Tuesday, 15 December 2015

PASCA #PAU2015: MENGORAK KEHADAPAN; SATU PENILAIAN


1. Selesai sudah temasya tahunan UMNO. Perhimpunan Agung UMNO 2015 telah pun menutup tirainya baru-baru ini.Kali ini saya diberikan ruang dan kesempatan menjadi perwakilan G10 selaku wakil pemuda Malaysia. Saat-saat keemasan bertemu sahabat-sahabat seperjuangan di perhimpunan keramat bangsa itu senantiasa benar-benar merupakan detik yang amat berharga buat saya. Sama-sama berkongsi pandangan dan idea, bertukar-tukar fikiran sesama kita, bertengkar kecil namun mesra, kita masih di pohon yang sama, tetap UMNO dihati kita. Terima kasih atas kenangan tidak terucap dek kata itu...

2. Saya tidak menafikan tentang wujudnya kelainan 'angin' yang bertiup di sepanjang PAU 2015 baru-baru ini. Malah sebelum temasya itu bermula, guruh mula berdentum di Kelab Sultan Sulaiman dalam satu majlis yang dihadiri oleh Timbalan Presiden, Naib Presiden dan mantan Presiden UMNO yang dikasihi, Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang negarawan yang sangat saya hormati. Bahang kehangatan itu makin terasa sebermulanya Ucapan Taklimat Presidan yang kemudian disusuli dengan Ucapan Dasar Presiden yang begitu marak bersemangat. Tepukan gemuruh saya berikan kepada Bapa Presiden dan Timbalannya...

3. Ianya bukan lagi rahsia tentang hubungan dingin antara Presiden dan Timbalan Presiden UMNO disaat ini. Tidak lagi bertengkar bertepuk meja di dalam mesyuarat tertutup Ahli Majlis Tertinggi UMNO, pertelagahan itu diheret secara terbuka di depan khalayak rakyat dan acap kali dipetik oleh media-media online pro-pembangkang seperti Malaysiakini.com, Malaysian Insider dan sebagainya. Viral atau tidak 'perang dingin' itu, saya terpaksa akui bahawa kehangatan drama antara dua pucuk pimpinan utama UMNO itu begitu meresahkan para perwakilan dan akar umbi parti di seluruh negara. Tidak terkecuali, saya sendiri.


4. Kita maklum bahawa 'angin' ucapan Timbalan Presiden di Kelab Sultan Sulaiman adalah berunsurkan pertikaian mengenai isu-isu semasa, terutama mengenai 1MDB dan dana politik yang diperoleh Dato' Seri Najib Tun Razak yang berjumlah RM2.6 bilion. Malah Tan Sri Muhyiddin turut menyentuh tentang ucapan penggulungan dan ucapan perasmian sayap-sayap UMNO yang tradisinya disampaikan pemegang jawatan Timbalan Presiden UMNO. Begitu juga dengan ucapan Ayahanda Tun M, juga berkisar tentang pertikaian yang sama, mempersoalkan pucuk pimpinan UMNO sedia ada.

5. Kemudian, Presiden UMNO pula berucap di PWTC. Sebuah Ucapan Dasar Presiden yang begitu memberikan inspirasi, membangkitkan roh perjuangan UMNO dan lebih menjurus kepada bergerak maju ke hadapan. Beliau terlebih dahulu menjelaskan isu-isu semasa yang berbangkit dalam mood yang meyakinkan di dalam Ucapan Taklimat Presiden. Pada saya, beberapa intipati ucapan dasar Dato' Seri Najib itu adalah bernas, positif dan menjawab persoalan menerusi gaya bidasan menunjukkan keyakinan beliau bahawa segala permasalahan di dalam keluarga UMNO dapat diatasi dengan baik sekiranya semua pihak sanggup mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan UMNO dengan bertunjangkan perpaduan. Apa yang dapat saya simpulkan, satu ucapan yang 'moving forward' tidak terus membincang dan mengupas isu malah terus fokus pada penyelesaian isu. Pada hemat saya, Presiden akui isu 1MDB dan derma politik sememangnya mempunyai masalah dan telahpun pelbagai pihak bahaskan. jadi tak perlulah lagi dibincangkan. Apa yang perwakilan dan rakyat mahu adalah bagaimana selesaikannya? jelas atas dasar itu saya lihat bapak presiden cuba  memberikan keyakinan semula dan juga menagih kepercayaan perwakilan dan rakyat bahawa berikan beliau ruang selesaikan. Tanpa perpaduan permasalahan akan bertambah kusut. 


6. Saya cukup teruja apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saudara Khairy Jamaluddin begitu vokal sekali mengetengahkan masalah golongan muda dan rakyat, khususnya mengenai peningkatan kos sara hidup yang semakin menekan. Saya juga menyokong penuh desakan beliau yang menegaskan bahawa Pemuda UMNO tidak mahu lagi menerima sebarang kenaikan kos sara hidup rakyat pasca PAU 2015. Sesekali, saudara Khairy turut menyentuh tentang 'ibu dan ayah' yang bertelagah, manakala 'anak-anak' pula yang menjadi mangsa kekeliruan tanpa arah. Ingin saya tekankan bahawa kiasan atau anologi yang ditegaskan oleh beliau itu amat mendalam sekali maksudnya dan perlu diberi perhatian oleh 'ibu dan ayah' berkenaan. Secara peribadi, saya berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan sedia ada.

7. Pada hemat saya, ucapan penggulungan Presiden UMNO di pentas PAU 2015 tempohari mungkin membuktikan Dato' Seri Najib merupakan seorang pemimpin yang berjiwa besar. Komitmen beliau untuk menyatu-padukan UMNO dengan merintis salam damai yang dihulurkan kepada Timbalan Presiden merupakan satu tindakan yang terpuji. Tidak ramai Presiden yang sanggup merendahkan ego mereka ketika berada di puncak kuasa seperti beliau dan adalah juga lebih manis dan memberi impak yang sangat positif jika salam dan jiwa besar ini juga dipanjangkan kepada bekas Presiden Tun M yang turut hadir pada hari perasmian.Namun ia tidak berlaku walau peluang terhidang didepan mata. Tetapi kita tidak bolehlah menyalahkan presiden semuanya kerna beliau sendiri akui amat terguris hatinya mutakhir ini, dan jelas jiwa besar ucapan beliau itu saya lihat sebagai 'separuh masak', khususnya apabila lazimnya ucapan penangguhan oleh ketua2 sayap, naib naib presiden serta Timbalan presiden dinafikan. 


8. Berdasarkan penelitian saya sepanjang hampir seminggu di PAU 2015, saya merasakan bahawa himpunan kali ini kurang memberikan kesan yang signifikan bagi UMNO. Pada saya himpunan UMNO yang cuma 'one way comunication'. Timbalan Presiden dinafikan berucap seperti biasa, malah sehingga beliau tersinggung dengan keputusan MT UMNO yang seakan-akan 'gam' beliau di persidangan parti sendiri. Seingat saya, bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pun tidak dinafikan berucap di muktamar PAS yang menyaksikan beliau kalah dan disingkirkan dari kepimpinan parti tersebut.Malah seperti yang umum ketahui bekas Timbalan Presiden dahulu Tun Musa Hitam jugak tidak dinafikan haknya, Dato seri Zahid yang dulu semasa menjawat Ketua Pemuda Malaysia juga tidak dinafikan hak berucap menempelak presiden dalam isu kronisme dan nepotisme satu masa dahulu.Kritikan-kritikan ini juga terus dijawab oleh Presiden ketika itu Tun M dalam ucapan pengulungan beliau. Pada saya ini baru benar benar "gentlemen'. Jadi, mengapa pula MT UMNO membuat keputusan yang menidakkan ucapan Timbalan Presiden? Malah seolah olah mahu menyembunyikan pekung didada. Semua ketua2 sayap malah semua naib presiden jua dinafikan hak dalam ucapan penangguhan. Persepsinya,pada saya rata -rata melihat Perhimpunan Agong kali ini adalah 'Dictator Motivated' dan 'Monotamous'.  Siapa yang beri nasihat pada Presiden? Bukankah tindakan itu secara tidak langsung telah menjejaskan imej UMNO dan menjadi 'bahan tawa' puak pembangkang di luar sana?

9. Dan biarpun salam damai dihulur, Tan Sri Muhyiddin seolah-olah tidak ikhlas menyambut salam berkenaan. Secara luarannya kita lihat presiden sudah merendahkan ego beliau selaku ketua keluarga, demi UMNO, demi perjuangan dan demi kepentingan parti, apalah salahnya jika menyematkan keikhlasan di dalam hati untuk menyambut salam itu setulusnya? Bukankah itu yang dianjurkan oleh Islam yang dijunjung keluarga UMNO? Keras sangatkah hati Tan Sri Muhyiddin demi kelangsungan perpaduan di dalam parti? Tapi pada pandangan saya jiwa besar ini dihulurkan dikala seolah kaki dan tangan diikat jadi tidak hairanlah juga jiwa besar ini disambut dingin dan juga separuh masak. Apapun, pepatah inggeris pernah berkata, we have to agreed for a lesser evil doing, in order to avoid a greater evil in the future. jadi mungkin keputusan MT ini yang terbaik buat masa ini.   Saya yakin, sekiranya Tan Sri Muhyiddin menyambut seikhlas hati, lebih mementingkan parti berbanding pertikaian yang diajukan sebelum ini, pendamaian di antara 'ibu dan ayah' akan melegakan hati 'anak-anak' yang sedang bercelaru kurang bersatu. Selepas berdamai di depan 'anak-anak', 'ibu dan ayah' hendak 'perang pinggan mangkuk terbang dalam bilik' pun buatlah bagaimana pun sekali, asalkan parti teguh dan akar umbi bersatu hati...

10. Selain itu, saya ingin meluahkan rasa kurang senang dengan beberapa pihak yang seolah-olah suka menjadi 'batu api' dalam soal ini. Ada di kalangan ahli dan penyokong sendiri bertindak emosi dengan melaga-lagakan antara dua kepimpinan utama itu. Mood Perwakilan juga dilihat sudah mual soal perbalahan, ini dibuktikan apabila salah seorang perwakilan cuba untuk mengkritik Tun M disambut oleh sorak 'boo' oleh perwakilan malah ditegur Tan Sri Pengerusi Tetap agar perkara yang berlalu, biarkanlah ia berlalu....malah apabila Tan Sri Timbalan presiden melawat persidangan sayap sayap beliau disambut dengan penuh dengan sambutan hangat oleh smua perwakilan, Apakah perlakuan melaga lagakan  seperti itu perlu untuk memperteguhkan parti? Pada pandangan saya, kita UMNO sudah tiada masa lagi untuk menjadi 'batu api' atau bertelagah sesama sendiri. Khabarnya tidak lama lagi akan berlangsung Pilihan Raya Negeri Sarawak. Memang benar UMNO tidak terlibat, tapi perlu diingat bahawa Barisan Nasional ditunjangi oleh UMNO dan kita turut bertanggungjawab untuk menyusun gerakan bagi membantu gelombang BN Sarawak untuk bagi memastikan kemenangan bergaya di negeri berkenaan. Untuk apa kita buang masa untuk sesuatu yang menjejaskan imej parti dan memperjudi nasib BN di sana?


11. Malah, dalam perkiraan saya, Pilihan Raya Umum ke-14 mungkin bakal berlangsung lebih kurang dua tahun dari sekarang. Saya mendapat maklumat bahawa parti-parti pembangkang sudah beberapa langkah meninggalkan kita dengan merencana perancangan yang teliti dan strategik untuk merampas kuasa yang sedang kita miliki. Sedangkan kita? Sibuk bertelagah antara satu sama lain? Sibuk memalu gendang perang berbalas serangan dan sindiran sesama kita? Siapa musuh kita sebenarnya? Saya tegaskan di sini bahawa insiden 'team A' dan 'team B' dulu sudah cukup memecah-belahkan UMNO dulu dan sewajarnya kita mengambil iktibar supaya peristiwa malang seperti itu berlaku lagi dalam parti kita. Apatah lagi kita di ambang pilihan raya negeri dan PRU ke-14, bukan? Cukup-cukuplah. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. Kita satu keluarga, kita bersaudara, kita satu perjuangan demi agama, bangsa dan negara...

12. Majulah kita ke hadapan. Kita punya banyak lagi isu yang perlu diperjuang dan diketengahkan. Lebih utama, kita punya tanggungjawab yang lebih besar terhadap rakyat Malaysia yang menagih khidmat bakti UMNO bagi meringankan beban dan memudahkan kehidupan mereka. Kita punya amanah yang perlu digalas dan dilunaskan, malah kita akan dipersoal Allah SWT sekiranya kita gagal menunaikan tanggungjawab tersebut di akhirat kelak. Ayuhlah kita tinggalkan geruh yang tidak bermanfaat, sebaliknya kita kembali memperteguh saf barisan parti dan menggempur pembohongan demi pembohongan serta harapan palsu yang digula-gulakan parti-parti pembangkang di luar sana. Kita amukkan mereka dengan kebenaran dan kita berikan khidmat terbaik kepada rakyat Malaysia yang kita sayangi...

13. Saya sedar saya hanyalah pemimpin kecil yang berjiwa besar. Bergolek pun kena, digolek pun kena, begitulah saya bagaikan mentimun. Namun saya juga berjiwa besar mahukan UMNO kembali gagah dan bangkit dari kemelut yang tidak memberi sebarang faedah kepada masa depan agama, bangsa dan negara. Kita perlukan 'ayah', kita perlukan 'ibu'. Kita perlukan 'abang', dan kita juga perlu pada 'kakak'. Kami juga memerlukan 'adik'. Malah kami juga perlukan 'datuk' dan 'nenek'. Kita semua adalah satu keluarga yang besar. Sekiranya kita bersatu, mencapai satu titik persamaan di dalam jiwa dan roh perjuangan UMNO, saya yakin Allah SWT akan tetap memberikan amanah kuasa mentadbir negara selamanya dan rakyat juga akan lebih meyakini serta menyayangi UMNO sebagai satu-satunya tonggak yang mampu membela nasib dan memakmurkan tanahair.

14. Justeru itu dengan jiwa tawadhuk dan rendah hati, saya merayu, memohon dan menyeru kepada semua pihak sebermulanya dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Bahagian, Ketua Cawangan sehinggalah kepada ahli UMNO di akar umbi supaya kembali menyentuh roh perjuangan keramat bangsa, bersatu hati memperteguhkan barisan, berganding bahu berpegangan tangan, sama-samalah kita mengembalikan kegemilangan UMNO di mata rakyat dan semoga Allah SWT memberkati pengorbanan kita demi agama, bangsa dan negara. Biar apa pun yang berlaku, air yang dicincang takkan putus, kita semarakkan perjuangan kerana 'Disinilah lahirnya sebuah cinta'... 

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.