Sunday, 20 November 2016

BAJET KEDAH 2017: From Zero To Hero!!!


1. Beliau berjasa mengembalikan penguasaan UMNO dan BN di Kedah, namun beliau tidak dilantik menjadi Menteri Besar. Beliau tidak merajuk, keluar parti, lompat atau menubuhkan parti baru, sebaliknya beliau redha dengan segala ketentuan Allah SWT. Beliau tetap setia bersama UMNO.

2. Alhamdulillah, Allah membalas kesabaran beliau itu apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri selepas menjayakan tugas getir sepanjang 5 tahun di bawah PAS. Biarpun sering sibuk di ibu negara, beliau tidak pernah melupakan Kedah dan tanggungjawab politik beliau di Dun Bakar Bata.

3. Naratifnya berubah 100% apabila tiba Febuari 2016. Tiba-tiba, aksi menyantuni rakyat kian nampak meriah. Biar dihina dan dipandang serong, bermula 9 April, seramai 20,000 ketua isi rumah diberi bantuan skim Barakah.


4. Menjelang Ramadhan 2016 pula, 12,000 'the unsung heroes' melibatkan bidan kampung, jurumandi mayat bomoh patah, pula didekati dan diberi pengiktirafan melalui insentif khas.

5. Mei 2016, sebanyak RM2 juta biaya pentadbiran, dana pelajar Sekolah Agama Rakyat dan 10 institusi pondok termasuk Maahad Tahfiz disalurkan buat menggilap modal insan.

6. 22 Mei 2016, Amanat 100 hari dimaktubkan untuk menyusun kembali asas pembangunan negeri Kedah. Itulah kelebihan seorang 'otai', Ahmad Bashah biar ditohmah lulusan SRP, tapi tindakan dan rekayasa dasarnya mencanak untuk serata negeri. Anak jati Kedah itu tahu apa yang rakyat perlu di Kedah.


7. Satu persatu program kemudiannya dilaksana. 4 Jun 600 pelajar miskin seluruh Kedah mula diberi tiusyen percuma melalui TABAH (Tusiyen Barakah Kedah). Pendekatan ini bukan saja memanfaatkan para pelajar di Kedah, malah turut mendapat pujian dari kalangan warga pendidik di seluruh negeri.

8. Kursus kahwin percuma seluruh negeri untuk anak muda pula dijalankan sejak Julai dan berakhir September 2016. Jelajah Muafakat Mahasiswa Anak Kedah diperluaskan beserta insentif pengurusan persatuan RM3,000 dan sehingga Oktober 10 buah universiti dijelajahi.

9. Banyak NGO turut didekati, muafakat bersama pimpinan parti seluruh bahagian juga dijana. Dari sudut golongan belia pula, demi melatih aspek kepimpinan, sebanyak 181 buah persatuan telah diberikan imbuhan. Bermula 5 Oktober pula skim latihan IMAN untuk melatih pentadbir masa depan dari kalangan mahasiswa cemerlang negeri Kedah diwujudkan.


10. Sementara itu, dasar dan pentadbiran negeri dikasualkan. Produktiviti ditingkat, urusniaga dimudahkan, semuanya melalui program dan sinergi Muafakat. Bermula Febuari sehingga Oktober 2016, RM674 juta pelaburan masuk ke Kedah. 49 buah kilang baru kini beroperasi di 7 buah lokasi sediakan 1676 peluang pekerjaan. Program usahaniaga, latihan dan skim bantuan kredit pula dipelopori mulai Mac 2016. Hasilnya 271 usahawan muda dan penjaja kecil dibantu dengan dana RM3 juta.

11. Ekonomi negeri tumbuh sebanyak 4.5%, pendapatan hasil negeri naik 2%. Perbelanjaan berhemah  diutamakan, Ahmad Bashah jarang keluar dari Kedah, berlegar di seluruh pelosok negeri. Mungkin latar belakang beliau yang asalnya dari rakyat marhain, beliau bersederhana dan realistik dalam sebarang tindakan, namun impak dan manfaat untuk rakyat begitu besar sekali dirasai.

12. Sepanjang 2016 pula, meski diboo, di padang bola, Ahmad Bashah menanam azam, dengan suntikan RM2 juta sebulan, kebajikan pemain dijaga dan kejayaan menarik penaja baru BDB bagi perkongsian strategik dengan KFA. Maka 30 Oktober di Shah Alam, Lang Merah melakar sejarah menjulang Piala Malaysia kali ke -5.


13. Aktiviti sukan terus disuburkan kerana memahami minat anak muda. 4 November, Futsal terbuka Piala MB dianjurkan dengan 380 penyertaan pasukan seluruh negara. 12 November pula dengan biaya RM100 ribu, kerajaan Negeri mebantu 83 pasangan Melayu dan 6 pasangan bukan Melayu dalam program Walimatulurus PERDANA. Belanja resepsi, ikatan perkahwinan dan akad nikah percuma. 

14. Dan usaha itu tidak terhenti penat sekadar disitu. Ahmad Bashah yang dikatakan 'enjin lama', tiba-tiba terus menyuntik elemen segar untuk pentadbiran, dan penuhi aspirasi rakyat Kedah. Paling terkesan dan mendapat manfaat adalah golongan rakyat bawahan.

15. Pada 13 November, hari bersejarah dalam pembentangan bajet Bashah selaku MB mendedahkan segala. Bajet realistik, inklusif dan boleh dicapai dengan tunjangnya menyantuni keperluan rakyat yang sebenar.


• Pertama, RM96 juta disalur bagi naiktaraf dan biaya infrastruktur jalan, jambatan, tebatan banjir seluruh negeri

• Kedua, kepedulian pada masjid, maahad tahfiz, naik taraf maktab Mahmud, sistem wifi di Masjid, surau, dan sumbangan sekolah agama seluruh Kedah diperuntukkan hampir RM13 juta.

• Biaya untuk anak muda termasuk pinjam-niaga, sukan, dan keperluan latihan hampir RM6 juta.


• Bilangan murid untuk tusiyen Barakah Kedah dari 600 ditambah ke 1000, 300 tempat lagi untuk pelajar STPM dan STAM.

• Tempat bagi internship IMAN, diberikan 100 peluang berbanding 25 mahasiswa sebelum ini.

• Biaya infrastruktur untuk tangani isu bekalan air naik sekali ganda dari RM88 juta kepada RM182 juta! Dua kali ganda? Jelas beliau benar-benar serius mahu menamatkan sengsara rakyat Kedah yang menghadapi masalah bekalan air sejak puluhan tahun sebelum ini secara holistik!


• Insentif khas pada kakitangan awam negeri seramai 6090 orang libatkan RM3 juta. Bonus bentuk lain juga disediakan berdasarkan produktiviti kutipan hasil setiap jabatan

• Membangun petani muda, kemudahan untuk menternak madu kelulut, aktif dalam industri asas tani, skim penanaman cendawan, sayuran, buah-buahan, ternakan dan ungas dibekalkan RM14 juta.

• Pusat penjaja kecil dan medan selera, 6 buah dibangunkan yang baru melibatkan peruntukkan RM4 juta.


• Program BARAKAH, melibatkan 5 komponen untuk memenuhi keperluan kebajikan kelompok B40 dibiayai sejumlah RM10 juta

• Jangan dilupa, Stadium Darul Aman dan beberapa fasiliti sukan bakal dinaiktaraf. Musim depan, insyaAllah segalanya berwajah baharu dengan sentuhan RM12.4 juta. Lampu limpah di stadium keramat Kedah akan kembali terang benderang selepas ini.

• Jom Ke Kedah 2017, tempat pelancong, ruang niaga dikawasan pelancongan dan hampir 200 aktiviti dan program pelancongan untuk tahun depan, disediakan dana RM11.2 juta. Difahamkan Pesta atau Funfair Kedah sepertimana era 80-an dan 90 an yang jadi tarikan masyarakat setempat akan diadakan kembali. Rupanya tahun ini sahaja 3.35 juta pelancong datang ke Kedah menjana sumbangan perbelanjaan hampir RM400 juta.


• Jurang IT antara bandar dan luar bandar dikecilkan, bermakna lebih banyak free Kedah wifi diwujudkan. Menara komunikasi juga diperbanyakkan.

• Usahawan muda online, usahawan kecil bergerak, usahawan tani, 2000 anak muda dilatih dan dibangun serta diberi modal awalan.

• Paling menarik KUIN dinaiktaraf menjadi universiti penuh 2017, tahun 2013 hampir dijual, kini Kedah gah memiliki universiti awamnya yang tersendiri, milik kerajaan Negeri.

• Hutang pembinaan KUIN yang dibuat era PAS mentadbir dengan bayaran balik dan selenggaran RM67 juta setahun, hasil muafakat yang murni antara Bashah dan Kerajaan Persekutuan kini hutang berkenaan diambilalih Kerajaan Federal dan bayaran balik hanyalah RM19.6 juta.

• Sistem penyampaian khidmat kerajaan juga diperkukuh dengan gabungan pejabat tanah dan daerah dibawah satu bumbung selain peluasan fungsi pejabat daerah JKR yang kini sudah ada di kesemua daerah di Kedah.


• Menariknya lagi, Kedah menjadi pelopor pertama pendidikan Maahad Tahfiz Moden melalui pembinaan Mahad Tahfiz Sains Darul Aman di Kulim.

16. Ironinya, terlalu banyak untuk disingkap disini. Rupanya juga selama 3 tahun yang lalu banyak segmen dan aspek pembangunan di Kedah. Kita tidak menabur janji bulan dan bintang, tapi pendekatan yang diterajui Ahmad Bashah cukup realistik, mencakupi semua keperluan dan kebajikan rakyat, serta diyakini akan dapat direalisasikan dengan baik.

17. Benarlah telahan ramai pemerhati, 'otai' dan sentuhan pengalamannya cukup mengena dan berbisa. Dan benarlah ungkapan pantun akhir pada sesi bajet 2017 yang dilafazkan Ahmad Bashah:

WIRA MERGONG MENUJU SHAH ALAM
MELIHAT KEDAH MENJULANG PIALA
BAJET MUAFAKAT MENYULUH YANG KELAM
MENDAYA NEGERI, RAKYAT TERBELA….

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.