1. Gegak gempita negara sejak beberapa bulan yang lalu dek kerana calitan persepsi yang salah berhubung RUU, Akta 355, Akta Mahkamah Syariah, yang pindaanya diusulkan oleh MP Marang menerusi usul persendirian di Parlimen pada November 2016 yang lalu.
2. Lebih menarik, isu ini yang ruang lingkupnya hanya melibatkan umat Islam, tiba-tiba turut mengundang campurtangan bukan Islam, termasuk DAP, dan sekutunya yang beragama Islam yakni Tun Mahathir . Turut ghairah menentang ialah pendokong aliran pluralism dan LGBT.
3. Apakah RUU, Akta 355 ini?. Mudah-mudahan penjelasan ringkas dapat menghurai kekaburan yang menyelimuti.
4. Akta ini mula dikanunkan pada tahun 1965 dan dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Hukuman yang tersenarai dalam akta ini meliputi:
a. Boleh membicara dan menghukum dengan hukuman penjara atau denda ke atas orang Islam sahaja
b. Denda tidak melebihi RM1000.00 sahaja atau
c. 6 bulan penjara atau
d. Gabungan kedua-duanya (denda dan penjara)
5. Pindaan yang pertama dilaksanakan pada tahun 1984 [yang dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984], Bertujuan: Untuk meluaskan lagi kuasa menghukum Mahkamah Syariah sepertimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia 1984 dengan pindaan adalah seperti berikut:
a. Boleh membicara dan menghukum dengan hukuman penjara atau denda ke atas orang Islam sahaja
b. Denda tidak melebihi RM5000.00 sahaja atau
c. 3 tahun penjara atau
d. Sebatan tidak melebihi daripada 6 kali sebatan atau
e. Gabungan ketiga-tiganya (denda, penjara dan rotan)
6. Selaras dengan perkembangan semasa dan tuntutan keperluan kesan dinamiknya sifat undang-undang, maka Akta ini dipinda lagi pada tahun 1989 untuk diluaskan ke Sabah dan Sarawak – (dinamakan sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan dan Perluasan) 1989].
7. Pindaan terakhir berlaku pada tahun 1997, tetapi pada tafsiran sahaja, dan ia digelar Akta Tafsiran (Pindaan) 1997. Kesemua pindaan bermula tahun 1984, 1989 dan 1997 diusulkan oleh pihak kerajaan.
8. Cadangan pindaaan ini berasaskan perlembagaan, tidak bercanggah dengan perlembagaan. Yang utamanya tidak melibatkan orang bukan Islam. Jika bercanggah dengan perlembagaan, kenapa akta ini tidak dicabar dari dahulu lagi? Kenapa tun M tidak memansuhkan?
Kenapa DAP tidak cabar dari dahulu lagi? Seawal 1965? Dan pindaan tahun 1984 1989 dan 1997?
9. Pindaan ini adalah bertujuan untuk meminda Seksyen 2 dengan memasuk tambahan seksyen 2A bagi menggantikan dan menambahkan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas umat Islam dan dalam hal-hal kesalahan di dalam perkara yang disenaraikan di butiran 1 Senarai Negeri, mengikut jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
10. Tun M juga mengetahui hal ini setelah berada lebih 2 dekad di Parlimen.Jika pindaan Akta 355 ini diluluskan di Parlimen, ia tidak meningkatkan kadar hukuman secara automatik, sebaliknya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap negeri perlu meluluskan had hukuman bagi setiap kesalahan di peringkat negeri terlebih dahulu.Peluang untuk berbahas mengenai kadar hukuman yang munasabah masih terbuka di peringkat DUN. Pada masa ini, kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri tertakluk kepada negeri masing-masing.
Untuk rekod dan makluman umum, Akta 355 perlu dipinda. Yang memusykilkan, banyak hukuman di bawah Kanun Keseksaan dalam kesalahan jenayah yang lain telah dipinda serta dipertingkatkan berulang kali dan ada jua pindaan yang dilihat aggressive dan berat, tetapi tiada bantahan seurat dari mana mana golongan masyarakat.
11. Akta ini juga tidak mempunyai bidangkuasa ke atas bukan Islam dan Mahkamah Shariah juga tidak mempunyai bidangkuasa ke atas bukan Islam. Hatta, orang bukan Islam tidak perlu khuathir,bimbang dan gusar kerana pindaan RUU355 tidak melibatkan orang bukan Islam.
12. Sejarahnya, Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa hanya atas orang Islam dan kekal hingga kini. Di peringkat Persekutuan, atas inisiatif Almarhum Tan Sri Datuk Profesor Ahmad Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim(semasa itu masih ahli UMNO dan bersama Tun Mahathir), dikemukakan peruntukan Perlembagaan Perkara 121 (1A) bagi mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah tanpa menjejaskan hak bukan Islam merujuk kes ke mahkamah sivil. Perlu dijelaskan bahawa rang undang-undang tersebut telah dibincang oleh Badan Perunding Islam, Pusat Islam dan kabinet.
13. Seterusnya,objektif hukuman Islam iaitu untuk pencegahan jenayah, tidak boleh dihargai jika kuasa menghukum yang diberikan kepada Mahkamah Syariah tidak memenuhi kualiti dan kuantiti yang diperlukan. Hukuman sebat mengikut undang-undang syariah dalam pandangan ulama tidak sekuat sebatan dalam peraturan konvensional atau undang-undang sivil. Adalah tidak dinafikan, sebatan syariah jauh lebih ringan kesannya yang mana sehingga kini kita boleh lihat prosedur sebatan ini dalam peruntukan undang-undang prosedur jenayah syariah. Ini dapat dilihat berdasarkan peruntukan Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Peruntukan sama dapat dilihat dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Kelantan) 2002.Seksyen 125 Akta/Enakmen Prosedur Jenayah Syariah menjelaskan peruntukan seksyen ini dan Seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya.
Maka, alat sebatan Syariah jauh lebih kecil dari undang undang Jenayah kotemporari.
14. Tun Mahathir sendiri membenarkan lulusan pindaan RUU 355 sebelum ini, kenapa sekarang membangkang dan mewbangkitkan isu dua sistem perundangan. Ini agak mengelirukan sedangkan beliau sendiri adalah PM semasa pindaan itu dibuat.
15. Bezanya, pada tahun 2016, pindaan RUU, Akta 355 dibawa secara usul persendirian oleh yang berhormat anggota parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertujuan untuk meluaskan lagi bidang kuasa hukuman yang dibenarkan oleh Mahkamah Syariah, kecuali hukuman mati.
16. Ditinjau secara holistik, sepatutnya Akta ini tidaklah menimbulkan apa-apa kontroversi. Lima sebab menyokong penyataan ini.
a. Bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya melibatkan pesalah di kalangan umat Islam.
b. Pindaan Akta ini hanya menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan sama sekali tidak mencampuri sistem Mahkamah Sivil yang ketertinggiannya dalam Perlembagaan diakui.
c. Pindaan rang undang-undang adalah selaras dengan sifat undang-undang yang harus disesuaikan dengan keperluan semasa. Dalam kes ini, penambahan hukuman bertujuan mencegah umat Islam dari melakukan kesalahan jenayah syariah.
d. Sudah 3 kali pindaan dilakukan ke atas Akta ini, namun tiada sebarang bantahan, namun kini ianya seolah-olah satu malapetakan besar walhal secara spesifik ia hanya meliputi perimeter untuk orang Islam.
e. Pindaan Rang Undang-Undang ini tidak membawa implikasi pelaksanaan Hudud di Malaysia ataupun status negara menuju ke arah teologi state atau Negara ala Taliban.
17. Lantas, pada kali ini, timbul dua persoalan besar berhubung RUU, Akta 355. Kenapa ianya ditolak habis-habisan oleh umat Islam sendiri terutama pihak yang bergabung dalam Pakatan Pembangkang yang didominasi DAP?.
18. Persoalan kedua, kenapa Himpunan Solidariti di Padang Merbok melibatkan seramai 50 ribu umat Islam diadakan tanggal 19 Febuari walhal venue yang sesuai adalah mengusul, membahas dan meluluskan Rang Undang Undang ini melalui Parlimen.
19. Jawapan kepada persoalan pertama cukup mudah. Pindaan kali ini ditentang habis habisan kerana soal kepentingan ummah ini buat pertama kalinya telah mempertalikan semula hubungan seagama antara UMNO dan PAS. Apabila jalinan ini berlaku, maka melolonglah parti pembangkang yang lain kerana khuatir berlakunya gabungan antara UMNO dan PAS, sekaligus memuncakkan solidariti 16 juta umat Islam seluruh negara.
20. Jawapan kepada persoalan ke-2 juga mudah jawapannya. DS Hadi Awang dan ramai lagi MP yang berhimpun termasuk dari UMNO dan NGO memahami proses dan SOP untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang. Cumanya himpunan berkenaan diadakan bagi membuktikan, umat Islam dan orang Islam di negara ini masih punyai suara disebalik keghairahan DAP menjadi pencatur dan dominan di kalangan rakan-rakan pembangkang untuk menguasai negara dan melonjakkan gagasan negara Republiknya. Sebuah konsep negara yang sama sekali akan meluputkan status Islam selaku agama Persekutuan, kemuliaan Raja raja sebagai ketua Agama, dan sekaligus melemahkan syiar dan syariat Islam yang selama ini dijulang dan ditatang oleh kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO.
21. Inilah intention sebenar kenapa sebahagian pemimpin Islam yang kini menjadi alat, kuda tunggangan DAP beria-ria menentang pindaan Akta ini. Seorang Islam sejati yang leluhur pastinya akan membela agamanya, bukan meruntuh agamanya dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal.
22. Biarlah solidariti Himpunan Ummah RUU355 tanggal 19 Febuari lalu menjadi titik tolak kebangkitan ummah yang sebenar. Kita sekadar mahu memartabat agama kita, dalam ruanglingkup saudara seagama kita, dan sama sekali tidak pernah menyentuh urusan agama lain. Kita hanya melaksanakan usaha dan tindakan sejajar dengan peruntukkan Artikel 3, Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam selaku Agama Persekutuan.
23. Nyatalah, yang dilakukan penentangan adalah mereka yang telah melanggari semangat Perlembagaan, dan tindakan rasis kerana cuba mencampuri urusan agama kita,perihal umat kita, padahal selama ini kita tidak pernah mengusik barang sedikitpun jua hak beragama, budaya dan adat resam masyarakat yang lain.
#supportRUU355