Sunday 3 April 2016

60 HARI AHMAD BASHAH: ANTARA STIGMA DAN REALITI

Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
1. Alhamdulillah sudah 2 bulan Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengemudi Kerajaan Negeri Kedah sejak 4 Februari lalu. Sudah kira-kira 60 hari beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, satu peristiwa yang saya anggap sebagai 'sireh pulang ke gagang'. Adilnya Allah 'meletakkan sesuatu kena pada tempatnya'.

2. Sebelum mengangkat sumpah lagi, beliau sudah dihujani dengan persepsi buruk. Dalam satu majlis di istana, gambar Ahmad Bashah tersebar seakan-akan terlena di kerusi. Amat menghairankan saya, siapakah sebenarnya yang menyebarkan gambar yang mencetus persepsi negatif terhadap beliau di majlis rasmi yang tertutup itu? Biar ditanya 1,000 kali, saya yakin pihak berkenaan tidak akan mengaku.

3. Gambar tersebut mencetus persepsi awal terhadap Ahmad Bashah. Malah bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Mahathir tanpa rasa bersalah turut melemparkan persepsi berkenaan isu yang sama ketika meletak jawatan. Biarpun ia menjadi bayangan kepada dalang penyebaran persespi buruk itu, pada saya, biarlah masa yang menghukum segalanya.



4. Apa yang saya lihat di depan mata, Ahmad Bashah masih belum lagi putus-putus berkhidmat kepada 2.3 juta rakyat Kedah. Pada masa yang sama, beliau tidak pernah lupa tanggunjawab beliau dan mengambil berat soal UMNO dan Barisan Nasional Negeri Kedah. Pelbagai sudut beliau teliti sehingga saya sendiri tidak tahu bilakah masa beliau meluangkan masa bersama keluarga. Jika tidak bersama parti, beliau bersama rakyat.

5. Sejak hari pertama 'punch card' sebagai Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah sudah bersama rakyat. Beliau sebagaimana rutinnya sebelum menjadi MB lagi, beliau selalu bersarapan bersama rakyat, merasmikan majlis-majlis rasmi dan bersapa mesra dengan rakyat Kedah yang menghulurkan tangan mengucapkan tahniah. Perkara itu tidak perlu diviralkan kerana ia adalah perkara biasa bagi pemimpin yang memang anak jati Kedah.

6. Beliau turut menyambut kehadiran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ke Kedah. Hubungan baik dari zaman Pemuda UMNO dulu memang akrab hingga sekarang dan sebuah kompleks perniagaan diluluskan Najib ketika itu. Ia juga menandakan Kedah mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat di mana ia akan menjami kelancaran pentadbiran yang sehala dan mampu memberi kemakmuran kepada negeri jelapang padi ini.


7. Ahmad Bashah memang terkenal sebagai seorang yang mudah didekati. Selain sering mendekati rakyat di majlis tahlil, menziarahi kematian, kenduri kendara, bersama ulama dan agamawan, beliau adalah antara yang pertama tiba di lokasi yang ditimpa bencana seperti banjir, kebakaran, puting beliung dan sebagainya. Apa yang menariknya, bantuan yang dihulurkan lebih realistik, pantas dan menepati keperluan mangsa. Jadi, tidaklah jadi seperti orang perlukan timba tapi diberi payung.

8. Selain itu, selaku pemimpin yang pernah berjawatan Exco dan bergaul dengan kakitangan kerajaan negeri, Ahmad Bashah sudah berpengalaman dan mesra dengan KCS dan kakitangan kerajaan negeri Kedah. Beliau pandai mengambil hati dan bijak menyesuaikan diri. Tidak hairanlah sekiranya beliau diterima baik dan diberikan kerjasama yang erat oleh hampir seluruh KCS dan kakitangan awam sama ada di peringkat negeri atau persekutuan. Mesyuarat Exco pun tidak dibuat di ibu negara, tapi di pejabat-pejabat daerah di Kedah.

9. Walaupun baru 2 bulan mengambil alih kembali jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, ramai yang melihat bahawa UMNO Kedah sudah kembali 'bernyawa'. Tidak lagi 'tidur' atau 'pengsan' seperti sebelum ini. Semua mesyuarat perhubungan yang diadakan dihadiri oleh majoriti UMNO Bahagian. Mesyuarat pun tidaklah jauh hingga perlu ke ibu negara. Ia menandakan bilik mesyuarat di Bangunan Tunku 'hidup semula'.

P/s: Gambar aktiviti beliau boleh dilihat di Facebook rasmi Menteri Besar Kedah
10. Saya yakin bahawa taktik kotor yang menyerang Ahmad Bashah secara peribadi menandakan pihak tertentu itu kekeringan idea. Jalan mudahnya ialah dengan memanipulasi minda rakyat Kedah terutama penyokong Hijau Kuning dengan persepsi buruk terhadap Ahmad Bashah. Mungkin mereka sedar bahawa Ahmad Bashah adalah wira sebenar yang menawan Kedah dari pembangkang pada PRU 13 sedangkan mereka hanya menempel di saat akhir. Tapi khabarnya, ada yang mengaku dialah penyebab Barisan Nasional menang di Kedah?

11. Sehingga 2 bulan ini, saya secara jujur dan rasional, belum lagi melihat Ahmad Bashah 'lena' sebagaimana yang dipesan oleh anak Tun Mahathir. Sebaliknya, beliaulah yang semakin tersasar dari landasan jemaah parti dengan menjaja fakta yang diceduk dari sumber tidak benar. Selaku pejuang parti, saya dengan rendah diri menganjurkan beliau supaya bermuhasabah diri dan jernihkan kembali kekeruhan yang dibuat, demi parti.

12. Saya secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Dato' Seri Ahmad Bashah kerana beliau tidak berkecil hati dengan tindakan mereka yang menjejaskan imej beliau. Malah pada masa yang sama, Ahmad Bashah juga turut membuktikan beliau tidak 'lena'. Sekiranya Ahmad Bashah konsisten memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan tidak mempedulikan onar serta tohmahan yang dilemparkan, saya yakin beliau akan menjadi MB yang baik untuk rakyat negeri Kedah.

13. Ikhlas yang saya luahkan adalah atas apa yang saya lihat sejak 4 Februari lalu, Ahmad Bashah tidak henti-henti memberikan khidmat beliau kepada seluruh anak Kedah. Tidak terhad pada Bakar Bata sahaja, kini beliau makin sibuk mengelilingi segenap daerah Jelapang Padi menabur bakti. Doakan supaya beliau diberikan kesihatan, kekuatan, hidayah dan ilham yang lebih mantap untuk memacu kemajuan dan transfomasi negeri Kedah kerna disini lahirnya sebuah cinta.
#MuafakatKedah #RakyatKedahKeluargakita 

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.