Friday, 26 August 2016

MEMELIHARA KESTABILAN EKONOMI BANGSA, MENJAGA KEDAULATAN POLITIK NEGARA



USUL EKONOMI & POLITIK
MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN ALOR SETAR 2016


PENCADANG USUL:
  1. Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Al-Mashri
Cawangan Lubuk Peringgi
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian

    1. LATARBELAKANG


    1. Berdasarkan tassawur Islam, ekonomi umat dijana supaya dakwah ISLAM dan negara ISLAM MADINAH dapat berdiri dengan kukuh. Ibadat dalam Islam juga menunjukkan, selepas mendirikan solat anda perlu menunaikan zakat. Apabila beroleh rezeki dan nikmat anda perlu agihkannya untuk masyarakat, baik dalam bentuk infak, sedekah, jariah.

    1. Justifikasinya untuk memelihara kemaslahatan ummah, dan mengelakkan dharurah.

2.0    USUL CADANGAN
2.1    Lantas, menginsafi dan memahami hakikat ini, saya Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri, wakil Cawangan Lubuk Peringgi, mencadangkan perdebatan usul berikut untuk dibahas seterusnya dipersetujui dengan sebulat suara oleh sidang perwakilan. Usul dicadang berbunyi:
“MENJAGA KEDAULATAN EKONOMI BANGSA, MEMELIHARA KESTABILAN POLITIK NEGARA”


MENJAGA KEDAULATAN EKONOMI BANGSA
Justifikasinya bersandarkan perincian berikut:
2.1 Bangsa Melayu, Bumiputera mewakili 67% dari komposisi penduduk negara. Kadar kemiskinan tertinggi juga adalah dari kalangan Melayu dan Bumiputera.
2.2 Dalam masa yang sama, 80% kekayaan ekonomi negara dikuasai oleh 10% kelompok pengusaha dan peniaga kapitalis.
2.3 10% kek ekonomi negara pula kini direbut oleh pendatang asing yang dengan mudah menjadi pengusaha, pemodal dan peniaga yang kaya raya.
2.4  Bermakna hanya 10% kekayaan negara yang tinggal untuk dikongsi oleh 67% bangsa Melayu dan Bumiputera.
2.5 Ini menimbulkan ketidakadilan sosial, ketidakseimbangan agihan kekayaan yang memungkinkan mudarat dan boleh mencetus ketidakstabilan hubungan antara kaum.
Maka menyedari keluh kesah bangsa ini, supaya BUMI DIPIJAK BUKAN MILIKNYA ORANG selain tidak terus meletakkan bangsa ini selaku hamba di bumi sendiri, maka saya mengusulkan perkara berikut untuk dikuatkuasakan dengan segera:
Pertama, MENGUATKUASAKAN aturan yang tegas agar orang asing, pendatang tanpa izin, pekerja asing tidak dengan mudah diberi kebenaran menyewa, membuka premis niaga dengan sewenangnya.
KEDUA, menerusi   sikap   berintegriti   serta   bersungguh   pucuk pimpinan parti yang menakhoda kerajaan; digesa menghadkan pengambilan buruh asing,   mengutamakan   periuk   nasi   dan   peluang   ekonomi   warga Bumiputera   tempatan.   Agar   pisang   tidak   berbuah   dua   kali   kesan kemasukan   Imigran   ke   Tanah   Melayu   pada   kurun   ke-19   yang  kini menyaksikan   golongan   berkenaan   menguasai   80%   kekayaan ekonomi Negara, meskipun hanya mewakili  kelompok minoriti penduduk Negara
KETIGA, mendesak   UMNO   menerusi   wakilnya   yang   berada   di  dalam Jemaah   Menteri   agar   menggubal   model   perniagaan   bersifat   bitara, peluang   ekonomi   dan   agihan   kekayaan,   supaya   mencerminkan usaha meratakan kek ekonomi untuk dinikmati majoriti penduduk Melayu dan Bumiputera serta memastikan peruntukkan dalam Perlembagaan persekutuan diterjemah dalam tindakan dengan adanya keistimewaan bagi pemberian permit, lesen, saham niaga pada kaum Bumiputera dan Melayu yang layak mengikut merit dan bukan sepertimana amalan sebelum ini yang lebih mengutamakan kroni kapitalisme.
KEEMPAT, mengupayakan kembali MARA dan mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan agar disetiap daerah, bandar, atau bandaraya, pusat niaga komersial yang murah kadar sewanya, bantuan modal niaga, kursus dan latihan serta pasaran bagi produk Melayu Bumiputera mendapat tempat dalam pasaran utama negara.
KELIMA,  menyaran agar konsep  parti menguasai kerajaan yang pernah diterapkan   di   era   70-an   dan   80-an   dengan   keutamaan   kepada ahli,pejuang parti, pekerja parti diberi lebih ruang dan peluang dalam agihanekonomi,   pekerjaan,lesen   permit,   lot   niaga   komersial, pinjaman perniagaan, latihan, urustadbir korporat dan keusahawanan

MEMELIHARA KESTABILAN POLITIK NEGARA
Memahami bahawa keadilan agihan ekonomi menjadi penentu kestabilan politik negara, selain usaha untuk memastikan momentum itu dapat dipertahankan hanya menerusi kepimpinan UMNO selaku tonggak BARISAN NASIONAL maka justifikasi berikut harus diteliti:

2.1 3.3 juta ahli UMNO, 15 juta umat Melayu dan 30 juta rakyat Malaysia, sama ada secara langsung atau tidak, harus mengakui ruang lingkup kehidupan mereka yang kondusif dan dinikmati sehingga kini adalah kesan jasa UMNO.
2.2 Nikmat kemakmuran, kestabilan dan kerukunan hidup yang dirasai adalah natijah dari dasar-dasar pro rakyat yang dipraktiskan oleh UMNO bersama rakan muafakat BNnya.
2.3 Kelangsungan dan keutuhan Negara, perjalanan sistem pentadbiran yang cekap serta pengiktirafan dunia antarabangsa terhadap Negara bangsa Malaysia adalah impak dari kebolehan, track-record dan pembuktian pengalaman UMNO selaku tonggak kerajaan Barisan Nasional.
2.4  Cabaran dari pelbagai parti serpihan dan serangan bertalu-talu termasuk dari parti yang bakal ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir dan konconya tidak berdaya melemahkan UMNO, malah mengukuhkan lagi solidariti sesama ahli dan pimpinan. Berbekalkan prinsip bahawa meskipun UMNO bukanlah sempurna namun ianya lebih baik dan terbaik dari parti lain yang sedia ada, maka ketaatan pada parti wajib dikukuhkan. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi harus disuburkan.
Oleh itu, memahami realiti bahawa survival bangsa dan ketahanan Negara hanya boleh dilangsungkan menerusi kerajaan UMNO;
Menginsafi bahawa UMNO dan rakan BN nya adalah model permuafakatan politik yang serasi bagi kestabilan dan kesejahteraan ekonomi Negara,
Menyedari, nasib Melayu, Bumiputera dan bukan Bumi hanya boleh terbela kesan dasar pragmatik pentadbiran yang didokong oleh UMNO, serta;
Menekuni bahawa kesetiaan yang bulat pada UMNO selaku organisasi ulung wajar dipahatkan demi mewajahkan masa depan gemilang buat pewaris anak bangsa, dan;
Memperakui bahawa dasar-dasar UMNO selama ini adalah yang terbaik dan lebih baik dari parti-parti saingannya yang lain, maka ketetapan berikut perlu dibulatkan tekad, diambil,untuk memastikan KESTABILAN POLITIK NEGARA DAPAT DIPELIHARA. Maka saya wakil daripada cawangan Lubuk Peringgi mengusulkan ketetapan berikut;
PERTAMA, memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada organisasi UMNO, pucuk pimpinan YAB Perdana Menteri, dan YAB Menteri Besar selaku institusi nakhoda UMNO diperingkat pusat dan negeri.
KEDUA, dengan linangan darah dan cucuran air mata, penuh kudrat, keringat dan tenaga, UMNO wajib dipertahankan dengan apa juga cara, kerana UMNO sama sekali tidak pernah berdosa kepada kepentingan bangsa. Sebaliknya, tatkala UMNO hilang kuasa, saat itulah,sahsiah bangsa dan komuniti ini berdosa kepada masa depan dan legasi agama dan bangsanya sendiri.

KETIGA, menyemarakkan usaha terapan jatidiri, mengembleng muafakat sesama ahli dan komponen BN, supaya matlamat KERIS 2314 dapat disemarakkan   agar   dijadikan   landasan   perjuangan   di   kalangan pimpinan   dan   seluruh   ahli   untuk   membolehkan   UMNO   terus menjadi pilihan.
KEEMPAT, mengambil   tindakan   tegas   terhadap   musuh   dalam  selimut parti, agen subversif yang masih berada dalam parti,atau di dalam Negara yang bersekongkol dengan anasir dan kuasa luar dengan  membocorkan maklumat parti untuk manfaat parti lawan serta musuh negara. Golongan enau dalam belukar ini, rupa wajah mereka ibarat UMNO, namun roh dan perjuangan mereka berkiblat pada musuh UMNO. Jika elemen subversive dalam parti dan negara boleh disingkirkan, UMNO dan kerajaan Barisan Nasional   tidak   akan   lagi   disabotaj   dari   dalam   oleh   anai-anai   yang mereputkan   organisasi   secara   tikam   belakang,   sekaligus   dapat menyelamatkan perjuangan parti keramat ini,negara dan bangsa tercinta ini.

Akhir kalam, izinkan saya menukilkan sebuah sajak bilashahabudinberbicara untuk renungan bersama:
Tajuk nukilan sajak ialah :
‘Jangan Menjadi Melayu Mudah Lupa”
Dulu 22 tahun dipersada,
Kami taat, kami setia, kami julang siang dan malam
Maka..janganlah menjadi Melayu MUDAH LUPA.
Dulu..parti lawan serang silang menyilang
KAMI pertahan..kami setia..kami akur
Kerana prinsip dipegang..pantang Melayu menderhaka
Maka..janganlah menjadi Melayu Mudah Lupa
Dulu..krisis ekonomi bersama dihadapi..
Luka getir..keluh kesah bangsa dirawat bersama
Namun Kini..musuh tradisi diajak semeja,
dek nafsu amarah dan cita  cita
sanggup mengadai sahsiah bangsa..
Permainan apakah ini?..
Dulu..kata taat digembur..prinsip setia ditabur
Kami tunduk..patuh tanpa kabur…
Kerana faham..pemimpin itu parti..
Kuat Jemaah kerana berpadu
Kuat parti kerana bersatu..
Kini..parti dan prinsipnya dirobek..Nista dihambur
Hanya kerna dendam dan amarah dihati..
Janganlah..menjadi Melayu Mudah Lupa..
Negara ini kita kongsi bersama..
Pasak dengan linangan air mata..
Berkorban jiwa dan raga..
Kenapa perlu digadai masa depan cucu cicit..
Hanya bersebabkan cita-cita yang sedikit?..
kenapa berpaksikan amalan pecah dan perintah..
Bukankah itu jelmaan penjajah?
Akhirnya bangsa menjadi kembali lesu...
Akibat kita Alpa tinta sejarah kota Melaka...
Janganlah..menjadi Melayu Mudah Lupa..
Janganlah Menjadi Melayu Mudah Lupa..
Kembalilah bertaut pada aqidah yang satu..
Kiblat yang serupa..
Demi agama, bangsa dan juga perjuangan
Demi Memenangkan sebuah bangsa Merdeka…

Sekian, saya pohon mencadang
Wabillah hil taufik walhidayah wasalam mualaikum warahmatullah hiwabarakatuh
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Thursday, 25 August 2016

MEMOIR SIDANG DUN KEDAH 15Ogos - 18Ogos 2016; SATU RUMUSAN


1. Ringkasan dari Penggulungan SIDANG DUN oleh YAB DATO SERI MB KEDAH pada 18 OGOS 2016 dapat menyaksikan tiga persoalan pokok yang dibangkitkan oleh YB Air Hitam, Mukhriz Mahathir dijawab secara penuh berhikmah oleh Ahmad Bashah, namun sesuai dengan konsensus diambil oleh seluruh ADUN BN serta selari pula dengan peruntukkan diberi undang-undang Tubuh Kedah 1948.

2. Pelantikan jawatan Timbalan Menteri Besar bukan satu keperluan kerana tiga sebab. Pertamanya tidak diperuntukkan dalam undang-undang Tubuh Kedah. Kedua, konvensyen sebelum ini menggunapakai kekananan EXCO bagi mewakili MB, jika MB   tidak berupaya menjalankan tugasnya, selain tugas atau agihan tanggungjawab boleh turut  dipikul oleh  Setiausaha Politik. Ketiganya, 9 orang EXCO sedia ada dengan bantuan jentera pentadbiran kerajaan negeri dan dokongan agensi pusat membolehkan segala dasar yang dirancang dilaksana dengan baik tanpa sebarang masalah.


3. Demikian juga persoalan berkaitan penggantian Menteri Besar, ianya adalah hak ketua parti yang mempunyai kuasa mutlak melantik sesiapa yang dipercayai, memperolehi sokongan majoriti dari ahli DUN. 

4. Dalam kes di Kedah, disebabkan yang mengetuai kerajaan ialah parti Barisan Nasional, justeru kuasa melantik MB adalah hak mutlak YAB Dato Seri Mohd Najib, sehingga kini beliau terus selesa dan memberi lampu hijau kepada Ahmad Bashah untuk meneruskan tugas selaku MB. 


5. Oleh yang demikian pada pandangan saya, persoalan ditimbulkan Mukhriz dalam sidang DUN tempoh hari mempunyai dua motif. Pertama untuk menzahirkan rasa  dendam dan sifat tidak puas hatinya  kerana  beliau digugurkan selaku MB. Kedua bagi mewujudkan perpecahan dalam kalangan ADUN BN, memandangkan beliau kini sudah menganggotai parti baru yang BERSATU yang menjadi musuh UMNO dan BN.

6. Secara rangkuman keseluruhan selain isu politik melibatkan jawatan Menteri Besar,  Ahmad Bashah turut menekankan empat komponen teras dalam penggulungannya. Pertama,   terapan muafakat Kedah dalam pentadbirannya. Meliputi semua dimensi baik politik, ekonomi, sosial dan kemasyarakatan, kerana konsep ini adalah sebahagian dari amalan biasa yang menjadi pegangan di kalangan masyarakat. Oleh itu jika disebar luaskan mampu membantu Kedah untuk berjaya dalam segala lapangan. 


7. Aspek kedua adalah penekanan kepada isu prioriti yakni isu  bekalan air. Melalui   penubuhan pasukan task force air, 6 langkah jangka pendek sudah diambil, selain kerjasama   harmoni dengan kerajaan persekutuan sudah digerakkan bagi memenuhi dua maksud berikut. Langkah awalan dengan memperoleh kelulusan geran RM37 juta bagi bekalan air  luar bandar yang sudah pun diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan   Wilayah. 

8. Aspek kedua melibatkan rundingan bersama Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan program transformasi  menyeluruh bekalan air Kedah, dengan fasa   pertama RM547 juta telah dipohon oleh Kerajaan Negeri dan dipersetujui secara dasarnya oleh Kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah praktikal ini mampu merungkai secara total isu bekalan air di Kedah.


9. Aspek ketiga adalah sikap keterbukaan dan jiwa besar Ahmad Bashah yang melaksanakan   dasar bersifat inkluisf.Mahu melibatkan semua segmen, dan mengalu-alukan sebarang idea   dan cadangan tanpa mengira fahaman, ideology politik atau laterbelakang sosial bagi memacu kemakmuran negeri Kedah di masa hadapan. 

10. Antara bukti jelas ialah meneruskan projek ikonik melibatkan 6 teras projek yang diperkenalkan oleh Mukhriz Mahathir. Kini dengan upaya Ahmad Bashah melengkapkan rundingan, berusaha memeterai perjanjian, RM320 juta peruntukkan sudah diberikan bagi projek Kedah Rubber City di Padang Terap melibatkan kawasan seluas 1,500 hektar, RM70 juta tersedia untuk pembangunan Kedah Science and Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam. RM60 juta sudah tersedia bagi pengambilan tanah di Tebengau, Kuala Kedah untuk inisiatif awal projek terminal Ikan Bersepadu Kedah (KIFT), selain projek yang lain. Rasional diteruskan projek ini kerana ianya mempunyai kesan gandaan ekonomi yang besar kepada pertumbuhan dan kemajuan masyarakat setempat.


11. Aspek keempat, ialah tumpuan pembangunan modal insan menyedari setengah juta dari 2.1 juta   rakyat  Kedah terdiri dari Gen-Y.  Lantas usaha pembangunan sahsiah, kecemerlangan ilmu, jatidiri dan penyediaan masa depan ditumpukan. Dengan demikianlah kenapa Hab Maahad Tahfiz, Pondok Agama, hab Hafazan Al-Quran, keperluan Kedah menjadi negeri cemerlang dalam akademik dalam tempoh 3 tahun lagi disasarkan.  

12. Selain peluang  gilapan latihan modal insan, pengurusan, kepimpinan untuk Gen-Y khususnya golongan mahasiswa memandangkan mereka ini merupakan kelompok pewaris negeri. Perincian mengenai BARAKAH turut disentuh memandangkan ianya adalah skim bantuan untuk mendayakan semangat serta memberi rangsangan kepada isi rumah di Kedah agar akhirnya bantuan awalan ini dapat dijadikan semangat untuk mereka keluar dari   belenggu kemiskinan.

13. Saya berharap agar semua rakan-rakan jelas dengan perkembangan pentadbiran Kerajaan Negeri dan hala tuju Negeri Kedah yang sebelum ini telah pun diperjelaskan secara terperinci. Kita wajar menyokong usaha-usaha murni berkenaan demi masa depan dan kemakmuran negeri kita yang tercinta ini dan selebihnya sama-samalah kita berdoa agar segala perancangan tersebut mendapat redha dari Allah SWT seterusnya memberi manfaat kepada rakyat Kedah secara keseluruhan, inshaa Allah.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Monday, 8 August 2016

1MDB: SEKILAS FAKTA YANG NYATA


1. Saya berpeluang mendengar sendiri dari mulut susuk tubuh yang diamanahkan mengetuai operasi IMDB dan memulihkannya yakni Arul Kandasamy dalam satu taklimat khas pada 4 Ogos yang lalu.

2. Rupanya, IMDB adalah model perniagaan yang telah menimbulkan sakit hati kelompok kroni-kapitalis yang selama ini merajai hampir 22 tahun tembolok kekayaan Negara secara halus dan senyap.

3. Hakikatnya, isu IMDB (sebelum plan pemulihan dilaksanakan Februari 2015) telah dikesani menerusi siasatan PAC.  Pengurusan yang lemah, struktur modal yang tidak sepadan dengan operasi perniagaan dan hutang luar jangka antara isu dikenalpasti. Melalui plan rasionalisasi 3 isu ini sedang diatasi dan berjaya diatasi, namun lebih ramai yang berminat untuk membincangkan perihal IMDB dari sudut ‘politik’ berbanding perspektif perniagaan.

4. Realitinya juga, Wang IMDB sejumlah RM42 bilion tidak pernah hilang. Komitmen perniagaan yang dibuat antara IMDB dan IPIC, PetroSaudi serta ABRAR dipenuhi dan diperundangkan dengan jelas. Setelah selesai urusan pembayaran kepada dua entiti berkenaan dengan IMDB memperoleh aset, bon jaminan yang matang sehingga 2026, terpulangnya kepada dua organisasi tersebut untuk membelanjakan wang pelaburan mengikut keperluan mereka.

5. IPIC yang merupakan rakan niaga utama IMDB dimiliki oleh anak Raja Abdullah, penguasa Arab Saudi, syarikat yang dijamin dan memperoleh penarafan antarabangsa. Kesemua urusniaga IMDB adalah antara IPIC, subsidarinya PetroSaudi dan ABRAR, tidak ada kena mengena dengan individu seperti Riza Aziz dan Jo Lhow.

6. Berasaskan fakta yang jelas, menerusi plan rasionalisasi IMDB, bermula Febuari 2015, hutang jangka pendek IMDB kepada institusi perbankan berada dalam keadaan sifar. Tunai ditangan dalam bentuk simpanan di bank, berjumlah RM2bilion. Aset mencecah 52 bilion dan menerusi komitmen pelaburan serta pembangunan strategik jangka panjang, usahasama di TRX dan Bandar I Malaysia serta Bandar Air Hitam Pulau Pinang dijangka memberi pulangan RM50 bilion.Peliknya, kejayaan ini tidak digembar-gemburkan, sebaliknya berita sensasi yang mendapat tempat.


7. Kenapa IMDB dicemburi oleh pakatan kroni-kapitaslime yang bernaung dibawah sang penguasa yang memerintah Negara selama 22 tahun?. Ia dicemburui dan disakiti kerana konsep pembangunan yang diamanahkan kepada IMDB berbeza dengan konglomerat lain seperti Berjaya Group atau YTL. Selain membangunkan projek sedia ada, pembangunan sekitar juga menerima manfaatnya. Contoh, pembangunan bercampur di Bandar 1Malaysia(Sungai Besi). Sebagai pampasannya, IMDB dimestikan membina 8 buah kem tentera dan Pusat Latihan Polis bernilai RM2.4 bilion di seluruh Negara. Bermakna keuntungan 1MDB diagihkan dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat selain meringankan bebanan perbelanjaan pembangunan pihak kerajaan”.

8. Lebih banyak Isu IMDB digembar-gemburkan sebenarnya menerusi sensasi hasil kebocoran maklumat dari dalam PAC sendiri disebabkan 5 anggotanya adalah pemimpin kanan parti pembangkang. Mereka hanya berminat mencari salah urustadbir kerajaan berbanding usaha membaiki serta mencadangkan input berguna kepada pengurusan IMDB. Apabila dihebahkan, banyak fakta diselewengkan bagi menimbulkan kebencian masyarakat, walhal urusan perniagaan perlu ditangani secara urusan perniagaan bukan melibatkan elemen politiking.

9. Dari mana timbulnya kontroversi wang RM2.6 bilion yang sering dikaitkan dengan IMDB?. Wang tersebut adalah derma dari keluarga diraja Arab Saudi, disahkan oleh Menteri Luar Kerajaan Arab Saudi, dimanfaatkan oleh PM untuk belanja PRU ke-13, dan bakinya dikembalikan. Diperakui berdasarkan dokumen surat menyurat oleh Bank Negara, disiasat oleh Jabatan Peguam Negara, SPRM, dan juga PDRM. Tidak ada bukti rekod transaksi pemindahan wang dari IMDB, kepihak ketiga dan PM sendiri. Rumusannya tiada kes, yang seringkali menjadikan ianya satu kes adalah parti pembangkang, walhal derma PRU untuk DAP berjumlah RM1.5 bilion sehingga kini tidak dijelaskan sumbernya dari mana dan kemana ia dibelanjakan.

10. Ada tuduhan liar yang menyatakan IMDB menngunakan wang rakyat dalam operasi perniagaanya?. Benarkah kenayataan ini?. Hakikatnya, modal asas IMDB RM1Juta datangnya dari geran kerajaan. Modal tambahan perniagaan IMDB, diperoleh melalui pinjaman bank(jangka pendek, sederhana atau jangka panjang) yang dijamin dengan bon terbitan kerajaan. Tidak timbul istilah penggunaan wang rakyat digunakan sebagai modal perniagaan IMDB. Demikian juga bayaran balik pinjaman perniagaan, semuanya dibayar hasil keuntungan operasi niaga dan juga penjualan asset yang dimiliki IMDB setelah mendapat tawaran pembelian yang menguntungkan.


11. Lantas, kenapa IMDB berterusan disakiti, dibenci dan dikontroversikan?. Satu darinya kesan proses pengambilalihan IPP diseluruh Negara oleh IMDB yang diletakkan di bawah EDRA Energy. Pengambilalihan ini menyebabkan IMDB berjaya meyakinkan TNB untuk menurunkan tariff tenaga elektrik sebanyak 1 sen. Penyerapan IPP dengan dimiliknegarakan telah menguntungkan pengguna berbanding amalan sebelum ini yang bukan sahaja membebankan pengguna, malah satu urusniaga yang tidak adil kepada TNB.

12. Bagaimana pula pertuduhan yang dikenakan oleh Jabatan Keadilan Amerika ke atas Riza Aziz dan Jo Lhow yang dikaitkan mencuri dana IMDB?.Pertuduhan ke atas Riza Aziz dan Jo Lhow dengan dakwaan mengubah wang haram dan mencuri duit adalah tuduhan jenayah. Persoalan yang mengundang kehairanan ialah kenapa Jabatan Keadilan Amerika membuat tuntutan sivil ke atas mereka. Dan jika IMDB terlibat kenapa pihak IMDB tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes ini?. Pelik bukan?.

13. Kemana sebenarnya wang IMDB dilaburkan?. Wang IMDB dilabur dalam IPIC, PETRO SAUDI DAN ABRAR menerusi mekanisme dan syarat perjanjian yang sah. Secara analogi mudah, si A membeli sebuah kereta dari si B. Si B membuat arahan pembayaran agar si A membayar tunai kepada si B, sejumlah RM70 ribu dan bakinya RM30 ribu dibayar dalam akaun kepada rakan si B. Kemana wang dibelanjakan oleh rakan si B, bukan lagi dalam pengetahuan pembeli si A. Prinsip penting, kereta beserta geran kereta yang ditukar nama kini sudah menjadi milik pembeli si A. Demikianlah transaksi antara IMDB, IPIC, ABRAR dan PETROSAUDI. Jika Jabatan Keadilan Amerika ingin memulangkan wang yang dikatakan dicuri dari IMDB, padahal tidak, maka IMDB pasti beroleh untung dua kali ganda.

14. Inilah faktanya, dan inilah realiti sebenar operasi IMDB. Namun kejayaanya ditolak, sebaliknya kerana iri hati kelompok kroni-kapitalis, IMDB terus dimusuhi. Motifnya, tentulah anda sendiri yang punyai jawapannya…

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Saturday, 6 August 2016

PESONA JIHAD; ANTARA SYURGA DAN KEGANASAN


1. Orang Kedah sememangnya terkenal sejak tradisi amat mementingkan ajaran dan hukum hakam Islam. Malah di negeri ini terdapat ratusan buah pondok, maahad dan pusat pengajian agama yang telah lama berjasa menyebarkan syiar Islam ke seluruh negara. 

2. Namun begitu, tidak dapat juga dinafikan tentang segelintir pihak yang terlalu taksub atau ekstrim fahamannya terhadap sesuatu yang berkaitan Islam sehingga mereka menjadi jumud dan beku mindanya. Lantaran itu, tidak hairanlah jika ada di kalangan anak muda yang begitu teruja dengan istilah 'JIHAD'.

3. Saya sendiri misalnya dulu tidak terkecuali. Mendengar perkataan 'jihad' diungkap ustaz, menyirap darah muda dan bersemangat melaungkan takbir, Allahu Akbar! Jika ada rintangan di depan, nescaya akan saya redah atas kalimah Allah, jihad fi sabilillah.

4. Namun setelah diperjelas oleh ustaz dan ulama-ulama, serta melalui pengalaman dan pembacaan saya, lama kelamaan saya menyedari tentang makna sebenar 'jihad' menurut Islam. Ia tidaklah satu tindakan semberono mengangkat senjata, menerkam musuh yang menentang atau menghalalkan apa saja tindakan demi memenuhi matlamat.

5. Pada pandangan saya, jihad itu terlalu umum dan adalah demi kepentingan Islam yang ummah. Ia terdiri dari pelbagai bentuk seperti jihad ilmu, jihad ekonomi, jihad akhlak, jihad menegakkan syiar Allah, jihad nafsu dan sebagainya. 


6. Namun pada saya berdasarkan zaman ini, jihad terpenting sekali adalah JIHAD ILMU. Jika umat Islam tidak berilmu, bagaimana hendak menyusun rancangan berjihad membangunkan ekonomi ummah, memperbaiki akhlak masyarakat, menegakkan syiar Allah di negara kita dan cara bagaimana untuk kita menahan diri 'berperang' dengan nafsu sendiri? 

7. Mungkin jihad ilmu itulah yang sering dilupakan oleh generasi muda muslimin dan muslimat di zaman ini sehingga tergelincir dari memahami istilah 'jihad' dengan memperhambakan diri kepada perjuangan yang terpesong dari fahaman Sunnah Wal Jamaah. Gara-gara itu, ada yang melibatkan diri dengan pengganas, militan dan pelampau DAESH.

8. Mereka begitu mudah terpengaruh bila diajukan ungkapan 'jihad', 'syahid', 'syurga' dan seumpamanya. Kononnya DAESH berjihad mahu mengembalikan Daulah Islamiah sebagaimana di zaman Khulafa' Ar-Rashidin. Kononnya jika maut ketika berjihad bersama mereka, maka mereka akan bergelar 'syahid' dan bakal dijanjikan 'syurga' oleh Allah S.W.T. 

9. Pada pandangan saya, hanya yang tiada asas agama yang teguh saja yang akan mudah terpedaya dengan kata-kata sebegitu. Sedangkan, apa yang dilakukan DAESH itu adalah jauh menyimpang dari ajaran Islam yang dibawa Rasulullah S.A.W. 


10. Islam jenis apakah yang membunuh dan menyembelih saudara seagama sendiri? Pejuang Islam jenis apakah yang merogol dan memperhambakan muslimah untuk memenuhi serakah nafsu seks sendiri? 'Jihad' jenis apakah yang membunuh bayi dan kanak-kanak Islam yang tidak berdosa? 

11. Lebih memelikkan saya, mereka langsung tidak berani menyentuh rejim Zionis Yahudi Israel laknatullah yang zalim terhadap saudara-saudara kita di Palestin. Kiranya terlalu hebat sangat semangat 'jihadnya', mengapa tidak serang saja Tel Aviv? Mengapa negara-negara Islam yang menjadi mangsa keganasan militan DAESH? Mereka tentera Islam atau tentera Yahudi sebenarnya?

12. Saya amat memandang serius ancaman militan DAESH terhadap negara kita. Mereka mengancam mahu membunuh pemimpin-pemimpin tertinggi negara dan mahu menghuru-harakan Malaysia. Namun mengapa tidak berani sedikit pun mengancam Benjamin Netanyahu atau menjejas kepentingan Israel? Semangat 'jihad' jenis apakah yang digalas DAESH?

13. Saya yakin bahawa pihak berkuasa kita, PDRM dan ATM, mampu menangani ancaman pengganas DAESH. Negara kita pernah diancam komunis dan berjaya dikuburkan, saya yakin DAESH juga bakal dimatikan nanti. Dari sudut perundangan pula, dengan wujudnya rangkaian akta seperti POTA, POCA dan SOSMA, saya yakin mereka tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang.


14. Namun begitu, saya lebih suka menggunakan pendekatan 'prevention is better than cure'. Dengan gandingan kerjasama antara pondok agama, maahad, pusat pengajian Islam tradisional, sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah-sekolah agama kerajaan, pusat-pusat pengajian tinggi, Jabatan Agama Islam, BTN, NGO-NGO Islam, Kementerian Pendidikan hinggalah ke peringkat tertinggi, Kementerian di Jabatan Perdana Menteri supaya mengembeling tenaga berganding bahu memperkasakan fahaman Islam yang sebenar kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda.

15. Tindakan-tindakan pro-aktif perlu dilaksanaka secara menyeluruh di semua peringkat bagi menerangkan tentang ajaran Rasulullah SAW yang sebenar, khususnya tentang pengertian 'JIHAD' dari sudut pandang Islam sejagat. Mungkin perlu dilakukan road tour, mungkin perlu penerangan diberi di setiap sekolah, pusat pengajian tinggi dan sebagainya. Rancanglah semantap mungkin asalkan dakyah DAESH dapat disekat dan tidak menular di negara kita.

16. Militan DAESH merupakan pengganas, tidak syak lagi. Setelah komunis meletak senjata, kini DAESH mengancam negara kita. Perkara sebegini tidak wajar dibiarkan dan perlu dikekang sebelum ia memalukan agama Allah di mata masyarakat bukan Islam terutama di Malaysia. Cerminan Islam tidak seperti yang dipaparkan DAESH. Islam itu sangat indah, aman dan sejahtera. Allahu Akbar!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar