Wednesday, 23 September 2015

SALAM AIDILADHA..PERGORBANAN TERAS PERPADUAN

Disini lahirnya sebuah cinta...
1. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa lillahil Hamd. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi diberi peluang untuk merayakan Hari Raya Korban atau Aidiladha bagi tahun 1436 Hijrah yang bakal menjelang sehari dua lagi. Bukan sekadar merayakan, apa yang lebih utama adalah untuk kita merenung sedalam-dalamnya hikmah di sebalik pengertian 'korban' yang dituntut di dalam agama Islam. Sejauh mana kita sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara.

2. Malaysia sememangnya merupakan sebuah negara Islam. Malah dari sudut perlembagaan negara, kedudukan Islam sebagai agama rasmi adalah termaktub kukuh. Namun begitu, dalam lima tahun kebelakangan ini, ada pula pihak yang begitu biadap cuba mencabar kedudukan Islam dengan gesaan 'kesamarataan agama' yang cukup sinonim dengan fahaman 'pluralisme'. Biar pun fahaman itu difatwakan haram dan sesat, namun masih ada lagi pihak yang mempertahankan fahaman songsang tersebut. Siapakah mereka? Sila rujuk pada Inter Faith Committee (IFC) dan pihak manakah yang bersama mereka?

3. Selain Islam, bangsa Melayu juga merupakan antara elemen penting yang termaktub di dalam perlembagaan. Antara yang disebut tentang Melayu adalah hak dan keistimewaan bangsa bumiputera tersebut. Namun sejak lima tahun kebelakangan ini juga, ada pihak tertentu yang sering melakukan provokasi melampau terhadap bangsa Melayu, sama ada secara individu, parti politik mahupun NGO. Melayu bukan saja dihina sewenang-wenangnya, malah dipersenda dan seolah dipijak-pijak tanpa rasa bersalah, seolah Melayu tiada perasaan. Memainkan sentimen yang sama, mereka mahukan 'kesamarataan kaum' di Malaysia, sekaligus menafikan apa yang termaktub di dalam perlembagaan. Untuk tahu siapa mereka, sila rujuk pada perlembagaan DAP.

4. Di dalam bidang ilmu kenegaraan, untuk menubuhkan sesebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, maka perlulah ada perlembagaan negara itu sendiri sebagai syarat utama yang membentuk kedaulatan. Perlembagaan yang tercipta itu perlulah dijunjung sewajarnya dan tidak dicabar kedudukannya. Sekiranya runtuhnya perlembagaan itu, maka ranaplah negara berkenaan. Namun begitu, memandangkan pihak tertentu itu mencabar perkara pertama dan kedua yang saya ajukan diatas, maka secara tidak langsung, mereka-mereka itu juga cuba mencabar dan mengganggu-gugat perlembagaan negara. Dan saya yakin, berdasarkan perkara-perkara di atas itu juga maka kita dapat mengenal pasti dengan baik tentang siapakah mereka-mereka itu, bukan?

5. Soalnya, siapakah yang sanggup berkorban untuk ketiga-tiga perkara terpenting itu? Siapakah yang sanggup berdiri teguh di barisan hadapan bagi mempertahan dan berjuang demi Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia? Apakah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Tony Pua dan konco-konco DAP? Atau Tian Chua, Elizabeth Wong dari PKR? Mat Sabu, Khalid Samad dan gerombolan Parti Amanah? Anwar Ibrahim, Kamaruddin Jaafar dan IKD yang menjunjung pluralisme? Jangan bermimpi di siang hari...

6. Setuju atau tidak, saya yakin bahawa geng 'BAJU MERAH'lah yang akan berada di barisan hadapan sekali mempertahankan agama, bangsa dan negara. Bukanlah mendabik dada, namun kebersatuan dan sumpah keramat kami terhadap agama, bangsa dan negara itu menjadi azimat paling simbolik untuk menyatakan kesanggupan kami berkorban jiwa, masa, harta dan tenaga.Bukan untuk sesiapa, individu mana walhal untuk menyokong pemimpin mana mana. Pemimpin datang dan pergi tapi sebuah pengorbanan di dalam perjuangan yang tidak ternilai tersemat di dalam jiwa setiap peserta himpunan 'Baju Merah' yang mempertahankan maruah Islam, Melayu dan Malaysia. Itulah kami...

7. Di dalam Islam, pengorbanan itu amat dituntut. Simboliknya adalah pengorbanan Nabi Ibrahim AS bersama anaknya, Nabi Ismail AS. Selain itu, Siti Hajar, bonda kepada Nabi Ismail turut merelakan diri berkorban demi perintah Allah. Pada pandangan saya, begitu juga dengan umat Islam di alaf ini yang dituntut untuk berkorban demi mempertahankan kesucian Islam yang cuba dicemari, hak dan keistimewaan bangsa Melayu yang cuba digugat dan sebuah negara yang sedang cuba diporak-perandakan oleh ideologi serta fahaman negatif yang mampu meruntuhkan masa depan negara kita. 


8. Saya hanyalah insan kerdil berbangsa Melayu yang berjejak kaki di tanahair sendiri, dan saya yakin bahawa jutaan lagi anak-anak Melayu di luar sana yang menyedari hakikat bahawa kami perlu bersatu menyuarakan hak kami dan merelakan diri berkorban demi agama kami, bangsa kami dan negara kami yang berdaulat ini. Jika tindakan kami itu dikatakan rasis, maka saya yakin mereka itu 'buta jiwa', keliru dan berpura-pura tidak faham tentang apa sebenarnya yang kami pertahankan. Entah apa yang mereka fikirkan sehingga tergamak menuduh kami rasis sedangkan kami langsung tidak mengusik atau menafikan hak mereka di bumi bertuah ini.

9. Justeru itu, bersempena Aidiladha ini, saya menyeru kepada semua pihak supaya mempersiapkan diri dan sentiasa bersedia untuk berkorban demi tiga perkara penting yang saya nyatakan di atas. Sama ada berbaju merah, biru, hijau, kuning, jingga, kelabu, hitam, putih atau apa jua warna, ketahuilah bahawa semangat saling hormat menghormati antara kita amat perlu dalam agenda mencapai keharmonian kaum di negara kita. Jika Melayu sanggup berkorban berhubung prinsip 'Jus Soli', apakah kaum bukan bumiputera tergamak berlaku biadap terhadap 'Kontrak Sosial'?


10. Akhir kata, di atas nama perkongsian hidup, saya tegaskan di sini bahawa meskipun saya sayang pada orang Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya, ia tidak bermaksud bahawa saya 'kurang' Melayu. Mungkin 'kiblat' kita berbeza, namun warna darah kita mereka tetap sama. Kami bangsa Melayu hanya memperjuangkan hak kami, namun pada masa yang sama kami tidak sedikit pun menagih hak kaum lain di negara ini. Cuma apa yang saya harapkan adalah asal kita 'tahu sama tahu', itu pun sudah cukup seadanya, bukan? Kitalah masa depan Malaysia kerana disinilah lahirnya sebuah cinta...

Salam Aidiladha...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.