghadapi regim diktator yang terkenal zalim dan memeras sepertimana sekarang.


13. Paling mustahak dan utama, asas dan pegangan agama kepimpinan dan ahli UMNO mestilah teguh, persis kekuatan aqidah dan kekentalan daya juang para sahabat Nabi SAW. Jika kita memiliki kekuatan itu, mampukah mereka menghadapi jihad kita?

14. Dalam konteks inilah maka pentingnya amalan dalam konsep tarbiyah, program latihan atau tamrin kita laksanakan, selain penerapan intipati perjuangan politik Islam dan kebangsaan yang harus digauli lagi difahami di setiap peringkat.

15. Kita perlu sedar bahawa pilihan menyertai UMNO memberi erti diri kita menggalas satu tanggungjawab yang besar dengan membawa matlamat memenangkan perjuangan politik sebuah bangsa Bani Jawi agar kedaulatan negara kembali terpelihara.

16. Kita perlu pastikan supaya Institusi Raja-Raja Melayu, kedaulatan dan kemuliaannya kembali terpelihara. Lebih utama, kita perlu berjuang memastikan agar agama Allah kembali bersinar cemerlang dan tidak dinafikan pihak-pihak tertentu.


17. Menyertai UMNO bukan sekadar suka-suka atau hanya mahu menikmati jamuan makan percuma, pemberian topi atau t-shirt percuma mahupun dapat melancong percuma. Itu semua bukan asas perjuangan kita.

18. Akan tetapi, setiap yang 'membaiah' menyertai UMNO didepannya tersedia untuknya satu jawatan 'laskar' yang berjuang demi perjuangan yang mulia.  Jawatan itu menuntut kita untuk berkorban secara luhur, biarpun akhirnya darah dan airmata perlu ditumpahkan.

19. Saya yakin bahawa melalui 'total change' dan kesungguhan membawa perubahan nilai, sikap, budaya dan keutamaan pegangan ini, maka UMNO akan tetap kekal relevan menjadi pilihan dan ingatan setiap rakyat Malaysia yang berminda positif dan rasional.

20. Usahlah hanya mendesak perubahan UMNO jika diri kita sendiri tidak mahu berubah dan enggan menyedari atau mengakui kelemahan diri. Sebaliknya, kita perlu bersama dalam agenda perubahan ini demi masa depan perjuangan asal parti kita.


21. Bersempena hari kemerdekaan ke-61 ini, seharusnya kita menghayati segala pengorbanan, usaha dan perjuangan UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab memerdekakan Persekutuan Tanah Melayu ini daripada belenggu penjajahan ratusan tahun.

22. Dan kini, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang UMNO untuk memperteguh kembali jatidiri dan semangat nasionalisme anak bangsa sebagaimana perjuangan terdahulu menuju ke arah memerdekakan penjajahan ideologi baharu. Biarlah segalanya kerajaan PH hari ini berusaha memomokan kita, bertali arus berusaha memadam dan membunuh karektor kita. Satu sahaja yang sesiapa pun tak boleh nafikan adalah jasa UMNO memerdekakan negara bangsa ini! Inilah kebesaran UMNO yang mesti kita semat sebagai pembakar semangat agar kita bangkit dan kembali diyakini rakyat. Insyaallah kita bakal kembali sebgai kerajaan secara terhormat!

23. Ayuh kita mulakan dengan penyatuan umat Melayu. Allahu Akbar..! Allahu Akbar..! Allahu Akbar..! Merdeka..! Merdeka..! Merdeka..!

Salam kemerdekaan ke 61. Sayangi Malaysiaku. sayangi UMNO kita!


Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Tuesday, 21 August 2018

Tanah Kampung Baru 999 tahun;MB Perak Faizal Dato Azumu mesti dipertahankan!


Seperti yang kita maklum, DAP Perak tetap bertegas menuntut Kerajaan PH Negeri Perak berikan status hak milik tanah 999 tahun sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PH pada PRU ke-14 yang lalu.

Memetik desakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, dia mendakwa kuasa untuk meminda perkara tentang hal ehwal tanah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN).

"Saya merasakan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan di mana tanah-tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan Majlis Tanah Negara hanya memberikan nasihat, itu sahaja," begitulah katanya seperti yang dipetik daripada media arus perdana.

Namun begitu, saya tidak pasti sama ada Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu sedar atau tidak bahawa antara aspek perundangan yang harus diperhatikan adalah melibatkan Perlembagaan Persekutuan (PP) dan Kanun Tanah Negara (KTN). Isu-isu yang harus diperhatikan dalam tuntutan Nga dan 'bantahan' daripada MB Perak boleh dikategorikan seperti berikut:
(A) Adakah pemberian hak milik 999 tahun bercanggah dengan undang-undang; 
(B) Sama ada pemberian hak milik kekal bercanggah dengan Dasar Pembangunan Negara (DPN); 
(C) Kuasa dan peranan Majlis Tanah Negara (National Land Council)

Ayuh kita kupas satu persatu persoalan-persoalan di atas;

(A) Adakah pemberian hak milik 999 tahun bercanggah dengan undang-undang;

Untuk persoalan pertama ini, kita perlu merujuk kepada Perkara 91 PP yang menyebut bahawa;
91. National Land Council. (Federal Consitution) 
(1) There shall be a National Land Council consisting of a Minister as chairman, one representative from each of the States, who shall be appointed by the Ruler or Yang di-Pertua Negeri, and such number of representatives of the federal Government as that Government may appoint but, subject to Clause (5) of Article 95E, the number of representatives of the federal Government shall not exceed ten. 
(5) It shall be the duty of the National Land Council to formulate from time to time in consultation with the federal Government, the State Governments and the National Finance Council a national policy for the promotion and control of the utilization of land throughout the Federation for mining, agriculture, forestry or any other purpose, and for the administration of any laws relating there to; and the federal and State Governments shall follow the policy so formulated. 
(6) The federal Government or the Government of any State may consult the National Land Council in respect of any other matter relating to the utilization of land or in respect of any proposed legislation dealing with land or of the administration of any such law, and it shall be the duty of the National Land Council to advise that Government on any such matters.
Tafsiran Pekara 91 PP ini menjelaskan bahawa National Land Council (Majlis Tanah Negara) , diberikan hak untuk menasihati Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan berkenaan dengan perkara-perkara yang terkandung dalam Perkara 91 itu.

Memangkan diakui bahawa tidak terdapat mana-mana peruntukan dalam perkara tersebut yang menyatakan bahawa Kerajaan wajib menerima pakai nasihat tersebut, namun harus diketahui bahawa, Majlis Tanah Negara (MTN) adalah Majlis yang berhak menasihati Kerajaan. Tindakan memberi nasihat itu adalah selaras dengan undang-undang dan kepentingan Dasar Negara.


Selanjutnya, kita rujuk pula pada Seksyen 90A Kanun Tanah Negara yang berbunyi;
90A. Extension of land alienated for a term of years. (National Land Code) 
(1) The proprietor of any land alienated for a term of years may apply to the State Authority for the term to be extended. 
(2) The application shall be made before the expiry of the term specified in the document of title. 
(3) Upon receiving any application referred to in subsection (1), the Land Administrator shall endorse, or cause to be endorsed, a note on the register document of title to the land to which the note relates. 
(4) The State Authority shall not entertain any such application unless the State Authority is satisfied with respect to every person or body having a registered interest in the land, either that he has consented to the application or that his consent ought in the circumstances of the case to be dispensed with. 
(5) The approval or rejection of an application under subsection (1) shall be at the discretion of the State Authority, ... 
(9) Nothing in this section shall preclude the State Authority from considering the application together with any other application provided under this Act.

Hasil semakan dengan pihak MTN, Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baharu adalah seperti berikut;

i. Mesyuarat MTN ke-42 pada 8 Januari 1988 telah memutuskan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baharu telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun. 

ii. Berdasarkan Mesyuarat MTN ke-53 pada 25 April 1997, keputusan yang dibuat menetapkan bahawa tempoh pajakan atau "leasehold" bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Apa yang jelas, perkara-perkara yang diputuskan ini adalah selaras dengan undang-undang termaktub. 


Sebaliknya, keputusan untuk meneruskan cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-Kampung Baru seperti yang dituntut DAP itu adalah bercanggah dengan undang-undang sedia ada.

Sekiranya Nga dan DAP Perak tetap berdegil, saya menjangkakan bahawa ia akan mencetus komplikasi undang-undang yang (floodgate) yang tidak munasabah dalam tempoh masa yang panjang.

(B) Sama ada pemberian hak milik kekal bercanggah dengan dasar pembanggunan negara;

Isu kedua ini pula adalah berkenaan dengan pemberian hakmilik kekal. Pemberimilikan tanah dalam keadaan-keadaan khas untuk pegangan selama-lamanya di bawah seksyen 76(aa)(iii) Kanun Tanah Negara 1965. 

Tafsiran "special circumstances" atau keadaan-keadaan khas tidak diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara (KTN). Dalam hubungan ini, maksud "special circumstances" di bawah seksyen 76(aa)(iii) KTN bolehlah didefinisikan sebagai;
"the circumstances as distinguished from ordinary circumstances. It must be something exceptional in character, something that exceeds or excels in some way that which is usual or common" [Leong Poh Shee v Ng Kat Chong (1966) 1 MU 86].
Oleh itu, bagi tujuan penyeragaman amalan "special circumstances" tersebut, adalah wajar ianya dirujuk terlebih dahulu kepada MTN supaya amalan pemberimilikan tersebut tidaklah menjejaskan dasar keseragaman undang-undang. 

Tindakan merujuk kepada MTN itu adalah sejajar mengikut Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan, dan dipersetujui bersama menurut Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan.

Daripada perspektif Perlembagaan Persekutuan, keputusan MTN yang dibuat di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan adalah sebahagian daripada operasi perundangan yang mengikat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk mematuhinya. 

Dalam hubungan ini, jika Kerajaan-Kerajaan Negeri yang bertindak membelakangi keputusan MTN tersebut, maka tindakan itu boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.


Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-64 juga secara jelas mengambil maklum akan ketetapan dasar spesifik yang menegaskan tentang tempoh pegangan tanah bagi Kampung-Kampung Baru di seluruh negara seperti berikut:

(a) Mesyuarat MTN Ke-42 pada 8 Januari 1988 telah memutuskan bahawa tempoh pajakan (leasehold) bagi Kampung-Kampung Baru dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun; dan

(b) Mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 dengan menetapkan bahawa tempoh pajakan (leasehold) bagi Kampung-Kampung Baru tersebut hendaklah sekurang- kurangnya 60 tahun, tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Sebagaimana yang kita maklum, hasil utama Kerajaan Negeri ialah hasil daripada cukai tanah, hasil cukai kerajaan tempatan, bahan galian dan pembalakan. Walau bagaimanapun, tidak semua negeri mempunyai hasil dan keluasan tanah yang sama. Oleh itu, dari segi keseimbangan pendapatan, sesetengah negeri tidak mempunyai pendapatan yang stabil.

Penggubalan Kanun Tanah Negara 1965 merupakan satu contoh jelas yang menunjukkan Parlimen telah diberikan kuasa menggubal perundangan tentang hal ehwal tanah di bawah Fasal (4) Perkara 76 bagi mewujudkan keseragaman undang-undang dan polisi mengenai tanah. 

Sekiranya berlaku percanggahan antara Undang-Undang Persekutuan dan Negeri, Artikel 75 menyatakan bahawa undang-undang Persekutuan akan mengatasi dan undang-undang Negeri akan terbatal (setakat mana ianya bercanggah).

Sementara itu, perbezaan di antara Artikel 76(1)(b) dan artikel 76(4) yang terdahulu bersifat umum dan yang kemudiannya dikhususkan untuk tanah dan apa-apa yang boleh dianggap sebagai tanah.

(C) Kuasa dan Peranan Majlis Tanah Negara (MTN)

Kuasa dan peranan Majlis Tanah Negara terkandung dalam Perkara 91 PP yang menyebut antaranya ialah; 
i. Merancang suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh negara bagi tujuan perlombongan, pertanian, perhutanan atau sebagainya; dan  
ii. Mentadbir mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya.

Paling utama, Kerajaan Persekutuan dan Negeri diwajibkan untuk mengikuti dasar yang dipersetujui. 

Kerajaan Persekutuan atau Negeri boleh berunding tentang keputusan yang diputuskan MTN dengan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan penggunaan tanah, sebarang cadangan perundangan tanah atau pentadbiran perundangan. Namun begitu, MTN wajib untuk memberi nasihat kepada Kerajaan yang mengajukan cadangan atau perkara tersebut. 

Jadi, berdasarkan perspektif Perlembagaan Persekutuan, keputusan MTN yang dibuat adalah bertepatan di bawah Perkara 91(5) PP, yang merupakan sebahagian daripada kesan operasi perundangan yang mengikat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mematuhinya. 

Justeru itu, jika ada tindakan Kerajaan Negeri yang membelakangi keputusan MTN, maka tindakan tersebut boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, terdapat beberapa cubaan untuk membelakangi keputusan MTN di negara kita membabitkan kes seperti pemberian hak milik tanah kekal kepada tuan punya tanah di negeri Perak sewaktu kerajaan gabungan Pakatan Rakyat (PKR, DAP dan PAS) memerintah.

Perkara ini timbul semula apabila pemimpin DAP yang kini menjadi orang kepercayaan PM ke-7, kembali membangkitkan isu ini. Sebenarnya, situasi dan kesan-kesan tindakan ini telah pun diperjelas MTN dalam mesyuarat mereka pada tahun 2009. 


Adalah jelas bahawa kuasa yang diberikan kepada MTN untuk menggariskan Dasar Tanah Negara sudah pasti memberikan kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada hasil mahsul Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 

Oleh yang demikian, maka tindakan MB Perak yang enggan menerima desakan DAP itu adalah tepat dan wajar. Saya yakin bahawa tindakan beliau itu tiada sebarang perkaitan dengan sentimen perkauman,hak ketuanan Melayu dan sebagainya,  namun apa yang dituntut DAP itu jelas bercanggah dengan perundangan negara dan bersekali boleh juga diklasifikasikan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Syabas diucapkan kepada MB Perak walau secara politiknya di Perak beliau tidak mempunyai jumlah kerusi yang selesa tapi yang benar dan berhak tetap dipertahankan, Sebarang tekanan politik dari DAP perlu dihadapi dengan penuh penyatuan menjangkaui politik partisan. Saya amat berharap UMNO Perak menyokong MB Perak dalam isu ini kerana ini adalah soal berkepentingan negara, undang undang dan Perlembagaan. Saya harap DAP atau mana-mana pihak tidak sesekali mencabar kewibawaan perundangan negara atau cuba melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam soal ini. Jika mahu berusahalah untuk mengubah undang undang dan Perlembagaan tapi ianya tidak mudah tanpa berdepan dengan kebangkitan rakyat dan Umat. Jangan cuba cuba bermain api, kelak bakal membakar diri! 

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Thursday, 2 August 2018

Komunis Sudah Letak Senjata, Fadiah Hidupkan Kembali Ideologinya?


1. Kebebasan berfikir dan melontarkan pandangan kepada umum sewajarnya berteraskan fakta-fakta yang benar kesahihannya. Penghujahan berkredibiliti disusuli dengan bukti yang diiktiraf akan membentuk kredibiliti pandangan yang dilontarkan.

2. Pada pandangan saya, Fadiah Nadiah Fikri perlu kembali belajar semula sejarah negara ini seperti mana yang direkodkan oleh para pengkaji dan pakar-pakar sejarah, bukan hanya semata-mata melaungkan slogan dari benak fikirannya yang kecil itu sahaja. 

3. Pertama, sebelum ini dia sesuka hati menyerang institusi Raja-Raja Melayu, dan kini, kenyataannya semakin angkuh mempertahankan perjuangan berhaluan kiri berideologikan komunis yang dulu pernah melakukan onar melalui entiti Parti Komunis Malaya (PKM). 

4. Saya ingin bertanya, tiadakah anak muda ini punya perasaan? Sekurang-kurangnya tiada sekelumitkan rasa simpati terhadap pengorbanan pejuang-pejuang tanahair yang telah gugur di zaman sebelum merdeka dan selepas kita mencapai kemerdekaan negara? 

5. Sejarah telah merekodkan bahawa dalam usaha negara kita mencapai kemerdekaan, adakah anak muda ini terlupa pahlawan dan hero-hero kita yang gugur di medan perang demi agama, bangsa dan negara kita akibat dari kerakusan Komunis untuk mendapatkan kuasa di negara ini?


 Mari kita belajar sejarah 

6. Di sini mari kita kembali melihat pemahaman transkrip sejarah agar peguam muda yang kuat menyokong Pakatan Harapan (PH) ini dapat memahami apakah dan perbezaan diantara satu ideologi dan Parti Komunis Malaya(PKM).

7. Tahukah Fadiah bahawa ideologi komunis tidak pernah mengiktiraf kewujudan Tuhan? Sedangkan kita semua tahu bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam diiktiraf dunia dan tidak pernah menyekat mana-mana agama dipraktikkan di negara ini. 

8. Selain itu, ideologi komunis begitu sinonim mengunakan kekerasan untuk mencapai matlamat sedangkan mana-mana agama di negara kita ini jelas menolak sebarang bentuk keganasan. Sebaliknya, kita lebih menekankan kaedah perundingan berpandukan kemanusiaan, perlembagaan dan perundangan negara.

9. Komunisme juga tidak diterima oleh oleh kaum India dan atas sebab utama itulah kebanyakan ahli PKM dulu terdiri daripada kaum Cina yang mungkin terpengaruh dan menerima fahaman dari Negara Komunis China satu ketika dulu. Keadaan itulah yang telah menimbulkan pelbagai kecurigaan dari kaum dan etnik lain dalam negara ini.


10. PKM ditubuhkan di atas satu perjuangan dan matlamat untuk menubuhkan sebuah lagi negara Republik Komunis Malaya. Kaderisasi dan komrad yang setia telah dirancang serta didoktrinisasikan fahaman ini melalui pertubuhan buruh serata dunia. Bagi Komunis, mereka memperjuangkan hak hak buruh yang susah dan tertindas dan menolak sebarang kasta atau klas masyarakat. 

11. Pada Febuari 1948, beberapa orang wakil PKM telah hadir ke Persidangan Belia Komunis Asia di Culcutta India, yang mana jelas persidangan tersebut menggalakkan semua Parti Komunis di serata dunia untuk mengadakan pemberontakan bersenjata untuk mencapai matlamat mereka.

12. Dalam konteks Malaya ketika itu, maka jelas bahawa PKM ketika itu membawa perjuangan untuk merampas kuasa dari penjajahan British, dan melakukan penjajahan baharu dengan matlamat penubuhan Republik Komunis Malaya. 

14. Ini telah menyebabkan PKM, yang dipimpin oleh Chin Peng menubuhkan 'Malayan Races Liberation Army (MRLA)' di mana kebanyakan senjata pemberian British ketika mereka berjuang menentang Jepun sengaja disorok dan membentuk pasukan gerila bersenjata yang beroperasi serta bermaharajalela di dalam hutan negara kita.


15. Perlu diingat bahawa ketika Jepun menyerah kalah, MRLA ini sempat mengambil alih kuasa selama 14 hari sementara menunggu British kembali ke Malaya dan ketika itulah juga ramai rakyat di negara ini yang telah menjadi mangsa kekerasan dan keganasan komunis akibat tidak mengikuti kehendak PKM. 

16. Jelas, bukan? Sejarah telah memperlihatkan kekejaman PKM bertahun-tahun lamanya. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan Malaysia ditubuhkan pada 1963. 

17. Soalnya, apa yang PKM buat? Mereka membunuh, menyeksa dan merogol rakyat yang tidak bersalah, mengganas dan membunuh polis dan tentera yang membela masyarakat kita ketika itu. Apakah wajar mereka ini diberikan pengiktirafan sebagai 'pejuang kemerdekaan' sedangkan mereka hanyalah pengganas semata-mata?

Kekejaman PKM 

18. Pada sekitar tahun 70'an dan 80'an, PKM menggandakan aktiviti keganasan mereka dan sering bertempur dengan pasukan-pasukan keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara dan kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini.


19. Kumpulan mereka merancang untuk meletupkan Tugu Negara di Kuala Lumpur, menyerang hendap pihak polis di lapangan seperti mana yang kita semua ketahui apa yang berlaku dalam peristiwa Bukit Kepong. Ada banyak lagi siri-siri serangan keganasan di lokasi-lokasi hitam yang dilakukan PKM terhadap pasukan keselamatan dan orang awam.

20. Kemuncaknya mereka berjaya membunuh Ketua Polis Negeri Perak dan juga Ketua Polis Negara ketika itu! Apakah tindakan-tindakan seperti itu menggambarkan PKM sebagai 'pejuang kemerdekaan' negara?

Idea dan sentimen yang salah 

21. Dalam dua dekad seterusnya, PKM menjalankan propaganda mereka dengan meracun pemikiran masyarakan dengan laungan terma 'Perlembagaan Rakyat Untuk Malaya' dan menyokong gerakan 'kesamarataan rakyat untuk negara bangsa'. 


22. Manifesto ini bermaksud mereka tidak mengiktiraf bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini adalah bangsa teras seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang kepada prinsip bahawa semua bangsa dan etnik sepatutnya dilayan sama rata. 

23. Malah PKM juga telah menolak Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara dan menuntut agar 3 bahasa utama negara ini sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Ideologi dan sentimen seperti itu yang Fadiah perjuangkan?

Pengganas yang Kalah 

24. Chin Peng menyebut didalam bukunya iaitu ‘My Side of History (2003)’ bahawa PKM telah mengubah dan mengurangkan gerakan gerila mereka di sempadan Thailand dan kerajaan telah mengisytiharkan pengakhiran darurat apabila semua kawasan dalam negara diisytiharkan 'putih'. Akhir mereka mengaku 'kalah' dan meletak senjata pada 1989. 

25. Oleh yang demikian, pada 2 Disember 1989, PKM bersetuju dan menandatangi perjanjian gencatan senjata dan keamanan dengan Kerajaan Malaysia dan juga Tentera Selatan Thai. Manakala di Sarawak juga telah pada 1990, tindakan pro-aktif pasukan keselamatan negara telah berjaya memaksa unit gerila komunis yang dikenali sebagai NKCP juga meletakan senjata.

26. Justeru itu, setelah ribuan mereka yang tidak berdosa gugur dan diperlakukan kejam oleh PKM ketika mereka galak memperjuangkan tuntutan mereka adakah kita sebagai Rakyat Malaysia perlukan sebuah lagi PKM??

27. Kenyataan atau forum yang dianjurkan untuk mengangkat kembali perjuangan mereka merupakan sesuatu yang langsun tidak boleh diterima. Adakah Fadiah Fikri seorang penyimpati perjuangan Komunis? atau dia sebenarnya seorang yang berfahaman komunis?? 


28. Saya harap pihak PDRM bertindak pantas terhadap Fadiah dan kumpulan mereka kerana secara jelas ada usaha dari mereka untuk meracuni fikiran rakyat dengan ideologi songsang, terutamanya generasi muda yang mungkin tidak celik tentang sejarah melalui forum forum terbuka atas nama hak kebebasan bersuara. 

29. Mempertikai dan menggugat kedudukan institusi Raja-Raja Melayu dan menyarankan untuk menghapuskan institusi DiRaja yang menjadi syarat pembentukan kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan itu sama sekali tidak masuk akal. Faktanya, Raja-Raja Melayu adalah payung negara, sebaliknya puak komunis hanya layak dinobatkan sebagai pengganas dan pengkhianat negara.

30. Malah memperjuangkan komunis dan ideologinya di Malaysia juga merupakan satu tindakan melampau dan mencetus curiga kepada kita tentang 'siapakah sebenarnya' yang berada di belakang kumpulan ini??

31. Bersempena Ogos, bulan kemerdekaan ini, saya dengan seikhlas hati menyeru kepada rakyat di seluruh negara, semua anggota Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia terutama di Kedah dan UMNO Bahagian Alor Setar supaya memperteguh kembali jati diri kita. Dirgahayu Negaraku, Allahu Akhbar!

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman